Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Menggunakan Baby Carrier Ketika Berihram

Soalan: Adakah dibenarkan bagi jemaah lelaki atau perempuan dalam ihram untuk menggunakan baby carrier bagi menggendong anaknya?

Jawapan: Berihram adalah salah satu rukun haji dan umrah. Menurut ulama fiqh mazhab asy-Syafi‘i ihram bermaksud berniat masuk dalam mengerjakan ibadat haji atau umrah atau kedua-duanya sekali. Apabila seseorang telah masuk dalam ibadat haji atau umrah maka dia dilarang melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika sedang berihram.

Lelaki yang hendak melakukan ihram haji atau umrah, adalah sunat baginya memakai pakaian yang terdiri daripada izâr (sehelai kain yang dipakai di bahagian bawah bagi menutup aurat) dan ridâ’ (sehelai kain yang dipakai di bahagian atas sebagai selendang) yang berwarna putih serta baharu dan sunat memakai selipar.

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Hendaklah kamu berihram dengan memakai izâr, ridâ’ dan sepasang selipar. Jika kamu tidak mempunyai sepasang selipar maka pakailah sepasang khuff dan potonglah kedua-duanya sehingga menjadi kedua-duanya ke buku lali. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)

Adapun perempuan yang melakukan ihram haji atau umrah hendaklah memakai pakaian yang menutup seluruh badan melainkan muka dan dua pergelangan tangan.

Pakaian yang Dilarang Ketika Ihram Bagi Lelaki dan Perempuan

Para ulama telah menetapkan bahawa lelaki yang berihram haji atau umrah, adalah haram memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat. Jika seseorang lelaki yang berihram memakai pakaian tersebut dengan tidak ada keuzuran, maka memakainya adalah berdosa dan wajib ke atasnya membayar fidyah (dam).

Berkata Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj:

Ertinya: Dan diharamkan ke atasnya (lelaki) memakai pakaian yang berjahit seperti baju dan qaba’ (sejenis pakaian yang terbuka di bahagian depan yang dipakaikan di bahagian luar) dan jika tidak dikeluarkan kedua-dua tangannya dari lengan bajunya dan bokca kulit atau kantung untuk menginai janggutnya, sarung tangan, seluar, tubbân (seluar pendek) dan khuff (sepatu), atau (diharamkan juga lelaki) memakai pakaian yang bertenun seperti baju besi atau memakai pakaian yang diikat seperti jubah bulu (pada seluruh) yakni semua bahagian anggota badannya.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah ditanya mengenai pakaian yang perlu dipakai oleh orang yang berihram sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu memakai baju, seluar, serban dan jubah yang bertudung kepala. Manakala seseorang yang tidak mempunyai selipar, maka pakailah sepatu (khuff) dan potonglah (khuff itu) sampai di bawah buku lali (sehingga nampak buku lali), dan janganlah kamu memakai sesuatu yang disentuhi minyak za‘farân dan waras (sejenis tumbuhan yang berbau wangi) dan janganlah perempuan yang berihram memakai penutup muka (niqâb) dan sarung tangan (quffâz). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adapun bagi perempuan yang dalam ihram haji atau umrah, mereka tidak dilarang memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat sebagaimana berdasarkan hadits di atas, mereka hanya dilarang memakai penutup muka (niqâb) dan sarung tangan (quffâz).

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al- ‘Umrah, haram bagi lelaki dan perempuan memakai sarung tangan mengikut pendapat yang ashah. Jika kedua-keduanya memakai sarung tangan, hendaklah mereka membayar fidyah (dam) dan jika dilumuri inai ataupun dibalutnya tanpa melumurinya, maka mengikut pendapat yang shahîh, dia tidak dikenakan fidyah (dam).

Maksud Memakai Pakaian yang Berjahit, Bertenun atau yang Diikat

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘, maksud diharamkankan ke atas lelaki memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat itu ialah setiap pakaian yang berjahit khusus dibuat untuk menutupi keseluruhan badan atau sebahagian anggota badan sama ada dengan berjahit, bertenun atau diikat. Maka diharamkan ke atasnya memakai baju, seluar, seluar pendek (tubbân), baju besi, sepatu (khuff) dan seumpamanya sama ada pakaian itu diperbuat daripada kulit, kapas, linen atau sebagainya.

Perkara yang diambil kira dalam larangan memakai pakaian itu ialah memakai pakaian tersebut mengikut cara kebiasaan ia dipakai seperti baju dipakai dengan menyarungkannya ke badan dan seluar dengan menyarungkannya ke bahagian kaki hingga ke pinggang. Sekiranya baju dijadikan selimut atau ia hanya dijadikan seperti ridâ’ iaitu dijadikan seperti kain selendang atau baju itu diletakkan di atas badan dan apabila berdiri nescaya baju itu akan terlucut dari badan, maka ia diharuskan kerana pemakaian yang sedemikian itu tidak dipakai mengikut cara kebiasaan ia dipakai. Demikian juga harus menjadikan seluar sebagai izâr iaitu seluar tersebut dijadikan seperti kain yang menutupi pinggang dengan tidak menyarungkannya sepertimana kebiasaan ia dipakai.

Walau bagaimanapun adalah harus memakai izâr yang diikat kedua-dua hujung kainnya di antara satu sama lain atau dibuat pada izâr itu hujzah (tempat memasukkan tali seperti lubang untuk memasukkan tali pinggang) lalu dimasukkan tali atau seumpamanya di dalam hujzah untuk mengikat izâr tersebut kerana ada mashlahat dan keperluan memakainya iaitu dengan cara sedemikian supaya izâr tersebut tidak terlucut.

Apa yang Dibolehkan Ketika Ihram

Menurut para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘i, memakai cincin, menyangkutkan pedang atau Mushhaf, memakai beg atau tali pinggang untuk menyimpan duit dan melilitkan serban dengan tidak mengikatnya ketika dalam ihram adalah diharuskan.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan baginya boleh menyangkutkan Mushhaf dan selendang pedang dan mengikat beg dan tali pinggang di pinggangnya dan juga memakai cincin dan tiada ada khilaf (perselisihan) dalam mengharuskan kesemuanya ini.

Menggunakan Baby Carrier Ketika Berihram

Baby carrier atau baby wearing bermaksud perbuatan atau aktiviti menggendong anak damit (kecil). Menggendong dalam Kamus Dewan ialah mendukung (di belakang, di pinggang dan lain-lain) dengan kain yang disangkutkan ke leher.

Menggunakan baby carrier atau baby wearing adalah sama seperti menyangkutkan pedang dan Mushhaf atau mengikat beg dan tali pinggang di pinggang.

Maka berdasarkan penjelasan di atas, seseorang yang hendak menunaikan fardhu haji atau umrah sama ada jemaah lelaki atau perempuan sebagaimana yang ditanyakan adalah harus menggunakan baby carrier bagi menggendong atau mendukung anak ketika berihram kerana baby carrier yang ditanyakan itu bukanlah termasuk pakaian yang dilarang sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama.

Akan tetapi perlu diingat, dalam kita dibolehkan membawa baby carrier untuk mendukung anak ketika berihram, kita wajiblah juga menjaga kesempurnaan ibadat haji atau umrah ketika dalam ihram bersama-sama anak yang kita dukung atau bawa itu dengan menjaga kebersihan anak itu terlebih dahulu.

Perlu diingat, menggendong anak juga boleh membatalkan ibadat kita. Sebagai contoh, thawaf atau sembahyang kita akan menjadi batal dengan menggendong anak berkenaan jika anak yang kita gendong itu menanggung najis.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12454