Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menjual Plasma Manusia

Soalan: Plasma merupakan salah satu daripada komponen darah yang penting dan mengandungi komponen-komponen koagulasi, sistem fibrinolitik dan sistem komplemen serta protin-protin yang mengekalkan keseimbangan tekanan osmotik darah dan memodulasi sistem ketahanan.

Statistik kutipan darah dan jumlah darah yang diproses untuk mendapatkan plasma di Pusat Pendermaan Darah dari tahun 2011 hingga tahun 2015 menunjukkan purata 40% komponen plasma digunakan untuk pesakit yang memerlukan rawatan dan selebihnya (purata 60%) plasma yang tidak digunakan dan dibuang.

Plasma mempunyai jangka hayat selama satu tahun jika disimpan pada suhu yang betul iaitu, -20˚C dan dua tahun jika disimpan pada suhu -80˚C. Oleh kerana penghasilan plasma melebihi penggunaannya dan ruang peti sejuk -20˚C dan -80˚C untuk penyimpanan lebihan plasma adalah terhad, maka plasma yang tidak digunakan ini dianggarkan berjumlah BND$227,584.00 dalam setahun [berdasarkan basic costing (direct & indirect), kos memproses penghasilan plasma di Pusat Pendermaan Darah berjumlah BND$160.00 bagi setiap liter plasma]. Bagi mengelakkan pembaziran, lebihan plasma ini boleh digunakan untuk menghasilkan bahan biofarmaseutikal seperti albumin dan immunoglobin melalui proses pemeringkatan.

Walau bagaimanapun, teknologi pemeringkatan untuk menghasilkan bahan biofarmaseutikal belum terdapat di negara ini, maka Pusat Pendermaan Darah bercadang untuk membekalkan lebihan plasma ini kepada syarikat yang berminat di luar negara. Harga 1 liter plasma dianggarkan bernilai USD$28 (atau BND$38). Maka perangkaan menunjukkan secara purata sebanyak 1422 liter lebihan plasma boleh dibekalkan ke luar negara setiap tahun bagi tujuan pemeringkatan. Nilai bagi pembekalan lebihan plasma sebanyak itu dianggarkan berjumlah BND$54,036.00 setiap tahun yang mana boleh mendatangkan hasil kepada negara.

Selain daripada itu, pilihan kedua ialah mana-mana syarikat yang terpilih dan menerima bekalan lebihan plasma itu akan mengganti nilai bekalan dengan beg-beg darah, peralatan-peralatan tabung darah atau keperluan-keperluan yang diperlukan dalam proses pengendalian pendermaan darah bagi kegunaan di Pusat Pendermaan Darah.

Oleh yang demikian, dipohonkan pendapat dan pandangan Pehin Mufti serta penjelasan hukum mengenainya.

Jawapan: Menurut The British Medical Association A-Z Family Health Encyclopedia dan The New Encyclopeadia Britannica, plasma ialah salah satu komponen di dalam darah yang berbentuk cecair berwarna kuning pucat. Plasma mengandungi lebih 90% air, 7% protein dan peratus selebihnya adalah terdiri daripada zat-zat lain seperti garam tidak organik, glukosa, urea dan zat-zat sisa. Manakala cara mendapatkan plasma adalah dengan mengambil darah daripada badan pesakit atau penderma, kemudian proses pengasingan plasma daripada darah yang diambil akan dilakukan dengan menggunakan mesin khas yang dipanggil “cell separator”.

Berdasarkan keterangan di atas, difahami bahawa plasma adalah sebahagian daripada darah yang dikeluarkan dari badan manusia. Kemudian darah yang diperolehi itu akan diproses untuk mendapatkan komponen-komponen tertentu seperti plasma, sel darah merah dan serum. Fungsi komponen-komponen tersebut adalah berbeza dan kegunaannya adalah mengikut keperluan pesakit. Ini menunjukkan bahawa tahap permintaan sama ada bagi darah secara keseluruhan atau komponen-komponen tertentu dalam darah untuk rawatan pesakit adalah tidak sama. Dengan kata lain, ada komponen tertentu dalam darah yang banyak diperlukan untuk rawatan pesakit dan sebaliknya. Walaupun begitu, pendermaan darah tetap juga dijalankan, kerana komponen-komponen tertentu yang diperlukan itu hanya boleh diperolehi dalam darah yang diambil dari badan manusia setelah dibuat proses pengasingan.

Kedudukan Lebihan Plasma di Pusat Pendermaan Darah

Merujuk kepada perangkaan dapatan plasma di Pusat Pendermaan Darah, Kementerian Kesihatan, tahun 2011 hingga tahun 2015 menunjukkan bahawa hanya 40% komponen plasma digunakan untuk pesakit yang memerlukan rawatan, manakala 60% komponen plasma tidak digunakan untuk keperluan rawatan. Perangkaan tersebut menunjukkan dapatan plasma melebihi penggunaannya untuk rawatan pesakit. Lebihan plasma ini akan dibuang jika telah melewati jangka hayatnya atau jika ruang peti sejuk untuk menempati lebihan plasma ini tidak mencukupi. Sedangkan kos memproses penghasilan plasma di Pusat Pendermaan Darah menggunakan belanja yang besar. Ini bererti, jika lebihan plasma ini dibuang begitu sahaja, maka sudah tentu ia akan mendatangkan pembaziran.

Adalah dimaklumi bahawa lebihan plasma ini boleh digunakan untuk menghasilkan bahan biofarmaseutikal seperti albumin dan immunoglobin melalui proses pemeringkatan. Walau bagaimanapun, teknologi pemeringkatan untuk menghasilkan bahan biofarmaseutikal tidak terdapat di negara ini, maka cadangan untuk menjual lebihan plasma kepada syarikat di luar negara adalah bagi mengelak pembaziran lebihan plasma yang tidak digunakan. Anggaran sejumlah BND$54,036.00 setiap tahun dapat dikutip hasil daripada jualan lebihan plasma tersebut iaitu sebanyak 1422 liter boleh dibekalkan ke luar negara dengan harga 1 liter plasma bernilai USD $28.00 atau BND $38.00.

Dalam cadangan kedua pula, pihak Perkhidmatan Makmal meminta gantian nilai bekalan plasma dengan beg-beg darah, peralatan-peralatan tabung darah atau keperluan-keperluan yang diperlukan dalam proses pengendalian darah ke atas mana-mana syarikat yang menerima bekalan lebihan plasma tersebut bagi kegunaan Pusat Pendermaan Darah.

Setelah melihat kepada kedua-dua cadangan di atas, apa yang perlu dijelaskan ialah tentang bagaimana cara pertukaran darah yang dibenarkan menurut syara‘. Ini kerana plasma adalah sebahagian daripada darah, maka hukum plasma adalah mengikut hukum darah secara keseluruhan.

Hukum Jual Beli Darah Menurut Syara‘

Transaksi jual beli merupakan satu perkara yang lazim dilakukan dalam proses pertukaran untuk mendapatkan hasil atau keuntungan. Ia merupakan muamalat yang diharuskan di dalam Islam. Namun muamalat ini hendaklah menepati segala rukun dan syarat yang telah ditetapkan bagi membolehkan transaksi jual beli itu adalah sah di sisi syara‘.

Antara rukun jual beli yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh ialah barang jualan. Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, barang jualan ada lima syarat. Salah satu daripada syarat-syarat tersebut ialah hendaklah barang jualan itu suci.

Ini bererti, syarat ‘suci’ bagi barang jualan dalam transaksi jual beli perlu dipenuhi dan sudah tentu syarat ini mengecualikan benda-benda najis. Perkara tersebut berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya dia telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda pada tahun pembukaan Makkah, ketika Baginda berada di Makkah:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala dan RasulNya mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala. Maka dikatakan lagi: “Ya Rasulullah! Adakah Tuan fikir boleh dijual lemak bangkai, kerana lemak itu digunakan pada mengecat kapal-kapal, dan pada meminyakkan kulit-kulit, dan orang-orang membuat minyak pelita?” Baginda bersabda: “Tidak boleh. Ia adalah haram.” Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda ketika itu: “Allah Ta‘ala akan membunuh yahudi, bahawasanya ketika Allah Ta‘ala mengharamkan ke atas mereka akan lemak-lemaknya (bangkai), maka mereka cairkannya (lemak-lemak bangkai itu), kemudian menjualnya kemudian mereka memakan harganya.” (Hadits riwayat Muslim)

Berbalik kepada persoalan darah, adakah darah yang mengalir itu dihukumkan suci atau najis?

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’an, beliau menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa hukum darah adalah najis dan haram, tidak boleh dimakan dan tidak boleh dimanfaatkan sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan ke atas kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih dengan (menyebut nama) lain daripada (nama) Allah. (Surah al-Baqarah: 173)

Dalam ayat lain, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Katankanlah (wahai Nabi Muhammad): “Aku tidak mendapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia kotor… (Surah al-An‘âm: 145)

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa darah adalah salah satu benda yang haram dimakan kerana keadaannya yang kotor. Dengan kata lain, darah yang mengalir termasuk dalam kategori benda najis. Benda najis tidak boleh diperjualbelikan kerana salah satu syarat barang jualan hendaklah suci. Bahkan, segala apa yang telah diharamkan oleh syara‘, haram juga mengambil hasil jualan dengannya sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya jika Allah Ta‘ala mengharamkan sesuatu, maka Dia (juga) mengharamkan harganya. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)

Di samping itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada menyebutkan dalam hadits Baginda yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang (mengambil) harga darah dan harga anjing… (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Bâri, yang dimaksudkan dengan ‘melarang harga darah’ dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari di atas membawa kepada dua pengertian. Sebahagian ulama memberikan maksud larangan mengambil upah membekam. Manakala sebahagian ulama yang lain pula memberikan maksud mengikut zahir perkataannya iaitu pengharaman jual beli darah sepertimana diharamkan jual beli bangkai dan khinzîr. Maka, berdasarkan ijmâ‘ para ulama, hukum jual beli darah dan mengambil hasil jualannya adalah haram.

Menurut resolusi Akademi Fiqh Liga Islam Sedunia (al-Majma‘ al-Fiqh li Râbithah al-‘Âlam al-Islâmi) dalam persidangannya yang ke sebelas di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1409/1989M, juga menyebutkan bahawa tidak harus mengambil imbuhan daripada darah atau berjual beli darah kerana ia termasuk dalam perkara-perkara yang disebutkan pengharamannya dalam al-Qur’an iaitu yang disebutkan bersama pengharaman bangkai dan daging khinzîr.

Kesimpulannya, hukum jual beli darah adalah haram menurut syara‘. Begitu juga hasil daripada penjualan darah tersebut adalah haram diambil dan dimanfaatkan.

Cara Pertukaran Benda Najis

Sepertimana yang telah dijelaskan di atas, pertukaran benda najis dengan menggunakan lafaz akad jual beli adalah dilarang dalam Islam. Sebaliknya, benda-benda najis tersebut hanya boleh berpindah tangan yakni berpindah hak daripada yang empunya kepada orang yang memerlukan. Perkara ini ada dinukilkan dalam kebanyakan kitab karangan ulama asy- Syafi‘iyyah seperti I‘ânah ath-Thâlibîn, Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi, Hâsyiyah al-Baijuri dan Hâsyiyah asy-Syeikh Sulaiman al-Jamal ‘alâ Syarh al-Minhâj li Syeikh Zakaria al-Anshari yang menyebutkan bahawa benda-benda najis atau benda mutanajjis (yang terkena najis) yang tidak dapat disucikan hanya boleh berpindah tangan iaitu melepaskan kuasa atau hak sahaja dengan cara bersedekah, pemberian atau wasiat bukannya dengan cara lafaz akad jual beli. Dalam perkara berpindah tangan atau melepaskan hak ini dibolehkan orang yang empunya benda tersebut mengambil ‘iwadh (ganti-gantian) sama ada dengan duit atau barang.

Dalam pada itu, disyaratkan juga pada setiap urusan menggugurkan hak atau berpindah tangan benda najis itu disertakan dengan lafaz dan tidak memadai dengan niat di dalam hati tanpa melafazkan dengan mulut. Sebagai contoh lafaz berpindah tangan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syarwani dalam kitab Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al- ‘Abadi:

Berkata orang yang ada hak pada sesuatu yang najis itu:

“Saya gugurkan hak saya dari …..dengan gantinya …...”

Dan orang yang berkehendakkan benda najis itu berkata:

“Saya terima atau saya setuju”

Daripada perkataan ulama di atas, dapat difahami, pertukaran benda najis boleh dilakukan dengan melepaskan hak atau kuasa benda najis tersebut kepada pihak yang memerlukan sama ada dengan minta diganti atau sebaliknya. Urusan pemindahan tangan pada benda najis tersebut hendaklah dilafazkan untuk menjadikan pemindahan hak itu sah menurut syara‘.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada keterangan mengenai hukum jual beli darah di atas, dapat disimpulkan bahawa jika cadangan pertama pihak Perkhidmatan Makmal itu berlaku dengan akad jual beli, yakni menjual plasma dan menerima harga belian plasma, maka langkah tersebut adalah bertentangan dengan kehendak syara‘. Namun, jika pembekalan plasma kepada syarikat yang terpilih itu tidak menggunakan akad jual beli, tetapi hanya menggunakan lafaz seperti menggugurkan hak atau melepaskan tangan daripada plasma, maka ia adalah harus dan dibolehkan. Sebagai contoh:

Pihak Kementerian Kesihatan berkata:

“ Saya bagi pihak Kementerian Kesihatan menggugurkan hak Kementerian Kesihatan ke atas plasma sebanyak 1422 Liter dengan gantinya BND$54,036.00 ”

Pihak Syarikat yang berkehendakkan plasma itu berkata:

“Saya setuju”

Apabila merujuk kepada cadangan kedua, iaitu membekalkan lebihan plasma kepada pihak syarikat yang terpilih kemudian mengganti nilai bekalan dengan barang-barang keperluan dalam proses pengendalian pendermaan darah seperti beg-beg darah dan peralatan-peralatan tabung darah, urusan pembekalan lebihan plasma yang diusulkan ini adalah juga menepati hukum syara‘. Cadangan ini dilihat tidak melibatkan sebarang akad jual beli di antara kedua-dua belah pihak. Ia hanya berdasarkan proses membekal plasma dan meminta ganti sesuatu barang mengikut kadar yang ditetapkan. Cadangan ini bertepatan dengan hukum syara‘ sebagaimana yang telah diterangkan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah di atas tentang bagaimana cara untuk membuat pertukaran dengan benda-benda najis.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12458