Persoalan Jama‘ Sembahyang Semasa Ramadhan di Eropah
Soalan: Saya akan ditugaskan bekerja di sebuah negeri Eropah untuk beberapa tahun dan ikut bersama adalah ahli keluarga saya yang termasuk anak-anak berumur 5 hingga 17 tahun.
Di Eropah pada bulan Ramadhan tahun ini jarak waktu bersahur sebelum fajar sehingga waktu Maghrib sangat panjang iaitu 19 jam lebih (berbanding waktu Brunei lebih kurang 13 jam lebih).
Memandangkan akhirnya waktu ‘Isya’ dan pendek pula ke waktu Shubuh, adakah boleh dijama‘ sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ di bulan tersebut kemudian sembahyang sunat Tarawih selepasnya? Ini untuk mengelakkan keciciran waktu sembahyang disebabkan oleh keletihan berpuasa dan bekerja di siang hari.
Jawapan: Hukum Sembahyang Jama‘ Semasa Bermukim
Sembahyang jama‘ bererti menghimpunkan dua sembahyang fardhu iaitu Zhuhur dan ‘Ashar, atau Maghrib dan ‘Isya’ dalam satu waktu, sama ada dilakukan pada waktu sembahyang pertama yang dikenali sebagai jama‘ taqdîm atau dilakukan pada waktu sembahyang kedua yang dikenali sebagai jama‘ ta’khîr.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebutkan dalam Nihâyah al-Muhtâj bahawa pendapat al-ashah yang masyhûr dalam mazhab asy-Syafi‘i ialah tidak harus sembahyang jama‘ selain kerana safar (pelayaran) dan hujan, berdasarkan hadits berkenaan kewajipan sembahyang fardhu pada waktu-waktunya.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm pernah menjadi imam kepadaku di Baitullah sebanyak dua kali (selama dua hari untuk memberitahu awal dan akhir waktu sembahyang). Beliau menunaikan sembahyang Zhuhur pada kali pertama ketika bayangan matahari tergelincir dari tengah-tengah langit seperti kadar tali kasut. Beliau menunaikan sembahyang ‘Ashar ketika bayangan setiap benda sama kadar seperti bendanya. Beliau menunaikan sembahyang Maghrib ketika matahari telah terbenam dan orang berpuasa pun berbuka. Beliau menunaikan sembahyang ‘Isya’ ketika warna merah di langit telah hilang. Beliau menunaikan sembahyang Shubuh ketika terbit fajar dan orang-orang berpuasa diharamkan makan. Pada kali kedua, beliau menunaikan sembahyang Zhuhur ketika bayangan setiap benda sama kadar seperti bendanya, sama seperti waktu ‘Ashar pada hari sebelumnya. Beliau menunaikan sembahyang ‘Ashar ketika bayangan sesuatu benda menjadi dua kali ganda. Beliau menunaikan sembahyang Maghrib seperti pada kali pertama. Beliau menunaikan sembahyang ‘Isya’ ketika sepertiga malam telah berlalu. Beliau menunaikan sembahyang Shubuh ketika terbit warna kekuningan. Kemudian Malaikat Jibril berpaling kepadaku dan berkata: “Wahai Muhammad, ini adalah waktu (sembahyang) para nabi sebelummu. Dan waktu sembahyang ialah apa yang ada di antara dua waktu ini.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berkenaan dengan hukum melakukan sembahyang jama‘ semasa bermukim bukan kerana pelayaran dan hujan, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam al-Majmû‘:
Ertinya: Menurut mazhab kami (Syafi‘i), mazhab Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan jumhûr ulama sesungguhnya tidak harus (sembahyang jama‘ bukan kerana pelayaran dan hujan). Ibnu al-Mundzir meriwayatkan daripada beberapa golongan ulama bahawa harus (menjama‘ sembahyang) tanpa sebab. Beliau (Ibnu al-Mundzir) berkata: “Ibnu Sirin mengharuskan (menjama‘ sembahyang) kerana hajat atau selama mana dia tidak menjadikannya adat (kebiasaan).
Maka berdasarkan pendapat jumhûr ulama di atas, tidak harus sembahyang jama‘ bukan kerana pelayaran dan hujan.
Waktu Sembahyang Sunat Tarawih
Mengenai waktu sembahyang sunat Tarawih, Imam ar-Ramli Rahimahullâh telah berkata dalam Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan waktunya (sembahyang sunat Tarawih) ialah setelah menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan sekalipun (sembahyang fardhu ‘Isya’ itu ditunaikan) secara jama‘ taqdîm, (berlarutan waktunya itu) sehingga terbit fajar shadiq.
Oleh itu, sekiranya tuan menunaikan sembahyang jama‘ semata-mata kerana mengelakkan keciciran waktu sembahyang disebabkan keletihan berpuasa dan bekerja di siang hari, menurut pendapat jumhûr ulama dan pendapat al-ashah yang masyhûr dalam mazhab asy- Syafi‘i adalah tidak harus. Maka tuan perlu melaksanakan sembahyang sebagaimana biasa iaitu menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ tanpa menjama‘nya dengan Maghrib dan kemudian sembahyang sunat Tarawih setelah selesai menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12462
