Restoran yang Menghidangkan Makanan & Minuman Haram
Soalan: Apakah hukum makan dan minum di restoran yang pada masa yang sama menghidangkan makanan dan minuman haram terutama ketika berada di luar negara? Benarkah dibolehkan kerana ada hujjah “selagi kita tidak makan dan minum yang haram, maka dibolehkan?”
Jawapan: Apabila sesebuah restoran atau kedai makan menghidangkan makanan atau minuman yang haram, biasanya akan berbangkit kebimbangan-kebimbangan seperti adakah makanan atau minuman yang haram itu membawa kesan kepada makanan atau minuman yang lain yang turut dihidangkan dalam restoran atau kedai makan berkenaan. Boleh jadi makanan atau minuman yang haram disediakan secara berasingan daripada makanan atau minuman yang halal. Namun, boleh jadi juga makanan atau minuman yang haram itu menyebabkan makanan atau minuman yang halal tercemar oleh najis atau bahan-bahan lain yang haram dimakan.
Tidak mustahil makanan atau minuman yang haram itu bermasuk-masukan dalam makanan atau minuman yang halal. Kemungkinan perkakas-perkakas yang digunakan untuk memasak benda-benda yang haram seperti benda-benda bersifat najis mughallazhah turut digunakan untuk memasak bahan-bahan masakan yang lain. Ada juga kemungkinan wap atau asap daripada masakan benda-benda yang haram mengenai benda-benda yang halal.
Kebimbangan-kebimbangan seumpama ini walaupun tidak menyebabkan keseluruhan makanan atau minuman yang dihidangkan dalam restoran seumpama yang digambarkan dalam soalan di atas menjadi haram dengan sendirinya, namun paling tidak hal tersebut menyebabkan makanan atau minuman yang halal menjadi diragukan kehalalannya. Keraguan adalah antara sebab berlakunya syubhah, sedang syubhah pula merupakan lorong kepada perkara-perkara yang haram.
Berkenaan perkara syubhah, Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menerangkan bahawa:
Ertinya: Sesungguhnya ia (syubhah) itu ialah perkara-perkara yang tidak jelas hukum halal ataupun haramnya.
Sehubungan dengan hal ini, Islam menuntut penganutnya supaya makan dan minum bukan sahaja daripada jenis-jenis makanan dan minuman yang halal bahkan juga yang baik-baik. Dalam masa yang sama, Islam menyuruh umatnya supaya meninggalkan benda-benda yang syubhah, lebih-lebih lagi yang haram.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Wahai manusia! Makanlah (makanan) daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik… (Surah al-Baqarah: 168)
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci daripada segala kekurangan). Allah tidak menerima kecuali yang baik, dan Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang diperintahkanNya kepada para rasul. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: “Wahai para rasul! Makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Dan Allah berfirman lagi: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada sumber rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu. (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa thayyib (طيب) dalam hadits di atas membawa pengertian apa-apa makanan, minuman atau pakaian seseorang itu hendaklah terdiri daripada makanan, minuman atau pakaian yang benar-benar halal lagi tiada unsur-unsur syubhah padanya.
Firman Allah Ta‘ala dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di atas adalah sebahagian daripada keterangan yang menunjukkan bahawa umat Islam bahkan manusia seluruhnya diperintahkan untuk memakan bahan-bahan yang baik dalam erti kata hendaklah makanan atau minuman itu bukan sahaja halal, tetapi juga jauh daripada unsur-unsur syubhah.
Imam Habib ‘Abdullah al-Haddad Rahimahullâh telah berkata: “Berhubung perkara syubhah, maka menjauhkan diri daripadanya merupakan satu tuntutan yang sangat utama bahkan ada kalanya hukumnya adalah wajib.”
Keterangan di atas pula menunjukkan bahawa tuntutan menjauhkan diri daripada perkara yang syubhah itu adalah sangat utama dan bahkan ada kalanya wajib.
Fuqahâ’ telah menerangkan bahawa syubhah atau keraguan yang wajib dijauhi itu ialah syubhah yang terbit daripada benda-benda yang asalnya haram, kemudian berlaku keraguan mengenai kehalalan benda-benda tersebut. Syubhah daripada jenis ini wajib dijauhi kerana keraguan tidak mengubah ketentuan hukum yang asal.
Sebagai contoh, binatang-binatang seperti ayam, kambing, sapi dan kerbau adalah binatang-binatang yang haram dimakan kecuali setelah disembelih. Ini hukum asal mengenai binatang-binatang berkenaan.
Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj berkata:
Ertinya: Sesungguhnya (hukum) asal padanya (binatang-binatang yang halal dimakan setelah disembelih) ialah haram sehingga diketahui perkara yang mengharuskannya (iaitu sembelihan)…
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh pula dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj berkata:
Ertinya: Asal pada perempuan-perempuan itu adalah haram (untuk digauli) dan asal pada bangkai-bangkai binatang itu adalah haram (untuk dimakan).
Apabila binatang-binatang seperti ayam, kambing, sapi dan kerbau ditemui mati atau dihidangkan sebagai makanan tanpa diketahui adakah binatang-binatang tersebut telah disembelih mengikut cara yang betul di sisi syara‘, maka binatang-binatang tersebut dihukumkan sebagai bangkai yang tidak harus dimakan.
Sebagaimana diterangkan di atas, binatang-binatang seperti ayam, kambing, sapi dan kerbau menjadi halal untuk dimakan setelah diketahui binatang-binatang tersebut telah disembelih menurut cara-cara yang sah di sisi syara‘. Jika yang ada hanya sangkaan atau sekadar keraguan tentang kemungkinan binatang-binatang tersebut mati kerana disembelih, maka sangkaan atau keraguan sedemikian tidaklah memadai untuk mengubah hukum asal binatang-binatang berkenaan iaitu haram untuk dimakan.
Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir:
Ertinya: (Keraguan daripada jenis yang) pertama (iaitu keraguan berkenaan kehalalan benda yang asalnya haram) adalah seumpama seseorang menjumpai seekor kambing dalam sebuah negeri yang ada orang-orang Islam dan Majusi di dalamnya, maka tidak halal (kambing itu untuk dimakan) sehinggalah dia mengetahui bahasawanya ia (kambing itu) adalah sembelihan orang Islam kerana asalnya ia (kambing itu) haram (dimakan), padahal kita hanya ada keraguan mengenai sembelihan yang mengharuskan (kambing itu untuk dimakan).
Adapun benda-benda yang asalnya halal, kemudian terbit keraguan akan keharamannya, menurut hukum syara‘ benda-benda sedemikian itu kekal dihukumkan sebagai halal. Sebahagian ulama, bagaimanapun, berpendapat bahawa mengamalkan sikap wara‘ tatkala berurusan dengan perkara-perkara sedemikian itu adalah suatu kelebihan dan kebaikan yang sangat mustahak dipegang.
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ berkata:
Ertinya: Berdasarkan kaedah ini (perkara asal dan keyakinan tidak dihapuskan hukumnya disebabkan oleh adanya keraguan), jika seseorang itu ada air bersamanya atau cecair lain daripada susu, madu, minyak, masakan, baju, jus buah-buahan atau selainnya yang asalnya (dihukumkan) suci kemudian timbul keraguan tentang kenajisan benda-benda berkenaan, maka keraguan itu tidak merosakkan (kedudukan yang asal iaitu keadaan suci) dan ia kekal dalam keadaan suci sama ada keraguan mengenai kesucian atau kenajisan itu seimbang kuatnya ataupun kemungkinan tentang kenajisannya itu lebih kuat...
Imam Habib ‘Abdullah al-Haddad Rahimahullâh pula dalam kitab an-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al-Washâya al-Îmâniyyah berkata:
Ertinya: Perkara-perkara syubhah daripada asal yang halal kemudian terbit keraguan tentang keharamannya, harus diambil kedudukan perkara yang asal (iaitu halal), namun berwara‘ daripada syubhah jenis ini adalah (satu amalan yang mempunyai) kelebihan yang mustahak dipegang. Adapun perkara-perkara syubhah daripada asal yang haram kemudian terbit keraguan tentang kehalalannya, wajiblah (syubhah jenis ini) dijauhi kerana berpegang kepada kedudukan perkara yang asal (iaitu haram).
Berkenaan sifat wara‘, Sa‘ad bin Abu Waqqas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan daripada bapanya bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik agama kamu dan taat kamu ialah wara‘. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Menurut fuqahâ’, wara‘ itu bererti “menjauhi segala yang syubhah kerana takut terjatuh kepada yang haram.” Al-‘Izz bin ‘Abdul Salam Rahimahullâh dalam kitab beliau Qawâ‘id al-Ahkâm fî Mashâlîh al-Anâm menerangkan bahawa wara‘ ialah meninggalkan apa yang meragukan seorang yang mukallaf kepada apa yang tidak meragukannya. Menurut beliau, wara‘ itu ialah satu jalan untuk berhati-hati.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn telah menyebutkan bahawa sesiapa yang sekadar menjauhi perkara yang jelas haramnya seperti arak, khinzîr, barangan yang dicuri atau dimiliki melalui cara yang haram dan sebagainya, orang itu turut digolongkan dalam kalangan orang-orang yang wara‘. Namun, lebih tinggi kedudukan wara‘ daripada jenis tersebut ialah wara‘ golongan yang meninggalkan perkara yang haram dan perkara syubhah kerana takut perkara syubhah tersebut akan menjerumuskan kepada yang haram. Lebih tinggi pula daripada itu ialah wara‘ golongan yang bukan setakat menjauhi perkara yang haram dan syubhah, malah meninggalkan semua yang dikhuatiri boleh memberi kesan atau mendorong kepada yang haram. Bahkan lebih tinggi daripada kesemuanya itu ialah wara‘ golongan yang menjauhi semua perkara yang dibuat bukan kerana Allah atau bukan atas dasar taqwa kepada Allah, sekalipun perkara yang dilakukan itu jelas kehalalannya.
Penjelasan di atas, antara lain, menunjukkan bahawa wara‘ itu mempunyai tahap-tahap tertentu yang berlainan tingkatannya. Secara umumnya, lebih tinggi kedudukan wara‘ seseorang itu maka lebih jauhlah pula dia menempatkan dirinya daripada batasan perkara-perkara yang haram.
Dapat juga difahami bahawa sikap wara‘ itu dituntut dalam semua keadaan. Namun, sebagaimana dijelaskan di atas, ada kalanya tuntutan tersebut menjadi satu suruhan wajib iaitu apabila berhadapan dengan perkara syubhah yang berasal daripada benda-benda yang haram. Dalam keadaan yang lain pula, bersikap wara‘ dianggap satu amalan yang mempunyai fadhilat yang amat besar khususnya apabila berurusan dengan perkara syubhah yang terbit daripada benda-benda yang asalnya dihalalkan.
Sesetengah ulama ada menyebutkan bahawa tidak sepatutnya meninggalkan sikap wara‘ kecuali dalam keadaan kesusahan dan kesempitan. Wara‘ yang dimaksudkan itu ialah wara‘ yang berhubung perkara syubhah yang terbit daripada perkara yang asalnya halal sahaja kerana wara‘ yang diwajibkan itu pada dasarnya tidak harus ditinggalkan kecuali dalam keadaan dharurat.
Al-Imam asy-Syathibi Rahimahullâh dalam kitab al-Muwâfaqât berkata:
Ertinya: Tidak dipertikaikan lagi bahawa wara‘ itu suatu perkara yang sangat penting sebagaimana tidak diragukan juga bahawa berpegang kepada sifat taqwa itu adalah suatu perkara yang sangat penting. Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menyebutkan bahawa: “Perkara yang halal itu jelas dan (begitu juga) perkara yang haram jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang musytabihât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui (kedudukan perkara yang sebenar) oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara syubhah itu, maka dia telah memelihara kesucian agamanya dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa yang menjerumuskan dirinya ke dalam perkara-perkara syubhah, dia telah menjerumuskan dirinya ke dalam perkara-perkara yang haram.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga telah bersabda bahawa: “Tinggalkan perkara yang meragukanmu kepada perkara yang tidak meragukanmu.” Maka (berdasarkan keterangan-keterangan ini) berwara‘ dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah adalah dituntut oleh syara‘, bagaimanapun (dengan ingatan) tuntutan meninggalkan yang syubhah itu berlaku selama mana seseorang itu tidak berada dalam lingkungan kesusahan dan kesempitan. Sekiranya amalan berwara‘ itu menyebabkan kesempitan dan kesusahan yang luar biasa bagi diri seorang mukallaf, maka ia (berwara‘) harus ditinggalkan sebagaimana perkara-perkara yang haram diberikan kelonggaran dalam keadaan dharurat.
Pendapat Imam asy-Syathibi Rahimahullâh di atas boleh diambil sebagai panduan jika benar seseorang itu berhadapan dengan keadaan kesusahan dan kesempitan dan tiada jalan keluar daripada situasi berkenaan. Dalam keadaan kesusahan dan kesempitan, bahan-bahan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti, nasi, air minuman selain yang memabukkan bolehlah dimakan atau diminum sebagai memenuhi hajat keperluan walaupun bahan-bahan tersebut dikategorikan sebagai meragukan. Bagaimanapun, jika ada tanda-tanda yang zahir yang menunjukkan bahan-bahan seumpama itu telah dicemari oleh unsur-unsur yang diharamkan, maka dalam keadaan tersebut bahan-bahan berkenaan wajib juga dijauhi.
Sukat-sukat (ukuran) keadaan yang dinamakan susah dan sempit itu perlulah diukur secara munasabah. Apa jua pun perkara yang dilakukan pasti ada kesusahan dan kesempitan yang tersendiri. Umpamanya, dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan agama seperti mendirikan sembahyang, mengerjakan ibadat puasa dan sebagainya, ada kepayahan-kepayahannya tertentu yang tidak menggugurkan kewajipan melaksanakan tuntutan-tuntutan berkenaan kerana kepayahan-kepayahan tersebut adalah diiktiraf oleh syara‘. Sebagai contoh lagi, keringanan untuk mengerjakan sembahyang fardhu secara qashar ataupun jama‘ ketika bermusafir tidak diberikan melainkan setelah ada syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh syara‘.
Oleh kerana itu, dalam konteks berurusan dengan perkara-perkara yang syubhah atau meragukan; elakkan daripada bermudah-mudah dalam menilai sesuatu keadaan dari segi susahnya atau sempitnya. Tidak semua keadaan susah dan sempit itu menghalang seseorang daripada berusaha mendapatkan makanan atau minuman yang benar-benar halal lagi suci. Bahkan jika seseorang itu berusaha lebih bersungguh-sungguh mendapatkan makanan dan minuman yang halal lagi suci dalam keadaan susah atau sempit sekalipun, maka ciri-ciri kewara‘an pada diri seseorang itu akan lebih terserlah.
Adapun dalam hal hidangan makanan daripada jenis binatang sembelihan, apabila ia dihidangkan dalam restoran yang tidak diketahui atau tidak dijamin menghidangkan makanan dan minuman yang halal, maka tiadalah jalan yang dapat mengharuskan bahan-bahan makanan seumpama itu untuk dimakan walaupun dalam keadaan kesusahan dan kesempitan, melainkanlah dalam keadaan dharurat atau dalam keadaan binatang-binatang tersebut benar-benar diketahui telah disembelih menurut cara-cara yang sah di sisi syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12466
