Thawaf Wada‘ dan Beberapa Permasalahan Mengenainya
Soalan: Baru-baru ini saya dan rombongan telah selesai mengadakan ibadat umrah. Setelah selesai membuat thawaf Wada‘, didapati beberapa orang jemaah membuat penggambaran di depan Ka‘bah. Persoalannya:
1. Adakah perbuatan ini boleh membatalkan thawaf Wada‘ tersebut dan bagaimana pula jika penggambaran dilakukan di dalam hotel ataupun di dalam bas? Selain itu, apakah lagi larangan-larangan yang perlu dijaga?
2. Adakah boleh menunaikan sembahyang fardhu di masjid selepas sahaja thawaf Wada‘?
3. Bagaimana jika larangan-larangan ini telahpun dilakukan pada umrah tahun-tahun yang lepas atau terdahulu, perlukah dibayar dam?
Jawapan: Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya al-‘Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah bahawa menurut pendapat ashah dalam mazhab asy-Syafi‘i, hukum thawaf Wada‘ adalah wajib ke atas orang yang hendak keluar meninggalkan Makkah. Dalam hal ini, menurut fuqahâ’, adapun maksud orang yang hendak meninggalkan Makkah itu ialah pergi keluar Makkah menuju ke satu tempat yang dibolehkan mengqashar sembahyang atau kembali ke negerinya atau pergi ke suatu tempat yang dia hendak tinggal di tempat itu bermuqîm.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh seterusnya:
Ertinya: Sepatutnya thawaf Wada‘ dilakukan setelah menyelesaikan semua urusannya dan hampir meninggalkan (Kota Makkah) tanpa memerlukan waktu yang lama berada (di Makkah).
Dapat difahami bahawa seseorang yang hendak melakukan thawaf Wada‘ perlulah terlebih dahulu memastikan segala urusan peribadinya telah selesai diuruskannya. Ini kerana thawaf Wada‘ merupakan amalan yang terakhir dilakukannya di Makkah. Apabila dia telah selesai melakukan thawaf Wada‘, maka dia dikehendaki keluar terus meninggalkan kota Makkah tanpa berlengah lagi. Ini bertepatan dengan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan sekali-kali seseorang itu meninggalkan (Makkah) sehingga dia (melakukan thawaf Wada‘) sebagai amalan yang terakhir baginya di sisi Baitullah. (Hadits riwayat Muslim)
Perkara yang Harus Dilakukan selepas Selesai Thawaf Wada‘
Dalam keadaan tertentu, seseorang yang selesai melakukan thawaf Wada‘ kadang-kadang mendapati dirinya tidak segera keluar dari Kota Makkah kerana mempunyai urusan-urusan tertentu yang perlu dilaksanakan. Dalam hal ini, sebagaimana yang disebutkan oleh fuqahâ’, bagi sesiapa yang menangguhkan atau melengahkan seketika perjalanannya atau pemergiannya keluar dari Kota Makkah selepas selesai thawaf Wada‘ kerana keuzuran-keuzuran yang diharuskan syara‘, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengulang semula thawaf Wada‘nya. Adapun keuzuran-keuzuran yang diharuskan syara‘ itu, antaranya ialah:
1. Mengerjakan sembahyang sunat Thawaf dua rakaat dan perkara-perkara yang disunatkan untuk dilakukan setelah sembahyang sunat Thawaf seperti membaca do‘a di Multazam, pergi ke telaga Zamzam dan minum air Zamzam.
2. Menguruskan keperluan untuk perjalanan (musâfir) seperti membeli bekalan, bekas atau perkakas, dan mengemas barang-barang sekalipun urusan ini mengambil masa yang agak panjang.
3. Kembali semula ke rumahnya (tempat penginapan) hanya sebentar untuk mengambil barang-barang terutama barang-barang yang perlu dijaga keselamatannya (iaitu barang-barang yang tidak diangkat ke dalam kenderaan lebih awal bersama barang-barang yang lain) dan selepas itu dia dengan segera menaiki kenderaan untuk bertolak.
4. Berkebetulan pada ketika atau setelah dia melakukan thawaf Wada‘ sembahyang berjemaah didirikan. Dalam hal ini, jika dia ikut sembahyang berjemaah, maka dia tidak perlu mengulang semula thawafnya.
Di samping itu, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah al-‘Allâmah Ibnu Hajar al-Haitami ‘alâ Syarh al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj dan Imam al-Kurdi al-Makki Rahimahullâh dalam kitabnya Irsyâd az-Zumrah li Manâsik al-Hajj wa al- ‘Umrah, sekiranya selepas melakukan thawaf Wada‘, seseorang itu masih lagi berada di Kota Makkah disebabkan ada keuzuran seperti pengsan, sedang menunggu perkumpulan, tertegah daripada keluar seperti dipaksa untuk terus menetap atau mendiami Makkah, takut terancam terhadap keselamatan hartanya sekalipun untuk menghilangkan keuzuran-keuzuran tersebut mengambil masa yang agak lama, maka orang tersebut tidak diwajibkan mengulang thawaf Wada‘nya.
Maka sesiapa yang menghadapi keuzuran-keuzuran yang disebutkan di atas selepas selesai sahaja melakukan thawaf Wada‘ sehingga menyebabkan dia terlewat untuk berangkat keluar dari Kota Makkah, dia bolehlah terus sahaja keluar dari Kota Makkah apabila keuzuran yang dihadapinya itu telah selesai tanpa mengulang semula thawaf Wada‘nya.
Perkara yang Menyebabkan Thawaf Wada‘ Perlu Diulang
Jika seseorang yang telah selesai melakukan thawaf Wada‘ itu masih lagi terus menetap yakni tidak bersegera keluar meninggalkan Kota Makkah, maka dalam keadaan tertentu, orang tersebut perlu mengulang thawaf Wada‘nya sekali lagi sebelum dia keluar meninggalkan Kota Makkah. Adapun perkara-perkara yang menyebabkan thawaf Wada‘ tersebut perlu diulang sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah dalam kitab-kitab mu‘tabar mereka, antaranya ialah:
1. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Makkah dengan tiada keuzuran atau tidak ada keperluan atau hajat.
2. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Makkah kerana lupa atau jahil tentang hukum thawaf Wada‘.
3. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Makkah kerana ada hajat atau sebab, akan tetapi hajat atau sebabnya itu tiada kaitan dengan pelayaran atau perjalanan yang bakal ditempuhinya, umpamanya kerana pergi membeli-belah, menziarahi kawan, melawat orang sakit, membayar atau menyelesaikan hutang.
Maka ke semua perkara yang disebutkan di atas tidak dianggap sebagai hajat atau keuzuran yang berkaitan dengan pelayaran. Oleh yang demikian, hendaklah dia mengulang semula thawaf Wada‘nya sebelum dia hendak keluar meninggalkan Kota Makkah.
Keluar Kota Makkah Tanpa Melakukan Thawaf Wada‘
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al- ‘Umrah:
Ertinya: Dan sesiapa yang wajib ke atasnya thawaf Wada‘, lalu dia keluar (dari Makkah) tanpa melakukan thawaf Wada‘, (ini bererti) dia telah berbuat dosa. Maka wajib ke atasnya kembali semula (ke Makkah) untuk melakukan thawaf Wada‘ selama mana jarak perjalanannya belum mencapai jarak yang dibolehkan mengqashar sembahyang dari Makkah. Namun, jika perjalanannya sudah mencapai jarak qashar sembahyang, maka dia tidak diwajibkan kembali semula (ke Makkah) selepas itu. Apabila dia tidak kembali, (maka) wajib ke atasnya dam. Sesiapa yang kembali semula (ke Makkah) sebelum perjalanannya mencapai jarak qashar sembahyang, (maka) gugur daripadanya dam. Jika dia kembali semula (ke Makkah) lalu mengerjakan thawaf Wada‘ tetapi perjalanannya telahpun mencapai jarak qashar sembahyang, maka tidak gugur daripadanya dam.
Berdasarkan perkataan ulama di atas, dapat difahami bahawa wajib membayar dam bagi sesiapa yang telah meninggalkan Kota Makkah melebihi jarak qashar sembahyang sama ada orang tersebut sama sekali tidak melakukan thawaf Wada‘ disebabkan sengaja, jahil atau terlupa, atau orang tersebut kembali semula ke Kota Makkah untuk mengerjakan thawaf Wada‘.
Dam kerana Meninggalkan Thawaf Wada‘
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika seseorang itu meninggalkan thawaf Wada‘, maka menurut pendapat yang ashah, dia diwajibkan membayar dam. Dam yang dimaksudkan di sini ialah kategori dam tartîb wa taqdîr.
Sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Kurdi Rahimahullâh dalam kitabnya Irsyâd az- Zumrah li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah, yang dimaksudkan dengan tartîb ialah tidak boleh berpindah kepada dam yang kedua melainkan orang yang membayar dam tersebut tidak mampu melakukan dam yang pertama. Manakala maksud taqdîr pula ialah berpindah kepada gantian lain dengan kadar yang telah ditetapkan oleh syara‘ yakni tidak lebih dan tidak kurang.
Ini bererti, bagi sesiapa yang meninggalkan thawaf Wada‘ tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘, wajib membayar mengikut susunan dam yang telah ditetapkan dalam kategori dam tartib wa taqdir yakni tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain kecuali tidak berkemampuan mengerjakannya dan hendaklah merujuk kepada kadar dam tersebut yang telah ditetapkan oleh syara‘.
Dam tartîb wa taqdîr bagi orang yang meninggalkan thawaf Wada‘ itu hendaklah menyembelih seekor kambing atau menggantikannya dengan 1/7 unta atau 1/7 lembu sebagaimana mengikut syarat-syarat pada binatang korban. Jika dia tidak mampu untuk melakukannya, maka hendaklah dia berpuasa selama 10 hari.
Tempat Penyembelihan dan Pengagihan Dam
Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, dam yang wajib itu adalah kerana melakukan perkara yang diharamkan atau kerana meninggalkan perkara yang diwajibkan seperti thawaf Wada‘. Manakala penyembelihan binatang-binatang tersebut hanya khusus dilakukan di Tanah Haram sahaja menurut qaul yang azhhar, dan wajib daging sembelihan itu, kulitnya dan bahagian-bahagiannya yang lain seperti bulu dan selainnya, disedekahkan kepada orang-orang miskin dan fakir di Tanah Haram sekalipun kepada orang asing (bukan daripada penduduk Tanah Haram).
Seterusnya, pengarang kitab Mughni al-Muhtâj juga menyebutkan bahawa masa untuk menunaikan dam wajib itu tidak ditetapkan namun sunat menyembelih binatang yang dijadikan dam itu pada hari-hari nahar dan tasyrîq.
Dam Berpuasa 10 Hari
Menyentuh mengenai dam puasa 10 hari dalam kategori tartîb wa taqdîr bagi yang meninggalkan thawaf Wada‘ pula, Imam al-Kurdi Rahimahullâh menerangkan puasa tersebut boleh dilakukan selepas dia sampai ke tempat yang wajib ke atasnya membayar dam, iaitu apabila perjalanannya telah mencapai jarak qashar sembahyang yakni dua marhalah atau lebih.
Dalam hal ini, Syeikh ‘Abdul Fattah Hussein Rawah al-Makki Rahimahullâh, penyusun al- Ifshâh ‘alâ Masâ’il al-Îdhâh menerangkan lagi dengan lebih lanjut bahawa jika orang yang meninggalkan thawaf Wada‘ itu tidak mampu untuk menyembelih seekor kambing atau apa-apa yang sebanding dengannya, maka dia wajib berpuasa selama 10 hari dengan melakukannya sama ada setelah perjalanannya sampai jarak qashar sembahyang atau sampai ke rumahnya atau sampai ke tempat yang dia hendak bermuqîm.
Permasalahan Thawaf Wada‘
Setelah menghuraikan hukum-hakam yang berkaitan dengan thawaf Wada‘ di atas, bagi sesiapa yang telah selesai melakukan thawaf Wada‘ hendaklah keluar dengan segera dari Kota Makkah tanpa berlengah. Jika dia berlengah untuk keluar kerana sebab yang tidak dibenarkan syara‘, maka dia wajib mengulang thawaf Wada‘nya. Namun, jika kelambatannya untuk keluar itu disebabkan oleh keuzuran-keuzuran yang dibenarkan syara‘, maka dia tidak wajib mengulang thawaf Wada‘nya. Ini bererti, perbuatan berlengah keluar tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ adalah menjadi sebab kenapa seseorang itu wajib mengulang thawaf Wada‘nya.
Permasalahan Pertama: Apakah hukum mengambil gambar setelah selesai melakukan thawaf Wada‘?
Dalam permasalahan mengambil gambar selepas melakukan thawaf Wada‘, hendaklah dilihat keadaan seseorang itu dengan jelas dan teliti.
Apabila dirujuk kepada perkara-perkara yang diharuskan selepas selesai melakukan thawaf Wada‘, perbuatan mengambil gambar tidak termasuk dalam keuzuran-keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘. Oleh itu, dapatlah disimpulkan seperti berikut:
1. Jika seseorang itu mengambil gambar sehingga menyebabkan perbuatannya itu melengahkan pemergiannya keluar dari Kota Makkah seperti seseorang yang mencari-cari tempat untuk bergambar di sekitar Masjid al-Haram sehingga perbuatannya bergambar itu menyebabkan dia tertahan seketika daripada keluar untuk menuju ke tempat penginapan bagi urusan perjalanan balik, maka wajib ke atasnya mengulang semula thawaf Wada‘nya sebelum dia keluar meninggalkan Kota Makkah.
Jika dia keluar tanpa mengulang semula thawaf Wada‘nya, maka hukumnya adalah berdosa dan wajib dia pulang semula ke Makkah jika perjalanannya belum sampai jarak qashar sembahyang untuk melakukan thawaf Wada‘nya. Namun, jika perjalanannya itu telah mencapai jarak qashar sembahyang, dia tidak wajib pulang semula ke Makkah akan tetapi dia diwajibkan membayar dam tartîb wa taqdîr seperti yang diterangkan di atas.
2. Jika seseorang itu mengambil gambar ketika sedang berhimpun di lobi hotel bagi menunggu-nunggu ketibaan kenderaan yang membawanya keluar dari Kota Makkah atau sudah berada di dalam bas dan sedang menanti jemaah-jemaah lain masuk ke dalam bas untuk bertolak keluar dari Kota Makkah atau ketika berada di dalam bas yang sedang bergerak keluar meninggalkan kota Makkah, maka dalam hal-hal yang tersebut, dia tidak perlu mengulang semula thawaf Wada‘nya kerana perbuatan sedemikian tidak dianggap melengahkan masa keluar dari Kota Makkah.
Permasalahan Kedua: Adakah boleh menunaikan sembahyang fardhu di masjid selepas sahaja thawaf Wada‘?
Sebagaimana yang disebutkan oleh fuqahâ’ di atas, jika seseorang itu berkebetulan pada ketika atau setelah dia melakukan thawaf Wada‘ sembahyang berjemaah didirikan di Masjid al-Haram, maka dia boleh menunaikan sembahyang fardhu tersebut secara berjemaah. Dalam hal ini, dia tidak perlu mengulang semula thawaf Wada‘nya.
Namun, jika seseorang itu telah selesai melakukan thawaf Wada‘ dan kemudian dia masih lagi bertahan di dalam Masjid al-Haram untuk menunggu-nunggu waktu bagi mendirikan sembahyang fardhu, maka dalam hal ini, wajib ke atasnya mengulang semula thawaf Wada‘nya kerana perbuatannya itu dianggap melengahkan masa keluar dari Kota Makkah.
Permasalahan Ketiga: Bagaimanakah keadaannya jika seseorang itu telah melakukan perkara larangan selepas selesai thawaf Wada‘, adakah dia perlu membayar dam sedangkan perbuatan tersebut telah dilakukannya pada umrah tahun yang lepas atau terdahulu?
Daripada persoalan tersebut difahami, dia telah melakukan larangan selepas thawaf Wada‘ pada umrah yang telah dilakukannya pada tahun lepas atau terdahulu. Lalu dia keluar Kota Makkah dan balik ke tanah air tanpa mengulang semula thawaf Wada‘ yang wajib ke atasnya. Dalam hal ini, dia wajib membayar dam tartîb wa taqdîr kerana telah meninggalkan kewajipan mengulang semula thawaf Wada‘nya.
Merujuk kepada perkataan ulama di atas mengenai dam tartîb wa taqdîr, bagi sesiapa yang berkemampuan untuk menyembelih binatang, maka dia hendaklah melakukan dan menunaikan damnya itu di Tanah Haram dan sunat hukumnya melakukan pada hari-hari nahar atau tasyrîq. Namun jika dia terluput membayar atau menunaikannya sehingga balik ke tanah airnya, adalah dinasihatkan supaya membayarnya sendiri pada bila-bila masa di kawasan Tanah Haram atau berwakil kepada orang-orang yang dipercayai untuk menguruskan semua perkara yang berkaitan dengan pembayaran, termasuk penyembelihannya di kawasan Tanah Haram jika dam itu berbentuk penyembelihan. Walau bagaimanapun, jika dia tidak mampu untuk menyembelih seekor kambing atau apa-apa yang sebanding dengannya, maka dia boleh berpindah kepada dam yang kedua iaitu wajib berpuasa selama 10 hari apabila telah sampai ke tempat yang ditujunya.
Sebagai Irsyâd
Setiap jemaah haji dan umrah perlulah membuat persiapan dan ini termasuklah mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadat haji dan umrah. Tanpa persediaan yang rapi dari segi ilmu boleh menyebabkan ibadat yang dilakukan itu rosak dan ganjaran-ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah Ta‘ala tidak akan diperolehi, sebaliknya akan dikenakan dam jika meninggalkan perkara yang diwajibkan atau melakukan perkara-perkara yang diharamkan.
Sebagai irsyâd, sebelum berangkat ke Tanah Suci diharapkan supaya mempelajari ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah dengan baik dan teliti daripada pihak-pihak yang berautoriti di Brunei Darussalam dan ketika berada di sana. Adalah lebih elok bertanya kepada pegawai-pegawai agama yang diamanahkan di sana oleh pihak-pihak yang berautoriti di Brunei Darussalam supaya terhindar daripada jawapan hukum yang mengelirukan khususnya hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadat haji dan umrah.
Dalam hal ini, untuk makluman pihak Awang, himpunan fatwa-fatwa dan Irsyad Hukum mengenai ibadat haji dan umrah yang dikeluarkan telah dibukukan oleh Jabatan Mufti Kerajaan untuk rujukan orang ramai. Buku-buku tersebut boleh diperolehi sama ada di kedai-kedai buku atau di Jabatan Mufti Kerajaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12470
