Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Vaksinasi Imunisasi

Soalan: Dengan hormatnya sukacita dipohonkan fatwa mengenai suntikan vaksinasi imunisasi untuk memberikan perlindungan optima bagi mengelakkan seseorang itu daripada mendapat jangkitan, sekaligus meningkatkan imuniti badan dan imuniti kelompok serta dapat melindungi kesihatan awam.

Jawapan: Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara, vaksin membawa erti ubat sediaan bakteria (bakteri), virus dan sebagainya yang sudah mati atau dilemahkan untuk disuntik atau ditanam ke dalam badan supaya menghasilkan daya tahan terhadap penyakit tertentu.

Berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam, vaksin adalah satu produk yang dapat menghasilkan imuniti atau kekebalan daripada penyakit tertentu dan boleh diberikan melalui suntikan, mulut atau semburan aerosol.

Vaksinasi pula ialah suntikan yang mengandungi organisma yang telah dimatikan atau dilemahkan serta dapat menghasilkan imuniti di dalam tubuh badan untuk melindunginya daripada organisma tersebut.

Penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin terus menjadi ancaman kepada kesihatan individu, keluarga dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam. Penyakit campak boleh menyebabkan radang paru-paru, sawan, kerosakan otak dan kematian. Penyakit beguk boleh menyebabkan pekak dan meningitis. Penyakit polio boleh menyebabkan demam, kelumpuhan dan meningitis. Manakala kanak-kanak yang tidak divaksinasi adalah dua puluh tiga kali lebih terdedah untuk menghidap penyakit batuk kering pertusis berbanding dengan kanak-kanak yang menerima vaksinasi sepenuhnya dan antara kesan-kesan penyakit batuk kering pertusis termasuklah batuk dan muntah berpanjangan, radang paru-paru dan sawan. Oleh yang demikian, vaksin adalah cara yang paling berkesan dan terbukti untuk melindungi diri dan anak-anak kita daripada penyakit-penyakit yang mengancam nyawa.

Untuk mengetahui sama ada penggunaan vaksinasi imunisasi diharuskan atau sebaliknya, ia bergantung kepada kandungan atau bahan yang digunakan dalam vaksin tersebut. Jika kandungan atau bahan vaksinasi imunisasi itu daripada benda atau bahan yang suci dan tidak memudharatkan kepada tubuh badan maka harus menggunakannya. Jika vaksinasi imunisasi itu tidak memudharatkan, maka perbincangan ulama yang berkaitan dengan penggunaan vaksinasi imunisasi ini adalah difokuskan kepada perbahasan mengenai kandungan atau bahan yang digunakan di dalamnya sama ada terdiri daripada benda atau bahan yang najis atau sesuatu yang diharamkan untuk tujuan perubatan.

Penggunaan Benda Najis dan yang Diharamkan untuk Tujuan Perubatan

Pada dasarnya penggunaan benda najis dan yang diharamkan untuk tujuan perubatan adalah dilarang sebagaimana disebutkan larangan berubat dengan benda yang diharamkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam sebuah hadits lagi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada (berubat dengan) ubat yang kotor. (Hadits riwayat Abu Daud)

Berkata al-Khaththabi mengenai ubat yang kotor itu kadang-kadang terjadi salah satunya ialah kekotoran najis iaitu ubat yang dicampur dengan benda-benda haram seperti arak dan sebagainya daripada daging binatang yang tidak boleh dimakan dagingnya.

Kedua-kedua hadits di atas melarang daripada menggunakan benda najis dan haram untuk tujuan perubatan.

Termasuk benda najis dan haram itu ialah arak. Penggunaan arak untuk tujuan perubatan adalah diharamkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh ketika membicarakan tentang berubat dengan najis arak di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, beliau berkata:

Ertinya: Dan pendapat yang ashah berubat dengan arak yang tulen itu adalah haram hukumnya, sama ada bagi orang mukallaf, kanak-kanak atau orang gila, kerana berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada orang yang bertanya kepada Baginda tentang arak yang dibuatnya untuk ubat: “Sesungguhnya ia bukan ubat tetapi adalah penyakit.” … Adapun arak yang larut bersama ubat yang lain adalah harus berubat dengannya, sebagaimana berubat dengan bahan-bahan najis lain yang tulen (yang tidak bercampur dengan benda lain), jika dia (orang yang berubat) itu ‘arif atau diberitahu oleh pakar perubatan yang ‘âdil bahawa bahan-bahan najis itu (arak yang tidak tulen dan bahan-bahan najis lain selain arak, sama ada tulen atau tidak) boleh menyembuhkan dan tidak ada ganti baginya daripada benda lain yang suci.

Bilakah Penggunaan Benda Najis dan yang Diharamkan untuk Tujuan Perubatan Diharuskan?

Secara umumnya penggunaan benda najis dan yang diharamkan adalah diharuskan sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an mengenai keharusan memakan benda najis dan yang diharamkan jika dalam keadaan terpaksa atau dharurat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan ke atas kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih dengan (menyebut nama) yang lain daripada (nama) Allah. Tetapi sesiapa yang terpaksa (memakannya) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Baqarah: 173)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah Ta‘ala mengharuskan memakan benda najis dan yang diharamkan seperti bangkai, daging babi ketika terpaksa (dharurat) dan berhajat kepadanya ketika ketiadaan benda lain daripada makanan selain benda najis dan yang diharamkan itu selagi tidak melampaui batas maka tidak berdosa ke atasnya.

Walaupun telah disebutkan dalam dua hadits terdahulu di atas mengenai larangan menggunakan benda najis dan yang diharamkan untuk tujuan perubatan atau untuk berubat, tetapi Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan perkara itu dalam kitab al-Majmû‘ bahawa larangan berubat dengan benda najis dan yang diharamkan dalam hadits-hadits tersebut ialah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci.

Imam al-Baihaqi Rahimahullâh juga berkata bahawa tegahan yang terkandung di dalam kedua-dua hadits itu adalah tegahan daripada berubat dengan benda yang memabukkan dan berubat dengan benda-benda yang haram bukan dalam keadaan dharurat.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Qilabah bahawa Anas bin Malik menceritakan kepada beliau:

Maksudnya: Bahawasanya sekumpulan daripada kabilah ‘Ukl seramai lapan orang telah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu mereka berbai‘ah (mengikat janji setia) masuk Islam. Oleh kerana mereka tidak serasi dengan bumi Madinah, maka badan mereka terasa sakit, lalu mereka mengadukan perkara itu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka Baginda pun (menyarankan kepada mereka dengan) bersabda: “Tidakkah kamu keluar bersama penggembala kami pergi ke tempat penggembalaan untanya dan mendapatkan air kencing dan air susu untanya?” Mereka menjawab: “Ya”. Maka mereka pun pergi keluar (ke tempat penggembalaan untuk mendapatkan air kencing dan air susu unta), lalu meminum air kencing dan air susu unta tersebut. Kemudian mereka pun kembali sihat. (Hadits riwayat Muslim)

Para ulama asy-Syafi‘iyyah menjelaskan bahawa mereka minum air kencing di dalam hadits ini adalah kerana untuk berubat dan berubat dengan semua najis adalah harus kecuali arak dan benda yang memabukkan.

Lebih jelas Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan di dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: Adapun berubat dengan benda najis selain arak (hukumnya) adalah harus. Ketetapan harus berubat dengan najis itu adalah sama (merangkumi) semua benda najis kecuali yang memabukkan. Inilah pendapat dan nash al-Imam asy-Syafi‘i dan inilah pendapat yang diputuskan jumhûr ulama.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menyebutkan dalam kitab al-Majmû‘ bahawa para ulama asy-Syafi‘iyyah berpendapat keharusan berubat dengan benda najis apabila tidak didapati ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika didapati ubat yang suci, maka haram berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh para ulama.

Berkata para ulama asy-Syafi‘iyyah lagi bahawa keharusan itu juga apabila orang yang berubat itu ‘arif dalam perubatan bahawa tidak didapati ubat lain selainnya untuk menggantikannya, atau dikhabarkan perkara itu oleh seorang doktor Muslim yang ‘âdil dan adalah memadai dengan seorang doktor.

Begitu juga yang disebutkan oleh asy-Syarwani dalam kitab Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim:

Ertinya: Dan berubat dengan bahan najis itu adalah harus hukumnya ketika ketiadaan bahan yang suci untuk menggantikan bahan najis itu. Adapun sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “(Allah) tidak menjadikan kesembuhan umatku pada benda yang Allah haramkan ke atasnya” maksudnya ialah arak yang tulen … yakni tidak harus berubat dengannya. Berlainan hukumnya bahan-bahan najis lain yang tulen selain arak, iaitu apabila bahan suci tidak dapat menggantikan bahan najis itu.

Apa yang dapat dirumuskan daripada penjelasan para ulama mazhab asy-Syafi‘i di atas adalah seperti berikut:

1) Berubat dengan arak tulen yang tidak bercampur dengan bahan yang lain hukumnya adalah mutlak haram.

2) Berubat dengan arak yang bercampur dengan bahan lain hukumnya adalah harus. Begitu juga berubat dengan bahan-bahan najis selain arak hukumnya adalah harus, sama ada bahan najis itu terdiri daripada bahan tulen yang tidak bercampur dengan bahan yang lain ataupun ia bercampur dengan bahan yang lain. Namun, yang demikian itu tertakluk juga kepada dua syarat berikut:

(i) Tidak terdapat bahan suci yang boleh menggantikan bahan najis itu untuk dijadikan ubat.

(ii) Hendaklah menurut orang yang berubat itu (jika dia seorang yang ‘arif dalam perubatan), ataupun disahkan menurut ahli perubatan Muslim yang ‘âdil bahawa bahan najis yang hendak dijadikan ubat itu tidak ada ganti baginya daripada bahan yang lain.

Mitos Mengenai Penggunaan Vaksin Tidak Dibenarkan Disebabkan Status Kehalalannya

Penggunaan vaksin seperti vaksinasi imunisasi adalah untuk mencegah daripada terkena penyakit berbahaya yang menjadi ancaman terhadap kesihatan individu, keluarga dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam. Ia adalah cara yang paling berkesan dan terbukti untuk melindungi diri dan orang ramai khususnya kanak-kanak daripada terdedah kepada penyakit-penyakit yang mengancam kesihatan dan membawa kepada ancaman nyawa atau kematian sebagaimana yang disebutkan di atas.

Orang-orang yang takut akan terdedah kepada penyakit-penyakit merbahaya atau menakutkan dan boleh mengancam nyawa jika tidak memakan yang haram adalah termasuk dalam golongan orang yang dalam keadaan dharurat atau terpaksa. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtâj:

Ertinya: [Sesiapa yang takut] kerana tidak makan [ke atas dirinya akan mati atau akan kena penyakit yang menakutkan] atau bertambah sakitnya atau berpanjangan sakitnya atau bercerai daripada rakan-rakannya atau takut lemah untuk berjalan atau menunggang dan dia tidak mendapati makanan halal untuk dimakannya, dan dinamakan orang yang takut ini sebagai orang yang dalam keadaan dharurat (terpaksa). [Dan dia mendapati] makanan yang haram seperti bangkai dan daging babi dan makanan orang lain [dia mesti memakannya] kerana sesungguhnya orang yang meninggalkannya (memakan makanan yang haram itu) adalah orang yang sengaja membinasakan dirinya. (Dia wajib memakannya) sebagaimana wajib baginya menghindari kebinasaan dengan memakan makanan halal, Allah Ta‘ala berfirman: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain).”

Walaupun pada dasarnya penggunaan vaksinasi imunisasi itu dilarang jika statusnya mengandungi benda najis dan yang diharamkan akan tetapi penggunaannya menjadi harus apabila ada sebab-sebab yang khusus. Antaranya ialah dalam keadaan dharurat atau terpaksa kerana menghindari daripada penyakit merbahaya atau menakutkan yang boleh membawa ancaman kepada individu dan orang ramai dan tidak ada cara lain yang berkesan untuk mencegahnya. Walau bagaimanapun keharusan penggunaan vaksinasi imunisasi berkenaan hendaklah mengikut syarat-syarat sebagaimana yang telah disebutkan di atas iaitu; tidak terdapat bahan suci yang boleh menggantikan bahan najis tersebut untuk dijadikan ubat dan hendaklah menurut orang yang berubat itu (jika dia seorang yang ‘arif dalam perubatan), ataupun disahkan menurut ahli perubatan Muslim yang ‘âdil bahawa bahan najis yang hendak dijadikan ubat itu tidak dapat digantikan dengan bahan yang lain.

Keharusan tersebut lebih jelas apabila semua vaksinasi imunisasi yang diberikan kepada kanak-kanak semasa kecil yang didapatkan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam telah diisytiharkan tidak mengandungi bahan najis seperti alkohol dan babi dan tiada asal haiwan yang meragukan kehalalannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12474