Adakah Perayaan Tahun Baru Cina dan Pengisiannya Termasuk Perkara Kufur?
Soalan: Antara adat tradisi atau amalan yang menjadi kebiasaan masyarakat Cina dalam sambutan perayaan Tahun Baru Cina ialah:
• Menghias premis perniagaan dengan pelbagai perhiasan seperti cucul, pelbagai bentuk tanglung, kain merah dan lain-lain;
• Perhiasan seperti tanglung dan duit syiling lama dihiasi dengan pelbagai jenis tulisan Cina, perhiasan “NENAS”, simbol “LIMAU” dan “DUIT” yang kesemuanya mempunyai maksud tersendiri;
• Perkumpulan keluarga dan makan besar “YEE SANG” sebagai simbol kemakmuran;
• Amalan kunjung-mengunjungi; pemberian hadiah dan “ANG PAU”; serta ucapan “GONG XI FA CHAI” yang bermaksud “Selamat Tahun Baru” dan lain-lain lagi.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan penjelasan hukum, adakah kesemua itu termasuk perkara kufur atau sebaliknya?
Jawapan: Sambutan perayaan Tahun Baru Cina adalah antara perayaan yang terdapat di negara ini. Sambutan ini dirayakan oleh masyarakat Cina yang juga merupakan kaum kedua terbesar di negara ini sebagaimana yang disebutkan dalam booklet bertajuk Brunei Darussalam in Seconds terbitan Jabatan Penerangan. Dengan adanya perayaan tersebut, maka segala adat tradisi dan amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Cina untuk merayakan Tahun Baru Cina juga turut dipraktikkan.
Antara adat tradisi atau amalan yang dilakukan oleh masyarakat Cina yang boleh dilihat ketika perayaan tersebut berlangsung ialah seperti hiasan-hiasan khusus yang dipasang di rumah-rumah, bangunan-bangunan, kedai-kedai dan juga pejabat-pejabat yang dimiliki oleh masyarakat Cina untuk menyambut tahun baru. Di samping itu kita juga dapat melihat amalan kunjung mengunjungi yang dilakukan oleh masyarakat Cina apabila tibanya perayaan ini. Tidak kurang juga ada antara masyarakat yang bukan berbangsa Cina dan mereka yang beragama Islam, turut sama-sama mengunjungi sahabat atau rakan yang berbangsa Cina ataupun ahli keluarga ketika sambutan tahun baru tersebut. Bahkan dalam majlis-majlis keraian tertentu sempena sambutan tahun baru itu, para pemimpin, ketua-ketua organisasi dan masyarakat di negara ini juga turut diundang menghadiri majlis-majlis tersebut sebagai tetamu.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, perayaan tahun baru ini tetap disambut secara terbuka seperti biasanya melainkan dalam perkara yang berkaitan dengan amalan atau kepercayaan agama dan pemujaan; misalnya upacara memberi penghormatan kepada tuhan atau roh yang hanya dihadkan di kalangan mereka sahaja. Sungguhpun demikian telah timbul pertanyaan terutama sekali berkaitan dengan perayaannya yang disambut secara terang-terangan; sama ada perayaan tersebut dianggap sebagai sambutan kebudayaan ataupun sambutan keagamaan. Perkara ini sangat penting untuk diketahui kerana akan memberi kesan hukum yang berbeza sama ada dari sudut hukum syara‘ atau undang-undang yang berjalan di negara ini.
Untuk membuat sebarang ketetapan hukum mengenai perkara ini, perlu diketahui apakah sebenarnya sambutan Tahun Baru Cina ini dan adakah perayaan ini termasuk perkara agama ataupun kebudayaan orang-orang Cina semata-mata.
Apa yang Dimaksudkan dengan Tahun Baru Cina?
Berdasarkan penerangan yang diperolehi dari buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals yang dikarang oleh Wei Liming, Ensiklopedia Britanicca dan beberapa artikel lain, Tahun Baru Cina ialah hari pertama di bulan pertama menurut kalendar Cina. Setiap satu tahun dalam kalendar tersebut mempunyai dua belas bulan menurut kebiasaannya dan setiap satu bulan pula mengandungi 29 atau 30 hari. Bulan-bulan dalam kalendar ini biasanya dirujuk mengikut nombor, misalnya; bulan pertama, bulan kedua, bulan ketiga dan seterusnya dan begitu juga dengan hari-hari dalam kalendar tersebut. Namun begitu terdapat beberapa nama atau terma lain yang juga sering digunakan bagi merujuk bulan, hari dan juga masa. Di samping kalendar yang dinyatakan tadi, terdapat beberapa kalendar lain yang juga digunakan oleh orang-orang Cina seperti Sexagenary Cycle yang mempunyai 60 tahun kitaran dan kalendar zodiak Cina yang mempunyai 12 tahun kitaran.
Secara amnya kalendar Cina ini dikatakan sebagai kalendar qamari; iaitu kalendar yang berasaskan kitaran atau pusingan bulan. Setiap satu bulan kalendar adalah bersamaan dengan satu pusingan penuh bulan mengelilingi bumi. Ini bermakna setiap bulan baru adalah dikira sebagai hari pertama setiap bulan. Namun berdasarkan keterangan yang diperolehi daripada artikel yang bertajuk Chinese Calendar dan beberapa artikel lain, kalendar Cina adalah kalendar lunisolar iaitu kalendar yang berasaskan gabungan dua sistem iaitu sistem lunar dan solar. Dikatakan juga bahawa tahun baru Cina disambut apabila munculnya bulan baru kedua (second new moon) setelah winter solstice iaitu hari yang menandakan kemuncak musim sejuk; iaitu apabila siangnya sangat singkat dan malamnya pula sangat panjang daripada hari-hari yang lain.
Menurut Wei Liming penulis buku Chinese Festival: Traditions, Customs and Rituals, hari pertama ‘Zheng Yue’ iaitu bulan qamari pertama, adalah dikira sebagai ‘Yuan Dan’ yang bermaksud awal tahun baru. Namun dari satu dinasti ke dinasti yang lain penetapan bulan sebagai bulan pertama dalam kitaran setahun itu berubah-ubah mengikut ketetapan maharaja yang memerintah pada ketika itu. Hanya di zaman Dinasti Han di bawah pemerintahan Maharaja Wu (156-87 BC), satu sistem kalendar baru telah diperkenalkan yang menggabungkan sistem kalendar qamari dengan sistem pembahagian musim yang telah lama digunakan oleh masyarakat Cina, khususnya petani, yang dipanggil Twenty-Four Seasonal Divison Points atau Twenty-Four Solar Terms. Kalendar baru ini dinamakan Taichu Calendar.
Penggunaan kalendar ini secara rasmi turut dikatakan telah menstabilkan sistem kalendar yang digunakan pada ketika itu dan sekaligus menyatukan negara dan rakyat yang pada ketika itu masih dalam proses pemulihan atau pembangunan semula setelah berlakunya peperangan yang panjang (Warring States Period, 475-221BC). Produktiviti dan keamanan masyarakat juga semakin pulih dan meningkat. Berdasarkan kalendar ini juga hari pertama di bulan pertama (first lunar month) ditetapkan sebagai hari pertama setiap tahun yang juga bertepatan dengan permulaan musim bunga. Oleh itu segala jenis aktiviti masyarakat yang biasanya diadakan pada sekitar penghujung musim sejuk dan awal musim bunga; seperti penyembahan tuhan, upacara korban, pesta perayaan dan sebagainya telah disatukan secara beransur-ansur dan diadakan sempena sambutan awal tahun. Namun segala aktiviti yang diadakan sempena sambutan ini dikatakan telah mengalami proses perubahan secara beransur-ansur sebagaimana yang disebutkan dalam buku tersebut dan beberapa rujukan yang lain.
Bahkan dari masa ke masa kalendar ini juga dikatakan telah diubahsuai atau diperbaiki namun asas utamanya (blueprint) tetap kekal dan digunakan hinggalah ke hari ini. Maka penentuan awal Tahun Baru Cina sehingga kini dibuat berdasarkan kalendar ini dan perkara ini ada diterangkan dalam artikel Chinese Calendar, buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals serta beberapa rujukan lain.
Maka dari dahulu hingga sekarang, sambutan Tahun Baru Cina merupakan perayaan terbesar dan terpenting bagi masyarakat Cina dan disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia. Secara tradisinya sambutan ini berlangsung selama lima belas hari; bermula dari malam tahun baru (new year’s eve) hinggalah hari kelima belas iaitu ketika bulan penuh (full moon) di bulan pertama.
Di Tanah Besar China (Mainland China) sambutan ini dinamakan sebagai Chunjie iaitu Pesta Musim Bunga atau Spring Festival. Di kebanyakan negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam, perayaan ini lebih dikenali sebagai Perayaan Tahun Baru Cina dan disambut oleh masyarakat Cina setempat.
Sejarah dan Asal Usul Bermulanya Sambutan Tahun Baru Cina
Sebuah artikel bertajuk History of Chinese New Year menyatakan bahawa sambutan awal tahun baru ini berusia ribuan tahun dan terdapat pelbagai pendapat mengenai awal permulaannya. Ada yang mengatakan sambutan tersebut bermula di zaman Dinasti Shang (1766BC–1122BC) dan ada pula yang mengatakan ia bermula lebih awal iaitu di zaman Maharaja Yao dan Shun (2300BC).
Menurut penulis buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals, Wei Liming menyatakan bahawa zaman sebelum Dinasti Qin (221-206BC) iaitu zaman Maharaja Yao dan Shun, Dinasti Shang dan selainnya, dianggap sebagai zaman percambahan budaya sambutan tersebut kerana pada ketika itu telah menjadi kebiasaan orang ramai untuk mengadakan keraian setelah selesai kerja-kerja penanaman dan antara acara yang dilakukan ialah upacara korban sebagai tanda kesyukuran. Di zaman Dinasti Western Zhou, telah menjadi adat untuk memulakan bercucuk tanam pada hari sambutan tahun baru dan antara upacara yang diadakan ialah upacara memberikan sembahan kepada tuhan mereka dan upacara berdo‘a.
Dinyatakan juga bahawa tarikh bagi awal tahun baru pada zaman itu sentiasa berubah-ubah mengikut ketetapan pemerintah yang berkuasa pada ketika itu. Namun menurut kebiasaannya awal tahun baru di zaman tersebut disambut di antara pertengahan musim sejuk hinggalah ke awal musim bunga. Hanya di zaman Dinasti Han, hari pertama di bulan pertama telah diisytiharkan secara rasmi sebagai permulaan tahun baru kalendar Cina dan ketetapan ini masih digunakan hingga ke hari ini. Maka boleh dikatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina yang disambut pada hari pertama di bulan pertama menurut kalendar Cina secara rasminya bermula dari zaman dinasti tersebut.
Menurut Ensiklopedia Britannica Online, salah satu legenda termasyhur mengenai kisah asal usul sambutan Tahun Baru Cina ialah berkenaan seekor raksasa bernama ‘Nian’ (juga bermaksud ‘tahun’ dalam Bahasa Cina) yang menyerang penduduk kampung setiap kali menjelang awal tahun. Akhirnya penduduk kampung mendapat maklumat bahawa makhluk tersebut takut kepada bunyi-bunyian yang kuat, cahaya terang dan warna merah, maka benda-benda ini telah digunakan oleh penduduk kampung untuk menghalau dan menakutkannya. Kisah legenda serupa juga ada disebutkan dalam buku Chinese Festivals yang banyak menyentuh tentang perayaan-perayaan kaum Cina, termasuklah mengenai asal usul perayaan sambutan tahun baru ini.
Apabila diteliti lebih lanjut pada sejarah negara China dan penduduknya, didapati bahawa perayaan ini mempunyai kaitan dengan aktiviti rutin pertanian (agriculture) di zaman dahulu. Perkara ini bertepatan dengan sebuah artikel bertajuk The History of Chinese New Year yang mengatakan bahawa biarpun agama Buddha dan Tao (antara dua agama terbesar masyarakat Cina) mempunyai tradisi tersendiri dalam meraikan tahun baru, hakikatnya tradisi sambutan Tahun Baru Cina itu sendiri lebih tua daripada kedua-dua agama tersebut. Ini kerana sambutan Tahun Baru Cina ini pada dasarnya berakar umbi pada sambutan kedatangan musim bunga yang disambut oleh masyarakat Cina yang kebanyakannya merupakan masyarakat petani (agrarian socities). Bagi mereka, kedatangan musim bunga sangatlah dinantikan dan diraikan setelah melalui musim sejuk dan juga sebagai menandakan bahawa musim bercucuk tanam telah bermula. Bahkan antara nama lain bagi sambutan Tahun Baru Cina ini, apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris juga bermaksud ‘Agricultural or Agrarian Calendar’s New Year’.
Negara China adalah negara yang mempunyai sejarah lampau yang berusia lebih kurang 5000 tahun dan antara perkara terpenting dalam sejarah ini ialah industri pertanian yang dijalankan oleh kebanyakan penduduk China. Oleh kerana rutin harian kehidupan mereka berkait rapat dengan pertanian sebagai sumber kehidupan mereka, beberapa perkara lain telah terbentuk bagi menyusun serta memudahkan pekerjaan mereka. Sebagai contoh, kalendar pertanian yang diformulasikan berdasarkan musim bercucuk tanam. Dengan berpandukan kalendar ini, masyarakat petani ketika itu akan mula bercucuk tanam di musim bunga, membajak di musim panas, menuai di musim luruh dan mengumpul dan menyimpan hasil tanaman di musim sejuk dan begitulah seterusnya hingga masuk semula ke musim bercucuk tanam yang baru.
Dikatakan juga bahawa di antara musim bercucuk tanam, terdapat tempoh yang dinamakan sebagai breaks between farming seasons ataupun tempoh ‘rehat atau lapang’ di mana pada waktu ini para petani telah selesai mengumpulkan segala hasil tanaman yang lalu dan mula membuat persiapan bagi musim bercucuk tanam yang baru. Maka dalam tempoh inilah mereka meraikan hasil tanaman yang telah mereka kumpulkan sambil menunggu tibanya musim yang baru. Dari kebiasaan ini lahirlah budaya perayaan atau pesta yang berkembang secara beransur-ansur dan akhirnya telah menjadi sebahagian kebudayaan orang-orang Cina.
Perkembangan serta perubahan yang berlaku terhadap budaya perayaan atau pesta ini ada disebutkan oleh Wei Liming dalam buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals. Menurutnya, dari masa ke masa masyarakat telah mengalami perubahan dan ini turut mempengaruhi budaya perayaan atau pesta yang ada. Peningkatan taraf kehidupan, daya produktiviti serta kemunculan aktiviti keagamaan, perkembangan politik dan seumpamanya juga turut menyumbang dalam pembentukan dan perkembangan suatu perayaan atau pesta. Maka kewujudan dan perkembangan suatu perayaan atau pesta itu berlaku menerusi suatu aliran perjalanan yang panjang, yang telah mencorakkannya, menambahkannya dan mengubahnya. Bahkan perkembangannya ini juga turut menceritakan sejarah kebudayaan negara China dan rakyatnya sehingga budaya perayaan atau pesta ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Cina.
Salah satu daripada perayaan yang terbentuk melalui proses ini ialah perayaan sambutan Tahun Baru Cina. Sambutan ini asalnya adalah acara meraikan hasil bercucuk tanam yang dibuat oleh para petani setelah tamatnya musim bercucuk tanam. Menurut buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals, satu kitaran musim bercucuk tanam itu adalah satu tahun; bermula dengan menanam benih sehinggalah musim menuai dan mengumpulkan hasil tanaman tersebut untuk persediaan musim sejuk. Setiap satu tahun kitaran musim bercucuk tanam ini juga dipanggil Nian (juga bermaksud year atau tahun) di zaman dahulu. Kitaran tersebut dinamakan sedemikian kerana bagi mereka apabila bijirin yang ditanam telah masak sekali, itu menandakan satu tahun. Maka boleh dikatakan bahawa kitaran bercucuk tanam itu adalah penanda masa yang menunjukkan berlalunya satu tahun pada ketika itu. Selain itu musim penanaman ini juga bermula bertepatan dengan kedatangan musim bunga dan berakhir di musim sejuk. Maka sambutan keraian yang dibuat pada ketika itu ialah bertujuan untuk menyambut kedatangan musim bunga yang dinanti-nantikan setelah melalui musim sejuk di samping meraikan hasil tanaman dan mengucapkan rasa kesyukuran bagi hasil tanaman yang telah diperolehi pada tahun tersebut. Dalam masa yang sama persiapan bagi menyambut kedatangan musim penanaman yang baru juga dilakukan termasuklah dengan mengadakan upacara memohon agar cuaca serta hasil tuaian di musim baru nanti akan lebih baik. Pada zaman tersebut upacara sambutan seperti ini hanya disambut secara kecil-kecilan.
Dengan peredaran masa dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat, sambutan perayaan ini mula berkembang secara beransur-ansur dengan dipengaruhi oleh keadaan sekeliling pada ketika itu, antaranya ialah pengaruh kisah-kisah legenda atau mitos yang menceritakan tentang asal usul perayaan Tahun Baru Cina ini yang sedikit sebanyak telah memberikan unsur mistik ke atas perayaan tersebut. Dalam buku Common Knowledge About Chinese Culture yang dikeluarkan oleh The Overseas Chinese Affairs Office of the State Council dan The Office of Chinese Language Council International, ada dinyatakan bahawa kisah-kisah legenda atau mitos Cina adalah cerita yang direka oleh orang-orang dahulu bagi menerangkan dan memahami perkara atau kejadian yang berlaku di sekeliling mereka. Buku tersebut menyatakan bahawa kisah-kisah seperti ini juga memberi gambaran tentang kehidupan masyarakat di masa lampau dan kisah-kisah ini telah menjadi sebahagian daripada kesusasteraan Cina. Sama ada kisah-kisah tersebut dipercayai oleh masyarakat atau sebaliknya, legenda berkenaan Tahun Baru Cina telah tersebar luas dan diketahui ramai pada hari ini.
Buku Chinese Festivals; Traditions, Customs and Rituals juga ada menceritakan mengenai perubahan yang berlaku ke atas sambutan tersebut dan perkara-perkara yang mempengaruhinya. Setelah penetapan awal Tahun Baru Cina dibuat secara rasmi di zaman Dinasti Han, beberapa aktiviti dan sambutan yang biasanya diamalkan oleh suku kaum Cina yang berbeza, pada waktu yang berlainan, telah disatukan dan diserapkan ke dalam sambutan Tahun Baru Cina. Dikatakan juga bahawa pada ketika itu, sambutan Tahun Baru Cina lebih tertumpu kepada aspek upacara ritual dan mistik dalam sambutan tersebut. Menurut artikel Chinese New Year Celebrations, pelbagai upacara mula terbentuk pada zaman tersebut termasuklah majlis perkumpulan beramai-ramai dan penggunaan buluh yang dibakar sebagai bunga api yang dianggap sebagai ‘early firework’.
Semasa pemerintahan Dinasti Cao Wei dan Jin, amalan berjaga malam untuk meraikan tahun baru yang dinamakan shou sui menjadi popular dan begitu juga penggunaan mercun.
Manakala di zaman pemerintahan Dinasti Tang, keadaan ekonomi dan politik negara serta perhubungan kebudayaan dengan negara luar bertambah maju dan baik. Ini telah memberi kesan perubahan kepada sambutan Tahun Baru Cina serta adat-adatnya pada ketika itu. Secara beransur-ansur unsur mistik, upacara berdo‘a dan permohonan, unsur-unsur tahyul serta unsur-unsur mencegah kejahatan mula ditinggalkan. Dikatakan bahawa acara sambutan Tahun Baru Cina pada ketika itu bertukar menjadi sambutan yang menggembirakan dan menjadi hiburan yang meriah.
Setelah itu sambutan serta adat tradisi dan amalan yang dilakukan dalam menyambut Tahun Baru Cina terus mengalami perubahan. Di zaman Dinasti Ming (1368-1644) dan juga Qing, sambutan ini berfungsi sebagai acara formal bagi pegawai-pegawai atasan untuk saling berhubungan dan acara sosial bagi orang ramai untuk saling kunjung mengunjungi. Bahkan perayaan ini juga berfungsi sebagai acara rekreasi dengan adanya pelbagai pertunjukan seperti tarian singa, tarian naga, persembahan drama, cerita dan selainnya. Bahkan sambutan tersebut juga berperanan membantu dalam perdagangan dan komunikasi kebudayaan di antara kaum.
Maka dapat dirumuskan bahawa acara menyambut tahun baru, pada awalnya adalah sebahagian daripada aktiviti rutin masyarakat petani yang menandakan bermulanya musim bercucuk tanam bagi mereka. Namun secara beransur-ansur acara ini telah berkembang dan berubah dengan dipengaruhi oleh persekitarannya sehingga unsur pertanian tersebut mulai lenyap. Apa yang jelas ialah perkembangan bentuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina itu telah melalui proses perjalanan yang panjang dan kini telah menjadi sebahagian warisan kebudayaan orang-orang Cina.
Adat Tradisi dan Amalan Lazim dalam Menyambut Tahun Baru Cina Dengan perubahan dan perkembangan yang berlaku terhadap sambutan Tahun Baru Cina, pengisian sambutan tersebut juga turut mengalami proses yang sama. Proses pembentukan, percambahan dan penyebarannya juga telah melalui proses perkembangan yang sangat panjang dan lama. Dalam proses ini adat dan amalan sambutan tersebut telah dipengaruhi oleh pelbagai elemen yang ada di sekelilingnya seperti; aktiviti rutin masyarakat setempat, nilai-nilai murni, adat-adat kuno (ancient customs), kepercayaan tahyul, cerita-cerita legenda, mitos dan sebagainya. Kemunculan pelbagai agama dan kepercayaan, perkembangan politik, kemajuan ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat juga turut mempengaruhi pembentukan adat tradisi serta amalan sambutan Tahun Baru Cina ini.
Kepelbagaian adat dan budaya kaum atau etnik Cina yang berbeza juga turut memberi kesan terhadap pengisian sambutan tersebut dan perkara ini ada disebut dalam buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals. Menurut penulisnya, sambutan Tahun Baru Cina ketika itu telah menyerap pelbagai budaya dan tradisi kaum Cina yang berbeza sehingga sambutan tersebut boleh dikatakan menjadi pusat yang mempamerkan pelbagai budaya dan tradisi suku kaum Cina yang mempunyai sejarah ribuan tahun lamanya. Contohnya, kaum Han yang merupakan kaum majoriti di China dan kebanyakan puak minoriti yang lain mempunyai pelbagai keraian ketika sambutan tahun baru dan kebanyakan daripadanya berkaitan dengan acara korban untuk tuhan atau Buddha, upacara korban bagi memperingati nenek moyang, adat ‘ridding the old welcoming the new’ (membuang yang lama mengalu-alukan yang baru), adat embracing joy and receiving fortune (meraih kebahagiaan dan kekayaan) dan upacara do‘a untuk memohon tahun baru yang lebih baik. Namun cara sambutannya bagi setiap kaum tetap berbeza dengan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.
Sambutan perayaan Tahun Baru Cina sememangnya mempunyai adat tradisi yang berwarna-warni. Bermula dari hari membuat persiapan untuk menyambut kedatangan awal tahun baru hinggalah ke hari terakhir perayaannya, dipenuhi dengan adat tradisi, amalan dan upacara yang telah diwarisi sejak beribu tahun yang lalu. Adat, amalan dan upacara dalam sambutan Tahun Baru Cina ini pula ada antaranya yang lazim dilakukan oleh orang-orang Cina secara keseluruhannya dan ada juga antaranya yang hanya dilakukan oleh suku kaum atau etnik atau mereka yang mempunyai kepercayaan tertentu sahaja.
Setiap kali tibanya musim sambutan Tahun Baru Cina, sebilangan kecil daripada adat dan amalan sambutannya ialah adat menggantung hiasan di rumah-rumah kediaman serta bangunan milik orang-orang Cina; seperti gambar-gambar, tanglung kertas berwarna merah, lampu-lampu cucul dan tidak ketinggalan juga permainan mercun dan bunga api yang akan kedengaran apabila telah masuk ke tahun baru. Antara amalan lain yang juga sangat penting di kalangan orang-orang Cina ketika sambutan tersebut ialah amalan kunjung mengunjungi, pemberian hadiah berupa wang yang biasa dipanggil sebagai ‘ang pau’ dan juga ucapan selamat sempena kedatangan tahun baru. Kesemua ini adalah sebahagian daripada adat dan amalan lazim bagi orang-orang Cina dalam menyambut Tahun Baru Cina.
Untuk menjawab persoalan yang ditanyakan penyoal iaitu sama ada adat dan amalan seperti di atas termasuk dalam perkara kufur atau sebaliknya, perlu diketahui terlebih dahulu latarbelakang, maksud dan tujuan adat atau amalan tersebut; sama ada ia berasaskan suruhan agama, kepercayaan lama, adat kebiasaan atau selainnya. Perkara ini setentunya akan memberi kesan hukum yang berbeza dari segi syara‘ mahupun undang-undang yang ada di negara ini.
Amalan Kunjung Mengunjungi, Pemberian ‘Ang Pau’ dan Ucapan Selamat Sempena Tahun Baru Cina
Amalan kunjung-mengunjungi ataupun Bai Nian (making New Year visit) adalah adat yang sangat penting dalam sambutan Tahun Baru Cina. Menurut buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals ini adalah salah satu cara untuk melaksanakan adat yang dipanggil ‘ridding the old welcoming the new’ (membuang yang lama, mengalu-alukan yang baru) apabila tiba tahun baru dan bertujuan untuk mengungkapkan hasrat baik di antara satu sama lain sempena tahun baru. Bahkan hakikatnya amalan ini bertujuan untuk menunjukkan rasa hormat kepada yang lebih tua dan kasih sayang kepada keluarga serta saudara-mara. Di samping itu amalan ini juga dianggap sebagai cara untuk memperkuatkan hubungan persahabatan dan komunikasi.
Menurut penulis buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals juga, amalan kunjung mengunjungi ini semakin berkembang di zaman Dinasti Ming (1368-1644) dan Qing di kalangan pegawai atasan dan juga orang awam. Pada ketika itu pegawai atasan saling bertukar-tukar kad nama dan saling mengunjungi rumah masing-masing. Di kalangan orang awam, adat timbal balik sangat dititikberatkan dengan saling memberi hadiah dan kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain.
Berdasarkan maklumat ini boleh dikatakan bahawa adat kunjung-mengunjungi itu semakin berkembang pada zaman dinasti tersebut manakala pada zaman sebelumnya, adat ini mungkin hanya dipraktikkan oleh orang atau kaum tertentu ataupun hanya dilakukan bagi orang-orang yang tertentu sahaja.
Dalam artikel bertajuk Chinese New Year Festivities: The 15-Day Celebration of Chinese New Year ada menerangkan bagaimana kunjungan ini dibuat dan tujuannya. Menurut artikel tersebut, secara tradisinya hari pertama di tahun baru dikhususkan untuk mengunjungi dan menziarahi ahli tertua dalam sesebuah keluarga; umpamanya moyang, datuk, nenek serta ibu bapa bagi tujuan mengeratkan pertalian kekeluargaan dan sebagai tanda hormat kepada mereka. Setelah hari pertama, aktiviti kunjung-mengunjungi akan berterusan dengan kunjungan atau ziarah kepada ahli keluarga serta saudara-mara yang lain, sahabat handai, rakan kerja dan sebagainya.
Dalam kunjung-mengunjungi ini juga telah menjadi kebiasaan bagi tetamu dan tuan rumah untuk saling mengucapkan selamat sempena tahun baru dengan mengucapkan kata-kata yang dianggap auspicious (yang membawa kebaikan dan tuah). Antaranya ialah ucapan gong xi fa cai yang bermaksud congratulations and be prosperous, ataupun xin nian kuai le yang boleh diertikan sebagai happy new year dan banyak lagi ucapan-ucapan lain sama ada berkaitan dengan kebahagiaan, kekayaan, kesihatan, kejayaan dalam pelajaran dan pekerjaan dan apa jua perkara-perkara baik yang dihasratkan dan diharapkan di tahun yang baru.
Selain itu telah menjadi adat kebiasaan dalam meraikan Tahun Baru Cina untuk memberikan hadiah sampul merah berisi wang yang biasanya kita panggil sebagai ‘Ang Pau’. Menurut artikel bertajuk Red Envelopes, Lai Shi, Hong Bao, hadiah ini dinamakan lai shi atau hong bao dalam bahasa Cina. Hadiah sampul merah ini biasanya diberikan oleh orang-orang dewasa atau mereka yang sudah berumah tangga kepada golongan muda seperti para remaja dan kanak-kanak serta mereka yang belum berkahwin. Ada kalanya mereka yang menerima hadiah sampul ini akan membalas pemberian tersebut dengan memberikan hadiah berupa buah limau tangerin kepada si pemberi sebagai simbol yang mengharapkan harta atau kekayaan si pemberi akan bertambah atau meningkat kerana buah limau tangerin adalah simbol tuah dan keberuntungan bagi orang-orang Cina.
Menurut keterangan dalam buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals, hadiah wang ini juga dinamakan Ya Sui yang membawa maksud ‘wang yang digunakan untuk menolak atau menghindar kejahatan’. Hadiah wang ini akan diberikan kepada mereka yang lebih muda dengan iringan ucapan selamat. Hadiah ini biasanya akan diberikan kepada kanak-kanak dan orang muda selepas makan malam bersama keluarga yang lebih dikenali sebagai Hogmanay Dinner. Nama Ya Sui itu sendiri dalam bahasa Cina mempunyai makna yang tersendiri. Dikatakan bahawa perkataan ‘tahun’ dan ‘roh jahat’ dalam bahasa Cina adalah Sui, maka wang Ya Sui telah digunakan untuk menjauhkan perkara-perkara buruk daripada kanak-kanak agar mereka selamat dan sihat di tahun yang baru nanti. Dikatakan juga bahawa pemberian Hong Bao atau Ya Sui ini mempunyai kaitan dengan kisah legenda yang menceritakan bermulanya sambutan Tahun Baru Cina; di mana makhluk jahat yang dipanggil Nian, sering mengganggu penduduk kampung setiap kali tibanya tahun baru. Setelah para penduduk kampung tersebut mengetahui bahawa makhluk ini takut kepada cahaya, bunyi yang kuat dan warna merah, maka kanak-kanak telah diberikan kertas berwarna merah untuk menakutkan makhluk tersebut dan agar mereka tidak diganggu.
Di samping itu, pemberian sampul merah ini juga dianggap sebagai simbolik bagi keberuntungan dan kekayaan yang dihasratkan dan diinginkan di tahun yang baru. Di luar sampul tersebut biasanya akan dihiasi dengan tulisan kaligrafi yang berupa ucapan selamat sempena tahun baru ataupun simbol-simbol yang dianggap bertuah. Manakala kandungan sampul merah ini pula biasanya adalah wang dalam jumlah yang genap. Berdasarkan penerangan dari Wikipedia, angka genap yang dimaksudkan di sini hendaklah dilihat pada digit awal dan bukannya pada digit yang akhir jika jumlah wang tersebut mencapai dua angka. Sebagai contoh, angka 30 dan 50 dianggap sebagai ganjil berdasarkan digit yang awal dan tidak sesuai untuk diberikan sebagai hadiah di tahun baru kerana angka yang ganjil sering dikaitkan dengan huluran wang yang diberikan ketika majlis pengkebumian. Wang yang diberikan ini pula biasanya hendaklah wang yang baru kerana apa-apa yang berkaitan dengan sambutan Tahun Baru Cina hendaklah baharu dengan hasrat agar memperolehi tuah dan keberuntungan yang baru.
Maka berdasarkan keterangan di atas, disimpulkan bahawa amalan-amalan yang disebutkan di sini adalah adat dan amalan kebiasaan yang mempunyai makna yang tersendiri bagi orang-orang Cina dalam menyambut Tahun Baru Cina dan bukan berasal dari mana-mana ajaran agama.
Hiasan Sempena Menyambut Tahun Baru Cina
Antara perkara yang telah menjadi adat kebiasaan bagi kaum Cina dalam menyambut Tahun Baru Cina ialah menggantungkan perhiasan tertentu. Adat ini juga telah diwarisi turun-temurun dan mempunyai sejarah atau cerita tentang asal usulnya. Antara hiasan lazim yang sering kita lihat ketika musim sambutan Tahun Baru Cina ialah poster-poster, gambar-gambar, hiasan tulisan kaligrafi Cina, hiasan simbol-simbol, tanglung, hiasan kain berwarna merah, lampu-lampu cucul dan sebagainya.
Menurut buku Chinese Festivals dan Chinese Festivals; Traditions, Customs and Rituals, terdapat pelbagai jenis hiasan yang digantung atau dipasang sempena Tahun Baru Cina. Ada di antaranya yang biasa digunakan oleh orang-orang Cina secara umum dan juga yang hanya digunakan oleh suku kaum tertentu.
Antara hiasan yang biasa atau lazim digantungkan apabila tibanya Tahun Baru Cina ialah Tie Chunlian (New Year Couplets). Hiasan ini adalah berupa skrol-skrol kertas berwarna merah yang ditulis di atasnya bait-bait syair, puisi, atau kata-kata yang menyatakan hasrat atau harapan yang baik di tahun yang baru. Misalnya; hasrat atau harapan untuk beroleh keberuntungan dan tuah, untuk menjalin hubungan yang baik, untuk beroleh keamanan, kebahagiaan, kejayaan dan seumpamanya. Ayat-ayat seperti; favorable weather and fertile land, rich resources and outstanding talents, peaceful times day in day out, pleasant springtime year after year dan bermacam-macam lagi akan ditulis di atas kertas merah tersebut dan dilekatkan di kedua-dua tepi pintu dan jendela rumah.
Sebagaimana yang disebutkan dalam buku Chinese Festivals; Traditions, Customs and Rituals, adat ini dikatakan berasal daripada penggunaan Tao Fu (peach wood charm) iaitu sejenis tangkal diperbuat daripada kayu pohon pic yang dikatakan mula muncul di zaman Dinasti Zhou (1046-256BC). Tangkal ini juga dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah cerita mitos Cina, berkenaan dua orang dewa yang menjadi pengawal kepada pintu masuk ke satu alam lain yang dihuni oleh hantu-hantu. Pintu masuk ke alam ini pula dikatakan terletak di satu bahagian pohon pic yang sangat besar. Oleh kerana kedua-dua lelaki ini sangat ditakuti oleh hantu-hantu di alam tersebut, maka orang ramai mula membuat ukiran yang menyerupai bentuk kedua-dua lelaki tersebut daripada kayu pohon pic lalu meletakkannya di kedua-dua tepi pintu rumah mereka. Ini bertujuan agar roh-roh jahat atau segala keburukan tidak akan menghampiri mereka sekeluarga.
Namun secara beransur-ansur, adat dan hiasan ini boleh dikatakan telah berubah dari segi maksud kegunaannya serta bentuknya. Orang awam mula mengukir nama kedua-dua lelaki tersebut di atas kepingan kayu pohon pic dengan tujuan untuk menjauhkan kejahatan. Kemudian di zaman Dinasti Song, orang ramai mula menulis coupulets pada kayu pohon pic untuk tiga tujuan; untuk menghalang kejahatan, untuk melahirkan hasrat baik dan untuk tujuan perhiasan. Namun setelah itu kertas merah mula digunakan bagi menggantikan kayu pohon pic untuk menulis coupulets. Di zaman Dinasti Ming dan di bawah naungan dan sokongan Maharaja Tai Zu adat melekatkan coupulets ini semakin popular.
Pada hari ini, coupulets bagi Tahun Baru Cina ditulis di atas kertas berwarna merah (warna yang melambangkan kegembiraan dan kekayaan) lalu dilekatkan di kedua-dua tepi pintu dan jendela rumah dengan tujuan menyatakan hasrat seseorang untuk memperolehi kebaikan dan keberuntungan di tahun baru. Sehingga kini pembuatan coupulets Tahun Baru Cina ini masih berterusan dan diamalkan, bahkan telah menjadi warisan kesenian orang-orang Cina. Selain coupulets, terdapat hiasan lain yang dipanggil paper-cuts. Hiasan paper-cuts ini biasanya dilekatkan pada cermin jendela, dinding, siling, tanglung dan sebagainya. Menurut buku Common Knowledge About Chinese Culture, paper-cuts ini adalah keratan kertas yang telah digunting untuk menjadi satu bentuk atau imej yang melambangkan kebaikan atau keberuntungan. Bagi sambutan Tahun Baru Cina kertas berwarna merah akan menjadi pilihan namun ada kalanya kertas warna lain juga turut digunakan. Seperti hiasan coupulets yang disebutkan tadi, hiasan keratan kertas ini juga bertujuan untuk menyatakan hasrat baik di tahun baru dan juga sebagai perhiasan kerana bentuknya yang cantik. Pembuatan paper-cuts ini juga merupakan antara warisan kesenian orang-orang Cina yang istimewa.
Di samping itu, gambar atau poster Tahun Baru Cina juga lazim digantungkan apabila tiba musim sambutannya. Gambar atau poster ini biasanya mempunyai tema yang melambangkan kebaikan atau keberuntungan; misalnya bertemakan hasil tuaian yang baik atau nasib yang menguntungkan dan sebagainya. Kadang kala poster atau gambar tersebut juga mengandungi gambar-gambar bunga, kanak-kanak damit (kecil) atau apa jua yang melambangkan kebaikan yang dihasratkan di tahun baru. Biasanya gambar atau poster ini juga dihiasi dengan seni kaligrafi tulisan Cina yang berbentuk kata-kata hikmah atau ucapan sambutan Tahun Baru Cina sebagaimana yang ada diterangkan dalam buku Chinese Festivals.
Begitu juga halnya dengan hiasan tanglung kertas berwarna merah yang juga merupakan hiasan lazim dalam sambutan Tahun Baru Cina. Menurut Wikipedia, tanglung yang digantungkan semasa sambutan Tahun Baru Cina dikenali sebagai Traditional Chinese Paper Lantern dan berbeza daripada tanglung-tanglung yang lain. Tanglung ini diperbuat daripada kertas, berwarna merah dan biasanya berbentuk bujur. Sebagaimana yang dinyatakan dalam buku Chinese Festivals, adat menggantungkan dan menyalakan tanglung ini dikatakan berkaitan dengan legenda asal usul sambutan Tahun Baru Cina yang menceritakan bahawa makhluk jahat yang dipanggil ‘Nian’ itu dikatakan takut kepada cahaya dan warna merah, maka setiap kali tibanya awal tahun baru, orang ramai akan menggantungkan benda-benda berwarna merah dan menyalakan lampu termasuklah tanglung berwarna merah. Di samping itu tanglung juga dikatakan lambang bagi pesta atau sambutan yang meriah dan telah menjadi simbol kepada China Town di seluruh dunia.
Menurut sejarah awal, tanglung dicipta di zaman kuno China untuk mengelakkan nyalaan api terbuka yang digunakan untuk memberi cahaya di jalan-jalan atau lorong daripada terpadam oleh tiupan angin. Tanglung yang paling biasa digunakan berbentuk bujur, berwarna merah dan mempunyai rumbai emas atau merah. Tanglung ini digantung untuk menerangi lorong, jalan-jalan kecil serta halaman rumah. Menurut penulis artikel Chinese Lanterns, tanglung ini pada awalnya dicipta atas tujuan praktikal namun setelah itu bertukar menjadi status symbols dan dipenuhi dengan pelbagai misteri.
Selain itu, ingin juga diterangkan di sini bahawa hari terakhir sambutan Tahun Baru Cina juga dinamakan sebagai Lantern Festival (Pesta Tanglung) ataupun dalam bahasa Cina dipanggil Yuanxiao. Pesta ini jatuh pada hari kelima belas di bulan pertama iaitu pada bulan penuh pertama (first full moon) di bulan pertama di tahun baru. Berdasarkan penjelasan dan penerangan daripada buku-buku yang telah disebutkan sebelum ini, pada hari tersebut pelbagai bentuk, jenis dan warna tanglung akan dinyalakan, digantungkan dan akan dilihat serta dini‘mati oleh orang ramai. Pesta ini dikatakan berusia lebih 2000 tahun dan mempunyai beberapa kisah tentang asal usulnya dan salah satu daripadanya mempunyai kaitan dengan kepercayaan Tao.
Di beberapa buah negara rantau ini termasuk negara Brunei, malam terakhir sambutan Tahun Baru Cina ini lebih dikenali dengan nama Chap Goh Mei yang bermaksud ‘lima belas malam’. Di negara kita khususnya, sambutan ini hanya diraikan dengan jamuan makan malam yang sederhana bersama keluarga sebelum sambutan Tahun Baru Cina berakhir secara rasmi pada keesokan hari. Perkara ini disebut dalam The Brunei Times, artikel bertajuk ‘Chap Goh Meh marks end of CNY’. Manakala di beberapa buah negara jiran, malam terakhir sambutan Tahun Baru Cina ini disambut dengan cara yang berbeza.
Selain daripada hiasan-hiasan yang telah menjadi adat tradisi dalam sambutan tersebut, kita juga dapat melihat lampu-lampu cucul yang dipasang pada bangunan, rumah, halaman dan sebagainya setiap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina. Namun penerangan mengenai perkara ini secara khusus tidak ada dinyatakan dalam buku-buku yang telah dirujuk. Walau bagaimanapun dari apa yang dapat difahami, pemasangan lampu-lampu cucul ini lebih dianggap sebagai perhiasan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan atau pesta Tahun Baru Cina sebagaimana yang dapat dilihat pada sambutan perayaan Tahun Baru Cina di negara-negara yang majoriti penduduknya berbangsa Cina seperti Hong Kong, China, Singapura dan selainnya. Sama ada lampu cucul ini mempunyai maksud simbolik yang tertentu atau sebaliknya tidak ada disebutkan dengan jelas. Realitinya, lampu cucul ini akan turut dipasang di samping tanglung-tanglung kertas tradisional setiap kali tibanya musim sambutan Tahun Baru Cina.
Yusheng atau Yee Sang dalam Sambutan Tahun Baru Cina di Rantau Asia Tenggara
Sebagaimana yang telah dinyatakan, ada di antara adat atau amalan sambutan Tahun Baru Cina ini berbentuk umum; yang diamalkan oleh orang-orang Cina secara keseluruhannya dan ada pula yang berbentuk khusus dan hanya diamalkan oleh suku kaum tertentu sahaja. Salah satu adat atau amalan sambutan Tahun Baru Cina yang boleh dikatakan berbentuk khusus ialah Yusheng ataupun Yee Sang ataupun Lo Hei (Cantonese), yang dikenali juga sebagai Prosperity Toss.
Menurut penerangan Wikipedia, Yusheng adalah sejenis hidangan salad ikan mentah ala Teochew. Perkataan yu dalam bahasa Cina bermaksud ‘ikan’ dan secara literalnya, perkataan Yusheng itu bermaksud ikan mentah, yang merupakan bahan utama dalam hidangan tersebut. Namun disebabkan perkataan yu (ikan) ini adalah homophone (kata sebunyi; mempunyai bunyi sebutan yang sama namun maksud yang berbeza) kepada perkataan yang bermaksud abundance (banyak, melimpah atau mewah) dan sering dikaitkan di antara satu sama lain, maka hidangan salad Yusheng ini ditafsirkan sebagai Yusheng yang bermaksud increase in abundance iaitu ‘bertambah-tambah banyak, melimpah atau mewah’. Oleh kerana itu hidangan Yusheng dianggap sebagai simbol bagi kemewahan, kemakmuran dan keremajaan.
Manakala perkataan Yee Sang pula bermaksud easy to prosper (mudah untuk mewah, untung atau maju) manakala Lo Hei atau Lou Hei bermaksud prosperity toss. Hidangan ini dikatakan hanya boleh didapati setahun sekali; iaitu ketika musim sambutan Tahun Baru Cina sebagaimana yang dinyatakan dalam laman web Malaysia Tourism Guide.
Menurut laman web Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yee Sang atau Yusheng ini adalah salah satu makanan warisan Malaysia dan tersenarai dalam senarai Objek Warisan Tidak Ketara atau Intangible Heritage Object. Yang dimaksudkan dengan Warisan Tidak Ketara di sini ialah suatu bidang warisan yang menjadi keutamaan yang merangkumi sesuatu warisan yang ‘bukan benda’ untuk dini‘mati oleh pancaindera manusia. Umpamanya yang boleh dilihat, disentuh, dirasa, dihidu atau didengar ketika ia dilakukan atau wujud, tetapi tidak lagi dapat dini‘mati apabila ia tidak ada atau tamat. Ini termasuklah segala bentuk ungkapan, bahasa, pepatah, lagu yang dihasilkan daripada muzik, not, lirik, tarian, lakonan yang dihasilkan melalui seni pentas, seni mempertahankan diri, makanan dan selainnya. Maka Yee Sang atau Yusheng dan cara pembuatannya, penyajiannya serta resepinya adalah termasuk dalam senarai tersebut.
Namun berdasarkan beberapa artikel dan tulisan yang diperolehi melalui internet, ada yang mengatakan bahawa hidangan ini berasal daripada satu adat kebiasaan suku kaum Cina di Wilayah Guangdong, yang terletak di bahagian selatan China. Penduduk di kawasan ini dikatakan terdiri daripada para nelayan dan ikan adalah makanan utama atau harian mereka. Mengikut tradisi, pada hari ketujuh di bulan pertama dalam kalendar Cina, para nelayan ini akan meraikan Renri (Human’s Birthday) dengan memakan hidangan ikan mentah, hasil tangkapan mereka.
Di samping itu asal usul adat ini juga turut dikaitkan dengan beberapa legenda dan salah satunya berkaitan dengan kisah penciptaan manusia. Dikatakan bahawa manusia telah diciptakan daripada tanah lumpur (atau tanah liat) pada hari ketujuh di bulan pertama oleh Dewi Nuwa dan meraikan Renri dengan memakan hidangan salad ikan mentah ini dikatakan adalah bertujuan untuk memperingati hari lahirnya kehidupan manusia. Ensiklopedia Wikipedia pula ada menyebutkan kisah lain yang menceritakan tentang awal terciptanya hidangan ikan mentah ini oleh sepasang kekasih yang dikatakan terkandas di sebuah kuil kerana cuaca yang buruk tanpa sebarang bekalan makanan. Ada juga yang mengatakan bahawa amalan memakan ikan atau daging mentah ini telah wujud sejak zaman purba China dan dikenali sebagai kuai. Berdasarkan maklumat daripada Wikipedia dan laman web yang telah dirujuk mengenai asal usul hidangan ini, dikatakan bahawa adat kebiasaan memakan ikan mentah ini berkemungkinan besar telah dibawa oleh pendatang Cina dari wilayah Selatan China ke Malaya (Malaysia dan Singapura pada ketika itu).
Sungguhpun ada yang mengatakan hidangan ini berasal dari wilayah Selatan China dan adat memakan ikan mentah ini juga telah diamalkan oleh kaum di kawasan tersebut, namun adat menghidangkan dan memakan Yusheng sempena sambutan Tahun Baru Cina ini tidak dikenali dan tidak diamalkan di negara-negara lain seperti Hong Kong dan China. Namun adat ini hanya masyhur di Malaysia dan Singapura dan turut diamalkan oleh masyarakat Cina di negara Brunei. Berdasarkan penerangan yang didapati, Yusheng yang diamalkan pada hari ini juga mempunyai perbezaan daripada yang diamalkan dahulu. Sebagai contoh, hidangan Yusheng pada ketika ini secara praktikalnya dihidangkan pada bila-bila masa sepanjang sambutan Tahun Baru Cina; bermula dari hari pertama hingga hari terakhir sambutan tersebut sedangkan amalan dahulu mengaitkannya khusus dengan meraikan Renri. Namun sesetengah orang ada juga yang menghidangkan Yusheng dan memakannya pada hari Renri.
Dari segi bahan campuran, kedua-dua hidangan ini (Yusheng dan hidangan untuk Renri) juga berbeza. Bahan campuran Yusheng dikatakan boleh mencapai sehingga 27 bahan ataupun mengikut citarasa masing-masing dan setiap bahan campuran tersebut mempunyai maksud atau simbolisme yang dianggap baik dan membawa keberuntungan. Apa yang unik berkenaan dengan Yusheng ini juga ialah hidangan ini digaul beramai-ramai oleh orang yang duduk dalam satu meja dan setelah itu dimakan bersama. Apabila menggaul bahan-bahannya, setiap orang akan menaburkannya setinggi-tinggi yang mungkin menggunakan chopstick sehingga membuat timbunan yang tinggi. Dikatakan bahawa ketinggian timbunan dan taburan itu akan melambangkan jumlah kekayaan atau kemewahan yang akan diperolehi di tahun baru. Selain itu ketika menggaul dan menaburkan bahan-bahan tersebut, setiap orang akan mengucapkan selamat ataupun kata-kata baik atau bertuah dengan suara nyaring sebagai menyatakan hasrat masing-masing di tahun baru. Aktiviti ini dilihat sebagai aktiviti yang meriah, menyeronokkan dan penuh dengan keriangan yang biasanya dilakukan bersama ahli keluarga atau teman-teman yang rapat.
Maka berdasarkan keterangan yang ada, hidangan dan adat ini boleh dikatakan telah dibawa dari wilayah Selatan China namun telah berkembang atau berubah mengikut peredaran masa, pengaruh tempat atau keadaan sekeliling sehingga menjadi satu adat yang baru dan berbeza dari bentuk asalnya. Bahkan tujuan ia dibuat juga lebih menjurus pada meraikan kedatangan tahun baru dengan harapan beroleh kebaikan atau keberuntungan dan tidak tertumpu kepada kisah legenda yang disebutkan tadi. Apatah lagi adat ini dikatakan tidak diamalkan dan tidak diketahui oleh orang-orang Cina di tempat lain kecuali di Malaysia, Singapura dan beberapa tempat di rantau ini.
Apabila dirujuk senarai festival utama etnik Cina di Malaysia tahun 2011 melalui Portal Pusat Maklumat Rakyat, Jabatan Penerangan Malaysia, hari Renri (hari ketujuh di bulan pertama) tidak disenaraikan sebagai sambutan meraikan tuhan tertentu. Bahkan dalam artikel bertajuk Sambutan Tahun Baru Cina dari portal tersebut hanya menyatakan bahawa Yusheng adalah sejenis jamuan di Tahun Baru Cina yang mempunyai maksud simbolik yang tersendiri. Perkara ini besar kemungkinan kerana hari Renri tidak diketahui atau tidak meluas sambutannya namun tidak dinafikan kemungkinan bahawa sesetengah orang meraikan Renri dengan adat Yusheng.
Simbolisme bagi Orang-Orang Cina
Simbol dan makna-makna simbolik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan orang-orang Cina. Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh The British Museum bertajuk Chinese Symbols dan juga beberapa artikel lain mengenainya, orang-orang Cina dikatakan sangat gemar kepada simbol dan suka bermain dengan perkataan-perkataan homophones atau homonyms; iaitu perkataan-perkataan, sama ada dua perkataan ataupun lebih, yang mempunyai ejaan yang sama ataupun bunyi sebutan yang sama tetapi mempunyai makna yang berbeza.
Dalam bahasa Cina sememangnya terdapat banyak perkataan homophones dan perkataan-perkataan ini biasanya sering dikaitkan di antara satu sama lain oleh orang-orang Cina dan sekaligus mempengaruhi cara kehidupan mereka. Satu perkataan yang hakikatnya mempunyai maksud yang berbeza, menjadi berkaitan dengan perkataan lain disebabkan oleh bunyi sebutan yang sama apabila kedua-dua perkataan tersebut dituturkan. Oleh kerana itu nama-nama benda, makanan, nombor, binatang dan sebagainya, yang mempunyai bunyi sebutan yang sama dengan perkara-perkara yang baik atau yang membawa keberuntungan menjadi penting bagi mereka dan begitu juga sebaliknya.
Selain itu warna-warna, buah-buahan, bunga, binatang dan sebagainya juga mempunyai makna simbolik tersendiri yang penting bagi mereka. Antara warna yang penting bagi orang-orang Cina ialah warna merah. Warna merah bagi orang-orang Cina adalah warna tradisional bagi pengantin perempuan. Merah juga melambangkan sesuatu yang luas berkembang, maju, dinamik, serta melambangkan kebahagiaan, daya kecergasan, umur yang panjang, nasib yang baik dan seumpamanya. Di samping itu merah juga adalah lambang ataupun simbol keraian atau perayaan bagi orang-orang Cina.
Manakala buah-buahan seperti limau mandarin yang biasanya banyak dilihat apabila tiba musim sambutan Tahun Baru Cina, melambangkan kekayaan kerana sebutannya dalam Kantonis sama dengan perkataan ‘emas’. Dalam dialek Teochew pula, bunyi sebutannya sama dengan perkataan ‘tuah’ dan ‘untung’. Limau tangerin pula dikatakan melambangkan berita atau perkara yang baik kerana dalam bahasa Cina bunyi sebutannya sama seperti ‘bernasib baik’. Begitu juga dengan buah-buahan lain seperti nenas, anggur, delima dan sebagainya, masing-masing mempunyai makna tersendiri bagi orang-orang Cina. Bahkan bentuk sesuatu benda itu juga boleh membawa maksud yang tertentu bagi mereka. Umpamanya mee yang panjang dan tidak dipotong-potong melambangkan hayat yang panjang dan banyak lagi. Kesemua pengertian simbolik ini ada disebutkan dalam buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals dan beberapa artikel tentang simbolisme bagi orang-orang Cina.
Maka berdasarkan penerangan mengenai perkara ini, tidak hairanlah apabila tibanya sambutan perayaan Tahun Baru Cina, hiasan dalam dan luar rumah, sama ada hiasan tradisi atau moden untuk sambutan ini kesemuanya berwarna merah. Apatah lagi warna merah ini juga dikaitkan dengan kisah legenda bermulanya sambutan Tahun Baru Cina sebagaimana yang telah disebutkan lebih awal. Buah-buahan, bunga-bungaan, makanan, hiasan dan selainnya yang dianggap mempunyai makna baik bagi mereka juga akan dijadikan hiasan, hidangan, hadiah dan sebagainya sempena sambutan tersebut.
Apa yang dapat disimpulkan di sini, simbolisme benda-benda ini adalah penting bagi orang-orang Cina dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia juga turut mencorakkan adat serta amalan mereka sehingga menjadi sebahagian daripada kebudayaan Cina sebagaimana yang dapat dilihat pada sambutan Tahun Baru Cina.
Sambutan Tahun Baru Cina: Sambutan Keagamaan atau Kebudayaan?
Berdasarkan maklumat yang telah diperolehi setakat ini, didapati bahawa sambutan Tahun Baru Cina secara amnya boleh dikategorikan sebagai sambutan kebudayaan orang-orang Cina. Ini kerana sambutan tersebut bertujuan untuk meraikan kedatangan tahun baru berdasarkan kalendar qamari Cina dan bukan berasal dari mana-mana tuntutan, suruhan atau kepercayaan agama. Sambutan ini juga berbeza daripada sambutan perayaan yang berdasarkan kepercayaan agama seperti sambutan Hari Natal atau Krismas.
Sambutan Hari Natal atau Krismas seperti yang dimaklumi adalah hari perayaan Kristian yang jatuh pada 25 Disember menurut kalendar Masihi untuk merayakan hari kelahiran Jesus. Menurut ajaran Kristian, Jesus adalah salah satu daripada tiga uknum dalam kepercayaan Trinity yang mengatakan bahawa Tuhan itu satu dalam tiga (one God in three hypostases/substances/persons) dan Jesus menurut mereka adalah God the Son. Sungguhpun asal usul penetapan tarikh tersebut sebagai hari kelahiran Jesus tidak diketahui dan tarikh sebenar kelahirannya juga tidak diketahui dengan tepat, namun tarikh tersebut telah diterima umum sebagai hari untuk meraikan kelahirannya semenjak sekian lama lagi. Sehingga kini, sambutan Krismas disambut dengan pelbagai amalan dan tradisi sama ada berbentuk keagamaan atau adat kebiasaan. Keterangan mengenai perkara ini ada disebutkan dalam Encyclopeadia Britannica dan beberapa artikel lain.
Ini berbeza dengan sambutan Tahun Baru Cina yang disambut berdasarkan permulaan awal tahun yang jatuh pada hari pertama di bulan pertama dalam kalendar Cina, ia juga bertepatan dengan permulaan awal musim bunga dan musim bercucuk tanam. Sambutan ini juga mempunyai pelbagai kisah legenda yang dikatakan menceritakan tentang awal bermulanya sambutan tersebut dan legenda ini telah diwarisi turun temurun semenjak ribuan tahun dahulu. Apa yang diketahui, pengisian sambutannya mempunyai pelbagai bentuk termasuk berbentuk keagamaan, sembahan, adat tradisi, kebiasaan dan sebagainya.
Bahkan ada disebutkan dalam beberapa buah artikel bahawa cara atau adat sambutan Tahun Baru Cina juga berbeza bagi orang-orang Cina yang berlainan agama. Dikatakan bahawa sebelum memasuki tahun baru, mereka yang beragama Tao akan mengadakan upacara yang dipanggil ‘send gods’. Upacara ini dibuat supaya tuhan yang mencatat segala perbuatan baik dan buruk yang berlaku dalam sesebuah rumah hanya akan melaporkan perkara-perkara yang baik sahaja kepada Jade Emperor yang dianggap sebagai supreme god (tuhan yang tertinggi) menurut kepercayaan Tao.
Bagi yang beragama Konfusian, mereka akan mengadakan upacara memperingati (memorial) nenek moyang mereka dan orang-orang terhormat yang telah lama meninggal dunia pada malam tahun baru (new year’s eve). Bagi yang beragama Buddha, upacara do‘a berdasarkan kepercayaan mereka akan dilakukan. Turut juga dinyatakan bahawa penganut Buddha biasanya tidak akan memakan daging pada hari pertama kerana ini boleh memanjangkan umur mereka.
Dalam artikel yang bertajuk Celebrating Chinese New Year the Buddhist Way ada menerangkan tentang makna sambutan tahun baru bagi mereka yang beragama Buddha. Menurut artikel tersebut apabila sambutan Tahun Baru Cina yang tertumpu pada harapan atau keinginan untuk memperoleh kemewahan, kemakmuran, kekayaan dan kebahagiaan di tahun yang baru, disucikan (sanctified) dengan ajaran kepercayaan Buddha maka sambutan tersebut akan lebih bermakna dari sekadar sambutan kebudayaan biasa. Ini kerana ajaran Buddha juga tertumpu pada pencapaian genuine happiness atau kebahagiaan sebenar namun ia lebih menjurus kepada pencapaian ni‘mat atau kebahagiaan spiritual tanpa meninggalkan keni‘matan atau kebahagiaan dunia.
Maka berdasarkan penerangan ini dapat difahami bahawa, sungguhpun kedua-duanya bertujuan untuk meraih dan mencapai ni‘mat dan kebahagiaan namun menurut kepercayaan Buddha ia lebih menjurus kepada pencapaian ni‘mat atau bahagia spiritual berbanding apa yang dimaksudkan dalam sambutan tahun baru. Ini memperlihatkan bahawa sambutan Tahun Baru Cina pada dasarnya adalah sambutan kebudayaan semata-mata yang kemudiannya telah disuntik dengan unsur keagamaan. Apatah lagi telah disebutkan lebih awal bahawa budaya sambutan tahun baru adalah lebih tua dari agama-agama disebutkan di atas.
Manakala bagi yang beragama Kristian pula upacara do‘a Kristian mengikut kepercayaan mereka akan dibuat. Dalam artikel Why Chinese Christians Celebrate the Chinese New Year menyatakan bahawa orang Cina yang beragama Kristian mempunyai tradisi yang tersendiri dalam menyambut Tahun Baru Cina misalnya mengadakan church service atau spiritual service pada awal tahun baru. Menurut artikel tersebut, dengan menyambut Tahun Baru Cina, orang Cina Kristian akan dapat terus mengekalkan identiti mereka sebagai kaum Cina tanpa menjejaskan kepercayaan mereka kepada agama, tetapi sebaliknya boleh membantu dalam menguatkan kepercayaan agama mereka. Penulis artikel tersebut juga menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina pada asalnya adalah sambutan tradisi yang telah diwarisi sejak ribuan tahun dan tidak ada kaitan dengan kepercayaan agama. Namun beberapa kepercayaan heathen (pagan) telah diserap masuk ke dalam sambutan tersebut dan orang Cina Kristian sangat berhati-hati dalam membezakan di antara kepercayaan pagan dan kepercayaan agama mereka dalam meraikan sambutan tersebut.
Maka berdasarkan keterangan ini jelaslah bahawa sambutan Tahun Baru Cina itu adalah sambutan kebudayaan yang disambut oleh orang-orang Cina pelbagai agama dengan cara tersendiri.
Apa yang jelas sehingga kini, sambutan tahun baru dianggap oleh orang-orang Cina sebagai satu lambang kepada permulaan yang baru, kerana itu sambutan ini sangat penting bagi mereka. Perkara-perkara tertentu yang melambangkan kebaikan atau keberuntungan boleh dikatakan telah menjadi tema dalam adat serta amalan sambutan tersebut; baik dari segi perbuatan, amalan, perhiasan, makanan dan seumpamanya. Sesetengah daripada adat atau amalan sambutan Tahun Baru Cina ini pula, pada awalnya mempunyai unsur kepercayaan tahyul sebagaimana yang disebutkan. Namun secara beransur-ansur, unsur kepercayaan tahyul ini telah tidak dititik beratkan lagi dalam sambutan tersebut. Lebih-lebih lagi dengan adanya pengaruh budaya asing terutama sekali budaya Barat yang telah banyak mempengaruhi adat tradisi sambutan tersebut pada masa kini. Namun sesetengah orang, terutama sekali generasi lama, mungkin sahaja masih berpegang kepada kepercayaan lama tersebut.
Manakala berkenaan dengan jenis hiasan yang ditanyakan, kesemuanya itu adalah terdiri daripada hiasan sambutan Tahun Baru Cina yang telah menjadi adat tradisinya. Kebanyakan daripadanya mempunyai maksud berkaitan dengan menyatakan hasrat atau keinginan yang diharapkan di tahun baru yang berupa kebaikan, keberuntungan, kemewahan dan seumpamanya. Ada juga di antaranya hanya merupakan hiasan semata-mata. Dalam perkara seperti hiasan, makanan, hadiah dan selainnya yang bersempena tahun baru juga banyak berkait rapat dengan kecenderongan orang-orang Cina terhadap simbol sebagaimana yang telah diterangkan.
Tarian Singa atau Lion Dance
Sungguhpun demikian ada di antara pengisian Tahun Baru Cina ini yang berunsurkan keagamaan dan salah satu yang telah dikeluarkan fatwa mengenainya ialah Tarian Singa atau Lion Dance. Berdasarkan fatwa Mufti Kerajaan Brunei, Tarian Singa ditegah untuk ditontonkan kepada orang awam di negara ini yang majoritinya adalah beragama Islam. Ini kerana Tarian Singa itu mempunyai pertalian dengan kepercayaan agama Buddha yang juga merupakan salah satu agama terbesar bagi orang-orang Cina.
Tarian Singa ini biasanya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina dan juga pada majlis-majlis kebudayaan, keagamaan serta acara-acara penting seperti majlis perkahwinan, majlis pembukaan, untuk meraikan tetamu istimewa dan sumpamanya. Mengadakan Tarian Singa dipercayai boleh membawa tuah (luck) dan kebahagiaan di samping dipercayai juga boleh menjauhkan kejahatan atau roh-roh jahat.
Walaupun asal usul sebenar tarian ini tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun beberapa perkara dapat memberi penjelasan mengenainya. Pertama, berkenaan dengan sejarah yang mengatakan bahawa tarian ini berasal daripada kebudayaan Parsi atau India yang dibawa masuk bersama utusan dari negara tersebut yang kemudiannya telah diserap masuk ke dalam kebudayaan Cina. Bahkan dikatakan juga bahawa binatang singa itu sendiri bukanlah haiwan asli tanah China tetapi telah dibawa masuk dan dihadiahkan kepada pemerintah China. Kedua pula ialah berkenaan dengan upacara tahunan pembersihan istana diraja secara fizikal dan spiritual. Untuk melakukan pembersihan secara spiritual atau untuk menghalau semangat atau roh jahat, dua belas orang berpakaian seperti binatang-binatang yang dianggap suci (sacred) akan mengelilingi istana dan salah satu haiwan yang dipilih adalah singa kerana sifatnya yang garang.
Di samping itu, singa juga sering digunakan untuk menghalau roh-roh jahat oleh penganut Buddha yang serba sedikit mempunyai persamaan dengan kepercayaan orang-orang Cina. Singa juga dianggap sebagai simbol bodhisattvas (sons of Buddha atau Buddha’s Lions) iaitu mereka yang telah mencapai tahap spritual yang tertinggi menurut ajaran Buddha. Selain itu singa juga dianggap sebagai pelindung menurut ajaran Buddha. Maka pengaruh kepercayaan Buddha ini dapat dilihat pada kepercayaan orang-orang Cina terhadap tarian tersebut. Apatah lagi ada dinyatakan dalam kertas kajian bertajuk The Lion Dance: Myths and Meanings, bahawa Tarian Singa yang mempunyai pertalian kuat dengan seni mempertahankan diri Gung Fu atau Kung Fu, pada awalnya mula diajarkan dan berkembang di sebuah kuil Buddha, yang juga merupakan sekolah seni mempertahankan diri. Penulis kertas ini juga menyebutkan bahawa tarian tersebut mempunyai pertalian dengan agama Buddha dan perkara ini menurutnya kurang diketahui oleh umum.
Oleh kerana itu mengadakan Tarian Singa di khalayak ramai adalah dilarang kerana ia perkara aqidah bagi penganut Buddha dan tidak syak lagi adalah perkara kufur dan mungkar yang jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam. Ia hanya dibenarkan di tempat-tempat tertentu seperti tempat kediaman dan rumah ibadat mereka tanpa menzahirkannya kepada orang ramai, bersesuaian dan bertepatan dengan kehendak syara‘ seperti yang telah disebutkan dalam fatwa Mufti Kerajaan serta peraturan yang berjalan di negara ini.
Yusheng atau Yee Sang
Manakala kedudukan Yusheng atau Yee Sang pula terbahagi kepada dua keadaan. Pertama ialah adat Yusheng yang berteraskan kepercayaan, dibuat sempena menyambut Tahun Baru Cina yang dianggap sebagai simbol kemakmuran, kemewahan dan keberuntungan dan yang kedua pula ialah Yusheng yang bulat-bulat berkaitan dengan sebuah legenda lama tentang penciptaan manusia oleh seorang dewi dan dibuat untuk meraikan peristiwa tersebut.
Berdasarkan penerangan di atas, Yusheng dalam keadaan pertama adalah sebagai adat yang disandarkan kepada kepercayaan, manakala dalam keadaan kedua pula mengandungi perkara kufur, iaitu memberi penghormatan kepada seorang dewi dan dibuat untuk meraikan peristiwa penciptaan manusia oleh dewi tersebut. Kedua-dua keadaan adalah tetap berkaitan tidak sesuai dilakukan di kalangan orang awam lebih-lebih lagi untuk disertai oleh orang-orang Islam, kerana ada unsur yang menyalahi ajaran Islam. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu dan khusus, penganut adat dan ajaran ini dibolehkan berkumpul sesama mereka untuk merayakannya tanpa dilihat atau ditonton oleh orang awam yang kebanyakannya adalah beragama Islam.
Maka berdasarkan keterangan ini, sambutan perayaan Tahun Baru Cina adalah sambutan perayaan kebudayaan orang-orang Cina sebagaimana banyak disebutkan dalam buku-buku yang dirujuk. Dari segi pengisian pula, ada di antaranya hanya merupakan adat semata-mata dan ada juga yang berunsurkan ajaran atau kepercayaan agama. Apa yang boleh dikatakan ialah pengisian sambutan tersebut mempunyai pelbagai unsur dan bentuk yang telah dianggap sebagai sebahagian sambutan Tahun Baru Cina.
Namun perlu juga diketahui bahawa ada di antara adat atau amalan dalam sambutan perayaan ini telah berkembang dan berubah daripada apa yang diamalkan dahulu sebagaimana telah diterangkan di atas. Bahkan cara melaksanakan sesuatu adat atau amalan itu boleh sahaja berbeza dari satu kelompok dengan kelompok yang lain ataupun dari satu tempat dengan tempat yang lain. Faktor kemodenan pada masa kini juga adalah antara sebab utama perubahan adat, pemikiran dan cara hidup itu berlaku, apatah lagi bagi generasi masa kini.
Merujuk kepada keterangan yang diperolehi dan juga penerangan kertas kerja yang disertakan mengenai adat atau amalan kaum Cina di negara ini, hiasan-hiasan seperti gambar, tanglung, tulisan-tulisan, simbol-simbol yang biasa digantung ketika musim perayaan tahun baru dan juga lampu-lampu cucul adalah adat semata-mata. Setakat yang didapati, perkara-perkara ini bukanlah berasal daripada ajaran mana-mana agama atau berunsurkan penyembahan dan seumpamanya. Segala perhiasan tersebut biasanya akan dapat dilihat sekitar musim perayaannya sahaja dan akan disimpan semula apabila sambutan tersebut berakhir. Bahkan secara umum, perhiasan tersebut hanyalah hiasan yang menandakan tibanya Tahun Baru Cina.
Begitu juga halnya dengan amalan kunjung-mengunjungi, pemberian hadiah wang dan ucapan selamat sempena sambutan tersebut yang merupakan sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh orang-orang Cina dalam menyambut tahun baru sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Perkara ini dari keterangan mengenainya bukanlah ia perkara agama atau ibadat bagi mereka, melainkan hanyalah amalan yang mereka reka dengan mempunyai maksud tersendiri. Manakala amalan Yusheng yang ditanyakan penyoal, boleh dikategorikan sebagai sebahagian adat yang berunsur kepercayaan.
Secara ringkasnya bentuk pengisian dan amalan seperti menggantung gambar, tanglung, tulisan-tulisan, simbol-simbol, kain berwarna merah, memasang lampu-lampu cucul dan jenis-jenis perhiasan yang disebutkan awal-awal tadi adalah adat semata-mata. Manakala pengisian lain seperti Tarian Singa pula adalah berunsur kepercayaan agama, khususnya agama Buddha.
Apa yang jelas, syara‘ telah pun menggariskan apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang bagi orang bukan Islam yang menetap di negara Islam dan perkara ini pernah disebutkan dalam fatwa Mufti Kerajaan yang telah dikeluarkan sebelum ini. Ketetapan syara‘ tersebut adalah bertujuan untuk menjaga kemashlahatan agama Islam serta penganutnya agar tidak berlaku pencemaran aqidah dan menjejaskan keharmonian bernegara.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12486
