Bersuci Menggunakan Sabun Sertu dan Debu Tanah Tayammum
Soalan: Pada masa kini telah ada di pasaran, produk sabun sertu dan debu tanah tayammum untuk kegunaan bersuci. Memadaikah bersuci menggunakan sabun sertu dan debu tanah tayammum tersebut?
Jawapan: Setelah membaca dokumen-dokumen yang disertakan, sukacita dijelaskan di sini bahawa terdapat penggunaan istilah-istilah syara‘ yang tidak tepat seperti samak, sertu dan tayammum yang boleh mengundang kekeliruan terutama kepada orang awam dalam memahami maksudnya yang sebenar. Sekalipun ketiga-tiga perkataan ini mempunyai maksud dan hukumnya yang tersendiri namun tujuannya adalah sama iaitu menghendaki kesucian.
Untuk lebih jelas lagi, eloklah dihuraikan satu-persatu maksud perkataan samak, sertu dan tayammum itu.
Samak
Perkataan “samak” adalah terjemahan kepada perkataan Arab iaitu ad-dibâgh. Ad-dibâgh menurut istilah syara‘ ialah menghilangkan bau busuk dan lembapan daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan-bahan tertentu. Ini bermakna istilah samak itu tidak tepat untuk merujuk kepada perbuatan membersihkan tempat yang terkena najis mughallazhah. Menurut al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâh menyamak atau men‘dibâgh’ (kulit binatang) ialah menghilangkan kotoran-kotorannya yang berupa cairan dan lembapan yang melekat pada kulit binatang, kerana jika tidak dibersihkan atau dibuang ia akan menyebabkan kulit tersebut menjadi berbau busuk dan rosak. Kulit yang disamak itu dianggap suci apabila kulit tersebut direndam semula ke dalam air ia tidak akan berbau busuk semula atau rosak.
Kulit bangkai binatang selain anjing dan babi yang disamak boleh menjadi suci sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila kulit (binatang) disamak, maka ia menjadi suci.” (Hadits riwayat Muslim)
Dalam riwayat lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apa jua kulit binatang disamak, maka ia menjadi suci. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Cara Menyamak Kulit Binatang
Ulama mazhab asy-Syafi‘i mengharuskan semua kulit disamak sama ada kulit binatang yang boleh dimakan atau sebaliknya kecuali kulit anjing dan babi. Begitu juga kulit manusia, ia tidak boleh disamak, bahkan haram menyamaknya dan menggunakannya. Ini kerana manusia itu mempunyai kemuliaan dan kehormatannya yang diberikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. (Surah al-Isrâ’: 70)
Adapun cara membersihkan kulit yang diambil daripada bangkai binatang selain kulit anjing dan babi adalah dengan menyamaknya, iaitu menghilangkan segala lendir dan lembapan yang melekat pada kulit.
Manakala bahan yang digunakan untuk menyamak ialah sesuatu yang rasanya kelat atau kesat di lidah. Jika bahan-bahan tersebut terkena lidah, maka ia akan terasa sangat pedih. Sebagai contoh seperti daun akasia (qarazh), manjakani (‘afsh), kulit delima (qusyûr ar-rummân) dan tawas (asy-syabb).
Tidak semestinya bahan yang digunakan itu terdiri daripada benda-benda yang suci, malahan tidak mengapa (harus) menurut hukum syara‘, jika bahan yang digunakan untuk menyamak itu terdiri daripada benda yang najis seperti tahi burung merpati. Apa yang penting, bahan yang digunakan itu dapat mengeringkan kelembapan kulit dan menghilangkan kotoran dan baunya yang busuk.
Semua kotoran dan najis yang ada pada kulit mestilah dihilangkan. Namun, sesuatu yang ada di atas kulit bangkai seperti bulu tidak akan menjadi suci sekalipun ia disamak. Oleh itu, bulu tersebut hendaklah dicabut atau dihilangkan daripada kulit tersebut. Walau bagaimanapun jika bulu itu ada tertinggal sedikit dan susah hendak menghilangkan keseluruhannya, maka ia adalah dimaafkan.
Oleh yang demikian, adalah tidak memadai menyamak itu dengan hanya menjemur kulit binatang itu di bawah panas terik cahaya matahari, melumurnya dengan tanah, membekukan dan memasinkannya sahaja, kerana cara-cara tersebut tidak mampu membuang segala kotoran yang ada pada kulit, sekalipun kulit itu kering dan harum baunya. Tanda yang menunjukkan bahawa kotoran itu tidak hilang ialah jika kulit itu direndam atau terjatuh ke dalam air, pasti bau busuk akan kembali semula.
Perlukah Dibasuh dengan Air Setelah Disamak?
Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘i, tidak disyaratkan membasuh dengan air ketika kulit sedang disamak, tetapi wajib membasuhnya dengan air selepas disamak. Ini bertujuan supaya kotoran selepas disamak itu akan hilang.
Sertu
Sertu bermaksud menyucikan atau membasuh mana-mana bahagian badan atau tempat yang terkena najis mughallazhah iaitu najis yang bersumber daripada anjing dan babi atau mana-mana keturunan atau campuran salah satu daripada binatang anjing atau babi dengan binatang lain. Caranya ialah membasuh tempat yang terkena najis itu dengan air sebanyak tujuh kali cucian yang salah satu daripadanya ialah dengan air yang bercampur tanah.
Cara Membersihkan Najis Mughallazhah
Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah itu ialah dengan menghilangkan terlebih dahulu zat (‘ain) najis kemudian diikuti dengan sertu iaitu dibasuh sebanyak tujuh kali cucian dengan air muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut kemudian meratakannya pada bahagian atau tempat yang terkena najis tadi.
Menurut as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh, terdapat tiga cara untuk melakukan cucian tempat yang terkena najis mughallazhah.
1. Mencampurkan tanah dengan air terlebih dahulu sebelum menyiramkan air bercampur tanah itu pada tempat yang terkena najis.
2. Menyiram tempat yang terkena najis itu dengan air terlebih dahulu, kemudian barulah meletak tanah untuk mencampurkan kedua-duanya.
3. Meletakkan tanah terlebih dahulu di tempat yang terkena najis itu, kemudian barulah disiram dengan air untuk mencampurkan kedua-duanya.
Salah satu daripada ketiga-tiga cara di atas adalah memadai untuk menyucikan tempat yang terkena najis mughallazhah dengan syarat benda najis atau cairannya yang ada pada tempat tersebut dihilangkan terlebih dahulu sebelum membasuhnya. Namun cara yang pertama adalah cara yang lebih afdhal.
Tanah untuk Sertu Tanah yang digunakan dalam proses sertu adalah tanah asli sama ada tanah liat atau tanah lumpur sekalipun debu pasir dengan syarat tanah tersebut hendaklah bersih daripada najis. Adapun tanah yang tidak memadai untuk digunakan dalam sertu ialah: 1. Tanah musta‘mal: (tanah yang telah digunakan) kerana hadats atau najis. 2. Tanah yang dibakar. 3. Tanah yang mutanajjis (terkena najis) sama ada najis ‘aini atau najis hukmi. Najis ‘aini ialah zat (‘ain) najis tersebut atau sifat; iaitu rasa, warna dan bau yang boleh dikesan dengan pancaindera. Najis hukmi pula ialah zat (‘ain) najis dan sifatnya yang tidak boleh dikesan dengan pancaindera, oleh sebab tersembunyi, tidak kelihatan atau hilang kesan najis tersebut; seperti air kencing yang telah kering dan hilang baunya. 4. Tanah yang dicampur dengan cecair lain seperti cuka yang mengubah sifat air bercampur tanah.
Bolehkah Sertu dengan Selain Tanah? Tidak memadai melakukan sertu dengan menggunakan selain tanah umpamanya dengan menggunakan sabun atau cecair atau bahan pencuci moden. Ini bererti apa jua benda, sekalipun ia berfungsi menghilangkan atau menanggalkan kotoran dengan berkesan, jika ia bukan berupa tanah, ia masih tidak dapat menggantikan kedudukan tanah dalam sertu. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Sabun, usynân (bahan pembersih) dan apa jua yang seumpama kedua-duanya tidaklah dapat menggantikan tempat tanah (dalam sertu) menurut pendapat al-ashah. Dan tidak ada perbezaan (hukum) di antara adanya tanah dan ketiadaannya menurut pendapat al-ashah. Asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula mengatakan:
Ertinya: Maka tidaklah dengan ketiadaannya (tanah) atau penambahan dalam (bilangan) pencucian (lebih daripada tujuh kali) dapat menggugurkan (penggunaan) tanah.
Berdasarkan keterangan ini, penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah tidaklah memadai dengan benda-benda lain sebagai ganti kepada tanah, sekalipun ketika tidak diperolehi tanah. Pencucian dengan tanah hendaklah dilakukan dengan cara tatrîb iaitu mencampur air dengan tanah. Namun tatrîb boleh digantikan dengan air yang sedia keruh seperti air sungai Nil dan air mengalir yang telah bercampur dengan tanah, sebagaimana yang disebut oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan menggantikan kedudukan tatrîb (percampuran air dengan tanah) ialah air yang keruh seperti air sungai Nil pada hari-hari airnya pasang dan seperti air yang mengalir yang telah bercampur dengan tanah.
Seterusnya menurut pengarang kitab itu lagi, adapun cara pencucian najis mughallazah dengan menggunakan kaedah tatrîb ada dua cara.
Pertama: Jika air yang keruh itu merupakan air yang tenang (tidak mengalir) dan banyak, maka memadailah dengan merendamkan dan menggerakkan benda yang terkena najis itu sebanyak tujuh kali sebagaimana katanya:
Ertinya: Pada (keadaan) air yang banyak (dan) tenang (tidak mengalir) dengan digerakkannya tujuh kali dan direndamkannya akan menjadi suci.
Kedua: Jika air yang keruh itu merupakan air yang mengalir, maka memadailah dengan cara mengalirkan air ke atasnya sebanyak tujuh kali sebagaimana katanya:
Ertinya: Atau pada air yang mengalir dengan (cara) mengalirkan ke atasnya tujuh kali.
Tayammum
Tayammum ialah perbuatan menyapukan debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudhu’ atau mandi wajib kerana ketiadaan air atau berlakunya halangan menggunakan air misalnya anggota wudhu’ yang luka yang tidak boleh terkena air atau anggota wudhu’ yang berbalut atau bertampal yang menghalang daripada masuk air.
Cara Tayammum
Cara bertayammum ialah dengan menepukkan kedua-dua belah telapak tangan kepada debu tanah yang suci, kemudian berniat dan hendaklah berkekalan niat itu sehingga sampai menyapukannya ke muka.
Setelah itu, menepukkannya sekali lagi ke atas debu tanah yang suci, kemudian menyapukannya pada kedua-dua belah tangannya dari hujung jari hingga ke siku.
Caranya bermula dengan menyapu tangan kanan hingga ke siku, iaitu dengan meletakkan perut jari-jari tangan kirinya (selain daripada perut ibu jarinya) sekira-kira bahagian hujung jari-jari tangan kanannya tidak terkeluar atau tidak melimpasi jari telunjuk tangan kirinya. Maka lalukanlah perut jari-jarinya itu pada belakang tapak tangannya yang kanan. Apabila sampai di pergelangan tangan, maka dirapatkan kesemua hujung jarinya itu pada tepi lengannya dan dilalukannya hingga sampai ke sikunya. Kemudian diedarkannya pula perut tapak tangan kirinya itu ke perut lengan tangan kanannya, seterusnya dilalukannya ke atas perut lengannya itu dengan ibu jari tangan kirinya terangkat. Apabila sampai di pergelangan tangannya, maka dilalukannya perut ibu jari tangan kirinya itu di atas belakang ibu jari tangan kanannya.
Setelah itu disapu pula tangan kiri sebagaimana cara yang dilakukan semasa menyapu tangan kanan. Kemudian disapukan salah satu perut tapak tangan serta kesemua perut jari-jarinya ke atas perut satu yang lain serta kesemua jari-jarinya dan diselat-selatkan di antara jari-jari kedua-dua tangannya.
Tanah untuk Tayammum
Tanah yang digunakan untuk bertayammum itu termasuklah tanah kuning, tanah coklat, tanah merah, tanah hitam dan tanah putih.
Adapun tanah itu ada lima syarat: Ia hendaklah suci, menyucikan, kering, berdebu dan tidak bercampur dengan benda lain.
Khusus bagi tanah yang digunakan untuk bertayammum, syarat tanah yang hendak digunakan tidak boleh bercampur dengan benda asing sekalipun ia suci dan sedikit. Berbeza dengan tanah yang digunakan untuk sertu, tidak mengapa menggunakan tanah yang bercampur dengan sedikit benda asing yang suci kecuali benda asing yang suci itu menjejaskan sifat air (air yang bercampur tanah).
Maka tidak sah bertayammum dengan tanah yang terkena najis, tanah yang tidak berdebu dan tanah musta‘mâl (tanah yang telah digunakan) sebelumnya untuk bertayammum.
Walau bagaimanapun sah bertayammum dengan pasir yang berdebu yang tidak melekat pada anggota badan sekalipun pasir halus, namun tidak sah tayammum dengan pasir sekalipun halus yang tidak berdebu atau mempunyai debu akan tetapi pasir itu melekat pada anggota badan. Ini kerana pasir itu akan menghalang tanah dari sampai ke anggota badan.
Tayammum juga tidak sah dengan hasil galian seperti minyak, sulfur (belerang), kapur dan habuk tembikar kerana ia tidak termasuk dalam jenis tanah. Begitu jua tidak sah bertayammum dengan tanah yang bercampur dengan tepung dan sebagainya seperti bunga saffron dan simen kerana ia akan menghalang tanah dari sampai ke anggota badan.
Keadaan Jika tidak Didapati Air dan Tanah
Syarat dalam penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah hendaklah dengan menggunakan air dan juga tanah. Semua jenis tanah sama ada debu tanah, tanah liat atau tanah lumpur dan dari mana sekalipun ia didapati, boleh digunakan dalam sertu dengan syarat tanah tersebut hendaklah bersih daripada najis dan belum digunakan untuk membersihkan najis. Tanah tidak boleh ditukar ganti dengan yang lain seperti sabun, tepung dan sebagainya sekalipun tanah tidak didapati di sesebuah tempat seperti di Kutub Utara.
Oleh yang demikian, jika tidak didapati air mahupun tanah sama ada untuk membersihkan najis mughallazhah atau untuk bertayammum, menurut qaul jadîd sembahyang fardhu tetap wajib dilakukan sebagai menghormati waktu dan diwajibkan mengulangi sembahyang fardhu itu apabila didapati air dan tanah kerana keuzuran yang seumpama ini jarang berlaku dan tidak berlaku secara berkekalan.
Ini bererti apa jua benda yang bukan berupa tanah tulin, ia tidak dapat menggantikan kedudukan tanah dalam sertu dan tayammum.
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, maka hukum menggunakan produk sabun sertu dan debu tanah tayammum, sama ada ia memadai atau tidak adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah diterangkan terutama sekali pada syarat tanah yang digunakan. Adapun khusus bagi tanah untuk kegunaan sertu, jika tanah tersebut bercampur dengan sedikit bahan asing yang suci, adalah memadai dengan syarat percampuran itu tidak mengubah sifat air bercampur tanah seperti air tersebut menjadi berbau harum atau berbuih dan seumpamanya.
Manakala bagi tanah atau debu untuk kegunaan tayammum pula, hendaklah ia debu tanah semata-mata dan tidak boleh bercampur dengan bahan asing sekalipun ia suci dan sedikit. Ini bererti, jika terdapat bahan asing yang suci di dalamnya, maka tanah atau debu tersebut tidak memadai untuk digunakan dalam bertayammum.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12491
