Conjugal Visit
Soalan: Sepasang suami isteri baharu sahaja berkahwin, malangnya beberapa hari setelah bernikah si suami telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang berlaku 4 tahun sebelumnya dan menerima hukuman penjara selama 15 tahun. Kedua-dua suami isteri ini tidak berhasrat untuk bercerai, malah si isteri walaupun baru mengetahui akan hal suaminya selepas bernikah tetap menyokong dan akan bersama suami memandangkan si suami telahpun lama bertaubat. Sepanjang perkenalan, mereka berkelakuan baik dan malah telah sempat menunaikan fardhu haji.
Dalam hal ini, dipohonkan pandangan Pehin Mufti adakah Islam memberi sebarang bentuk sokongan bagi kedua-dua suami isteri tersebut mempertahankan rumahtangga mereka, umpamanya dengan memberikan conjugal visit sepertimana yang dilaksanakan oleh sesetengah negara luar?
Jawapan: Menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan perkataan conjugal diertikan sebagai suami isteri dan conjugal rights pula diertikan sebagai hak-hak suami isteri. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar mengertikannya sebagai perkara yang berkaitan tentang perkahwinan.
Berdasarkan maklumat dari laman web e-fatwa JAKIM dan beberapa artikel lain mengenai hal ini, conjugal visit dapat diertikan sebagai satu program lawatan berjadual yang diberikan kepada tahanan penjara dalam tempoh tertentu untuk mereka meluangkan masa dengan pelawat tertentu secara tertutup atau peribadi. Pelawat yang dibenarkan untuk berjumpa tahanan dalam lawatan ini ialah pasangan yang sah bagi tahanan tersebut iaitu suami atau isteri ataupun ahli keluarga terdekat. Dalam laman web e-fatwa, lawatan seumpama ini dinamakan Program Penyatuan Semula Keluarga Penghuni Jabatan Penjara Malaysia. Di Amerika Syarikat, lawatan seumpama ini juga dikenali sebagai extended family visits.
Tempoh perjumpaan atau lawatan yang diberikan adalah tertakluk kepada peraturan setiap penjara. Ada yang memberikan tempoh 1 jam dan ada juga yang memberikan tempoh hingga 48 jam. Lawatan ini biasanya berlangsung di tempat yang dikhaskan seperti bilik khusus, kabin kecil atau yang seumpamanya dengan diberikan kemudahan asas. Dalam lawatan ini kedua-dua pasangan suami isteri dibenarkan untuk tinggal di tempat tersebut dan untuk mengadakan hubungan suami isteri.
Menurut artikel bertajuk States that Allow Conjugal Visits, lawatan seperti ini telah dibenarkan atas dasar untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan sekaligus meningkatkan peluang kejayaan bagi tahanan untuk kembali kepada kehidupannya dan bercampur semula dengan masyarakat, setelah dia dibebaskan dari penjara kelak. Di samping itu perjumpaan atau lawatan ini juga mensyaratkan tahanan yang layak untuk mendapat keistimewaan ini mempunyai rekod kelakuan yang baik dalam penjara. Mereka yang berhak untuk melawat tahanan juga dikehendaki mematuhi syarat tertentu sebelum dibenarkan masuk. Pihak penjara juga berhak untuk menolak pelawat yang tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan.
Di sesetengah penjara di negara Barat program lawatan ini diberikan kepada semua tahanan yang sudah berkahwin, berkeluarga atau mempunyai pasangan yang dii‘tiraf di sisi undang-undang termasuk pasangan sejenis.
Hubungan Suami Isteri Ketika Dalam Tahanan Menurut Pandangan Islam
Conjugal visit seperti yang dipraktikkan oleh sesetengah pusat tahanan atau penjara di beberapa buah penjara di negara-negara tertentu sememangnya tidak ada disebut secara khusus dalam nash al-Qur’an ataupun hadits. Namun perkara ini ada disentuh oleh para fuqahâ’ dalam kitab-kitab fiqh, termasuklah kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘i.
Antara kitab yang ada menyebutkan mengenai hal ini ialah kitab Raudhah ath-Thâlibîn karangan Imam an-Nawawi Rahimahullâh yang telah menaqalkan beberapa fatwa mengenainya. Antara fatwa yang telah dinaqal oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullâh apabila dia disoal mengenai keadaan orang yang dipenjara, sama ada mereka ini ditegah dari menunaikan sembahyang Jumaat, istimtâ‘ (bersenang-senang) dengan isteri dan berbual dengan kawan-kawannya.
Maka Imam al-Ghazali Rahimahullâh telah menjawab bahawa dalam menegah istimtâ‘ dan berbual-bual dengan kawan bagi orang yang dipenjarakan, kedua-duanya itu tertakluk kepada qadhi atau hakim untuk memutuskannya. Menurutnya lagi tahanan tidak boleh ditegah dari menunaikan sembahyang Jumaat kecuali terdapat mashlahat pada larangan tersebut menurut pandangan qadhi atau hakim.
Namun Islam juga membenarkan tahanan ditegah dari melakukan istimtâ‘ ketika dalam tahanan jika terdapat kebaikan atau mashlahat pada larangan tersebut. Perkara ini ada disebutkan dalam kitab Asnâ al-Mathâlib karangan Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh yang menyatakan bahawa qadhi boleh menegah orang yang dipenjarakan dari melakukan istimtâ‘ bersama isteri jika dia mendapati terdapat mashlahat padanya. Perkara yang sama juga ada disebutkan dalam kitab Hâsyiah al-Jamal ‘ala al-Manhaj dan kitab Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah.
Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh juga menyatakan dengan jelas bahawa:
Ertiya: Dan tidak berdosa orang yang dipenjarakan meninggalkan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah dan boleh bagi qadhi menegah orang yang dipenjarakan itu daripada mengerjakan kedua-duanya (sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah) jika dia melihat terdapat mashlahat padanya dan begitu juga dari istimtâ‘ (bersenang-senang) dengan isteri dan berbual-bual dengan kawan-kawan. Tetapi tidak ditegah isteri untuk masuk ke penjara jika ada hajat.
Bahkan menurut huraian lanjut daripada perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang telah dibuat oleh Imam asy-Syibramalisi Rahimahullâh, isteri juga tidak wajib menunaikan permintaan ini kecuali dengan keadaan atau syarat tertentu:
Ertinya: (…dan begitu juga (ditegah) dari istimtâ‘ atau bersenang-senang dengan isteri) Berkata Ibnu Hajar: “Dan tidak wajib bagi seorang isteri untuk mematuhi permintaan tersebut dengan (pergi) ke penjara kecuali jika ada tempat penginapan yang bersesuaian di tempat tersebut sekiranya diminta isteri untuk tinggal di dalamnya sebagaimana yang jelas (dari perkara ini).”
Manakala hajat yang dimaksudkan di sini misalnya ialah membawakan makanan sebagaimana disebut dalam kitab Asnâ al-Mathâlib. Di samping isteri, kawan-kawan juga tidak ditegah untuk masuk jika terdapat hajat sepertimana yang dihuraikan oleh Imam asy-Syibramalisi Rahimahullâh:
Ertinya: (Tetapi tidak ditegah (isteri) untuk masuk ke penjara jika ada hajat) iaitu isteri dan begitu juga kawan-kawan.
Selain daripada pendapat di atas, terdapat juga pendapat yang menegah tahanan daripada melakukan istimtâ‘. Antaranya fatwa yang dinaqal oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh daripada shahib asy-Syamil, yang menyatakan bahawa tahanan adalah ditegah daripada melakukan istimtâ‘ dengan isteri tetapi tidak ditegah daripada dijumpai atau dilawati oleh isterinya jika ada hajat seperti menghantarkan makanan dan seumpamanya.
Daripada pendapat para ulama ini dapat difahami bahawa sungguhpun hubungan suami isteri itu adalah hak dan tanggungjawab suami isteri terhadap satu sama lain yang telah disyariatkan Islam, namun apabila berada dalam tahanan atau penjara, qadhi atau pihak yang berkuasa boleh menegah istimtâ‘ atau hubungan suami isteri bagi para tahanan jika terdapat mashlahat pada tegahan tersebut menurut penilaiannya. Berdasarkan pendapat ulama ini juga difahami bahawa perkara ini tertakluk kepada adanya tempat bersesuaian bagi perjumpaan suami isteri tersebut kerana jika tidak ada tempat-tempat yang bersesuaian itu, maka isteri tidak wajib melakukannya.
Oleh itu conjugal visit yang juga memperuntukkan masa bagi suami isteri untuk bersama dalam penjara juga mengikut hukum yang sama seperti yang telah disebutkan di atas. Maka perlaksanaan atau penegahan program lawatan seumpama ini adalah tertakluk kepada kebenaran dan budi bicara daripada pihak berkuasa kerana menurut pandangan Islam, qadhi iaitu pihak yang berkuasa menjalankan hukum, boleh menegah atau membenarkan istimtâ‘ atau hubungan suami isteri bagi tahanan penjara jika ada mashlahat menurut pertimbangannya dan dengan mengambil kira adanya tempat atau kemudahan yang sesuai bagi tujuan tersebut.
Adakah Conjugal Visit Perlu Diwujudkan Bagi Tahanan?
Untuk mengadakan program besar seperti program conjugal visit ini memerlukan penilaian dan penelitian yang kemas dan teratur. Apatah lagi program ini melibatkan banyak pihak dan membabitkan pelbagai aspek dan isu seperti peraturan dan polisi pusat penjara, undang-undang negara, isu keselamatan, prasarana dan sebagainya. Kesan baik dan buruknya juga perlu dilihat dari semua sudut dan bukan hanya dinilai dari satu sudut sahaja.
Sekiranya perkara ini boleh dilaksanakan dengan baik dan boleh mendatangkan manfaat, maka Islam sangat menggalakannya sesuai dengan tuntutan tanggungjawab suami isteri. Tetapi seandainya dengan pelaksanaan perkara ini boleh mendatangkan kesan negatif ataupun terdapat halangan yang tidak dapat di atasi untuk melaksanakannya dengan baik sehingga mendatangkan mudharat, keaiban atau kesan buruk yang lainnya, maka perkara ini perlu dielakkan ataupun tidak dilaksanakan.
Khusus mengenai dengan conjugal visit yang dikatakan tidak ada diberikan kepada para tahanan yang berkahwin sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh penanya, perkara ini mungkin sahaja berkaitan dengan peruntukan undang-undang yang berjalan sekarang serta berkaitan dengan persediaan, kelengkapan, prosedur lawatan dan selainnya yang belum tersedia untuk melaksanakannya dengan baik dan sesuai dengan aturan yang disebutkan di atas.
Maka dalam keadaan ini yang dapat dilakukan oleh si isteri ialah untuk bersabar dan menunggu dengan tabah sehingga suami selesai menjalani hukuman. Sekiranya isteri tidak dapat bersabar atau tidak tertunggu suaminya selesai menjalani hukuman berkenaan atas alasan tertentu maka perkara ini wajar dirujukkan terlebih dahulu kepada pihak mahkamah syari‘ah dan meminta pandangan tentang cara untuk menyelesaikannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12496
