Deposit Tetap (Fixed Deposit) Tabung Badan Kebajikan Agama dan Sukan (BKAS)
Soalan: Badan Kebajikan Agama dan Sukan (BKAS) syarikat Setia Protective Security Services Sendirian Berhad (SPSS Sdn Bhd) mempunyai Simpanan Tetap (Fixed Deposit) sebanyak B$15,000.00 yang dikumpulkan pada Jun 2005. Setakat bulan Mei 2017, jumlah tersebut telah bertambah menjadi B$17,747.25 (Ringgit Brunei: Tujuh Belas Ribu Tujuh Ratus Empat Puluh Tujuh Ringgit dan Sen Dua Puluh Lima Sahaja). Persoalannya:
a. Adakah wang tersebut boleh digunapakai oleh ahli BKAS sekarang sedangkan wang tersebut merupakan simpanan tetap ahli BKAS tahun 2005?
b. Apakah kaedah yang digunakan dalam membuat agihan perbelanjaan sesuai dengan kehendak syara‘?
Jawapan: Badan Kebajikan Agama dan Sukan (BKAS) merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang dimiliki oleh syarikat Setia Protective Security Services Sendirian Berhad (SPSS Sdn Bhd). Semua kakitangan SPSS Sdn Bhd dengan sendirinya menjadi ahli BKAS dan ini termasuklah juga anggota SPSS yang tidak memakai pakaian seragam.
Sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan BKAS, difahami bahawa para ahli BKAS adalah dikehendaki untuk menyumbang wang melalui kutipan yuran bulanan kepada tabung BKAS mengikut sukat-sukat (garis panduan) yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, jika ahli BKAS tersebut bertukar, ditamatkan atau menamatkan perkhidmatan dari SPSS Sdn Bhd, maka dengan sendirinya keahliannya akan mansuh yakni dikeluarkan daripada keahlian secara automatik. Dalam hal ini, mereka tidak lagi berhak ke atas badan berkenaan dan tidak akan menerima apa-apa pun daripada Badan tersebut.
Hasil sumbangan daripada kutipan yuran bulanan tersebut akan dihimpunkan ke dalam tabung BKAS dan akan digunakan untuk melaksanakan tujuan-tujuan BKAS seperti yang telah disebutkan di dalam perlembagaan BKAS.
Kutipan Yuran untuk Badan Kebajikan dan Pengurusannya
Kutipan yuran bulanan yang dimasukkan ke dalam tabung badan kebajikan sebagai sumbangan daripada pemberi yuran bagi sesuatu tujuan yang telah ditetapkan oleh badan tersebut adalah dimaklumi dan dipersetujui secara langsung oleh pemberi yuran berkenaan.
Apabila kutipan yuran tersebut telahpun dihimpunkan oleh pentadbir kutipan yuran, maka wajiblah disempurnakan dan ditunaikan kutipan yuran tersebut menurut tujuan atau niat penyumbangnya atau pemberi yuran berkenaan.
Perkara tersebut bertepatan dengan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Umar ibnu al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas, apabila dilihat daripada aspek pembayar yuran dan pentadbir kutipan yuran, dapat difahami bahawa setiap kutipan yang hendak digunakan atau dikeluarkan oleh pentadbir kutipan yuran hendaklah digunakan atau dikeluarkan mengikut tujuan-tujuan yuran itu dikutip seperti jika sumbangan itu ditujukan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti majlis tahlîl, membaiki masjid, anak-anak yatim dan pembinaan sekolah, maka hendaklah pentadbir kutipan yuran itu menyalurkan wang kutipan tersebut menurut tujuan atau niat orang yang menyumbang itu dan tidak boleh digunakan bagi perkara lain seperti membeli kenderaan. Ini kerana apabila sumbangan itu dihubungkan atas nama seperti “majlis tahlîl”, bermakna pada adatnya ia akan hanya dipakai untuk membiayai makan minum dan yang berkaitan dengannya sahaja, bukanlah untuk perkara-perkara lain yang tidak ada kaitan dengan majlis tersebut. Dari itu, pentadbir kutipan yuran adalah dilarang untuk menyalurkan atau mengagihkan sumbangan yang dikumpulkan itu ke arah satu tujuan yang berlainan dengan tujuan asal kutipan yuran itu dibuat tanpa mendapat izin daripada kesemua para penyumbang atau pembayar yuran yang menghulurkan wang tersebut, kerana perbuatan sedemikian dikira mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahui. (Surah al-Anfâl: 27)
Ini bermakna, semua pengurusan wang sumbangan daripada kutipan yuran yang dihimpunkan itu adalah menjadi suatu amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas pentadbir kutipan yuran untuk mengagihkannya sesuai dengan tujuan sumbangan itu dikutip. Bahkan amanah yang ditanai itu adalah sesuatu yang menguntungkan jika ia dilaksanakan dengan betul dan sempurna, kerana telah diterangkan dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa pentadbir kutipan yuran juga akan mendapat pahala sepertimana yang diperolehi oleh mereka yang bersedekah.
Daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Seorang penyimpan harta yang Muslim lagi amanah adalah orang yang melaksanakan (tanggungjawabnya) - dan kemungkinan juga Baginda bersabda: “Orang yang memberikan apa yang diperintahkan kepadanya - dia (penyimpan harta) melaksanakan dengan sempurna, jimat lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada orang-orang yang bersedekah (akan mendapat pahala seperti orang yang bersedekah).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kedudukan Yuran yang Dikutip
Sumbangan merupakan suatu amalan mulia yang dijanjikan ganjaran yang besar kerana telah jelas disebutkan dalam al-Qur’an mengenai anjuran serta ganjaran bagi mereka yang menginfâqkan (menyumbangkan, membelanjakan atau mengeluarkan sebahagian wang, harta dan sebagainya untuk kebajikan) secara ikhlas pada jalan Allah Ta‘ala akan beroleh ganjaran pahala atau pulangan yang besar dan hebat sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas), supaya Allah akan melipatgandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya). Dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Surah al-Baqarah: 245)
Wang yuran bulanan yang disumbangkan ke dalam tabung badan kebajikan tidak lagi dianggap sebagai harta dan hak para penyumbang atau pembayar yuran berkenaan. Malahan pentadbir kutipan yuran juga tidak berhak ke atas wang berkenaan. Mereka selaku wakil dalam mentadbir himpunan wang kutipan tersebut hanya diberikan kuasa dan amanah untuk mentadbir wang tersebut mengikut niat atau tujuan sumbangan atau yuran itu dikutip.
Dalam kata lain, sumbangan daripada yuran bulanan yang diberikan oleh para ahli untuk tabung badan kebajikan adalah berkonsepkan tabarru‘.
Menurut ulama fiqh dalam kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, tabarru‘ bermaksud derma seseorang yang mukallaf sama ada harta atau manfaat kepada orang lain pada masa ini atau pada masa akan datang tanpa ada balasan atau gantian, dengan tujuan pada kebiasaannya untuk berbuat kebajikan dan kebaikan.
Berdasarkan pengertian di atas, dapat difahami bahawa tabarru‘ merupakan suatu bentuk derma atau sumbangan ikhlas yang diberikan oleh satu pihak sahaja tanpa meminta sebarang pertukaran daripada pihak yang lain. Ini menunjukkan konsep tabarru‘ itu memadai dengan sebelah pihak sahaja melafazkan sesuatu pemberian dengan tujuan untuk membantu dalam urusan kebajikan pihak lain yang memerlukannya.
Menderma atau menyumbang harta secara tabarru‘ adalah suatu amalan yang amat digalakkan di dalam agama Islam kerana terlalu banyak manfaat yang bakal diperolehi daripada kedua-dua belah pihak iaitu daripada pihak yang bertabarru‘ dan pihak yang menerima harta tabarru‘ tersebut.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada kamu (ke jalan Allah) sebelum tibanya hari (Kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan serta tidak ada syafaat (pertolongan). (Surah al-Baqarah: 254)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai (hakikat) kebaktian (yang sempurna) hingga kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan itu maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. (Surah Âli Imran: 92)
Oleh itu, sumbangan secara tabarru‘ tidak boleh ditarik balik oleh para penyumbang dan mereka tidak lagi mempunyai hak ke atas harta tersebut kerana harta yang dikeluarkan itu telah pun diinfâqkan secara ikhlas sebagai salah satu amalan kebaktian seorang hamba kepada Allah Ta‘ala.
Wang Kutipan Yuran bagi Tabung BKAS Kedudukan wang yuran bulanan yang dikutip ke atas ahli BKAS sebagai sumbangan mereka untuk tabung BKAS adalah difahami berkonsepkan tabarru‘. Apabila sesuatu harta itu telah ditabarru‘kan, maka sudah tentu penyumbang tidak lagi ada hak ke atas harta yang ditabarru‘kannya kerana telah bertukar hak milik kepada orang lain. Dalam hal ini, sumbangan tabarru‘ yang telah disumbangkan itu tidak boleh ditarik balik oleh para ahli BKAS kerana wang sumbangan tersebut tidak lagi dianggap sebagai harta dan hak ahli BKAS yang menyumbang. Kedudukan wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam tabung BKAS itu juga adalah bersifat seperti wang tidak bertuan tetapi mempunyai tujuan-tujuannya yang telah ditentukan, di mana pentadbir BKAS selaku wakil hanya diberi kuasa dan amanah untuk mentadbir wang tabung BKAS tersebut berdasarkan kepada tujuan-tujuan yang telah termaktub di dalam perlembagaan.
Timbul pertanyaan, sebagaimana yang diajukan dalam persoalan:
a) Adakah boleh digunapakai oleh ahli BKAS sekarang sedangkan duit yang disimpan dalam Deposit Tetap (Fixed Deposit) itu merupakan duit yang disumbangkan oleh para ahli BKAS tahun 2005?
Ahli BKAS sekarang boleh menggunakan duit yang disimpan dalam Deposit Tetap (Fixed Deposit) oleh para ahli BKAS tahun 2005 kerana wang yuran bulanan yang disumbangkan oleh ahli BKAS 2005 itu telahpun diberikan atau diinfâqkan secara tabarru‘ sebagai sumbangan mereka kepada tabung BKAS untuk tujuan-tujuan yang telah termaktub dalam perlembagaan BKAS 2005.
Apabila sesuatu harta itu telah ditabarru‘kan, maka sudah tentu ahli BKAS tahun 2005 tidak lagi ada hak ke atas harta yang ditabarru‘kannya kerana telah bertukar hak milik dan harta tersebut tidak boleh ditarik balik oleh penyumbang atau pembayar yuran bulanan berkenaan.
b) Apakah kaedah yang digunakan dalam membuat agihan perbelanjaan sesuai dengan kehendak syara‘?
Dalam perkara ini, wang simpanan tersebut hendaklah diagihkan mengikut tujuan BKAS yang termaktub dalam perlembagaan pada tahun 2005 sebagaimana yang telah dimaklumi oleh ahli-ahli BKAS 2005 ketika mereka membuat pembayaran yuran bulanan BKAS tersebut. Antara tujuan BKAS tersebut ialah untuk memberikan bantuan suka duka kepada ahli-ahli BKAS yang layak mengikut syarat yang ditentukan, menggunakan tabung kewangan tersebut untuk kegiatan-kegiatan BKAS dan ahlinya, begitu juga untuk mengadakan lawatan-lawatan dalam dan luar negeri sebagai satu cara meluaskan pengetahuan melalui kegiatan sukan, kebudayaan, sosial dan rekreasi.
Ini bererti, sumbangan wang daripada yuran bulanan yang dikutip untuk tabung BKAS yang belum digunakan lagi pada tahun ahli BKAS tersebut membayar yuran atau ahli BKAS tersebut telahpun bertukar, ditamatkan atau menamatkan perkhidmatan dari SPSS Sdn Bhd yang menyebabkan keahliannya sebagai kakitangan SPSS Sdn Bhd mansuh yakni dikeluarkan daripada keahlian secara automatik, maka sumbangan tersebut bolehlah dibawa dan digunakan seterusnya mengikut tujuan yang telahpun dimaklumi oleh pembayar yuran tersebut demi menjaga kepentingan orang-orang yang menyumbang agar sumbangan mereka tidak menjadi sia-sia.
Walau bagaimanapun, jumlah tambahan daripada jumlah $15 000.00 tersebut iaitu $2747.25 yang diperolehi hasil daripada Fixed Deposit itu perlulah dilihat kepada kedudukan pelaburan yang digunakan. Jika pelaburan yang digunakan itu patuh syara‘, maka hasil tersebut boleh digunakan oleh BKAS. Namun jika pelaburan yang digunakan itu tidak patuh syara‘, maka hasil daripada Simpanan Tetap yang berjumlah $2747.25 tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal.
Di samping itu, wang kutipan yuran yang dikumpulkan untuk tabung BKAS sama ada disimpan ke dalam Fixed Deposit atau sebaliknya adalah tidak diwajibkan zakat sekalipun telah mencapai nishâb wajib zakat serta telah cukup haulnya, kerana wang tersebut tidak dimiliki dengan sempurna oleh pemilik tertentu. Ini kerana antara syarat wajib bagi mengeluarkan zakat mata wang itu hendaklah wang tersebut dimiliki dengan sempurna oleh seseorang yang tertentu sebagaimana yang disebutkan oleh kebanyakan ulama asy- Syafi‘iyyah dalam kitab-kitab mu‘tabar mereka seperti ‘Iânah ath-Thâlibîn, Mughni al- Muhtâj dan Nihâyah al-Muhtâj.
Oleh yang demikian, harta yang berbentuk mata wang yang tidak mempunyai pemilikan sempurna oleh pemilik tertentu seperti kumpulan wang dalam tabung BKAS adalah tidak wajib dikeluarkan zakatnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12500
