Do‘a Kanz Al-‘Arasy dan Do‘a Haikal
Soalan: Jabatan Hal Ehwal Masjid telah merancang untuk menjadikan bacaan do‘a Kanz al-‘Arasy dan do‘a Haikal sebagai amalan/zikir yang akan dimasukkan dalam kalendar aktiviti harian/mingguan ta‘mîr masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan sebarang penjelasan dan pandangan serta fatwa mengenainya.
Jawapan: Buku Majmuk Syarif Kamil merupakan himpunan do‘a-do‘a dan zikir-zikir yang kebanyakannya disusun oleh ulama, ahli zikir atau ahli tashawwuf. Isi kandungannya pula banyak yang diambil daripada kitab-kitab Arab seperti kitab Mukh al-‘Ibâdah li Ahl as-Sulûk wa al-Irâdah dan al-Wasâ’il asy-Syafi‘ah. Antara isi kandungan kedua-dua buku Arab tersebut ialah do‘a awal tahun hijriyyah, do‘a akhir tahun hijriyyah dan do‘a malam nisfu Sya‘ban, yang turut terkandung dalam buku Majmuk Syarif dan telah lama diamalkan di Brunei Darussalam. Kedua-dua do‘a Kanz al-‘Arasy dan do‘a Haikal yang ditanyakan di sini juga boleh didapati dalam buku Majmuk Syarif Kamil.
Kandungan dan Kelebihan Do‘a Kanz al-‘Arasy dan Do‘a Haikal
Do‘a Kanz al-‘Arasy sebagaimana yang terkandung dalam buku Majmuk Syarif, dimulakan dengan bacaan kalimah tauhid atau tahlîl iaitu ُ ل َ إّله َ إّل َ هللا yang seterusnya diulang-ulang pada setiap baris atau rangkap do‘a sehingga ke baris terakhir. Di setiap baris bacaan tahlîl tersebut disambung pula dengan nama-nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau nama-nama yang merujuk kepada zat, sifat dan perbuatan Allah Ta‘ala. Kebanyakan daripada nama-nama yang disebut dalam do‘a ini terdiri daripada nama-nama Allah Ta‘ala yang terkandung dalam al- Asmâ’ al-Husnâ. Namun terdapat juga nama-nama yang merujuk kepada zat Allah Ta‘ala, sifatNya atau perbuatanNya yang bukan terdiri daripada al-Asmâ’ al-Husnâ.
Di beberapa baris akhir do‘a ini, bacaan tahlîl itu disambung pula dengan nama-nama para rasul berserta gelaran mereka dan diakhiri dengan penutup do‘a. Dalam buku Majmuk Syarif, cetekan ke-10 tahun 2003 terbitan CV Penerbit Jumanatul ‘Ali-ART, ada menyebutkan di dalamnya tentang kelebihan do‘a tersebut iaitu Do‘a Kanz al-‘Arasy diumpamakan sebagai lampu yang sangat terang di alam dunia. Do‘a ini dinamakan raja segala do‘a kerana tidak terbilang faedah dan fadhilatnya. Barang siapa membaca do‘a ini, in sya’ Allah seluruh keperluan dunia akhirat akan terpenuhi serta dimudahkan rezeki bagi anak cucu.
Do‘a Haikal juga adalah antara do‘a yang didapati dalam buku Majmuk Syarif. Ia terbahagi kepada tujuh bahagian yang dinamakan Haikal Pertama, Haikal Kedua dan seterusnya hinggalah Haikal Ketujuh. Setiap bahagian do‘a tersebut dimulakan dengan basmalah dan ayat permohonan perlindungan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan seterusnya diikuti dengan do‘a yang diambil daripada ayat-ayat al-Qur’an seperti berikut:
1. Haikal Pertama, ayat 255 surah al-Baqarah (ayat al-Kursiy). 2. Haikal Kedua, ayat 35 surah Âli ‘Imran dan ayat 77-80 surah al-Isrâ’. 3. Haikal Ketiga, ayat 285-286 surah al-Baqarah. 4. Haikal Keempat, ayat 81-85 surah al-Isrâ’. 5. Haikal Kelima, ayat 4-6 surah Maryam dan ayat 27 surah al-Fath. 6. Haikal Keenam, ayat 1-4 surah al-Jinn. 7. Haikal Ketujuh, ayat 51-52 surah al-Qalam.
Disebutkan dalam buku Majmuk Syarif terbitan CV Penerbit Jumanatul ‘Ali-ART bahawa do‘a ini adalah “do‘a beserta kerangka pengukuh iman dan Islam”. Manakala dalam buku Fadhilah Majmu’ Syarif terbitan Pustaka Ramadhan, disebutkan tentang kelebihannya seperti berikut:
1. Untuk melindungi atau membentengi dari segala perbuatan jahat manusia dan terhindar daripada hal-hal yang membahayakan.
2. Untuk membuka pintu-pintu rezeki yang halal dan memudahkan terkabulnya keinginan-keinginan kita.
3. Untuk memperoleh hidayat agar rajin beribadat dan bertaubat.
Setelah meneliti kandungan do‘a-do‘a dalam Majmuk Syarif dan merujuk do‘a-do‘a yang ma’tsûr dalam ayat-ayat al-Qur’an dan juga kitab-kitab rujukan utama mengenai hadits-hadits, didapati bahawa susunan do‘a-do‘a tersebut adalah do‘a atau zikir susunan dan karangan ulama, ahli zikir atau ahli tashawwuf. Namun apabila dilihat kepada isi kandungan do‘a-do‘a tersebut adalah terbentuk daripada bacaan seperti tahlîl, tasbîh, al-Asmâ’ al-Husnâ serta beberapa ayat al-Qur’an yang sememangnya mempunyai kelebihan atau fadhilat sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadits-hadits shahîh.
Ucapan atau kalimah tahlîl sebagaimana diketahui mengandungi penafian uluhiyyah ke atas setiap sesuatu dan setiap orang, pentsabitan berhaknya uluhiyyah hanya bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ satu-satunya dan pernyataan bahawa tidak ada tuhan selain Allah Ta‘ala serta tidak ada yang disembah melainkan Dia. Maka sudah tentu menjadikannya sebagai zikir atau do‘a mempunyai fadhilat atau kelebihan yang besar.
Kelebihannya ini antaranya disebut dalam riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
شَيء ٍ قَدّير, dalam sehari seratus kali, maka baginya sama seperti (membebaskan) sepuluh orang hamba, dituliskan baginya seratus kebaikan, dihapuskan daripadanya seratus keburukan, baginya perlindungan daripada syaitan pada siang hari tersebut sehingga masuk (waktu) malam dan tidak ada yang lebih afdhal daripada itu melainkan seseorang yang melakukan (mengucapkan zikir tersebut) lebih banyak daripadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bahkan ucapan tahlîl dan juga tasbîh adalah antara zikir yang paling afdhal dan banyak disebutkan kelebihannya dalam hadits. Antaranya riwayat daripada Samrah bin Jundab yang berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam besabda:
Maksudnya: Ucapan kalimah yang paling disukai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu (ada)
dengan kalimah mana kamu ingin memulakan. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Zikir yang paling utama ialah َ َلإّلَه َ إّللِلَُ ا dan do‘a yang paling utama ialah ُ لِلَّّ ا ْل َمد
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Anjuran untuk berdo‘a atau berzikir dengan menyebut nama-nama Allah Ta‘ala, al-Asmâ’ al- Husnâ juga jelas dinyatakan dalam al-Qur’an dan hadits. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah Allah atau serulah ‘ar-Rahman’, mana-mana sahaja nama yang kamu serukan (itu adalah nama Allah yang baik) kerana Allah mempunyai al-Asmâ’ al-Husnâ (nama-nama yang baik lagi mulia).” (Surah al-Isrâ’: 110)
Dalam surah al-A‘râf ayat 180, Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan bagi Allah al-Asmâ’ al-Husnâ (nama-nama yang baik lagi mulia) maka bermohonlah (dengan berdo‘a) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyelewengkan nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka telah kerjakan. (Surah al-A‘râf: 180)
Di samping itu hadits-hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada menyebutkan tentang kelebihan al-Asmâ’ al-Husnâ. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya bagi Allah Ta‘ala sembilan puluh sembilan nama, iaitu seratus kecuali satu, maka sesiapa yang menghafalnya akan masuk syurga. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Begitu juga dengan ayat-ayat al-Qur’an yang terkandung dalam Do‘a Haikal, turut mempunyai fadhilat tersendiri. Antaranya berkenaan keistimewaan ayat al-Kursiy yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka‘ab Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai Abu al-Mundzir, adakah engkau tahu ayat manakah daripada kitab Allah yang paling agung? Berkata Abu al-Mundzir: “Maka aku berkata: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah bersabda (lagi): “Wahai Abu al-Mundzir adakah engkau tahu ayat yang manakah daripada kitab Allah yang paling agung?” Abu al-Mundzir berkata: “Aku menjawab:ُ هللا ُ ل َ إّلَه َ إّل َ هُو َ ا ْل َي ُّ القَيُّوم (al-Baqarah 255).” Maka bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sambil menepuk-nepuk dadaku dan bersabda: “Demi Allah, bersukacitalah dengan ilmu yang ada padamu, wahai Abu al-Mundzir.” (Hadits riwayat Muslim)
Terkandung juga dalam Do‘a Haikal ialah dua ayat terakhir surah al-Baqarah yang mempunyai kelebihannya tersendiri sebagaimana dinyatakan dalam hadits daripada Abu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang membaca dua ayat daripada penghujung surah al-Baqarah pada waktu malam (maka) dia diberi kecukupan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh itu meskipun susunan kedua-dua do‘a ini bukan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri, namun barisan ayat yang terdapat di dalamnya terdiri daripada do‘a atau zikir yang mempuyai kelebihan yang disebut dalam hadits-hadits.
Bahkan mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, ada menyebutkan mengenai penggunaan zikir dan do‘a yang dikarang oleh para ulama dalam fatwa bilangan 34/89:
“Hendaklah diketahui bahawa zikir-zikir dan do‘a yang dikarang oleh ahli zikir itu tiadalah ditegah dan bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggalakkan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam ath-Thabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsath dengan sanad jayyid sebagaimana kata al-Hâfizh al-Haitsami daripada sahabat Anas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah lalu dan melintasi seorang Arab Badawi dan dia berdo‘a di dalam sembahyangnya dan dia berkata:
Ertinya: Wahai Tuhan yang tiada di lihat oleh mata, dan Tuhan yang tiada syak pada wujudNya, dan Tuhan yang tiada dapat dirupa-rupakan, dan tiada dapat disifat-sifatkan, dan Tuhan yang tiada dapat diubah-ubah oleh zaman, dan Tuhan yang tiada takut Dia kena bencana, Tuhan yang mengetahui berat timbangan gunung, Tuhan yang mengetahui sukatan air laut, Tuhan yang mengetahui bilangan titik air hujan, Tuhan yang mengetahui bilangan daun-daun yang ada di pokok-pokok, Tuhan yang mengetahui bilangan malam apabila gelap gelita, dan bilangan siang apabila cahaya memancar, Tuhan yang tiada terlindung oleh sesuatu langit, Tuhan yang tiada terlindung oleh sesuatu bumi, Tuhan yang tiada terlindung oleh dasar laut, Tuhan yang tiada terlindung oleh tempat-tempat sulit di gunung-ganang, ya Allah mohon jadikan sebaik-baik umur hamba pada kesudahannya, dan sebaik-baik amal pada kesudahannya, dan sebaik-baik hari hamba iaitu hari menghadap Tuhan hamba.”
Manakala orang Arab Badawi selesai sembahyang, maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memanggil akan dia, dan memberi dia akan emas yang telah dihadiahkan oleh orang yang dapat emas dari setengah-setengah lombong emas, sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Saya beri kamu emas ini, sebab baik pujian kamu kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” Hadits itu berbunyi:
Sila lihat hadits ini, nescaya kamu dapati ia memberi izin pada mengarang zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang bukan dari zikir-zikir yang datang daripada Rasulullah, bahkan kita boleh berkata: “Tiap-tiap apa zikir dan do‘a dan wirid yang dibuat oleh ahli tashawwuf itu termasuk dalam bahagian zikir yang wârid daripada Rasulullah menurut umum erti hadits yang tersebut ini.” Sila lihat al-A‘lâm.”
Hukum Beramal dengan Do‘a Kanz al-‘Arasy dan Do‘a Haikal
Do‘a atau zikir, sebagaimana perbincangan ulama terbahagi kepada dua, ma’tsûr dan tidak ma’tsûr. Do‘a atau zikir ma’tsûr datangnya daripada al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Do‘a atau zikir yang tidak ma’tsûr pula bukan datang daripada al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Berdo‘a dengan do‘a ma’tsûr adalah lebih utama sama ada do‘a tersebut berkaitan dengan perkara ukhrawi atau duniawi sebagaimana disebutkan oleh para ulama. Tetapi berdo‘a dengan yang tidak ma’tsûr dalam perkara-perkara tersebut juga dibolehkan. Namun menurut mantan Mufti Kerajaan, do‘a-do‘a yang disusun oleh ahli zikir juga boleh dikatakan sebagai do‘a yang ma’tsûr sepertimana tersebut di atas.
Bahkan menurut beliau lagi ketika memperkatakan mengenai ahli zikir serta do‘a-do‘a atau zikir-zikir mereka:
“Dari itu janganlah suka-suka menegur dan ingkarkan ahli tashawwuf dan ahli zikir, ahli serban dan ahli jubah, ahli masjid, ahli ibadat, barangkali orang itu ada dalam peliharaan Allah, dan ia lebih yakin dan lebih kuat imannya daripada awak wahai orang yang mensia-siakan ahli serban dan jubah itu.”
Dalam fatwa bilangan 67/91 beliau juga ada menerangkan tentang pemilihan lafaz-lafaz do‘a:
“Adalah lafaz-lafaz do‘a itu adalah bebas dan tiada sekatan padanya. Do‘a kesyukuran ada lafaz-lafaznya sendiri. Do‘a menyambut hari kemerdekaan ada lafaznya sendiri, do‘a hari menyambut maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada coraknya sendiri, ada yang panjang, ada yang pendek, ada lafaz-lafaz tertentu bagi dibaca oleh orang ramai yang tiada pandai berdo‘a dengan caranya sendiri, dan bagi orang yang pandai memilih lafaz-lafaz do‘a, dia boleh berdo‘a dengan lafaz-lafaznya sendiri dan dengan panjang dan lanjut mengikut keadaan sesuatu majlis dan sesuatu upacara itu.”
Maka berdasarkan penerangan di atas seseorang itu diharuskan berdo‘a dengan lafaz dan caranya sendiri mengikut keadaan ataupun upacara majlis yang dimaksudkan selama mana lafaz-lafaz tersebut tidak menyalahi aqidah dan ajaran Islam.
Oleh itu beramal dengan Do‘a Kanz al-‘Arasy dan Do‘a Haikal adalah harus kerana kedua-duanya mengandungi zikir-zikir yang digalakkan untuk dibaca dan tidak mengandungi perkara yang bertentangan dengan aqidah dan syara‘.
Do‘a adalah otak atau inti pati ibadat dan Islam sangat menganjurkan kepada umatnya untuk sentiasa berdo‘a, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan selainnya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an, juga menyuruh hambaNya berdo‘a dan memohon kepadaNya dan benci jika hambaNya tidak berdo‘a.
Maka dalam kita berdo‘a dan memohon kepada Allah Ta‘ala, amalkanlah do‘a-do‘a diambil daripada al-Qur’an, hadits-hadits Nabi dan do‘a yang disusun oleh para ulama untuk mendapatkan keberkatan. Bahkan boleh juga berdo‘a dengan bahasa sendiri untuk memohon kebaikan dunia dan akhirat, asalkan ia dibuat dengan hati yang ikhlas dan khusyû‘ kepada Allah Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12504
