Harta Pusaka yang Tidak Dituntut
Soalan: Laporan Jabatan Audit ke atas Akaun Tunai dan Hasil Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri Bagi Tahun Kewangan 2015/2016 antara lain menyentuh mengenai wang harta pusaka bagi tahun 1963 hingga 1967 yang telah dipindah ke hasil kerajaan.
Hasil pemeriksaan Jabatan Audit di Bahagian Waris di Bangunan Mahkamah Tinggi Sivil- Mahkamah Besar, mendapati bahawa baki wang taruhan yang masih belum dituntut dari tahun 1963 sehingga 1967 yang berjumlah $23,673.02 telah dimasukkirakan ke dalam tajuk Hasil R94002 – Hasil Rampaian yang mana sebahagian besarnya adalah wang-wang harta pusaka yang berjumlah $19,385.35. Perkiraan adalah seperti berikut:
Bil. Tahun
Jumlah Baki Wang Taruhan
Jumlah Baki Harta Pusaka
Tarikh Dimasukkirakan Ke Dalam Hasil Kerajaan 1 1963 1,875.45 1,345.45 18 Julai 2016 2 1964 15,344.15 13,654.15 18 Julai 2016 3 1965 1,653.11 1,173.11 14 Julai 2016 4 1966 3,075.39 2,797.89 14 Julai 2016 5 1967 1,724.92 414.75 14 Julai 2016 Jumlah Keseluruhan 23,673.02 19,385.35
Wang harta pusaka yang termasuk dalam wang taruhan yang dimasukkirakan ke dalam tajuk hasil tersebut dikhuatiri boleh mengundang banyak masalah sama ada dari segi hukum syara‘ mahupun undang-undang.
Oleh itu, dipohonkan nasihat mahupun fatwa Pehin Mufti dalam perkara ini.
Jawapan: Harta pusaka ialah sesuatu peninggalan si mati yang berupa harta atau hak. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: (Peninggalan si mati) ialah apa-apa yang ditinggalkan berupa hak seperti khiyâr jual beli dan hadd qadzaf (menuduh berzina) atau ikhtishâsh (iaitu harta yang najis seperti baja, arak dan anjing yang terlatih) atau harta seperti arak yang telah menjadi cuka selepas kematiannya dan diyah yang diambil daripada pembunuhnya kerana ia termasuk dalam miliknya.
Menurut syara‘, harta pusaka itu terlebih dahulu wajib digunakan untuk perbelanjaan penyempurnaan mayatnya, kemudian melunaskan hutang-piutangnya, kemudian menunaikan wasiatnya satu pertiga daripada baki selepas penyempurnaan hutang-piutangnya. Kemudian bakinya dibahagikan kepada ahli warisnya.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Minhâj:
Ertinya: Dimulakan daripada peninggalan si mati itu dengan perbelanjaan penyempurnaan mayatnya, kemudian melunaskan hutang-piutangnya, kemudian menunaikan wasiatnya satu pertiga daripada baki selepas penyempurnaan hutang-piutangnya, kemudian dibahagikan baki itu di antara ahli warisnya.
Oleh yang demikian, apabila seseorang meninggal dunia, apa sahaja harta peninggalannya wajib diurus sebagaimana kehendak syara‘.
Harta Pusaka yang Tidak Dituntut
Harta pusaka si mati wajib diberikan kepada waris-warisnya. Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab menyebutkan:
Ertinya: Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata: “Apabila bersamanya harta yang haram dan dia mahu bertaubat dan membersihkan darinya (harta yang haram itu) maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu wajib menyerahkannya kepadanya (pemilik) atau kepada wakilnya. Jika dia meninggal dunia wajib memberikannya kepada warisnya.
Walau bagaimanapun, seperti penjelasan pihak pengurusan Jabatan Tuan dalam lampiran yang disertakan bersama persoalan ini, bahawa pihak pengurusan Jabatan Tuan telah mengiklankan notis makluman di dalam akhbar Pelita Brunei bagi harta pusaka yang masih belum dituntut. Apabila usaha-usaha untuk mencari ahli waris telah dilakukan seperti mengiklankan notis makluman di akhbar Pelita Brunei itu, akan tetapi masih tidak terdapat ahli waris yang datang untuk menuntut harta pusaka berkenaan, maka oleh kerana itu, ahli waris harta pusaka berkenan tidak dapat diketahui.
Dalam hal ini, as-Sayyid Ba ‘Alawi dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin menyebutkan ketika menjelaskan tentang hukum harta yang hilang dan tidak jelas:
Ertinya: Dan jika dia berputus asa (gagal) mengetahui pemiliknya di mana pada kebiasaannya jauh untuk diketahui kewujudannya jadilah ia kumpulan harta Baitul-Mal, sama seperti harta simpanan, harta rampasan setelah dia berputus asa mengetahui tuan kedua-duanya dan harta peninggalan yang tidak diketahui warisnya. Dalam keadaan ini, dia menyerahkan kesemuanya untuk mashlahat orang-orang Islam yang lebih penting dipentingkan (diutamakan), seperti pembinaan masjid di mana tidak lagi terdapat yang lebih umum daripadanya. Jika ada sesiapa di bawah kuasanya seorang fakir maka dia ambil sekadar hajatnya bagi dirinya dan anak-anaknya yang fakir sebagaimana disebutkan dalam kitab at-Tuhfah dan lainnya.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menyebutkan dalam kitab Mughnî al- Muhtâj:
Ertinya: (Disalurkan harta pusaka) iaitu: Peninggalan seorang Islam atau bakinya sebagaimana akan diterangkan kemudian adalah (untuk Baitul-Mal) bukan mashlahat sebagaimana menurut satu pendapat yang lain. Bahkan (menjadi warisan) bagi orang-orang Islam sebagai ‘ashabah (ahli waris yang tidak mendapat bahagian tertentu daripada harta pusaka pewarisnya atau yang menerima baki selepas dibahagi kepada pewaris-pewaris yang mendapat bahagian farâ’idh), (apabila tidak terdapat ahli waris dengan tiga sebab) yang disebutkan terdahulu (ahli kerabat, nikah dan wala’ iaitu hubungan disebabkan tuan memerdekakan hambanya) atau ada tetapi tidak habis semua sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Saya adalah ahli waris bagi sesiapa yang tiada ahli waris baginya, aku memberikan (diyah) yang jadi bebannya dan mewarisi (hartanya)”. Riwayat Abu Daud dan yang lainnya. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak mewarisi untuk dirinya sesuatu. Sesungguhnya Baginda menyalurkan apa-apa yang diwarisinya itu untuk kemashlahatan orang-orang Islam; kerana mereka menanggung daripada si mati seperti ‘ashabah daripada ahli kerabat. Maka raja meletakkan peninggalannya atau bakinya di Baitul-Mal atau mengkhususkan daripada peninggalan itu sesiapa yang dia mahu.
Harta Pusaka Orang Bukan Islam
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Adapun orang dzimmi apabila dia mati tidak ada ahli waris atau ada ahli waris tetapi tidak habis semua maka bahawasanya harta pusakanya atau bakinya berpindah ke Baitul-Mal sebagai fai’ (harta yang diperolehi daripada orang bukan Islam tanpa peperangan).
Al-Qadhi Badruddin bin Jama‘ah dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir menyebutkan bahawa antara harta yang terdapat dalam kumpulan Baitul-Mal ialah harta yang diperolehi daripada orang-orang bukan Islam seperti harta rampasan, ufti, cukai kepala dan cukai perniagaan.
Sebagai kesimpulan, jika pihak Jabatan Tuan benar-benar gagal mencari pewaris harta pusaka berkenaan setelah semua langkah untuk mencarinya dilaksanakan, maka harta pusaka yang tidak dituntut dan masih dalam simpanan pihak Jabatan Tuan itu diserahkan kepada Baitul- Mal dan digunakan untuk kemashlahatan orang-orang Islam sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12508
