Hukum Bernikah dengan Anak Saudara Sesusuan kepada Abang Kandung
Soalan: Saya (Awang A) berniat hendak menikah dengan seorang perempuan bernama Dayang A. Persoalan yang timbul ialah ibu Dayang A ini (Dayang B) adalah sepupu saya dan dia (Dayang B) ini saudara sesusuan dengan abang kandung saya (Awang B).
Jadinya, kami khuatir mungkin kami tidak boleh bernikah menurut hukum syara‘. Dipohonkan ketetapan dan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Dalam perkara radhâ‘ah atau susuan, permasalahan yang sering menjadi pertanyaan ialah mengenai kaitan hubungan antara keluarga anak yang menyusu dengan keluarga perempuan yang menyusukan, sama ada dari segi mahram, aurat, waris, pernikahan dan sebagainya. Ini kerana umum mengetahui bahawa apabila seorang perempuan menyusukan anak damit (kecil) yang bukan anak kandungnya dengan air susunya sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan selama mana anak tersebut belum mencapai umur dua tahun, maka anak tersebut tsabit menjadi anak susuan dan mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya.
Apabila ini berlaku, sebahagian hukum-hakam yang berkaitan dengan anak kandung dengan sebab pertalian nasab (keturunan) akan berjalan dan dikaitkan pada anak susuan, seperti haram bernikah sebagaimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Haram dengan sebab susuan seperti apa yang haram dengan sebab nasab (keturunan). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain ibu dan bapa susuan menjadi mahram kepada anak susuan, keluarga asal (nasab) ibu dan bapa susuan iaitu ushul, furû‘ dan hawâsyi mereka juga menjadi mahram kepada anak susuan sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (berkahwin dengan) ibu-ibu kamu (termasuk nenek iaitu ibu bagi bapa dan ibu bagi ibu hingga ke atas), dan anak-anak perempuan kamu (termasuk cucu-cucu perempuan hingga ke bawah), dan adik-beradik perempuan kamu (seibu sebapa atau sebapa atau seibu), dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa, ibu-ibu saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki (hingga ke bawah) dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik perempuan (hingga ke bawah) dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu (ibu susuan) dan adik-beradik perempuan kamu yang sesusuan (termasuk anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan daripada ibu susuan). (Surah an-Nisâ’: 23)
Disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Aflah saudara Abu al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat hijâb, lalu aku berkata: “Demi Allah aku tidak mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana saudara Abu al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abu al-Qu‘aisy.”
Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam masuk kepadaku lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abu al-Qu‘aisy).”
Rasulullah bersabda: “Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu (susuan).” ‘Urwah berkata: “Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: “Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab (keturunan).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Untuk lebih jelas lagi, berikut disenaraikan nasab ibu dan bapa susuan yang tsabit menjadi mahram kepada anak susuan:
i. Ibu bapa kepada ibu susuan (ushûl). ii. Ibu bapa kepada suami ibu susuan (ushûl). iii. Adik beradik kepada ibu susuan (hawâsyi iaitu bapa/ibu saudara sesusuan). iv. Adik beradik kepada bapa susuan (hawâsyi). v. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan (furû‘ iaitu adik-beradik sesusuan). vi. Anak-anak kepada ibu susuan. vii. Anak-anak kepada bapa susuan.
Manakala keluarga asal (nasab) keturunan anak susuan pula tidak semuanya menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan. Ini kerana ikatan hubungan mahram disebabkan penyusuan hanya terbatas pada anak yang menyusu dan furû‘nya sahaja. Iaitu orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu bapa susuan selain anak susuan ialah anak dan cucu kepada anak susuan sehinggalah ke bawah. Manakala ushûl bagi anak susuan tersebut seperti ibu, bapa, nenek, datuk sehinggalah ke atas dan hawâsyinya seperti adik-beradik dan ibu atau bapa saudara kepada anak susuan itu tidaklah menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuannya.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh ada menjelaskan di dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj mengenai perkara berkenaan sebagaimana berikut:
Ertinya: Bahawasanya pengharaman (nikah) itu (mahram) berlaku daripada ibu susuan dan bapa susuan sehinggalah ushûl kedua-duanya dan furû‘ kedua-duanya dan hawâsyi kedua-duanya, dan daripada anak yang menyusu sehinggalah furû‘nya tanpa melibatkan ushûlnya dan hawâsyinya.
Pernikahan di antara Adik kepada Anak yang Menyusu dengan Cucu kepada Perempuan yang Menyusukan
Adapun mengenai persoalan pengharusan nikah di antara adik kepada anak yang menyusu dengan cucu kepada perempuan yang menyusukan (anak saudara perempuan sesusuan kepada abang kandung) sepertimana yang ditanyakan terlebih dahulu perlulah dilihat apakah status dan kaitan hubungannya dengan perempuan tersebut. Adakah kedua-duanya mempunyai hubungan mahram ataupun tidak?
Dari apa yang difahami berdasarkan penjelasan penanya, dinyatakan bahawa abang kandung beliau (Awang B) merupakan anak susuan kepada ibu saudara mereka berdua (nenek kepada Dayang A) dan sekaligus menjadikan anak perempuannya (Dayang B) iaitu sepupu perempuan mereka (ibu kepada perempuan yang bakal dinikahinya) sebagai adik-beradik sesusuan kepada abang kandungnya (Awang B). Ini bererti kaitan hubungan di antara abang kandungnya (Awang B) dan anak perempuan kepada sepupu mereka (Dayang A) iaitu perempuan yang bakal dinikahinya adalah sebagai anak saudara sesusuan, manakala hubungan penanya (Awang A) dengan perempuan tersebut (Dayang A) hanyalah sebagai anak saudara sepupu.
Adapun dari segi ikatan hubungan mahram pula, jelas di sini bahawa abang kandungnya (Awang B) mempunyai pertalian mahram dengan perempuan yang bakal dinikahinya itu (Dayang A) kerana dengan sebab radhâ‘ah telah menjadikannya mahram kepada keluarga asal ibu dan bapa susuan dan haram dia bernikah dengan mereka. Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa ibu dan bapa susuan serta nasab mereka berdua tidak menjadi mahram kepada ushûl dan hawâsyi anak susuan. Ini bererti keluarga asal anak susuan iaitu keluarga asal Awang B seperti ibu, bapa, adik-beradik iaitu Awang A serta ibu dan bapa saudaranya selain furû‘nya adalah tidak haram berkahwin dengan ibu dan bapa susuannya jika pada asalnya mereka tidak mempunyai hubungan mahram. Begitu juga mereka tidak haram berkahwin dengan nasab kedua-duanya (nasab ibu bapa susuan) kerana ikatan mahram disebabkan penyusuan itu hanya terhasil di antara anak damit (kecil) yang menyusu serta furû‘nya dengan ibu dan bapa susuan serta nasab kedua-duanya.
Perkara ini ada disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Minhâj ath- Thâlibîn:
Ertinya: Dan tidak haram (nikah) ke atasmu perempuan yang menyusukan adik-beradikmu (ibu susuan kepada adik-beradik) dan (yang menyusukan) cucumu (ibu susuan kepada cucu), dan tidak (haram ke atasmu) ibu kepada perempuan yang menyusukan anakmu (ibu kepada ibu susuan anak iaitu nenek sesusuan) dan (tidak haram ke atasmu) anak perempuannya (ibu susuan kepada anak), dan tidak (haram ke atasmu) adik-beradik perempuan kepada adik-beradikmu disebabkan nasab (adik-beradik tiri) dan tidak (haram ke atasmu) disebabkan susuan, dia (adik-beradik tiri) itu ialah; adik-beradik perempuan yang seibu dengan adik-beradikmu sebapa dan sebaliknya.
Adapun yang dimaksudkan dengan tidak haram nikah dengan adik-beradik perempuan kepada adik-beradik disebabkan nasab dan susuan itu ialah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn, menurut beliau:
Ertinya: Dan tidak haram (ke atasmu) saudara perempuan kepada saudara lelakimu disebabkan nasab dan tidak haram juga disebabkan susuan. Adapun gambarannya (tidak haram nikah) disebabkan nasab itu; (bagimu saudara perempuan seibu dan saudara lelaki sebapa, maka harus baginya (saudara lelakimu sebapa) menikahinya (saudara perempuanmu seibu), dan (gambaran tidak haram nikah) disebabkan susuan; seorang perempuan yang menyusukanmu dan menyusukan anak damit (kecil) perempuan yang asing (selain) daripada engkau, harus bagi saudara lelakimu (kandung) menikahinya (perempuan lain yang menyusu dari ibu susuanmu).
Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan di atas, pernikahan di antara saudara kandung kepada anak yang menyusu (Awang A) dengan cucu kepada perempuan yang menyusukan (Dayang A) adalah diharuskan iaitu kedua-duanya tidak haram dan halal bernikah. Ini adalah kerana hukum haram pernikahan disebabkan susuan itu hanya terbatas kepada abang kandungnya sahaja (Awang B) serta furû‘nya (anak-anak, cucu-cicit dan ke atas) tanpa membabitkan ushûl (ibu bapa, nenek dan ke atas) dan hawâsyinya (adik-beradik, ibu dan bapa saudara dan seterusnya).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12512
