Hukum Darah Ikan dan Air Basuhan Darah Ikan
Soalan: Adakah darah ikan itu najis dan apakah pula status air daripada basuhan bekas darah ikan bagi tong simpanan jualan?
Jawapan: Hukum Darah Ikan
Najis terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu:
1. Najis mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umur dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan selain air susu ibu sahaja.
2. Najis mutawassithah (pertengahan), iaitu najis selain mukhaffafah dan mughallazhah seperti tahi, kencing, darah, nanah dan selainnya.
3. Najis mughallazhah (berat), iaitu anjing dan babi termasuk campuran atau kacukan daripada kedua binatang anjing dan babi, sama ada zatnya mahupun (cecair lembapan) peluh, air liur, kencing, tahi dan sebagainya.
Berdasarkan pembahagian najis di atas, darah adalah tergolong benda najis dan ia termasuk dalam peringkat najis mutawassithah. Akan tetapi, bagaimana pula dengan darah ikan? Adakah darah ikan itu terkecuali daripada berstatus najis? Ini kerana memandangkan bangkai ikan tidak dikategorikan sebagai najis. Maka timbul tanggapan atau kekeliruan bahawa darah ikan itu bukan benda najis.
Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘i, darah ikan juga termasuk dalam kategori najis. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab beliau al-Majmû‘:
Ertinya: Adapun dua wajh (pendapat) mengenai darah ikan adalah dua pendapat yang masyhur dan telah dinaqal oleh ulama al-Ashhâb kedua-dua pendapat tersebut dalam permasalahan darah belalang. Imam ar-Rafi’i juga menaqal dua pendapat tersebut dalam perkara darah yang keluar dari hati dan limpa. Menurut pendapat yang ashah, kesemuanya adalah najis. Antara ulama yang berpendapat mengenai kenajisan darah ikan ialah Imam Malik, Imam Ahmad dan Daud (azh-Zhahiriy).
Dari penjelasan di atas, darah ikan adalah juga benda najis sama seperti darah binatang yang lain. Maka seseorang yang terkena darah ikan pada badan atau pakaian dan ingin melaksanakan ibadat sembahyang hendaklah terlebih dahulu membersihkannya kerana salah satu syarat sah sembahyang hendaklah suci daripada najis.
Oleh kerana darah ikan itu najis, benda yang terkena dengan darah ikan seperti tong menyimpan ikan jualan hukumnya adalah mutanajjis. Ini kerana, sesuatu bahagian atau tempat yang suci yang terkena dengan najis dan salah satu pihak itu dalam keadaan basah, boleh menjadikan bahagian atau tempat yang suci itu mutanajjis (menjadi najis kerana bersentuh dengan najis).
Manakala cara membersihkan sesuatu yang terkena najis, selain najis mughallazhah ialah dengan mengalirkan atau menjirus air untuk menghilangkan zat dan sifat najis; bau, warna dan rasa.
Hukum Air Basuhan Darah Ikan
Manakala air basuhan najis seperti bekas darah ikan bagi tong menyimpan ikan -sebagaimana pertanyaan yang diajukan- dalam menentukan status hukumnya sama ada ia suci atau tidak, ulama mazhab asy-Syafi‘i ada menjelaskan mengenainya. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj:
Ertinya: Dan menurut pendapat yang azhhar adalah suci air basuhan (najis) yang terpisah (dari tempat yang dibasuh) tanpa ada sebarang perubahan (pada air tersebut) dan tempat yang dibasuh itu juga sudahpun suci.
Adapun secara terperinci, ulama mazhab asy-Syafi‘i membahagikan air basuhan najis tersebut kepada dua keadaan:
1. Jika kadar air basuhan itu sedikit, hukumnya adalah najis kecuali apabila terdapat tiga syarat, iaitu:
i. Tempat bernajis yang dibasuh itu sudah suci seperti tangan yang sebelumnya berlumuran darah menjadi bersih setelah dibasuh.
ii. Tidak berubah sifat air iaitu rasa, bau dan warna.
iii. Tidak bertambah berat timbangan air basuhan setelah digunakan iaitu sesudah diambil kira kadar yang dihisap atau diserap oleh benda yang dibasuh dan kadar kekotoran yang keluar di dalamnya (tidak menambah berat timbangan).
Maka air basuhan najis yang sedikit yang sudah terpisah dari tempat yang dibasuh masih dihukumkan suci selama mana memenuhi tiga syarat di atas. Akan tetapi ia tidaklah menyucikan untuk digunakan bagi mengangkat hadats.
2. Jika kadar air basuhan itu banyak, maka dihukumkan suci selama mana sifat air iaitu bau, rasa dan warna tidak berubah walaupun tempat yang dibasuh belum lagi suci.
Adapun kadar air yang sedikit menurut mazhab asy-Syafi‘i adalah kadar yang kurang daripada dua qullah. Manakala kadar air yang banyak itu ialah kadar yang sampai dua qullah atau lebih.
Kadar dua qullah ialah:
• Sukatan – lebih kurang 216 liter.
• Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter.
Oleh itu, berdasarkan penjelasan di atas status hukum air basuhan bekas darah ikan bagi tong simpanan ikan adalah:
− Suci, jika airnya banyak dan tidak berubah atau airnya sedikit tetapi memenuhi tiga syarat yang disebutkan; tempat yang dibasuh sudah suci, air tidak berubah dan tidak bertambah berat timbangannya.
− Dihukumkan Najis, jika air itu sedikit dan tidak memenuhi tiga syarat yang disebutkan atau air itu banyak tetapi berubah. Maka jika terkena pada pakaian atau badan seseorang dikira menanggung najis, apabila hendak melaksanakan ibadat sembahyang hendaklah dibersihkan terlebih dahulu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12516
