Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Memadam Potongan Ayat-ayat Al-Qu’ran ataupun Ism Mu‘azhzham

Soalan: Apakah hukumnya memadam potongan ayat-ayat al-Qur’an ataupun Ism Mu‘azhzham seperti kalimah كاتهالسالم عليكم ورمحة هللا وبر dengan menggunakan correction pen (tipex) kemudian membuangnya atau menggunakan mesin shredder?

Jawapan: Al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham

Al-Qur’an merupakan kalâmullâh dan wahyu daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai petunjuk kepada manusia, sekaligus mengesahkan kebenaran kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) kitab (al- Qur’an) dengan membawa kebenaran yang membenarkan kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya dan memelihara serta menjadi saksi ke atasnya. (Surah al-Mâ’idah: 48)

Ism Mu‘azhzham pula ialah nama-nama yang dimuliakan terdiri daripada al-Qur’an, nama nabi atau malaikat. Ini termasuklah nama Allah (Lafzh al-Jalâlah), Asma’ al-Husnâ dan nama rasul.

Hukum Memuliakan Al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham

Ayat-ayat al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham wajib dihormati, dimuliakan dan dipelihara agar tidak terdedah kepada pencemaran dan kehinaan.

Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya at-Tibyân fi Adab Hamalât al- Qur’ân:

Ertinya: Umat Islam telah bersepakat bahawa adalah wajib mengagungkan al-Qur’an yang mulia semata-mata, memuliakannya dan juga memeliharanya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya al-Qur’an dan setiap Ism Mu‘azhzham seperti nama Allah atau nama Nabi wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan.

Hukum Menghina Al-Qur’an

Menghina al-Qur’an bukan hanya berdosa bahkan boleh menjadikan seseorang Islam itu menjadi kafir, misalnya mencampakkan al-Qur’an itu ke tempat-tempat yang kotor.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Umat Islam telah bersepakat bahawa adalah wajib memelihara Mushhaf dan menghormatinya. Berkata sahabat-sahabat kami (para ulama asy-Syafi‘i) dan para ulama yang lainnya Rahimahumullâh: “Jika seorang Muslim membuangnya (mushhaf) - mohon berlindung dengan Allah Ta‘ala - ke tempat-tempat kotor, maka jadilah dia kafir.” Mereka berkata lagi: “Dan haram menjadikan mushhaf itu sebagai bantal, bahkan menjadikan semata-mata kitab-kitab ilmu sebagai bantal juga adalah haram.”

Antara cara menghormati al-Qur’an itu ialah tidak menyentuh, memegang atau membawanya melainkan dalam keadaan bersuci sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya (apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad) itu ialah al- Qur’an yang mulia. Di dalam kitab yang tersimpan dengan baik (Lauh Mahfûzh). Tidak disentuh melainkan oleh hamba-hamba yang telah bersuci. (Surah al-Wâqi‘ah: 77-79)

Selain itu ialah tidak membawa zikir-zikir Allah iaitu yang tertulis padanya al-Qur’an atau selainnya masuk ke tandas hatta membawa apa jua yang ditulis padanya seperti duit perak (dirham) atau seumpamanya kerana untuk memuliakannya. Sunat menanggalkan daripadanya sesuatu yang tertulis padanya nama-nama yang dimuliakan daripada al-Qur’an, nama nabi atau malaikat.

Ini berdasarkan kepada hadits Anas Radhiallâhu ‘anhu, iaitu perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menanggalkan cincin Baginda yang diukir dengan perkataan ‘Muhammad Rasul Allah’ apabila Baginda hendak memasuki tandas:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda (hendak) masuk ke tandas Baginda menanggalkan cincin Baginda. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan tidak membawa masuk ke dalamnya iaitu tempat yang disediakan untuk qadha’ hajat (zikrullah) iaitu yang tertulis padanya zikir Allah seperti setiap yang dimuliakan dari ayat-ayat al-Qur’an, nama nabi dan malaikat.

Maka, memandangkan kedudukan al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham mulia dan wajib dipelihara itu, bagaimanakah cara yang betul bagi pelupusan Mushhaf atau sesuatu yang tertulis dengan tulisan ayat-ayat al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham yang tidak dapat digunakan lagi umpamanya rosak, koyak dan sebagainya?

Para ulama ada menyebutkan mengenai cara melupuskan Mushhaf dan termasuk juga sesuatu yang tertulis dengan tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak digunapakai lagi. Antaranya ialah dengan membasuh tulisan ayat-ayat tersebut sehingga hilang atau dengan cara membakarnya.

Melupuskan Al-Qur’an dengan Cara Membasuh

Melupuskan al-Qur’an dengan cara membasuh tulisan ayat-ayat al-Qur’an tersebut dengan menggunakan air adalah lebih awlâ (utama) daripada membakarnya.

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Makruh membakar sesuatu yang tertulis padanya (al-Qur’an) melainkan bagi tujuan menjaga (kehormatannya). Maka membasuhnya adalah lebih awlâ (utama) daripadanya (membakarnya).

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menjelaskan cara membasuh tulisan ayat-ayat al-Qur’an lebih utama daripada membakarnya, iaitu dengan berkata:

Ertinya: Apabila (cara membasuh) itu adalah mudah dan tidak ditakuti air basuhan itu tercurah ke tanah dan melainkan (apabila cara membasuh itu menyusahkan dan ditakuti air basuhannya itu tercurah ke tanah), maka membakar adalah lebih utama.

Melupuskan Al-Qur’an dengan Cara Membakar

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, makruh membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an melainkan bagi tujuan memuliakannya.

Bahkan membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an itu boleh menjadi wajib jika cara yang sedemikian itu sahaja caranya untuk menjaga kehormatan dan kemuliaannya. Imam ar-Ramli Rahimahullâh juga berpandangan yang sama sebagaimana dalam perkara membakar kayu yang diukir padanya basmalah (nama Allah) atau yang seumpamanya, beliau berkata:

Ertinya: Makruh membakar kayu yang diukir di atasnya sesuatu daripada itu (basmalah atau seumpamanya daripada tiap-tiap yang dimuliakan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam bab istinjâ’). Ya, pada zahirnya, bahawasanya tidak makruh membakarnya jika bertujuan untuk menjaganya (daripada dihinakan). Pendapat yang mengatakan haram membakar itu adalah jika perbuatannya itu sia-sia (tanpa hajat untuk menjaga daripada dihinakan).

Al-‘Allâmah ar-Rasyidi Rahimahullâh, dalam syarahnya terhadap perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas, telah menghuraikannya dengan berkata:

Ertinya: Adapun apabila dia qashadkan (bertujuan) menghinakan, maka zahir daripada dalil bahawa dia menjadi kafir

Menurut Imam asy-Syibramalisi Rahimahullâh ketika mengulas perkataan al-Imam Ramli Rahimahullâh (“tidaklah makruh”) di atas, membawa maksud bahkan wajib dibakar jika tidak ada jalan lain bagi memelihara kehormatan ayat al-Qur’an yang terukir pada kayu tersebut.

Oleh itu, cara melupuskan Mushhaf atau sesuatu yang tertulis dengan tulisan ayat-ayat al- Qur’an dan Ism Mu‘azhzham yang tidak dapat digunakan lagi dan susah untuk memeliharanya daripada terdedah kepada pencemaran atau penghinaan, maka harus dilupuskan sama ada dengan cara membasuh atau membakarnya sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama.

Melupuskan Al-Qur’an dengan Cara Mengoyak

Melupuskan al-Qur’an dengan cara mengoyak atau mencariknya adalah haram. Imam Muhammad Sayyid al-Bakri Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan haram mengoyak Mushhaf kerana perbuatan tersebut adalah menghina dengan apa yang tertulis itu.

Begitu juga, ulama ada menyebutkan bahawa tidak harus mengoyak atau mencarik kertas yang tertulis padanya nama Allah dan nama RasulNya, kerana cara tersebut bererti memutuskan huruf-huruf dan kalimahnya yang membawa maksud kepada memandang rendah apa yang tertulis itu.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh pernah ditanya: “Adakah haram memijak kertas atau melubangi (mencarik) yang tertulis padanya nama Allah dan nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam?” Lalu beliau menjawab dengan berkata:

Ertinya: Ya, haram memijak yang demikian kerana membawa kepada penghinaan padanya (memijak kertas atau melubangi (mencarik) yang tertulis padanya nama Allah dan nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam), ia seperti meletakkan duit-duit dirham di dalamnya (tulisan ayat-ayat al-Qur’an) bahkan lebih utama dan semestinya juga diikuti/ditujukan yang demikian kepada setiap Ism Mu‘azhzham (nama yang dimuliakan). Maka berdasarkan penjelasan di atas, memadam potongan ayat-ayat al-Qu’ran atau Ism Mu‘azhzham seperti kalimah كاتهالسالم عليكم ورمحة هللا وبر dengan menggunakan correction pen (tipex) kemudian membuangnya atau menggunakan mesin shredder sebagaimana yang ditanyakan adalah masih tidak menepati cara yang disarankan oleh hukum syara‘.

Oleh itu, untuk menjaga kehormatan dan keagungan al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham itu, maka adalah menjadi tanggungjawab seseorang Islam itu untuk mengikut cara pelupusan sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama, sama ada dengan cara membasuh atau membakarnya. Demikian juga, hendaklah dipastikan bahawa semua tulisan ayat-ayat al- Qur’an atau Ism Mu‘azhzham yang dilupuskan itu benar-benar hilang dan tidak ada lagi tertinggal saki-baki tulisan ayat-ayat tersebut kerana memelihara al-Qur’an dan Ism Mu‘azhzham adalah wajib sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12519