Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Hukum Meminum Kopi Luwak

Soalan: Apakah hukum meminum kopi luwak?

Jawapan: Pengenalan Kopi Luwak Luwak atau luak menurut Kamus Nusantara ialah binatang mirip kucing yang berbulu bintik-bintik dan gemar makan ayam, buah kopi dan sebagainya; musang; musang pulut. Kopi luwak merupakan produk kopi khas Indonesia yang diperoleh dengan cara mengumpulkan biji kopi yang keluar bersama kotoran (feses) luwak. Kopi luwak pada mulanya diperoleh dari luwak liar yang hidup secara alamiah, kemudian pada masa ini lebih banyak diperoleh dari luwak yang dipelihara.

Apakah Hukum Meminum Kopi Luwak? Pada dasarnya hukum meminum kopi adalah harus menurut syara‘. Minuman kopi adalah halal dan harus meminumnya sama seperti minuman-minuman lain selagi mana minuman itu bukan dari jenis minuman memudharatkan, memabukkan, najis atau mengandungi najis. Namun persoalan yang timbul terhadap kehalalan kopi luwak adalah mengenai kesucian biji kopi yang keluar bersama kotoran binatang luwak. Apakah biji kopi tersebut dihukumkan najis atau sebaliknya? Ulama mazhab asy-Syafi‘i ada membincangkan mengenai hukum biji yang keluar daripada perut binatang dengan menjelaskan keadaan-keadaan yang menjadikan hukum biji tersebut najis atau sebaliknya. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: Jika binatang muntah atau berakkan biji dalam keadaannya keras - yang mana jika ia ditanam ia akan tumbuh - maka ia dihukumkan mutanajjis (benda yang terkena najis) boleh dibersihkan kemudian dimakan.

Pengarang kitab Fath al-Mu’în, Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh juga ada menyebutkan dalam kitab beliau sebagaimana pendapat Imam Ibnu Hajar di atas mengenai hukum biji yang keluar dari berak atau muntah binatang, beliau berkata:

Ertinya: Dan jika binatang berak atau muntah mengeluarkan biji, maka jika biji itu keras -dalam erti jika ia ditanam ia boleh tumbuh - ia dihukumkan mutanajjis (benda yang terkena najis), boleh dicuci lalu dimakan. Jika sebaliknya (tidak keras) maka ia dihukumkan najis (benda najis).

Beliau juga ada menyebutkan dalam kitab beliau pendapat Ibnu Hajar Rahimahullâh mengenai hukum bijian yang keluar itu jika berlaku perubahan dan juga sebaliknya, katanya;

Ertinya: Berkata Guru kami (Ibnu Hajar): “Dan yang jelas bahawasanya jika biji itu berubah dari keadaannya sebelum ia ditelan sekalipun perubahan yang sedikit, maka ia dihukumkan najis dan jika tidak (berubah) maka ia dihukumkan mutanajjis.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ juga ada menyebutkan pendapat al-Ashhâb mengenai perkara ini secara lebih terperinci, beliau berkata:

Ertinya: Berkata al-Ashhâb Rahimahumullâh: “Apabila seekor binatang memakan biji dan biji itu keluar dari perutnya dalam keadaan yang masih baik (tidak rosak), maka jika kekerasan atau kepejalan biji itu masih lagi ada (kekal) - di mana jika ia ditanam ia akan tumbuh -, ‘ain biji itu adalah suci. Akan tetapi wajib membasuh bahagian zahir biji itu kerana ia telah terkena najis. (Ia dihukumkan suci) sekalipun telah menjadi makanan binatang tersebut tetapi ia tidak berubah kepada rosak. Maka jadilah perkara ini seperti jika tertelan biji kurma dan keluar biji kurma tersebut, batin biji kurma itu adalah suci dan kulitnya juga suci dengan dibasuh. Manakala jika kekerasan biji itu hilang - di mana jika ditanam tidak tumbuh - maka ia adalah najis.” Perincian ini disebut oleh al-Qadhi Husain, al-Mutawalli, al-Baghawi dan selain mereka.

Kesimpulan daripada penjelasan ulama di atas, maka biji yang keluar bersama kotoran binatang, jika ia masih baik dan utuh, boleh tumbuh apabila ditanam, maka ia bukan najis tetapi mutanajjis. Ia akan menjadi suci jika dibersihkan menurut hukum syara‘. Akan tetapi jika biji itu berubah keadaannya dari sebelum ia ditelan oleh binatang tersebut, maka hukumnya adalah najis dan haram dimakan.

Maka berdasarkan penjelasan ulama tersebut, kopi luwak adalah suci dan halal diminum jika biji kopi yang diperoleh itu keadaannya seperti berikut:

i. Biji kopi yang keluar bersama-sama najis binatang luwak itu tidak rosak sekalipun sedikit dan ia boleh tumbuh apabila ditanam.

ii. Biji kopi itu dibasuh hingga bersih (suci) dari najis binatang luwak tersebut.

Manakala, jika kopi luwak tersebut tidak menepati keadaan dan syarat yang disebutkan, hukumnya adalah najis dan haram diminum.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12524