Hukum Menjual Barang yang Dimuat Turun Secara Percuma dari Laman Sesawang (Internet)
Soalan: Apakah dibolehkan untuk saya menjual barang yang telah dimuat turun (download) secara percuma dari laman sesawang (internet)?
Sebagai contoh: Ali memuat turun filem Titanic dari laman sesawang secara percuma dan kemudian menjualnya dengan harga tertentu.
Jawapan: Secara amnya, mana-mana harta yang telah dimiliki dengan cara yang sah, termasuklah menerusi pemberian secara percuma, pemilik harta tersebut harus mentasharruf (urus tadbir) hartanya itu mengikut kehendaknya. Ini termasuklah dengan menjual semula harta tersebut kepada orang lain.
Sebagaimana disebutkan oleh para fuqahâ’, antara syarat sah jual beli itu ialah barang yang hendak dijual beli ( َ الّ مبيع ) mestilah dimiliki oleh pihak yang menjalankan akad jual beli.
Sekalipun demikian, syarat-syarat sah jual beli – dalam masa yang sama – juga menetapkan bahawa barang yang hendak dijual beli itu mestilah ada manfaatnya menurut pandangan syara‘. Dalam prinsip muamalat jual beli Islam, tidak sah misalnya menjual patung-patung berhala kerana ia tidak bermanfaat menurut pandangan syara‘ walaupun di mata sesetengah pihak benda sedemikian itu ada kegunaannya yang tertentu. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebutkan begini:
Ertinya: Syarat (kedua) daripada syarat-syarat benda yang hendak dijual itu (bermanfaat), maksudnya benda tersebut bermanfaat di sisi syara‘ sekalipun pada masa akan datang seperti anak keldai yang masih kecil. (Maka adalah tidak sah menjual) benda-benda yang tiada manfaat padanya kerana benda sedemikian itu tidak dianggap sebagai harta.
Perkara, sama ada barang yang hendak dijual beli itu ada manfaatnya di sisi syara‘ atau sebaliknya, boleh berbangkit dalam hal jual beli benda-benda yang dimuat turun dari internet. Dalam contoh yang diberikan di atas, video yang hendak dijual setelah ia dimuat turun itu adakah termasuk dalam kategori benda-benda yang bermanfaat di sisi syara‘? Adakah ia tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran agama Islam?
Demikian halnya apabila video berkenaan mengandungi perkara-perkara kemungkaran, tanda-tanda kufur, maksiat seperti adegan-adegan berunsur seks, lucah, keganasan, pembunuhan atau perjudian dan banyak lagi adegan-adegan yang tidak sesuai untuk ditonton sama ada dari segi pandangan agama mahupun akhlak, maka tidaklah dapat ia dianggap sebagai bermanfaat di sisi syara‘.
Seperkara lagi yang perlu diingatkan, walaupun ia percuma, benda-benda yang boleh dimuat turun dari internet pada kebiasaannya akan menyangkut juga soal hak cipta (copyright).
Lesen pemilik hak cipta (copyright owner) lazimnya akan menentukan setakat mana ciptaan mereka boleh digunakan; adakah untuk kegunaan sendiri sahaja atau benarkah ia boleh disalin semula, diulang cetak, diedarkan dan dijual kepada orang lain? Jika pengguna tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam lesen berkenaan, dikhuatiri pengguna, secara sedar atau sebaliknya akan terjebak ke dalam kesalahan atau jenayah cetak rompak.
Dalam Kamus Dewan, mencetak rompak bererti menghasilkan semula, menerbitkan atau menggunakan bahan bercetak atau bahan rakaman (seperti pita video, perisian komputer, kaset dan sebagainya) karya orang lain tanpa kebenaran atau secara haram, terutamanya untuk tujuan memperoleh keuntungan. Perbuatan mencetak rompak itu dianggap satu pencabulan ke atas pemilik asal hak cipta di mana bahan ciptaan mereka yang dilindungi oleh undang-undang digunakan tanpa keizinan.
Selain penerbitan semula sebahagian atau kesemua hasil karya, kesalahan mencetak rompak juga mencakupi perbuatan-perbuatan seperti membuat salinan kepada pelbagai bentuk sama ada dengan cara mengambil gambar, membuat salinan secara elektronik atau komputer, fotokopi, rakaman video, rakaman suara, menaip semula atau mengubah kepada format yang lain daripada asal. Juga termasuk ialah usaha-usaha untuk menyalin kandungan bahan dan menjual semula dengan tajuk yang berbeza sebagaimana yang biasa terjadi ke atas bahan-bahan bacaan seperti buku dan majalah.
Adalah jelas bahawa perbuatan memuat turun mana-mana perisian komputer termasuk fail-fail video itu boleh membawa seseorang itu terjebak ke dalam kesalahan cetak rompak kerana secara definisi memuat turun mana-mana perisian komputer bererti seseorang itu telah menyalin semula perisian tersebut dari sebuah komputer kepada yang lain menerusi internet. Maka adalah lebih jelas kedudukannya jika fail-fail atau perisian-perisian komputer sedemikian itu dijual kepada orang lain untuk mengaut keuntungan.
Di Negara Brunei Darussalam, undang-undang mengenai hak cipta dikawal di bawah Perintah Darurat Hak Cipta, 1999 [Emergency (Copyright) Order, 1999]. Silalah merujuk Perintah berkenaan bersama Perintah Hak Cipta (Pindaan), 2013 [Copyright (Amendment) Order, 2013] untuk mengetahui secara terperinci mengenai undang-undang dan peraturan-peraturan hak cipta yang berjalan di negara ini.
Dari pandangan syara‘, mematuhi syarat-syarat seperti yang digariskan dalam lesen hak cipta adalah menjadi kewajipan ke atas pengguna yang bersetuju dengan syarat-syarat tersebut sebagai tukaran ke atas kebenaran yang diberikan untuk menggunakan perisian atau mana-mana hak cipta yang dilindungi oleh undang-undang selagi mana tidak terdapat dalam syarat-syarat tersebut perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak hukum syara‘.
Amr bin ‘Auf al-Muzani Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan daripada bapanya yang meriwayatkan daripada datuknya bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Dan semua orang Islam di atas syarat mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Di sisi yang lain, pencabulan hak itu adalah sesuatu yang telah diketahui dilarang dalam agama Islam. Hak cipta adalah termasuk dalam jenis harta intelek (intellectual property) yang terangkum dalam maksud harta kerana ia mencakupi seluruh konsep harta iaitu sesuatu yang boleh dimiliki, hak milik seseorang dan mempunyai nilai ekonomi. Para ulama khususnya zaman mutakhir ini telah membincangkan masalah ini di bawah perbincangan-perbincangan mengenai hak taklîf, ibtikâr, ibdâ‘ dan majoriti para ulama berpendapat bahawa hak sedemikan itu adalah dii‘tiraf oleh syara‘.
Majlis Majma‘ Fiqh Islam Antarabangsa, sebagai contoh, pada persidangannya kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1 hingga 6 Jamadilawwal, 1409 bersamaan 10 hingga 15 Disember, 1988, berkenaan tajuk اْلقوق املعنوية (hak-hak barang-barang tidak ketara), telah mengeluarkan resolusi berikut:
Terjemahannya:
Pertama: Nama perdagangan (brand name), alamat komersial (commercial address), jenama perniagaan (trade mark), karya, reka cipta dan hasil inovasi adalah hak-hak yang khusus bagi pemiliknya, dalam tradisi masa kini mempunyai nilai harta yang dii‘tibârkan kerana sifatnya yang memberikan keuntungan kepada mereka (pemilik). Hak-hak ini dii‘tiraf oleh syara‘ dan tidak harus hak-hak ini dicabuli.
Kedua: Nama perdagangan, alamat komersial, jenama perniagaan harus ditasharrufkan (urus tadbir), dan (harus) dipindah (milik) sesuatu daripadanya untuk mendapatkan pulangan harta jika tidak terdapat dalam perkara-perkara tersebut kemudharatan, keaiban yang disembunyikan dan penipuan atas i‘tibâr perkara-perkara tersebut telah menjadi hak-hak yang bersifat harta benda.
Ketiga: Karya, reka cipta dan hasil inovasi adalah hak-hak yang dilindungi oleh syara‘ dan pemiliknya berhak mentasharruf hak-hak berkenaan dan tidak harus (pula) hak-hak tersebut dicabuli (oleh orang lain).
Demikian keterangan-keterangan yang diberikan oleh para ulama berhubung perkara yang ditanyakan.
Dapatlah difahami bahawa apabila sesuatu benda atau harta itu telah dimiliki sekalipun dengan cara percuma, ada perkara lain atau syarat lain yang perlu dipenuhi sebelum benda atau harta tersebut dijual kepada orang lain.
Antara lain, adakah benda yang hendak dijual itu ada manfaatnya menurut pandangan syara‘? Sebagaimana dijelaskan, hukum syara‘ telah menetapkan bahawa benda yang hendak dijual itu mestilah ada manfaatnya di sisi pandangan syara‘.
Di sudut yang lain, benda-benda yang dimuat turun kemudian hendak dijual semula itu perlu dipastikan kedudukannya terlebih dahulu dari segi peraturan-peraturan dan undang-undang yang ada berkaitan dengannya. Jika tidak, adalah dikhuatiri seseorang itu boleh terlibat dalam kesalahan mencabuli hak-hak yang dii‘tiraf oleh syara‘ dan dilindungi oleh undang-undang. Mencabuli hak orang lain dan melanggar undang-undang adalah jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12528
