Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Hukum Pembayaran Zakat Sebagai Sedekah

Soalan: Apakah hukum pembayaran zakat harta atau perniagaan yang ditukar bahagian jumlah kepada sedekah? Adakah sah atau diperbolehkan?

Jawapan: Sebilangan orang hanya menumpukan pada mengerjakan amalan sedekah wajib dan mengabaikan amalan sedekah sunat. Begitu juga sebaliknya hanya fokus pada amalan bersedekah sunat dengan beranggapan bahawa dengan bersedekah sunat sudah memadai dan kewajipan mengeluarkan zakat sudah dianggap terlaksana. Namun apakah anggapan sedemikian itu betul? Adakah zakat itu juga dianggap sebagai sedekah? Adakah sedekah mengambil tempat kewajipan zakat?

Adakah Sedekah Dianggap Zakat?

Sedekah ialah satu bentuk sumbangan atau pemberian tanpa mengharapkan imbalan atau balasan atas sesuatu yang diberikan, bahkan ia hanya semata-mata atas dasar ingin mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ (taqarrub) dengan harapan mendapat ganjaran pahala di akhirat.

Adapun sedekah merangkumi maksud sedekah sunat dan sedekah fardhu atau wajib. Zakat disebut juga sebagai sedekah fardhu sebagaimana yang dimaksudkan dalam al-Qur’an al- Karim. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka. (Surah at-Taubah: 103)

Menurut ath-Thabari Rahimahullâh ayat tersebut adalah mengenai sedekah fardhu iaitu zakat di mana setelah ayat tersebut diturunkan Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengutus dua orang lelaki daripada Bani Juhainah dan Bani Sulaim untuk mengutip sedekah fardhu atau zakat daripada orang-orang Islam.

Berdasarkan kenyataan ini zakat juga disebut sebagai sedekah iaitu sedekah fardhu atau wajib. Namun begitu, sekalipun ia disebut sebagai sedekah, kedudukannya tidaklah sama dengan sedekah sunat. Kedua-duanya mempunyai perbezaan yang ketara baik dari segi hukum mahupun dari segi waktu pengeluaran, kadar jumlah dan jenis harta yang dikeluarkan serta orang yang berhak menerimanya. Semua ini berperanan penting dalam membezakan di antara sedekah fardhu atau zakat dan sedekah sunat.

Perbezaan di antara Sedekah Fardhu dan Sedekah Sunat

Adapun perbezaan di antara sedekah fardhu (zakat) dan sedekah sunat itu dapat dilihat dari pelbagai sudut, iaitu:

1. Hukum.

Hukum mengeluarkan zakat sama ada zakat harta, fitrah, perniagaan dan sebagainya adalah wajib ke atas setiap umat Islam sepertimana yang disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui firmanNya:

Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat. (Surah an-Nûr: 56)

Manakala sedekah pula hukumnya adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apa jua harta yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (pahalanya) untuk diri kamu sendiri. Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (ganjaran pahalanya) kepada kamu. Dan kamu pula tidak dianiaya (tidak dikurangkan pahala). (Surah al-Baqarah: 272)

2. Waktu dan kadar jumlah harta yang dikeluarkan.

Zakat wajib dikeluarkan pada waktu yang tertentu dengan jumlah yang tertentu sepertimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak diwajibkan zakat pada harta sehingga berlalu ke atasnya haul (tempoh setahun). (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak diwajibkan zakat pada perak yang beratnya kurang dari lima auqiyah, tidak diwajibkan zakat pada unta yang kurang dari lima ekor dan tidak diwajibkan zakat pada kurma yang kurang dari lima ausuq. (Hadits riwayat Muslim)

Manakala sedekah pula dilakukan secara sukarela tanpa terikat dengan suatu kewajipan dan tidak dibatasi oleh jumlah dan waktu yang tertentu. Sedekah dilakukan mengikut kadar kemampuan masing-masing biarpun sedikit namun bernilai di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berdasarkan firmanNya:

Tafsirnya: Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sekalipun seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (ganjaran)nya. (Surah az-Zalzalah: 7)

3. Jenis harta yang dikeluarkan.

Zakat tidak wajib dikeluarkan ke atas semua jenis harta. Ia hanya khusus pada beberapa jenis harta yang tertentu. Iaitu harta yang berbentuk wang, perniagaan, tanam-tanaman, binatang ternak, harta karun atau harta yang terpendam (rikâz) dan harta galian (ma ‘âdin) seperti emas dan perak.

Manakala sedekah pula tidak terhad pada harta tertentu. Ia bersifat universal yang merangkumi pelbagai bentuk sedekah baik dari segi material, ilmu, tenaga, masa dan sebagainya. Ini kerana apa jua bentuk kebaikan dan amal kebajikan, ia dianggap sebagai sedekah sebagaimana disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bilamana orang-orang fakir kaum Muhajirin mengadukan kepada Baginda tentang kekurangan dan kelemahan mereka untuk meraih pahala berbanding orang kaya lantaran mereka tidak mempunyai harta untuk bersedekah, lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Mahukah kamu aku ajarkan sesuatu yang dengannya kamu dapat menandingi orang yang telah mendahului kamu dan dengannya juga kamu boleh mendahului orang-orang selepas kamu? Tidak ada seorang pun yang lebih baik daripada kamu kecuali orang yang melakukan seperti apa yang kamu lakukan. Mereka menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Hendaklah kamu mengucapkan tasbîh (Subhânallah), takbîr (Allâhu Akbar) dan tahmîd (Alhamdulillâh) di akhir setiap sembahyang sebanyak tiga puluh tiga kali.”

Abu Shalih (perâwi hadits ini) berkata: “Maka orang-orang fakir kaum Muhajirin itupun kembali menemui Rasulullah lalu berkata: “Saudara kami yang kaya telah mendengar apa yang kami kerjakan, lalu mereka pun mengerjakan hal yang sama.” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Itulah kurnia Allah yang diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya.” (Hadits riwayat Muslim)

4. Orang-orang yang berhak menerima.

Harta zakat layak diterima oleh lapan golongan ashnâf dan khusus diserahkan hanya kepada mereka berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf), untuk memerdekakan hamba sahaya, orang-orang yang berhutang, (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60)

Manakala sedekah pula layak diterima oleh sesiapa sahaja tanpa dikhususkan hanya kepada golongan tertentu. Ia diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti fakir dan miskin mahupun kepada mereka yang tidak memerlukan seperti orang kaya sama ada Muslim atau kafir. Dikecualikan kepada mereka yang haram diberikan seperti orang yang diketahui atau disyaki akan menggunakan harta sedekah tersebut sebagai perbelanjaannya untuk melakukan maksiat.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Mereka juga memberi makanan yang mereka sukai kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Surah al-Insân: 8)

Hukum Pembayaran Zakat Sebagai Sedekah

Sepertimana yang dijelaskan terdahulu bahawa zakat dan sedekah sunat kedua-duanya berkongsi pada satu lafaz yang sama iaitu sedekah. Namun begitu, ini tidak bermakna pemberian sedekah sunat itu sudah memadai bagi menggantikan kewajipan membayar zakat kerana zakat mempunyai beberapa syarat khusus yang wajib diikuti.

Walau bagaimanapun, semua ini bergantung pada niat individu kerana setiap amal perbuatan itu bersandarkan kepada niat. Niat berperanan dalam memastikan setiap amal perbuatan yang dikerjakan itu sah menurut syariat dan ia berfungsi sebagai pembeza di antara satu amal dengan amal yang lain.

Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya amal perbuatan itu adalah dengan niat dan bahawasanya bagi setiap orang itu hanyalah menurut apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pembayaran zakat sama ada zakat harta, perniagaan, fitrah dan sebagainya wajib disertai dengan niat kerana zakat tanpa disertai niat tidak akan sah dan tidak dianggap melakukan zakat. Oleh itu, bagi memastikan zakat yang dilakukan itu sah, hendaklah niat sedekah dalam pembayaran zakat dilakukan dengan betul iaitu dengan meniatkan sedekah yang dilakukan itu sebagai sedekah fardhu atau wajib seperti dengan lafaz “ini sedekah hartaku yang fardhu/wajib”, atau memadai dengan niat zakat sahaja tanpa diiringi dengan perkataan fardhu kerana kalimah zakat itu sendiri telah dimaklumi merupakan suatu perkara yang fardhu.

Adalah tidak sah zakat jika berniat atau menyebut lafaz sedekah sahaja tanpa diiringi dengan perkataan fardhu atau wajib dengan mengatakan “ini sedekah hartaku” pada pendapat yang ashah. Ini kerana sedekah merangkumi perkara sunat dan fardhu. Pada lazimnya jika menyebut sedekah semata-mata, maka ia membawa maksud sedekah sunat. Begitu juga tidak memadai berniat untuk memberi atau membayar zakat dengan mengatakan “ini fardhu hartaku” tanpa disertai perkataan sedekah atau zakat kerana mungkin sahaja ia bermaksud sedekah kerana kaffârah atau nazar.

Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj sepertimana berikut:

Ertinya: (Dan tidak memadai: ini fardhu hartaku), kerana yang demikian itu merangkumi maksud fardhu nazar, kaffârah dan juga selain kedua-duanya (dan begitu juga sedekah) iaitu sedekah hartaku atau (sedekah) harta ia tidaklah memadai (pada pendapat yang ashah), kerana (ungkapan) sedekah itu merangkumi maksud sedekah sunat.

Berdasarkan penjelasan di atas, zakat harta atau perniagaan yang ditukar niatnya kepada sedekah semata-mata adalah tidak sah sebagai zakat. Sekalipun jumlah harta yang disediakan itu pada mulanya khusus untuk pembayaran zakat dan sekalipun orang yang menerima sedekah itu daripada golongan ashnâf zakat. Sedekah sunat tidak boleh menempati dan mengganti kedudukan kewajipan zakat. Apatah lagi orang yang menerima sedekah itu bukan daripada golongan ashnâf zakat.

Perlu diketahui bahawa amalan fardhu adalah lebih diutamakan dan wajib dilaksanakan terlebih dahulu berbanding melakukan amalan-amalan sunat. Lebih-lebih lagi jika amalan fardhu itu dituntut untuk dilakukan pada waktu-waktu yang ditetapkan. Perkara ini merujuk kepada hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah berfirman: “Barang siapa menentang (memusuhi) waliKu (ahli ibadat), maka Aku akan memberi keizinan kepadanya untuk memeranginya. HambaKu mendekatkan diri padaKu dengan suatu amalan yang Aku sukai dari apa yang Aku fardhukan ke atasnya dan hambaKu sentiasa mendekatkan diri padaKu dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, maka Aku akan memberi petunjuk pada pendengaran yang dia gunakan untuk mendengar dengannya (mendengar hanya pada perkara yang Aku redhai) dan (memberi petunjuk) pada penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat dengannya (hanya pada sesuatu yang Aku perintahkan) dan (memberi petunjuk) pada tangannya yang dia gunakan untuk memegang dengannya dan (memberi petunjuk) pada kakinya yang dia gunakan untuk berjalan dengannya. Jika dia memohon (sesuatu) kepadaKu, sudah pasti Aku mengabulkannya dan jika dia memohon perlindungan kepadaKu, sudah pasti Aku akan melindunginya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menjelaskan bahawa hadits tersebut membawa maksud akan kewajipan mengutamakan amalan fardhu terlebih dahulu daripada amalan sunat. Adalah dilarang melakukan amalan sunat semata-mata dan mengabaikan amalan fardhu kerana meninggalkan amalan atau ibadat fardhu merupakan satu dosa berbeza dengan amalan sunat di mana ia hanya sebagai pelengkap kepada amalan fardhu. Amalan fardhu akan lebih sempurna apabila diikuti selepas melakukannya dengan amalan-amalan sunat bagi mendapatkan pahala tambahan dan amalan seperti inilah yang paling disukai dan dikasihi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ibnu Hubairah Rahimahullâh ada menyatakan perkara ini, menurut beliau:

Ertinya: Bahawasanya amalan sunat tidak mendahului amalan fardhu kerana amalan sunat sesungguhnya dinamakan ia sebagai amalan sunat (pemberian) kerana ia datang sebagai tambahan kepada amalan fardhu, maka selama mana amalan fardhu tidak dilakukan maka amalan sunat tidak akan diperolehi dan barang siapa yang mengerjakan amalan fardhu kemudian menambahnya dengan amalan sunat dan ia (dilakukan) secara berterusan, maka melaluinya kehendak taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala) pasti akan tercapai.

Dalam permasalahan ini, Imam as-Suyuthi Rahimahullâh ada membawakan kaedah yang berkaitan dengannya:

Ertinya: Amalan fardhu lebih afdhal (utama) daripada amalan sunat.

Menurut beliau keutamaan amalan fardhu itu adalah kerana pahalanya yang sangat banyak berbanding amalan sunat dan kenyataan ini beliau petik daripada kata-kata Imam al-Haramain Rahimahullâh bahawa para imam berkata:

Ertinya: Allah mengkhususkan NabiNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan mewajibkan sesuatu kerana besarnya pahalanya. Sesungguhnya pahala amalan-amalan fardhu adalah lebih besar daripada pahala amalan-amalan sunat dengan tujuh puluh darjat.

Bertitik tolak dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa zakat yang dilaksanakan dengan niat sedekah bukan sahaja tidak sah malah perbuatan tersebut berupa mendahulukan amalan sedekah sunat dari melakukan kewajipan zakat serta mengabaikannya. Tindakan seumpama ini adalah dilarang kerana maksud mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan mengerjakan amalan sunat itu ialah apabila amalan fardhu telah dilaksanakan. Hal ini ada dinyatakan oleh sebahagian imam-imam besar yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh:

Ertinya: Barang siapa yang disibukkan dengan amalan fardhu (sehingga lupa) dari amalan sunat maka dia dimaafkan dan barang siapa yang disibukkan dengan amalan sunat (sehingga lupa) dari amalan fardhu maka dia adalah orang yang tertipu.

Adapun niat zakat yang ditukarkannya kepada sedekah, maka sedekahnya itu adalah sah dan dianggap sebagai sedekah sunat sahaja. Dia tetap mendapat pahala di atas sedekah yang dilakukannya. Walau bagaimanapun sedekah yang telah dilakukan itu tidak menggugurkan kewajipan tuntutan zakat ke atas hartanya.

Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan (harga) sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah memang tidak menerima sesuatu melainkan yang diperolehi daripada yang baik (halal), maka Allah akan menerimanya (sedekah orang tersebut) dengan sebelah kananNya (menerimanya dengan baik dan dengan redhanya), kemudian Allah akan menggandakan pahala sedekah itu untuk orang yang mempunyai sedekah itu, sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya, sehinggalah ia (apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali) menjadi seperti gunung (pahalanya semakin dilipatgandakan). (Hadits riwayat al-Bukhari)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12531