Hukum Percikan Air di Jalan Raya yang Terdapat Bangkai
Soalan: Mohon pencerahan berkenaan hukum terkena percikan air di jalan raya yang terdapat bangkai.
Jawapan: Menanggung najis sama ada pada tubuh badan, pakaian atau terdapat najis di tempat sembahyang merupakan salah satu sebab ibadat sembahyang seseorang itu tidak sah. Ini kerana antara syarat sah sembahyang hendaklah seseorang itu suci daripada najis yang tidak dimaafkan sama ada najis tersebut datang dari diri individu itu sendiri seperti air kencing, darah dan sebagainya, ataupun najis yang mendatang seperti terkena najis binatang, terkena percikan air mutanajjis iaitu air yang bercampur dengan najis dan sebagainya.
Adapun persoalan yang timbul daripada masalah terkena percikan air di jalan raya yang bercampur dengan bangkai, adakah ia dianggap sebagai air mutanajjis? Adakah ia boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu tidak sah jika tidak dihilangkannya terlebih dahulu sebelum mendirikan sembahyang? Bagi menjawab persoalan tersebut perlu diketahui terlebih dahulu apakah jenis bangkai yang dimaksudkan, adakah ia bangkai yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan ataupun tidak.
Hukum Bangkai
Bangkai dari segi syara‘ ialah binatang yang mati tanpa melalui proses penyembelihan yang disyariatkan Islam seperti sembelihan orang Majusi, sembelihan orang yang sedang dalam berihram, penyembelihan dengan cara menggunakan tulang atau sembelihan binatang yang tidak halal dimakan dagingnya.
Adapun hukum semua bangkai itu adalah haram memakannya, maka pengharamannya itu membuktikan bahawa kesemua bangkai adalah najis. Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih). (Surah al-Mâ’idah: 3)
Kesemua bangkai adalah dihukumkan najis, namun terdapat pengecualian ke atas dua jenis bangkai yang dihukumkan suci dan halal dimakan, iaitu belalang dan hidupan laut seperti ikan, ketam, udang dan sebagainya. Sebagai contoh, bangkai ikan adalah suci dan halal dimakan sekalipun ikan itu mati terapung di permukaan air atau mati kerana dipotong kepalanya sekalipun oleh orang yang tidak halal sembelihannya seperti orang kafir. Kedua-duanya (bangkai ikan dan belalang) adalah suci secara ijmâ‘ sepertimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah, maka adapun dua bangkai itu ialah ikan paus dan belalang, dan adapun dua jenis darah itu ialah hati dan limpa. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Telah disebutkan di dalam al-Qur’an bahawa haiwan atau binatang laut itu adalah halal dimakan melalui firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut. (Surah al-Mâ’idah: 96)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada menjelaskan mengenai perkara ini dalam hadits Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Air laut itu suci lagi menyucikan, (manakala) bangkainya (binatang laut) adalah halal. (Hadis riwayat Abu Daud)
Adapun bangkai yang tidak suci atau najis itu ada juga yang dimaafkan, iaitu semua bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya, sama ada pada asalnya tidak mempunyai darah ataupun mempunyai darah tetapi tidak mengalir apabila dibelah bahagian anggotanya ketika masih hidup seperti lipas, kumbang, semut, cicak, kala jengking, labah-labah, nyamuk, lebah, kutu, lalat dan ulat.
Kesimpulannya, ada terdapat tiga jenis bangkai iaitu:
i. Bangkai yang suci. ii. Bangkai najis yang dimaafkan. iii. Bangkai najis yang tidak dimaafkan.
Air yang Terdapat Padanya Bangkai
Apabila air atau cecair bercampur dengan bangkai, maka hukum air atau cecair tersebut, sama ada ia masih suci atau sudah bertukar menjadi air mutanajjis adalah tertakluk kepada jenis bangkai tersebut.
Adapun bangkai binatang yang dimaafkan iaitu binatang yang tidak mengalir darahnya seperti lalat, lebah dan sebagainya jika ia terdapat pada air yang sedikit ataupun banyak, ia tidaklah merubah air tersebut menjadi air mutanajjis dan adalah dimaafkan kerana menghindarinya adalah sesuatu yang sukar. Akan tetapi jika sifat-sifat air tersebut seperti warna, rasa dan baunya berubah walaupun hanya dengan perubahan yang sedikit atau jika bangkai tersebut dicampakkan ke dalam air dengan sengaja, maka hukum air itu bertukar menjadi air mutanajjis dan ia tidak dimaafkan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila lalat telah jatuh ke dalam minuman seseorang daripada kamu, maka hendaklah dia selamkannya (lalat itu ke dalam minuman), kemudian hendaklah dia keluarkannya (lalat itu dari minuman). Sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada membawa penyakit dan pada sayap yang satu lagi ada penawar. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas menjelaskan bahawa air yang ada padanya bangkai lalat adalah dimaafkan, suci dan boleh diminum setelah dibuang bangkainya. Hukum bangkai lalat ini diqiyâskannya kepada semua bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya.
Adapun bangkai yang suci seperti ikan dan belalang adalah jelas tidak menajiskan air yang sedikit mahupun banyak sama ada ia merubah sifat air tersebut ataupun tidak, sepertimana juga air muthlaq yang bercampur dengan benda yang suci seperti lilin, lemak (yang suci), tanah yang suci dan sebagainya. Ia adalah suci tetapi tidak menyucikan dan tidak dianggap sebagai air muthlaq yang boleh dijadikan sebagai air untuk berwudhu’.
Manakala bangkai binatang yang tidak dimaafkan sama ada dari najis mutawassithah atau mughallazhah, apabila ia terdapat pada air yang sedikit maka air tersebut menjadi najis tidak mengira sama ada sifat-sifat air tersebut telah berubah ataupun tidak. Namun jika bangkai tersebut terdapat pada air yang banyak dan ia tidak merubah sifat-sifat air, air tersebut adalah suci.
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abdullah bin ‘Umar, daripada bapanya Radhiallâhu ‘anhum, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila air sampai (kadar) dua qullah, tidaklah ia menanggung kekotoran. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun yang dimaksudkan dengan air yang sedikit itu menurut mazhab asy-Syafi‘i ialah kadar yang kurang daripada dua qullah. Manakala air yang banyak itu pula ialah kadar yang sampai dua qullah atau lebih. Kadar dua qullah itu pula ialah pada sukatan lebih kurang 216 liter dengan ukuran isi padu empat segi 60sm3.
Terkena Percikan Air Mutanajjis
Melihat kepada status atau keadaan air yang terdapat padanya bangkai, jelas difahami bahawa apabila air yang bercampur dengan bangkai yang suci itu terpercik pada pakaian atau badan, ia adalah suci. Maka tidak wajib seseorang itu membersihkannya sebelum melakukan ibadat sembahyang. Begitu juga hukumnya jika terpercik oleh air yang bercampur dengan bangkai najis yang dimaafkan yang tidak berubah sifat-sifat airnya.
Manakala jika pakaian atau badan terkena percikan air mutanajjis (air yang berubah sifat-sifatnya apabila bercampur dengan bangkai najis yang dimaafkan, air yang sedikit apabila bercampur dengan najis yang tidak dimaafkan dan air yang banyak yang berubah sifat-sifatnya apabila bercampur dengan najis yang tidak dimaafkan), maka kewajipan membersihkannya adalah berlandaskan kepada hukum tanah becak yang bercampur najis apabila ia terkena pada pakaian atau badan, sepertimana yang disebutkan dalam kitab Hawâsyi as-Syarwani wa Ibnu Qasim:
Maksudnya: Dan dari apa yang terkandung pada tanah jalanan yang becak ialah yang terjadi daripada hujan atau percikan di jalan-jalan, dan anjing-anjing melintas dan berbaring padanya, di mana kenajisannya (tanah becak, air hujan dan air percikan itu) meyakinkan, bahkan begitu juga kalau (anjing-anjing itu) berkencing padanya dan kencingnya bercampur dengan tanahnya (jalan) yang becak atau airnya di mana tidak lagi kekal (bentuk) ‘ain najis yang dapat dibezakan (tidak lagi dapat dibezakan antara ‘ain najis dan tanah becak atau air), maka dimaafkan akannya kerana sukar untuk mengelak daripadanya.
Adapun tanah becak yang bercampur najis apabila terkena pada pakaian atau badan seseorang sekalipun najis mughallazhah, ia adalah dimaafkan melainkan jika yang terpercik itu adalah ‘ain najis itu semata-mata, seperti air kencing anjing di jalanan yang tidak bercampur dengan air. Demikian juga hukumnya air hujan yang meratai kesemua jalan dan air percikan di jalanan yang terdapat padanya najis, seperti air kencing anjing yang bercampur dengan air di mana najisnya tidak lagi kelihatan dan tidak lagi dapat dibezakan. Apabila ia terpercik pada pakaian ia adalah dimaafkan dan tidak diwajibkan untuk dibersihkan. Antara sebab ia dimaafkan ialah sukar untuk dielakkan kerana air meliputi keseluruhan jalan.
Perkara sedemikian juga disebutkan oleh asy-Syaikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah mengenai percikan air mutanajjis di jalan yang terkena pada pakaian, sepertimana berikut:
Ertinya: Dan beliau (asy-Syaikh Ibnu Hajar Rahimahullâh) ditanya lagi tentang jalan yang tidak ada padanya tanah yang becak, dan ada padanya tahi dan kotoran manusia serta tahi anjing, adakah dimaafkan jika berlaku hujan yang mengenai pakaian dan kaki daripadanya (najis tersebut)? Beliau menjawab dengan katanya: “Adalah dimaafkan tentang apa yang telah disebutkan pada jalan yang sukar untuk mengelak daripadanya (najis tersebut), kerana keadaannya yang meratai keseluruhan jalan, dan tuannya (tuan pakaian atau kaki) itu pula tidak dianggap sebagai terjatuh (ke atas najis), juga tidak tersungkur (ke atas najis) dan tidak juga dianggap kurang berjaga-jaga.”
Berdasarkan fatwa beliau ini, apabila air di jalan raya terpercik pada pakaian atau badan dan air tersebut telah berubah menjadi air mutanajjis, maka tidaklah wajib dibersihkan kerana ia adalah dimaafkan, sepertimana juga jika terpercik padanya tanah becak yang bercampur najis dengan mengambil kira beberapa syarat berikut:
1. Hendaklah jalan yang dilalui itu dipenuhi atau diratai dengan najis dan tidak ada laluan lain untuk dilalui selain jalan tersebut.
2. Hendaklah terdapat kesukaran untuk menghindarinya dan perlulah berhati-hati dan waspada daripada terkena percikan.
3. Hendaklah percikan itu pada kadar yang sedikit. Ketetapan kadar “sedikit” yang dimaafkan itu menurut Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh apabila seseorang itu tidak sampai dianggap terjatuh ke atas najis atau kadar sedikit itu ialah apabila seseorang itu dianggap berhati-hati daripada terkena najis. Adapun jika dia dianggap tidak berhati-hati, tersungkur atau terjatuh ke atas najis, maka ia dianggap banyak dan percikan air yang bercampur najis itu tidak dimaafkan.
Adapun jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, seperti jalan tempat laluan itu tidak diratai dengan najis, tidak terdapat kesukaran untuk menghindarinya, kurang berhati-hati dan percikan air itu pada kadar yang banyak, maka pakaian atau badan yang terkena air mutanajjis itu tidaklah dimaafkan dan wajib dihilangkan atau dibersihkan apabila hendak melakukan ibadat sembahyang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12536
