Hukum Pertukaran Jantina Lelaki ke Perempuan
Soalan: Saya pelajar Universiti Sains Malaysia ingin bertanyakan fatwa mengenai hukum pertukaran jantina lelaki ke perempuan. Dipohonkan penjelasan mengenainya.
Jawapan: Allah Subhânahu wa Ta‘âla mencipta manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan dalam bentuk yang sebaik-baiknya, serta lengkap dengan anggota yang sesuai dengan keadaannya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah at-Tîn: 4)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla lagi:
Tafsirnya: Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam ‘Alaihissalâm), Dia (Allah) menciptakan daripada pasangannya (Hawa), Dia (Allah) mengembangbiakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) lelaki dan perempuan yang ramai. (Surah an-Nisâ’: 1)
Sebagai tanda kekuasaan Allah, ada juga manusia yang dicipta sebagai khuntsâ; iaitu mempunyai dua alat kelamin atau hanya ada lubang untuk membuang air kencing. Khuntsâ itu ada dua jenis:
1. Khuntsâ wâdhih (jelas) iaitu hilang kesamarannya dan dapat ditentukan jantinanya sama ada lelaki atau perempuan melalui tanda-tanda yang qath‘i (pasti), zhanni (kuat sangkaan) atau perkhabaran khuntsâ tersebut tentang kecenderungannya kepada jantina lelaki atau perempuan; kerana alat atau lubang yang ada itu hanya merupakan anggota tambahan;
2. Khuntsâ musykil (samar) iaitu mempunyai dua alat kelamin iaitu alat kelamin lelaki dan perempuan sekaligus; atau tiada alat kelamin, tetapi mempunyai satu lubang untuk membuang air, serta tidak mempunyai tanda-tanda bagi menghilangkan kesamarannya.
Ini berbeza dengan lelaki yang mempunyai alat kelamin lelaki yang jelas tetapi berlagak menyerupai perempuan pada gerak atau gayanya, maka jenis ini dipanggil mukhannats.
Perbuatan lelaki menyerupai perempuan tersebut adalah haram sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj berdasarkan hadits-hadits yang melaknat mukhannats. Antaranya hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat lain, Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu menyebutkan:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang-orang mukhannats (lelaki yang menyerupai perempuan) daripada golongan lelaki dan orang-orang mutarajjilât (perempuan yang menyerupai lelaki) daripada golongan perempuan. Baginda bersabda: “Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kamu.” Ibnu ‘Abbas berkata: “Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengeluarkan si fulan (mengeluarkan dari tempatnya sehinggalah dia kembali bertaubat) dan ‘Umar (juga) telah mengeluarkan si fulan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menerangkan dalam Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj bahawa adalah wajib bagi pemerintah dan sesiapa yang mempunyai kekuasaan untuk membasmi perbuatan yang dilaknat tersebut iaitu lelaki berhias menggunakan perhiasan perempuan, bergerak dengan gaya perempuan, menaikkan suara dengan gaya percakapan perempuan dan menegah pelakunya itu.
Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Makkah al-Mukarramah pada hari Ahad 13 Rajab 1409 bersamaan 12 Februari 1989 hingga 20 Rajab 1409 bersamaan 19 Februari 1989 pada mesyuaratnya kali ke-11 telah meneliti mengenai hukum penukaran jantina lelaki kepada perempuan dan sebaliknya. Setelah perbincangan dibuat, memutuskan bahawa:
1. Lelaki yang sempurna anggota kelelakiannya dan perempuan yang sempurna anggota keperempuanannya tidak harus bertukar ke jantina lainnya. Pertukaran jantina adalah suatu jenayah dan berhak dihukum kerana mengubah ciptaan Allah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan pertukaran tersebut berdasarkan firman Allah tentang pernyataan syaitan:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan menyesatkan dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong. Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternakan) lalu mereka benar-benar membelah telinga binatang-binatang ternakan itu dan akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan Allah) lalu mereka benar-benar mengubahnya. Dan sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang nyata. (Surah an-Nisâ’: 119)
Demikian juga hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya, (semua ini semata-mata) untuk kecantikan, iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah Ta‘ala. Bagaimana aku tidak melaknat sesiapa yang dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam? Sedang ia ada dalam Kitab Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Sesiapa yang ada pada anggotanya tanda-tanda perempuan dan juga lelaki, maka hendaklah dilihat tanda-tanda yang kuat, jika tanda kuat menunjukkan lelaki, maka harus dijalankan rawatan kesihatan untuk menghilangkan kesamaran pada kelelakiannya. Demikian juga, jika tanda kuat menunjukkan perempuan, maka harus dijalankan rawatan kesihatan untuk menghilangkan kesamaran pada keperempuanannya, sama ada rawatan itu berbentuk pembedahan atau penggunaan hormon. Ini kerana ia merupakan penyakit dan rawatan adalah bertujuan untuk penyembuhannya dan ia bukan menukar ciptaan Allah.
Berdasarkan keputusan Akademi Fiqh Islam tersebut, hukum pertukaran jantina atau alat kelamin lelaki yang sempurna kepada perempuan dan sebaliknya adalah haram kerana mengubah ciptaan Allah. Manakala menjalankan rawatan kesihatan untuk menghilangkan kesamaran bagi khuntsâ, hukumnya adalah harus sama ada rawatan itu berbentuk pembedahan atau penggunaan hormon; tertakluk kepada penilaian berdasarkan syara‘ tentang penentuan jantinanya. Keharusan ini kerana ia adalah penyakit dan rawatan pula bertujuan untuk penyembuhan bukan menukar ciptaan Allah.
Penilaian berdasarkan syara‘ mengenai penentuan jantina ialah sebagaimana menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Raudhah ath-Thâlibîn iaitu dengan melihat alat kelamin mana yang berfungsi; sama ada dilihat dari air kencing atau air mani yang keluar itu melalui alat kelamin lelaki atau alat kelamin perempuan, adakah mengeluarkan haidh, beranak, ataupun kecenderungannya kepada jantina lelaki atau perempuan, maka itu adalah antara tanda-tanda jelas untuk menentukan jantinanya.
Berdasarkan dalil-dalil dan penerangan para ulama ini, maka hukum menukar jantina lelaki kepada perempuan dan sebaliknya adalah haram kerana mengubah ciptaan Allah, malah termasuk dalam perbuatan yang dilaknat yang mengundang dosa besar. Pemerintah dan pihak berautoriti wajib menegah perbuatan sedemikian. Manakala hukum menjalankan rawatan kesihatan untuk menghilangkan kesamaran bagi khuntsâ adalah harus, tertakluk kepada penilaian berdasarkan syara‘ tentang penentuan jantinanya, kerana rawatan hanya bertujuan untuk penyembuhan atau untuk menghilangkan kesamaran bukan menukar ciptaan Allah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12540
