Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Tarian Poco-poco di Sekolah Perempuan

Soalan: Apakah hukumnya tarian Poco-poco dilakukan hanya sebagai senaman atau aerobik di sekolah perempuan sahaja?

Jawapan: Hukum Tarian

Hukum tarian secara umum sebagaimana diterangkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam Nihâyah al-Muhtâj ialah seperti berikut:

1. Harus; tidak haram dan tidak makruh jika tarian hanya gerak lurus dan bengkok badan berdasarkan iqrâr (pengesahan) Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap persembahan tarian sedemikian yang ditunjukkan oleh orang Habsyah kepada Baginda di Masjid Baginda pada Hari Raya.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Orang-orang Habsyah telah datang menari (bermain menggunakan senjata seakan-akan gaya menari) pada Hari Raya di dalam masjid. Lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memanggil saya. Saya pun meletakkan kepala saya di atas bahu Baginda. Maka saya melihat persembahan mereka (orang-orang Habsyah) sehingga saya berpaling dari melihat mereka. (Hadits riwayat Muslim)

2. Haram sama ada ke atas lelaki atau perempuan jika gerak tarian berlenggang-lenggok seperti perbuatan mukhannats iaitu orang yang berlagak menyerupai perempuan pada gerak atau gaya berdasarkan hadits-hadits yang melaknat mukhannats. Berlainan jika melakukan perbuatan sedemikian tanpa dibuat-buat, maka tidak berdosa.

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat orang-orang mukhannats iaitu lelaki-lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan-perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hukum Menggunakan dan Mendengar Alat Muzik

Tarian pula sering diiringi bunyi-bunyian alat muzik. Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan dalam Nihâyah al-Muhtâj hukum menggunakan dan mendengarkan alat muzik seperti berikut:

1. Haram menggunakan alat-alat muzik yang merupakan syi‘âr (lambang) meminum arak seperti thunbúr (alat muzik yang dipetik yang mempunyai leher panjang dan mempunyai tali daripada tembaga), ‘ud (sejenis kecapi), rebab, santhír (gitar), junk (alat muzik yang dipetik yang mempunyai leher panjang dan mempunyai tali daripada tembaga), kamanjah (biola), shanj (cymbals berupa dua piring kekuningan yang diadu), mizmâr ‘Irâqi (seruling Iraq), semua jenis autâr (kecapi) dan mazâmír (alat-alat muzik yang ditiup seperti seruling, klarenet dan serunai). Demikian juga haram mendengarkannya kerana keseronokan yang timbul dari mendengarkannya membawa kepada kerosakan; seperti minum khamr dan ia juga merupakan syi‘âr (lambang) kefâsiqan. Manakala kubah (gendang kecil yang ramping di tengah) pula diharamkan memukul dan mendengarkannya kerana menyerupai mukhannats.

Walau bagaimanapun, jika mendengarnya tanpa sengaja, maka tidak dihukumkan haram.

2. Harus memukul dan mendengarkan duff (rebana) semata-mata pada majlis-majlis perkahwinan, khatan dan seumpama majlis-majlis kegembiraan. Tetapi jika duff (rebana) digabungkan dengan alat-alat muzik yang diharamkan, hukumnya menjadi haram dengan ijmâ‘ sebagaimana pendapat yang dinukil daripada Imam Ibnu ash-Shalah Rahimahullâh.

Al-Hakim meriwayatkan dalam al-Mustadrak dengan sanad yang shahíh sebuah hadits daripada Muhammad bin Hathib Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perbezaan antara perkara halal dan haram ialah bunyi rebana. (Hadits riwayat al-Hakim)

Asal Usul Tarian Poco-poco

Kajian mengenai Poco-Poco bertajuk ‘Poco-poco: Sing, Swing, and Sweat!’ telah dimuatkan dalam buku Reflections in Southeast Asian Seas. Esei tersebut menyatakan pada tahun 1990an, sebuah lagu diberi tajuk Poco-poco telah menjadi popular di Ambon, Ternate dan beberapa tempat di Indonesia Timur. Lagu Poco-poco versi pertama dan paling lama telah dilancarkan dalam bentuk kaset audio sekitar tahun 1994 oleh Kumpulan Nanaku. Ia merupakan album pertama mereka dalam bentuk genre lagu Pop Maluku. Lirik lagu Poco-poco dikarang oleh Arie Sapulette dan dinyanyikan oleh Ferry Sapulette dan Kumpulan. Ia kemudian dipopularkan di kepulauan Indonesia dan negara luarnya oleh penyanyi Ambon, Yopie Latul dalam dialek Melayu Manado (Sulawesi Utara). Lagu Poco-poco juga dinyanyikan dalam pelbagai dialek Ternate (Maluku Utara).

Lirik lagu Poco-poco yang dikarang oleh Arie Sapulette merupakan pujaan terhadap seorang wanita bergelar Ci Ija. Poco-poco dalam dialek Melayu Manado bererti kemontokan pipi. Manakala dalam dialek Maluku Utara bererti badan yang bulat. Perkataan Poco-poco juga didapati di kepulauan Indonesia Barat yang bererti tarian berbaris dan senaman gerak badan.

Gerak tari Poco-poco berkait dengan tarian-tarian tradisional di Papua dan Sulawesi Utara. Asal-usul gerak tarinya masih kurang jelas tetapi ia kelihatan sama dengan tarian tradisi gaya barat di sebelah timur Indonesia seperti Ambon, Ternate, Manado dan tempat-tempat lain.

Langkah asas dalam Poco-poco adalah seperti berikut: dimulai dengan kaki kanan, buat 2 langkah ke kanan (kaki kiri mengikut kaki kanan), kemudian 2 langkah ke kiri, dimulai dengan kaki kiri, (kaki kanan mengikut kaki kiri), kemudian 2 langkah ke belakang, dimulai dengan kaki kanan, (kaki kiri mengikut kaki kanan), kemudian 1 langkah ke hadapan menggunakan kaki kiri, lalu pusing badan ke kiri dan letakkan kaki kanan sebelah kiri. Lalu mula lagi dari awal. Langkah tarian tersebut beserta lagunya diulang berkali-kali sehingga para penari letih dan audien sudah tidak tahan untuk mendengar lagu tersebut lagi. Gerak tari yang sama juga menjadi popular sekitar waktu yang hampir sama di kalangan puak Maluku (etnik yang berasal dari kepulauan Maluku, Indonesia) di Belanda (Netherlands) tetapi nama tarian berbeza iaitu Jospan. Nama Jospan juga ada disebut di Indonesia sebagai Yospan iaitu nama bagi tarian yang berasal dari Papua, Indonesia.

Di Ambon Indonesia, tarian Poco-poco boleh dibuat menggunakan apa sahaja lagu yang sesuai dan tidak terhad kepada lagu poco-poco. Lagi pula, tarian tersebut telah berkembang dengan ada tambahan pada langkah asas.

Penyebaran lagu dan tarian Poco-poco boleh jadi melalui tentera yang menerima latihan di Ambon dan Ternate sebelum mereka bertapak di Papua. Setelah popular di Papua, ia mungkin diperkenalkan ke tempat-tempat lain di kepulauan Indonesia.

Penyebarannya ke sebelah Barat Indonesia telah melalui beberapa pengubahsuaian, rentak muzik bertukar dan Yopie Latul menjadi penyanyi terkenal bagi versi baru lagu Poco-poco, yang pada asalnya dinyanyikan oleh Ferry Sapulette dan Kumpulan. Tambah pula, Poco-poco telah digunakan bagi sesuatu rentak muzik yang boleh dicampur dengan gaya lain seperti Poco-poco house music atau cha dhut Poco-poco (kombinasi cha-cha, dangdut dan poco-poco).

Gaya muzik ini telah menjadi popular dan tersebar sehingga ia digunakan dalam bentuk kerohanian dan boleh didapati dalam muzik keagamaan di cakera-cakera padat dengan tajuk seumpama ‘1 Jam Non-stop Rohani Irama Poco-poco’ atau ‘60 menit Non-stop Senam Poco-poco Rohani Irama Mandarin’ dan kaset-kaset muzik dengan tajuk seumpama ‘26 Non-stop lagu Dansa Poco-poco Natal’.

Penyebaran Poco-poco oleh pihak ketenteraan dalam bentuk senam gerak badan pula telah membuka jalan bagi tarian Poco-poco berkembang kepada jenis gimnastik dan aerobik sehingga banyak variasi gerak badan telah dicipta. Sebahagian variasi juga membawa ke arah tarian. Tarian tersebut sama ada dilakukan dengan penuh bertenaga atau perlahan yang mana boleh diikuti oleh orang muda dan tua.

Sungguhpun perkembangan tarian Poco-poco juga diubah suai menjadi gerak senam dan aerobik, namun apa yang diketahui tarian Poco-poco bukan semata-mata gerak lurus dan bengkok badan sebagaimana gerak tarian orang-orang Habsyah yang diharuskan, tetapi tarian Poco-poco itu juga disertai dengan lenggang-lenggok yang diharamkan, walaupun ia dilakukan hanya di kalangan orang perempuan di sekolah perempuan sahaja, ia tetap haram dilakukan sebagaimana penerangan al-Imam ar-Ramli Rahimahullâh. Tidak dinafikan juga di dalam sekolah perempuan pada kebiasaannya masih ada kehadiran lelaki di sekolah tersebut seperti guru, pentadbir, pekebun, pembersih atau seumpamanya. Lebih-lebih lagi tarian tersebut juga diiringi bunyi-bunyi alat muzik yang diharamkan dalam Islam. Tambah pula pengharaman itu jika lirik lagu dan gerak tarinya diubah suai menjadi unsur lucah atau tidak senonoh atau keagamaan. Pengharaman ini adalah demi menjaga aqidah, syari‘ah dan akhlak umat Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12544