Kedudukan Puasa bagi Orang yang Menjalani Detox
Soalan: Saya seorang peniaga yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan membuat detox (terapi rendaman kaki ionik, iaitu rendaman kaki di dalam takungan air yang dicampur sedikit garam melalui proses osmosis). Jika terapi ini dibuat di siang hari pada bulan Ramadhan, adakah ia membatalkan puasa?
Jawapan: Orang yang menjalani rawatan kesihatan ketika berpuasa adalah sah puasanya jika rawatan itu tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menerangkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Mughni al-Muhtâj berkenaan memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga:
Ertinya: Dan (disyaratkan) menahan diri [daripada menyampaikan (memasukkan) benda] walaupun sedikit seperti sebutir bijan atau (benda itu) tidak boleh dimakan umpamanya batu kecil, [ke tempat yang dinamakan rongga] kerana puasa ialah menahan diri daripada semua yang sampai (masuk) ke rongga. Tidak termasuk dalam maksud benda itu kesan; seperti bau yang dihidu atau kepanasan dan kesejukan air yang dirasa. Dan tidak termasuk maksud rongga jika seseorang mengubati lukanya pada daging betis atau paha kemudian ubat itu masuk meresap ke dalam sumsum atau daging atau dicucuk padanya besi, maka (perbuatan mengubati luka pada betis dan paha) itu tidak membatalkan puasanya kerana ia bukan rongga.
‘Rongga’ pula sama ada ia mempunyai fungsi untuk memproses makanan atau ubat ataupun tidak, ialah seperti:
Ertinya: Rongga otak, perut, usus dan pundi-pundi kencing, adalah batal puasa dengan menebuk atau makan atau suntikan atau tikaman yang tembus ke dalam perut atau lapisan otak (tempurung kepala) dan seumpama kedua-duanya. Demikian juga menitikkan (sesuatu) ke dalam batin telinga, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlîl) adalah membatalkan puasa menurut pendapat ashah.
Disyaratkan juga memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga itu melalui ‘lubang yang terbuka dan dengan sengaja’. Maka tidak membatalkan puasa jika minyak masuk ke dalam rongga melalui penyerapan di liang roma. Demikian juga, tidak mengapa mandi dengan air sejuk sekalipun terasa kesannya pada batin atau dalaman badan dengan kesimpulan bahawa sampainya ke dalam badan itu bukan melalui lubang terbuka.
Berkaitan dengan persoalan yang diajukan mengenai dengan kedudukan puasa orang yang menjalani rawatan detox atau detoksifikasi iaitu penyingkiran racun atau toksin daripada sesuatu badan dengan menggunakan terapi rendaman kaki ionik, iaitu rendaman kaki di dalam takungan air yang dicampur sedikit garam melalui proses osmosis, tidak batal puasanya sekalipun kepanasan atau kesejukan air dapat dirasai dan garam atau ubat meresap ke dalam liang roma, kerana kaki bukan rongga, juga bukan lubang yang terbuka seperti mulut, hidung, dubur dan telinga.
Walau bagaimanapun, jika kesan rawatan detox tersebut boleh melemahkan badan orang berpuasa, maka adalah lebih baik ia tidak dilakukan semasa siang hari berpuasa, sebagaimana disebut oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughni al-Muhtâj berkenaan hukum berbekam yang tidak membatalkan puasa tetapi lebih baik ditinggalkan semasa berpuasa kerana boleh melemahkan badan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12552
