Kedudukan Puasa Ramadhan bagi Pesakit HIV
Soalan: Pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan antiretroviral (ARV) untuk jangkitan HIV, iaitu virus yang menyebabkan syndrome AIDS perlu mendapatkan rawatan tersebut setiap hari secara tetap untuk sepanjang hayat mereka. Sesetengah jenis rawatan ARV diambil secara sekali sehari dan yang selainnya dua kali sehari di mana dos pertama perlu diambil di waktu siang hari.
Bagaimanakah mereka boleh memenuhi kewajipan berpuasa di bulan Ramadan?
Jawapan: Berdasarkan keterangan di atas, pesakit yang dijangkiti virus HIV akan dirawat dengan menggunakan beberapa kombinasi ubat yang dikenali sebagai rawatan antiretroviral (ARV). Tujuan rawatan ini hanyalah untuk mengurangkan bilangan virus HIV dalam darah pesakit berkenaan ke tahap yang hampir tidak dapat dikesan. Langkah tersebut dibuat bagi mengurangkan risiko mendapat sindrom AIDS dan dalam masa yang sama membolehkan para pesakit berkenaan mengamalkan cara hidup seperti orang biasa.
Difahamkan juga, rawatan ini perlu diambil setiap hari secara tetap untuk sepanjang hayat mereka. Sesetengah jenis rawatan ARV diambil sekali sehari dan sesetengah yang lain pula diberikan dua kali sehari (dos pertama perlu diambil diwaktu siang hari). Jika pesakit ini tidak menerima rawatan ARV tetap pada masanya, situasi ini akan memberi tempoh masa bagi virus tersebut untuk kembali dan tumbuh semula dalam darah pesakit-pesakit. Jika ini berlaku, virus HIV mungkin mempunyai peluang untuk menyesuaikan diri dengan ubat dan menentangnya. Pesakit-pesakit tersebut akan sekali lagi berisiko mendapat sindrom AIDS di masa akan datang dan risiko bagi pesakit-pesakit ini untuk menjangkiti jangkitan HIV kepada orang lain akan meningkat kembali kepada kadar sebelum rawatan dimulakan.
Hukum Puasa Ramadhan Bagi Orang Sakit
Orang sakit mempunyai kedudukan yang istimewa khususnya dari segi menunaikan peribadatan yang diwajibkan dalam hukum syara‘. Dalam melakukan amalan yang diwajibkan seperti menunaikan puasa di bulan Ramadhan, orang sakit diberikan rukhshah (keringanan atau kelonggaran) dalam melaksanakan kewajipan mereka dengan mengikut keupayaan dan kesesuaian mereka berdasarkan kepada penyakit yang mereka alami. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: 286)
Berkenaan dengan puasa pada bulan Ramadhan, bagi orang yang tidak berkeupayaan untuk berpuasa kerana sakit, maka rukhshah tersebut terbahagi kepada dua keadaan:
Pertama: Bagi penyakit yang hanya dialami dalam jangka masa yang tertentu yakni bukan sepanjang hayat, tetapi waktunya sakit itu jatuh pada bulan Ramadhan sehingga menyebabkan dia tidak berupaya untuk menunaikan kewajipan puasanya kerana ditakuti akan memudharatkannya, maka dalam hal ini, Allah Ta‘ala telah memberi rukhshah kepada pesakit berkenaan dengan mengharuskannya berbuka kemudian mengqadha’ dan menggantikan jumlah hari yang telah ditinggalkannya itu pada suatu waktu yang lain sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Oleh itu sesiapa antara kamu yang berada dalam bulan itu dan menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa, dan sesiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan (pelayaran pada bulan Ramadhan itu bolehlah dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa pada hari-hari yang lain (sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu). Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan… (Surah al-Baqarah: 185)
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Minhâj:
Ertinya: Dan harus meninggalkan puasa bagi orang yang sakit apabila dia mendapati (dengan berpuasa itu) sangat memudharatkan…
Kedua: Bagi penyakit yang dialami secara berpanjangan yakni sepanjang hayat, di mana jika dia berpuasa akan memudharatkannya, maka dalam hal ini, dia tidak diwajibkan berpuasa namun hanya wajib mengeluarkan fidyah sahaja sebagai ganti pada hari-hari puasa yang ditinggalkannya itu.
Dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab pula, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Imam asy-Syafi‘i dan para sahabat berkata: “Orang tua yang merasa terbeban jika dia berpuasa, yakni akan menyebabkan kesusahan yang amat sangat dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, tidak diwajibkan ke atas kedua-duanya berpuasa tanpa perselisihan ulama…dan diwajibkan kedua-duanya mengeluarkan fidyah…dan fidyah itu adalah satu mud daripada makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan...
Rukhshah yang disebutkan dalam keadaan kedua ini adalah bertepatan dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan dalam urusan agama. (Surah al-Hajj: 78)
Setelah mengetahui kedua-dua rukhshah yang disebutkan di atas, cara menunaikan ibadat puasa bagi orang sakit pada bulan Ramadhan bolehlah merujuk kepada ketetapan hukum yang telah digariskan oleh syara‘ ke atas mereka dengan mengambil kira kemampuan pesakit berkenaan dalam menanggung penyakit yang dialami.
Hukum Puasa Ramadhan bagi Pesakit HIV
Apabila merujuk kepada permasalahan yang diajukan dan melihat kepada keterangan daripada pihak Pejabat Perhubungan Korporat, Kementerian Kesihatan yang disertakan dalam soalan, pesakit HIV yang diberikan dos dua kali sehari (dos pertama perlu diambil di waktu siang hari) adalah terkesan dalam menunaikan kewajipannya untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ini kerana pengambilan dos dua kali sehari secara tetap dan berjadual mengikut masa pada setiap hari bagi tempoh sepanjang hayat adalah suatu kemestian yang perlu dihadapi oleh para pesakit berkenaan dalam menjalani rawatan HIV. Jika peraturan pengambilan ubat tersebut tidak dipatuhi, risiko untuk mendapat komplikasi-komplikasi lain seperti sindrom AIDS adalah sangat tinggi. Inilah merupakan halangan besar yang perlu dihadapi oleh pesakit HIV sekiranya mereka berpuasa juga, berkemungkinan besar kemudharatan lebih berat akan menimpanya.
Dengan merujuk kepada rukhshah berpuasa yang telah disebutkan oleh para ulama di atas, pesakit HIV yang tidak berkemampuan untuk berpuasa kerana mengambil ubat dua dos sehari secara tetap dan berjadual hingga ke akhir hayat adalah termasuk dalam kategori pesakit yang tiada harapan untuk sembuh dan jika dia berpuasa, akan memudharatkannya. Maka dalam hal ini, dia tidak diwajibkan untuk berpuasa dan juga tidak diwajibkan untuk mengqadha puasa Ramadhan yang telah ditinggalkannya itu, tetapi hanya wajib mengeluarkan fidyah sahaja mengikut jumlah hari yang ditinggalkannya iaitu satu mudd untuk satu hari.
Fidyah Puasa
Fidyah yang wajib dikeluarkan bagi satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan itu ialah satu mudd daripada jenis makanan asasi yang sah dijadikan zakat fitrah. Ini bererti, jika seseorang itu tidak berpuasa selama 30 hari, maka dia wajib mengeluarkan 30 mudd sebagai fidyah puasanya pada tahun tersebut.
Apabila mudd dikaitkan dengan kadar sukatan yang digunakan pada masa sekarang, berdasarkan Fatwa Mufti Kerajaan (20/1997) dan maklumat Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam, perkiraan satu mudd adalah menyamai dengan satu cupak atau 15 tahil atau 566.991 gram.
Jenis fidyah itu adalah sama jenisnya dengan jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi bagi sesebuah negeri seperti beras di Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, mengeluarkan fidyah dengan nilainya mengikut mazhab Imam Abu Hanifah adalah harus.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab:
Ertinya: Berkata Imam asy-Syafi‘i dan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah): “Tidak memadai (tidak sah) mengeluarkan nilai (untuk mengeluarkan zakat). Pendapat ini dikatakan juga oleh jumhûr ulama. Namun Abu Hanifah mengharuskannya.”
Di samping itu, para ulama asy-Syafi‘iyyah juga berpendapat bahawa tidak sah mengeluarkan nilai itu apabila tidak ada dharurat untuk menukar zat zakat yang dikeluarkan itu kepada nilai. Adapun antara dharurat yang dimaksudkan ialah seperti kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab:
Ertinya: Dan antara keadaan dharurat yang (menyebabkan) memadai (sah) padanya mengeluarkan nilai iaitu apabila sultan memerintahkan mereka (orang yang berzakat itu) membayarnya dengan nilai dan mengambilnya daripada mereka. Maka (dengan cara ini) sahlah zakat mereka itu.
Maka untuk mengeluarkan fidyah yang wajib itu perlulah merujuk kepada pihak yang berautoriti dalam pentadbiran zakat iaitu pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Bila Waktunya Membayar Fidyah?
Bagi orang terlalu tua yang tidak berdaya untuk puasa dan ini termasuklah juga orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn menyebutkan bahawa harus membayar fidyah selepas terbit fajar pada setiap hari puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu. Begitu juga harus mengeluarkan fidyah sebelum terbit fajar bagi hari yang dikeluarkan fidyah itu. Namun, tidak harus membayar fidyah puasa yang hendak ditinggalkannya itu sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebagai contoh, dia hendak membayar tiga puluh cupak untuk tiga puluh hari puasa Ramadhan yang akan ditinggalkannya itu ketika dia masih lagi berada dalam bulan Sya‘ban, maka dalam hal ini, dia tidak harus berbuat demikian kerana belum ada kewajipan ke atasnya untuk melakukan puasa Ramadhan pada waktu tersebut.
Kepada Siapa Diberikan Fidyah?
Fidyah yang dikeluarkan itu hendaklah diberikan kepada orang fakir atau miskin sahaja sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: (Dan diagihkan fidyah kepada orang-orang fakir dan miskin) sahaja dan tidak kepada baki ashnaf lapan yang lain dalam bahagian zakat sebagaimana firman Allah Ta‘ala: “Dan wajib bagi orang yang tidak mampu mengerjakannya membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin.” [surah al-Baqarah:184]. Orang fakir adalah golongan yang lebih teruk keadaannya daripada orang miskin. Jika harus mengagihkan fidyah kepada orang miskin, maka orang fakir adalah lagi lebih utama untuk diberikan fidyah…
Manakala jumlah pembahagian cupak fidyah kepada setiap orang fakir atau miskin itu pula tidak ada batasan. Dalam erti kata lain, harus diberikan kesemua atau beberapa cupak fidyah tersebut kepada seorang miskin atau fakir.
Kesimpulan
Penyakit HIV adalah penyakit seumur hidup. Apabila seseorang itu telah disahkan menghidap virus HIV, maka kehidupannya akan bergantung kepada rawatan ARV sepanjang hayat bagi tujuan untuk menghilangkan kemudharatan yang boleh mengganggu kesihatannya tetapi bukan untuk menghilangkan virus berkenaan. Dalam hal ini, hukum puasa Ramadhan bagi pesakit HIV dapat disimpulkan seperti berikut:
(i) Jika pakar perubatan mengesahkan bahawa berpuasa itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada pesakit HIV berkenaan dan dia dikehendaki untuk memakan ubat dua kali sehari secara tetap dan teratur di mana dos pertama dimestikan mengambil pada waktu siang, maka pesakit itu tidak diwajibkan berpuasa dan tidak wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkanya itu, cuma wajib membayar fidyah sahaja iaitu satu cupak bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
(ii) Jika pakar perubatan mengesahkan bahawa berpuasa itu tidak mendatangkan kemudharatan kepada pesakit HIV berkenaan, dan jadual ubat-ubatan yang membatalkan puasa itu hanya diambil sekali sehari atau dua kali sehari namun boleh diaturkan kepada waktu sahur dan berbuka, maka pesakit itu wajib berpuasa.
Oleh itu, pesakit HIV hendaklah merujuk kepada pakar perubatan yang diiktiraf mengenai dengan tahap kesihatan mereka bagi mengetahui keadaan kemampuan daya tahan badan mereka khususnya apabila hendak memasuki bulan Ramadhan. Perkara tersebut amatlah penting bagi menentukan hukum berpuasa ke atas mereka mengikut kesesuaian keadaan mereka dengan berpandukan kepada ketetapan yang ada disebutkan dalam syara‘ sebagaimana yang telah diterangkan di atas.
Ingatlah, Allah Ta‘ala tidak akan membebani hamba-hambaNya dalam melaksanakan ibadat yang diwajibkan melainkan mengikut kadar kemampuan yang mereka miliki. Dalam hal ini, para pesakit HIV bolehlah mengikut arahan dan nasihat yang diberikan oleh pakar perubatan berkaitan dengan kemampuan mereka dalam menunaikan ibadat puasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12556
