Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Keutamaan Sembahyang Jemaah di Masjid atau Bersama Ayah Tua di Rumah

Soalan: Saya sedang menjaga ayah yang sudah tua (85 tahun) yang mana ayah saya kadang-kadang ingat kadang-kadang lupa, termasuklah tentang sembahyang. Apakah yang lebih utama saya lakukan sama ada sembahyang berjemaah di masjid atau saya sembahyang berjemaah dengannya di rumah?

Jawapan: Hukum Sembahyang Berjemaah

Hukum mendirikan sembahyang fardhu lima waktu selain fardhu Jumaat secara berjemaah menurut pendapat al-ashah (paling shahîh) dalam mazhab asy-Syafi‘i ialah fardhu Kifayah bagi yang menepati segala syarat-syarat iaitu lelaki, bâligh, berakal, merdeka, bermuqîm, sembahyang yang didirikan itu ialah sembahyang tunai, menutup aurat dan tiada keuzuran berjemaah berdasarkan hadits daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Tiada tiga orang yang berada di dalam sebuah kampung atau padang pasir yang tidak mendirikan sembahyang (fardhu lima waktu secara berjemaah), melainkan mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah engkau berjemaah kerana sesungguhnya serigala makan (binatang) yang terasing (dari kumpulannya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Hukum fardhu Kifayah itu ialah agar menampakkan syi‘âr berjemaah di tempat sembahyang berjemaah itu didirikan pada setiap kali sembahyang lima waktu yang ditunaikan oleh jemaah lelaki, merdeka dan bâligh. Apa yang dimaksudkan dengan syi‘âr berjemaah itu ialah menampakkan tanda-tanda keimanan yang paling agung iaitu melalui sembahyang dan menampakkan sifat-sifat zahir yang paling agung iaitu melalui berjemaah.

Tempat yang Paling Utama untuk Berjemaah Mendirikan sembahyang fardhu lima waktu secara berjemaah di dalam masjid bagi lelaki adalah lebih afdhal kerana terdapat di dalamnya kemuliaan, kesucian, menampakkan syi‘âr dan banyak jemaah berdasarkan hadits daripada Zaid bin Tsabit Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Maka sesungguhnya lebih afdhal sembahyang seseorang itu di rumahnya kecuali sembahyang fardhu (lebih afdhal di masjid). (Hadits riwayat Ahmad)

Apabila membandingkan fadhilat sembahyang di dalam masjid dengan menyertai sembahyang jemaah di luar masjid, hendaklah didahulukan yang lebih jelas fadhilatnya. Maka fadhilat yang berkaitan dengan ibadat itu sendiri adalah lebih utama berbanding fadhilat berkaitan tempat atau masa. Manakala fadhilat yang berkaitan dengan masa lebih utama berbanding fadhilat berkaitan dengan tempat. Contohnya sembahyang di dalam masjid secara bersendirian akan mendapat fadhilat masjid, manakala sembahyang di luar masjid secara berjemaah akan luput fadhilat masjid tetapi mendapat fadhilat berjemaah, dalam hal ini didahulukan fadhilat yang berkaitan dengan ibadat iaitu menyertai jemaah.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebutkan dalam Nihâyah al-Muhtâj bahawa fadhilat sembahyang jemaah itu boleh diperolehi dengan menunaikan sembahyang di rumah bersama isteri, anak, rakan atau selain mereka. Beliau juga menyebutkan pendapat Imam al-Asnawi dan al-Adzra‘i Rahimahumallâh bahawa pemergian seseorang ke masjid dengan meluputkan jemaah bersama keluarganya di rumah adalah perbuatan meraih fadhilat, akan tetapi jika dia mendirikan jemaah bersama keluarganya adalah lebih afdhal. Ini adalah kerana keluarganya memperolehi fadhilat jemaah dengan sebabnya itu boleh jadi menyeimbangi fadhilat berjemaah di masjid atau lebih, seumpama fadhilat menolong orang yang terkeluar dari shaf.

Keuzuran Menyertai Sembahyang Berjemaah

Ulama mazhab asy-Syafi‘i ada menyebutkan beberapa keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ meninggalkan sembahyang berjemaah, salah satunya ialah kerana menjaga orang sakit yang belum ada perawat yang ditugaskan, sekalipun yang dijaga itu bukan saudaranya, saudaranya yang sedang menghadapi kematian atau tidak menghadapi kematian tetapi gembira dengan keberadaan orang yang menjaga tersebut di sisinya. Ini kerana hatinya akan menjadi susah meninggalkannya sehingga boleh mengganggu kekhusyû‘annya dan juga menjaganya itu lebih penting berbanding menyertai sembahyang jemaah.

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menerangkan dalam Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa orang yang mempunyai keuzuran menyertai sembahyang jemaah adalah terlepas daripada dosa meninggalkan sembahyang jemaah bagi yang berpendapat hukumnya adalah fardhu Kifayah.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan penerangan para ulama asy-Syafi‘i yang telah dijelaskan, meninggalkan sembahyang fardhu berjemaah kerana menjaga ayah tuan yang telah lanjut usia sekiranya keberadaan tuan di sisinya menyenangkan hatinya merupakan suatu keuzuran yang diharuskan oleh syara‘. Malah tuan menunaikan sembahyang berjemaah bersama ayah tuan di rumah adalah lebih afdhal kerana beliau memperolehi fadhilat jemaah dengan sebab tuan. Lebih-lebih lagi, ayah tuan adakalanya ingat dan adakalanya lupa, maka tuan bersembahyang jemaah bersama beliau akan dapat membimbing beliau dalam menunaikan syarat-syarat sah dan rukun-rukun sembahyang dengan lebih baik dan sempurna berbanding beliau menunaikannya bersendirian. Lagi pula, sembahyang berjemaah itu boleh terhasil sekurang-kurangnya oleh seorang imam dan seorang ma’mum berdasarkan hadits daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Dua orang ke atas adalah jemaah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kita mendo‘akan semoga amal bakti tuan kepada ayah tuan mendapat ganjaran besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana perbuatan berbakti yang paling utama ialah berbuat baik kepada ibu bapa dan melakukan perkara yang menyukakan hati mereka, selagi ia bukan perkara yang ditegah oleh syara‘. Menderhakai mereka pula merupakan satu dosa besar dan ia boleh terjadi dengan menyakiti mereka secara kasar sebagaimana disebut dalam Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sesuatu perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking kedua-duanya, tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdo‘alah (untuk kedua-duanya): “Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku sejak kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 23-24)

Imam al-Qurthubi menghuraikan dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’an bahawa keadaan ibu bapa pada usia lanjut ialah keadaan yang memerlukan bakti baik daripada anak kerana keadaan mereka sudah bertukar menjadi lemah dan tua, pada ketika itu mereka lebih memerlukan jagaan atau pemedulian yang lebih banyak daripada sebelumnya sebagaimana keadaan anak yang sentiasa memerlukan belaian dan kasih sayang ketika masih dalam usia kecil.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12563