Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Memberikan Diplomatic Privileges kepada Diplomat yang Mempunyai Pasangan Sejenis

Soalan: Pegawai-pegawai diplomat yang bertugas di negara ini pada lazimnya akan dihulurkan pas-pas tertentu tertakluk kepada kelayakan dan syarat-syarat yang berjalan pada masa ini. Bagi pegawai-pegawai diplomat yang membawa tanggungan, pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan akan mengeluarkan pas tanggungan hanya kepada isteri dan anak-anak. Bagi pegawai diplomat wanita, lazimnya suami pegawai berkenaan akan dikeluarkan pas lawatan sosial dalam tempoh yang bersesuaian bagi membolehkan tinggal dan menemani isteri dan anak-anak di negara ini.

Dipohonkan pandangan dan penjelasan Pehin Mufti berhubung dengan diplomat yang dikategorikan sebagai mempunyai pasangan sejenis. Adakah wajar diberikan diplomatic privileges kepada mereka yang sedemikan?

Jawapan: Berpasangan merupakan fitrah yang terdapat dalam diri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ia selaras dengan intipati daripada surah Yâsîn ayat 36, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maha Suci Allah yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan sama ada yang tumbuh di bumi atau daripada mereka sendiri ataupun daripada yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah Yâsîn: 36)

Oleh kerana manusia mempunyai naluri untuk berpasangan, maka Islam telah menggariskan galakan untuk berkahwin dan menegaskan beberapa larangan yang berhubung dengannya.

Maksud Perkahwinan Perkahwinan merupakan suatu ni‘mat dan rahmat yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya. Islam menjelaskan maksud perkahwinan berdasarkan intipati ayat 21 daripada surah ar-Rum. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya bahawa Dia menciptakan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa senang kepadanya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) berfikir. (Surah ar-Rum: 21)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah menciptakan bagi lelaki pasangannya yang terdiri daripada perempuan dan menciptakan bagi mereka perasaan sayang dan belas kasihan melalui perkahwinan di antara mereka.

Dengan perasaan itu suami isteri dapat hidup berkasih sayang, memelihara daripada penyakit dan apa yang lebih penting lagi ialah supaya dapat melahirkan zuriat bagi memelihara nasab dan memperbanyakkan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Hikmah perkahwinan ini tidak akan berlaku pada pasangan sejenis khususnya hikmah melahirkan zuriat bagi memperbanyak umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam mendefinisikan perkahwinan sebagaimana kata beliau dalam kitabnya al-Iqnâ‘:

Ertinya: Akad yang mengandungi pengharusan untuk bersetubuh dengan lafaz inkâh (menikahkan) atau tazwîj (mengahwinkan) atau terjemahannya.

Pernikahan yang sah dalam Islam hanya dii‘tiraf jika pernikahan tersebut memenuhi rukun-rukun nikah seperti yang telah digariskan oleh syara‘. Rukun-rukun nikah menurut ulama ada lima sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau al-Iqnâ‘:

Ertinya: Fasal pada menyatakan rukun-rukun nikah. Ia (rukun nikah itu) ada lima perkara; shîghah (lafaz îjâb dan qabûl), isteri, suami, wali – kedua-dua mereka (suami dan wali) sebagai orang yang berakad - dan dua orang saksi.

Maka dalam hal ini, jika pasangan tersebut terdiri daripada sesama lelaki atau sesama perempuan, maka sudah nyata tidak memenuhi rukun-rukun nikah. Oleh itu, pernikahan yang dilakukan oleh pasangan homoseksual adalah tidak sah dan hukum melakukannya pula adalah haram. Maka Pernikahan atau perkahwinan yang sah dalam Islam hanya dii‘tiraf bagi pernikahan yang terdiri daripada pasangan lelaki dan perempuan sahaja.

Dari sudut bahasa sendiri menurut Kamus Dewan, perkahwinan ialah perikatan yang sah di antara lelaki dengan perempuan.

Menurut The New Oxford Dictionary English perkahwinan atau “marriage” bermaksud: The formal union of a man and women, typically recognized by law, by which they become husband and wife.

Ertinya: Penyatuan rasmi di antara lelaki dan perempuan biasanya dii‘tiraf oleh undang-undang, yang mana mereka menjadi suami dan isteri.

Manakala definisi perkahwinan menurut Barat sebagaimana menurut Linton (1936), perkahwinan merupakan proses penyatuan sosial di antara kedua-dua manusia berlainan jenis dan membentuk satu institusi sosial kerana sifat yang tekal bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Dari sudut perundangan perkahwinan sivil di Negara Brunei Darussalam iaitu undang-undang yang berkaitan dengan perkahwinan bagi mereka yang bukan beragama Islam juga mengkhususkan bahawa perkahwinan itu adalah di antara seorang lelaki dengan perempuan sahaja.

Section 1 Chapter 76, Laws of Brunei mengenai interpritasi “marriage” atau perkahwinan, menyatakan:

“marriage” means a marriage as understood by English law, that is to say, the voluntary union for life or until the marriage is dissolved by acourt of competent jurisdiction of one man with one woman to the exclusion of all others;

Ertinya: “perkahwinan” adalah berdasarkan definisi perkahwinan di dalam undang-undang Inggeris, iaitu kesatuan dua individu, seorang lelaki dan seorang perempuan, secara sukarela untuk seumur hidup atau sehingga perkahwinan itu dibubarkan oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang tertentu. Kesatuan itu terhad kepada dua individu tersebut dan tidak termasuk semua orang yang lain;

Berdasarkan definisi-definisi yang disebutkan di atas, nyatalah suatu perkahwinan itu adalah merujuk kepada penyatuan dua manusia berlainan jenis iaitu lelaki dan perempuan. Maka perkahwinan sesama jenis adalah tidak dii‘tiraf dan ia sekali-kali tidak diperakui oleh syariat Islam dan fitrah manusia.

Pasangan Sejenis Menjurus kepada Liwâth (Homoseksual) atau Sihâq (Lesbian)

Pasangan sejenis membawa maksud hubungan yang terjalin di antara sesama jenis sama ada lelaki dengan lelaki mahupun perempuan dengan perempuan.

Pasangan sejenis atau sesama jantina membawa kepada hubungan seks sejenis sama ada homoseksual atau lesbian. Hubungan seks sejenis di antara lelaki dengan lelaki dikenali dengan homoseksual dan dalam bahasa Arab disebut al-liwâth. Manakala hubungan seksual yang dilakukan di antara perempuan dengan perempuan pula disebut lesbian dan dalam bahasa Arab disebut al-musâhaqah atau as-sihâq.

Melakukan hubungan seks sejenis sama ada liwâth atau sihâq merupakan perbuatan yang keji dan hukumnya adalah haram sebagaimana Islam mengharamkan perbuatan zina.

Maka tidak syak lagi melakukan liwâth dan sihâq adalah berdosa besar dan kedua-dua perbuatan ini sangat-sangat dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Allah Ta‘ala melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth (hubungan seks sejenis), Allah Ta‘ala melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth (hubungan seks sejenis), Allah Ta‘ala melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth (hubungan seks sejenis). (Hadits riwayat Ahmad)

Menurut pendapat yang masyhûr dalam mazhab Syafi‘i, hukuman bagi kedua-dua pelaku liwâth adalah sama dengan hukuman bagi orang yang berzina. Sesiapa yang melakukan liwâth, maka diwajibkan ke atas mereka hukuman hadd seperti hadd yang dikenakan ke atas penzina. Hukuman hadd zina bagi pelaku liwâth yang muhshan (yang sudah bernikah) adalah rejam, manakala hukuman hadd zina bagi pelaku liwâth yang bukan muhshan pula adalah sebatan dan (taghrîb) pemulauan.

Berlainan pula dengan hukuman sihâq. Kedua-dua pelaku sihâq tidak dikenakan hukuman hadd zina sepertimana yang dikenakan ke atas kedua-dua pelaku liwâth kerana perbuatan sihâq berlainan dengan perbuatan liwâth walaupun kedua-dua perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zina. Ini adalah kerana hadd zina hanya dikenakan bagi pasangan yang melakukan jimâ‘ sama ada melalui faraj atau dubur sedangkan hubungan seks bagi pelaku sihâq tidak melibatkan sebarang perlakuan jimâ‘.

Oleh itu, jika seorang perempuan mendatangi seorang perempuan dengan menjalinkan hubungan seks sejenis atau sihâq, maka hukuman yang diwajibkan ke atas mereka ialah hukuman ta‘zîr (iaitu hukuman bagi maksiat yang tidak dikenakan hadd dan kaffârah).

Hukuman ta‘zîr yang dijatuhkan kepada pelaku sihâq sebagai satu pengajaran kepada pelaku maksiat supaya menegahnya daripada melakukan semula perbuatan maksiat berkenaan.

Hubungan sejenis ini bukan sahaja diharamkan dalam Islam, malahan juga dianggap berdosa dan keji dalam agama-agama lain. Antaranya ada disebutkan dalam buku The New Encyclopedia Britannica:

“Judeo-Christian culture has generally perceived it as sinful, and thus homosexuality was traditionally viewed as socially unacceptable through most of Western culture.”

Ertinya: Pada umumnya, budaya Yahudi-Kristian menganggap homoseksual sebagai satu dosa dan secara tradisi, homoseksual dilihat sebagai suatu yang tidak boleh diterima dalam sebahagian besar budaya Barat.

Hubungan sejenis bertentangan dengan tabiat dan fitrah manusia. Hakikatnya, fitrah seorang lelaki ialah mempunyai kecenderungan kepada wanita dan begitu juga wanita mempunyai kecenderungan terhadap lelaki. Apabila ia menyalahi fitrah manusia, maka sudah pasti ia akan membinasakan atau menghancurkan tamadun dan kehidupan manusia itu sendiri.

Sememangnya perkara ini bukanlah suatu perkara baru malahan ia pernah berlaku pada zaman Nabi Allah Luth ‘Alaihissalâm. Celaan terhadap perlakuan keji yang diamalkan oleh kaum Nabi Luth ini ada disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (Kami juga telah mengutus) Nabi Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu melakukan perbuatan yang keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam sebelum kamu?” “Sesungguhnya kamu mendatangi laki-laki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-‘Arâf: 80-81)

Berdasarkan ayat di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ amat menghina dan mengeji perbuatan kaum lelaki pada zaman Nabi Luth ‘Alaihissalâm yang gemar memuaskan nafsu mereka dengan melakukan hubungan sejenis atau liwâth. Mereka tidak menghiraukan larangan yang dilakukan oleh Nabi Luth ‘Alaihissalâm sehingga perbuatan mereka ini menjadikan mereka suatu kaum yang melampaui batas dan menerima azab yang dahsyat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Maka jelas bahawa perbuatan liwâth ataupun sihâq melalui hubungan sejenis adalah perkara mungkar yang tidak boleh dibiarkan berlaku apatah lagi dizahirkan di tengah-tengah masyarakat Islam. Membiarkan mereka yang mempunyai pasangan sejenis bebas menzahirkan pasangan masing-masing di khalayak umum khususnya dalam masyarakat Islam di Negara Islam akan menjadi virus yang boleh merosak aqidah dan akhlak masyarakat Islam.

Memberikan Diplomatic Privileges kepada Pasangan Sejenis

Memberikan diplomatic privileges kepada pasangan sejenis adalah bertentangan dengan Peruntukan 16 (1) Peraturan Imigresen sendiri dan Section 1 Chapter 76, Laws of Brunei mengenai interpritasi perkahwinan (sila rujuk balik kepada soalan penanya mengenai Peruntukan 16 (1) Peraturan Imigresen dan Fatwa yang menukil seksyen 1 chapter 76, Laws of Brunei).

Untuk lebih menjelaskan perkara ini, Negara Brunei Darussalam telahpun menguatkuasakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 pada 1 Rejab 1435H bersamaan 1 Mei 2014M. Perintah tersebut turut memperuntukkan beberapa kesalahan-kesalahan dan hukuman-hukuman yang berkaitan dengan pasangan sejenis. Bab 82 telah memperuntukkan mengenai kesalahan liwâth. Bab 82 (1) menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan ke atas pelaku liwath adalah sama sebagaimana dihukumkan bagi kesalahan zina.

Manakala kesalahan musâhaqah pula disebutkan di dalam Bab 92. Bab 92 (1) antara lain menyatakan bahawa hukuman yang diperuntukkan bagi pesalahnya adalah hukuman ta‘zîr berupa denda.

Adapun dari segi pengenaan bagi kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 ini pula adalah sama ada bagi yang beragama Islam atau bukan beragama Islam. Disebutkan dalam Bab 3 (1) Melainkan diperuntukkan dengan nyata sebaliknya di dalamnya, perintah ini hendaklah dikenakan kepada orang Islam dan orang bukan Islam.

Membenarkan Liwâth dan Sihâq Mengundang Azab Allah Ta‘ala

Apa yang wajar kita geruni, perbuatan hubungan sejenis ini akan mengundang kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada negara jika ia bertapak di negara kita dan menjadi amalan masyarakat. Selain menyalahi peraturan yang sedia ada dan bertentangan dengan undang-undang di negara ini serta definisi-definisi menurut kamus-kamus Melayu dan Inggeris, maka memberi privileges kepada pasangan sejenis adalah ia lebih-lebih lagi menyalahi dan bertentangan dengan hukum syara‘, kerana mengi‘tiraf pasangan sejenis bererti membenarkan perlakuan seks di luar tabi’i. Jika Brunei mengi‘tiraf dan membenarkannya ditakuti akan mendedahkan negara ini kepada bencana yang sangat mengerikan, sebagaimana berlaku ke atas kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka apabila datang perintah Kami (untuk membinasakan mereka), Kami menjadikan negeri kaum Nabi Luth itu yang di atas jadi ke bawah (diterbalikkan) dan Kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi. (Batu-batu itu) diberi tanda di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka) dan ia pula tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim. (Surah Hud: 82-83)

Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm menjelaskan bahawa melalui ayat ini Allah Ta‘ala mengancam, bahawa azab yang ditimpakan kepada kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm itu, boleh saja (tidak mustahil) akan menimpa orang-orang yang menyerupai perbuatan zalim itu.

Atas dasar menjaga kesucian agama, keselamatan negara dan umat serta keluhuran peraturan dan undang-undang yang dii‘tiraf oleh agama dan negara, maka pasangan sejenis yang mengamalkan gaya hidup hubungan sejenis yang dilaknat dan diharamkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidaklah wajar memasuki dan tinggal di negara ini, sama ada melalui saluran-saluran rasmi atau sebaliknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12567