Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menangani Binatang Liar atau Gangguan Binatang dari Sudut Islam

Soalan: Jabatan Bomba dan Penyelamat telah banyak menerima panggilan gangguan binatang liar dan menangani insiden berkenaan setiap hari. Antara binatang liar yang kerap ditangani adalah seperti ular, penyengat, buaya, monyet, biawak dan anjing. Setelah ditangani (ditangkap), binatang berkenaan tidak dibunuh tetapi akan dilepaskan ke tempat yang jauh daripada kawasan kediaman masyarakat kerana Negara Brunei Darussalam tidak mempunyai tempat perlindungan ‘shelter’ atau ‘sanctuary’ untuk menempatkan binatang-binatang berkenaan dan membunuh secara meracun adalah ditegah, kecuali gangguan penyengat yang mana sarangnya akan dimusnahkan.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti dalam hal ini dan apakah hukumnya jika binatang liar berkenaan dibunuh atau dikebiri bagi mengurangkan pembiakannya yang boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan orang awam.

Jawapan: Islam adalah agama rahmat bagi sekalian alam termasuk terhadap binatang sehingga kita ditegah menyakiti dan membunuh binatang melainkan kerana sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syara‘ seperti binatang tersebut menyakiti manusia atau harta benda.

Binatang menyakiti manusia yang diharuskan untuk dibunuh ialah seperti yang diterangkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan yang lahir daripadanya (binatang yang tidak harus dimakan) ada yang secara tabi‘inya menyakiti, maka disunatkan membunuhnya sebagaimana (disunatkan membunuh) binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq (binatang yang merosakkan) yang lima (jenis). Maka sesungguhnya terdapat hadits shahîh tentang suruhan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk membunuh lima jenis binatang yang digelar al-fawâsiq di tanah halal dan juga tanah haram, iaitu: burung gagak yang tidak dimakan dagingnya, burung helang sikap, kalajengking, tikus rumah dan anjing yang menggigit (anjing gila). Dan termasuk dalamnya (maksud binatang al-fawâsiq itu) singa, harimau, serigala, beruang, burung nasar (helang), burung rajawali, kutu anjing, pijat, tebuan dan semua jenis binatang yang menyakiti.

Penerangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh ini menunjukkan harus membunuh binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq seperti yang disenaraikan dan meliputi juga maksudnya segala jenis binatang yang menyakiti atau membahayakan.

Hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menyebutkan binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq seperti sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Lima (jenis binatang yang digelar) al-fawâsiq (harus) dibunuh di tanah halal dan juga tanah haram, iaitu; ular, burung gagak yang bertompok-tompok, tikus rumah, anjing yang menggigit (anjing gila) dan burung helang. (Hadits riwayat Muslim)

Keharusan membunuh binatang-binatang daripada jenis tersebut kerana ia menyakiti manusia atau membahayakan, sedangkan memelihara kehormatan manusia adalah lebih utama daripada kehormatan binatang.

Walau bagaimana pun, Islam adalah agama ihsan sehingga dalam perkara membunuh pun dituntut untuk berbelas kasihan sebagaimana hadits daripada Syaddad bin Aus Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu. (Hadits riwayat Muslim)

Cara pembunuhan yang dilarang itu antaranya ialah dengan cara membakar binatang berdasarkan hadits daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdullah daripada bapanya, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya tidak patut menyeksa binatang dengan api melainkan Tuhan api (Allah). (Hadits riwayat Abu Daud)

Cara yang diterangkan oleh para ulama asy-Syafi‘i dalam menangani kes binatang yang melakukan kerosakan ialah mencegahnya dengan cara paling ringan terlebih dahulu, kemudian jika tidak berjaya, dengan cara paling ringan seterusnya. Hukum mencegah dengan cara paling ringan itu adalah wajib, sekalipun setelah itu akan membawa kepada membunuh binatang tersebut seumpama binatang yang melakukan serangan ganas. Jika langkah pencegahan dibuat dengan menghalau secara menengking tetapi ia tetap kembali merosakkan apa yang dipertahankan serta tidak mengendahkan tegahan malah berulang-kali melakukan kerosakan, maka harus membunuhnya walaupun pada ketika ia tidak melakukan serangan kerana kejahatannya tidak dapat dicegah melainkan dengan membunuh. Oleh itu, membunuh binatang adalah jalan terakhir yang boleh diambil setelah cara-cara lain yang dapat dilakukan untuk mencegah dan membendung bahayanya dilaksanakan terlebih dahulu.

Penerangan Imam Jalaluddin al-Mahalli Rahimahullâh sebagaimana disebutkan dalam kitab Hâsyiyatân al-Qalyubi wa ‘Umairah:

Ertinya: [Dan dipertahankan diri daripada pihak yang melakukan serangan dengan cara yang paling ringan], kemudian dengan cara yang paling ringan seterusnya; [jika boleh (mempertahankan diri) dengan kata-kata atau dengan meminta bantuan (daripada orang lain)] (huruf ‘غ’ dalam kalimah ‘ استغاثة ’ bertitik dan huruf ‘ ث ’ bertitik tiga), [haram ia dipukul atau (jika dapat mempertahankan diri) dengan pukulan tangan, haram dipukul dengan rotan atau (jika dapat mempertahankan diri) dengan pukulan rotan, haram dipukul dengan tongkat atau (jika dapat mempertahankan diri) dengan mencederakan anggotanya, haram ia dibunuh. Jika seseorang itu dapat melarikan diri maka hendaklah dia melarikan dirinya (daripada pihak yang melakukan serangan); pendapat al-madzhab dalam perkara ini adalah ia (melarikan diri) itu wajib dan diharamkan membunuh (pihak yang melakukan serangan)].

Binatang yang melakukan kerosakan hanya boleh dibunuh apabila pasti dengan cara membunuh itu menjadi jalan yang mencegah kerosakan tersebut. Al-‘Allâmah Sulaiman al- Jamal Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al-Jamal ‘ala al-Manhaj berkata:

Ertinya: Dan tidak harus membunuh binatang yang dimaklumi melakukan kerosakan melainkan tatkala ia melakukan kerosakan tersebut sahaja dengan syarat telah dipastikan dengan cara membunuhnya itu menjadi jalan untuk mencegah kerosakan berkenaan. Dan jika tidak (dipastikan dengan membunuhnya itu menjadi jalan penyelesaian) hendaklah mencegahnya seumpama (mencegah) binatang yang melakukan serangan (sebagaimana yang telah diterangkan dalam penerangan Imam Jalaluddin al-Mahalli Rahimahullâh).

Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula menerangkan bahawa jika tidak dapat dipastikan membunuh binatang yang melakukan kerosakan itu sebagai jalan penyelesaian, seumpama ia boleh dicegah dengan pukulan atau menghalau dengan tengkingan, maka tidak harus binatang tersebut dibunuh. Malah hendaklah mencegahnya dengan cara paling ringan terlebih dahulu, kemudian jika tidak berjaya, dengan cara paling ringan seterusnya sebagaimana mencegah binatang yang melakukan serangan (sebagaimana yang telah diterangkan dalam penerangan Imam Jalaluddin al-Mahalli Rahimahullâh). Termasuk juga dalam cara pencegahan ini, binatang yang bertindak ganas di luar kebiasaan seumpama kucing, sekiranya dengan cara memukul dengan pukulan yang ringan tidak memberikan apa-apa kesan ke atas binatang yang melakukan kerosakan itu, akan tetapi ia boleh dicegah dengan cara menghalau dan mengunci kawasan daripada dimasuki oleh binatang berkenaan, atau ia mengulangi melakukan kerosakan dan berulang kali juga dicegah, maka tidak harus binatang itu dibunuh atau dipukul dengan pukulan yang keras.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj menyebutkan bahawa sekiranya seekor binatang menjadi buas lagi mendatangkan kerosakan, adakah boleh ia dibunuh tatkala binatang tersebut duduk diam? Dalam masalah ini, ada dua pendapat; pendapat yang ashah (paling shahíh) sebagaimana dinyatakan oleh al-Qaffal Rahimahullâh adalah tidak diharuskan membunuhnya kerana sifatnya yang merosakkan itu adalah mendatang dan pada ketika itu mengawalnya adalah lebih mudah.

Berkenaan langkah pencegahan binatang liar melalui mengebiri pula, disebutkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab az-Zawâjir:

Ertinya: Dan pembunuhan tidaklah menjadi satu syarat (pengharaman penyeksaan binatang) bahkan demikian juga (diharamkan) penyeksaan yang bersangatan seperti memukul dengan pukulan yang menyakiti. Kemudian saya melihat ada setengah ulama yang menyatakan (dengan terang) bahawa menyeksa binatang tanpa keperluan (tiada sebab) dan mengebiri hamba dan menyeksanya dengan zalim atau aniaya adalah terdiri daripada dosa-dosa besar dan diqiyâskan kepada hamba itu yang selainnya juga.

Para ulama asy-Syafi‘i selain Imam Ibnu al-Mundzir Rahimahullâh telah sepakat bahawa mengebiri binatang adalah diharuskan dengan syarat iaitu hendaklah binatang itu halal dimakan, hendaklah mengebiri itu dilakukan pada masa binatang itu masih kecil dengan tujuan mengenakkan dagingnya dan hendaklah mengebiri itu dilakukan pada musim sederhana (tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk). Jika tidak menepati syarat tersebut, maka mengebiri binatang itu adalah haram. Oleh itu, binatang yang tidak halal dimakan adalah haram dikebiri.

Dalil pengharaman mengebiri binatang ialah berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang dari mengebiri kuda dan binatang-binatang lain. (Hadits riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadits tersebut, mengebiri binatang yang tidak halal dimakan adalah perbuatan tiada rahmat atau belas kasihan, malah menyakiti binatang dan perbuatan sia-sia, maka perbuatan sedemikian adalah dilarang oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Oleh yang demikian, penerangan ulama berkenaan membunuh dan mengebiri binatang menunjukkan harus membunuh binatang yang menyakiti manusia dan haram mengebiri binatang kerana menyakiti mereka. Walau bagaimana pun, langkah pencegahan dengan cara yang paling ringan hendaklah terlebih dahulu dilakukan bagi mengelak kerosakan yang diakibatkan oleh binatang memudharatkan tersebut sebelum membunuhnya. Langkah pencegahan yang boleh dilakukan sebagaimana yang digariskan oleh ulama antaranya ialah seperti:

1. Menghilangkan sebab-sebab yang menarik perhatian binatang liar seperti sisa makanan atau sampah-sarap hendaklah dibuang di tempat yang tertutup.

2. Memagar dan mengunci kawasan yang sering mengalami gangguan binatang liar.

3. Mengasingkannya ke tempat terpencil yang sunyi daripada orang ramai.

4. Menghalau dengan tengkingan atau bunyi-bunyian yang menakutkan.

5. Memukul dengan pukulan ringan terlebih dahulu; iaitu memukul dengan tangan, jika tidak dapat mencegahnya, maka memukul dengan rotan, jika tidak dapat juga, maka memukul dengan tongkat, jika tidak dapat juga, barulah dengan mencederakannya.

6. Jika semua langkah selain membunuh telah pun dibuat bagi menghalangi kemudharatan yang ditimbulkan oleh binatang-binatang liar itu, namun semuanya tetap sia-sia dan gagal belaka, sedangkan kemudharatan itu dikhuatiri akan semakin merebak dan membesar, maka pada ketika itu harus dibunuh binatang liar itu dengan memperelok cara pembunuhan setakat diperlukan sahaja.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12572