Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Mengeluarkan dan Memindah Tulang Rangka Mayat Orang Islam dari Kubur yang Bercampur dengan Tulang Rangka Orang-orang Kafir

Soalan: Nenekanda kami telah dibunuh dengan dipancung lehernya oleh bangsa Jepun pada masa Perang Dunia Kedua di Miri, Sarawak. Namanya telah ditukar dan mayatnya telah dikubur bersama mangsa-mangsa peperangan yang bukan Islam.

Sehubungan dengan itu bolehkah tulang rangka mayat nenekanda kami yang bercampur dengan tulang rangka orang-orang yang bukan beragama Islam itu dikeluarkan dan dipindahkan ke tempat lain?

Jawapan: Orang Islam yang meninggal dunia wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam secara perseorangan. Akan tetapi berlainan dengan orang Islam yang mati syahîd iaitu orang Islam yang mati dalam peperangan memerangi orang kafir, maka dia haram dimandikan dan disembahyangkan sebagaimana diterangkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Muhtâj. Malah dalam keadaan dharurat seumpama ramai mayat dan sukar mengasingkan setiap seorang mayat di dalam sebuah kubur atau tidak terdapat melainkan sehelai kain kafan, maka pada ketika itu harus mengubur dua orang atau lebih mayat di dalam sebuah kubur sebagaimana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengumpulkan dua orang mayat mangsa peperangan Uhud di dalam sehelai kain. Diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Ertinya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengumpulkan dua orang lelaki (yang terbunuh) dalam peperangan Uhud di dalam sehelai kain, kemudian Baginda bersabda: “Siapa di antara mereka yang lebih banyak berpegang kepada al-Qur’an?” Apabila ditunjukkan kepada Baginda salah seorang di antara kedua-duanya, maka Baginda mendahulukannya (dimasukkan) ke dalam liang lahad, lalu Baginda bersabda: “Saya menjadi saksi ke atas mereka pada Hari Kiamat.” Baginda pun menyuruh mengebumikan mereka dengan darah-darah mereka tanpa dimandikan dan tanpa disembahyangkan.

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada keterangan tuan penyoal, nenek tuan yang beragama Islam telah dibunuh dengan dipancung lehernya oleh bangsa Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Miri, Sarawak. Namanya telah ditukar oleh bangsa Jepun dan mayatnya telah dikubur bersama mangsa-mangsa peperangan yang bukan Islam.

Keterangan pada papan kenyataan di tugu peringatan mangsa Perang Dunia Kedua di Miri pada surat yang tuan lampirkan menyatakan bahawa sebanyak 28 orang awam daripada pelbagai warga negara telah dihukum mati oleh tentera Jepun yang berkuasa di Bukit Lambir pada 13 Jun 1945. Selesai peperangan, tubuh-tubuh mayat telah digali dan ditempatkan ke dalam lima buah keranda besar kemudian dikubur di dalam sebuah kubur yang sama. Antara mangsa-mangsa tersebut ialah seorang paderi Anglikan di gereja St. Columba, seorang tenaga pengajar di sekolah St. Columba, seorang kerani sekolah dan penyelia gereja. Manakala 25 orang lagi mangsa terdiri daripada pekerja-pekerja Shell, pemilik-pemilik kedai, kakitangan-kakitangan kerajaan dan lain-lain.

Dalam hal pengebumian orang Islam di dalam kubur yang sama dengan orang bukan Islam, Imam Qalyubi Rahimahullâh berkata dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi-‘Umairah:

Ertinya: Tidak harus mengubur seorang Islam di perkuburan orang-orang kafir dan tidak (harus) juga sebaliknya (mengubur seorang kafir di perkuburan orang-orang Islam). Maka (hukumnya adalah) haram kecuali kerana dharurat, maka harus sekalipun dikumpulkan seorang Islam dan seorang kafir di dalam sebuah kubur dan ketika ia dihukumkan haram, ia wajib dipindah.

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menerangkan dalam Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi persoalan jika tiada tempat sesuai untuk mengubur orang kafir dzimmi selain di perkuburan orang Islam, adakah harus menguburnya pada ketika itu di perkuburan orang Islam? Jika tidak dapat menguburnya melainkan di dalam sebuah lubang bersama orang Islam, adakah harus kerana dharurat? Hukumnya adalah harus kerana dharurat kerana tiada sebab untuk mengabaikannya (mayat orang kafir dzimmi itu) tanpa dikubur. Dikatakan juga hukum seumpamanya (hukum harus disebabkan dharurat) untuk orang Islam yang tiada kemudahan menguburnya melainkan bersama orang-orang kafir dzimmi.

Penerangan ulama mazhab asy-Syafi‘i yang telah disebutkan menunjukkan tidak harus mengubur mayat orang Islam di perkuburan orang-orang bukan Islam melainkan kerana dharurat. Maka dihukumkan harus ketika ada dharurat itu sekalipun mayat orang Islam dan bukan Islam itu dikubur di dalam kubur yang sama. Oleh yang demikian, nenekanda tuan yang beragama Islam yang telah dikebumikan mayatnya di perkuburan orang kafir itu adalah harus dikubur bersama mayat bukan Islam kerana dharurat jua.

Perkara yang diajukan oleh tuan iaitu memindahkan tulang mayat nenek tuan yang telah dibunuh dengan dipancung lehernya oleh bangsa Jepun pada masa Perang Dunia Kedua di Miri, Sarawak dan dikubur bercampur dengan tulang rangka orang-orang yang bukan beragama Islam, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan hukum menggali kubur setelah pengebumian mayat untuk tujuan pemindahan atau selainnya adalah haram melainkan kerana ada dharurat seperti mayat dikebumikan sebelum dimandikan atau tidak menghadap ke arah qiblat. Di dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn beliau berkata:

Ertinya: Dan menggalinya (mayat) setelah pengebumiannya untuk tujuan pemindahan dan selainnya adalah haram melainkan kerana ada dharurat seumpama (mayat) dikebumikan tanpa mandi ataupun (dikebumikan) di dalam tanah atau pakaian yang dirampas ataupun terdapat di dalamnya (kubur) harta (yang dituntut oleh pemiliknya) ataupun dikebumikan tanpa menghadap qiblat. Tidak termasuk (dharurat jika digali) untuk tujuan mengkafankan pada pendapat ashah (lebih shahîh).

Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh menerangkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Muhtâj bahawa adalah haram menggali kubur setelah pengebumian untuk memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat. Beliau berkata:

Ertinya: [Dan menggalinya (mayat) setelah pengebumiannya] dan sebelum hancur semua bahagian zahir anggota mayat pada pandangan pakar tanah (perkuburan), [untuk tujuan pemindahan] sekalipun (hendak dipindah) seumpama ke Makkah [dan (untuk tujuan) selainnya] seperti hendak mengkafankan dan menyembahyangkannya (kerana ditanam dengan tidak dikafan dan tidak disembahyangkan) hukumnya adalah haram kerana perbuatan sedemikian mencemari kehormatannya (mayat), [melainkan kerana ada dharurat] maka wajib (digali) seumpama (mayat) [dikebumikan tanpa mandi] atau tayammum dengan syaratnya dan selagi ia belum berubah busuk atau (bahagian anggota mayat) terputus.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menerangkan dalam Mughni al-Muhtâj, wajib menggali kubur mayat yang dikebumikan tanpa mandi itu ialah bagi mayat yang wajib dimandikan kerana memenuhi tuntutan wajib mandi. Beliau menyebutkan pendapat masyhûr (terkenal) iaitu wajib digali kubur mayat tersebut dan dimandikan sekiranya ia belum berubah busuk atau putus, kemudian ia disembahyangkan.

Oleh yang demikian, bagi mayat yang tidak wajib dimandikan seperti orang yang mati syahîd adalah tidak termasuk dalam tuntutan wajib menggali untuk dimandikan tersebut; sebagaimana keadaan nenek tuan yang telah dibunuh dengan dipancung lehernya oleh bangsa Jepun pada masa Perang Dunia Kedua di Miri, Sarawak.

Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh juga menerangkan jika mayat dikebumikan tanpa menghadap qiblat, maka kubur wajib digali bagi memenuhi tuntutan wajib untuk menghadapkan mayat ke qiblat dengan syarat mayat belum berubah. Namun kubur tidak wajib digali untuk tujuan mengkafankan menurut pendapat ashah kerana tujuan mengkafankan ialah untuk menutup aurat sedangkan ia sudah tertutup oleh tanah.

Untuk mengetahui perubahan mayat, Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Adalah memadai (untuk mengetahui) perubahan (mayat) itu dengan sangkaan sahaja, memandang kepada kebiasaan berikutan tempatnya atau terdapat pada mayat tersebut seumpama luka-luka yang mempercepatkan perubahan.

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menerangkan dalam Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi bahawa sekiranya mayat sudah berubah, maka kubur tidak boleh digali.

Memandangkan nenek tuan telah dibunuh dengan dipancung lehernya semasa peperangan, maka tentu saja mayatnya itu mempunyai luka-luka yang mempercepatkan perubahan. Sekiranya mayat sudah berubah, maka kubur tidak boleh digali walau bagi menghadapkannya ke arah qiblat jika dikebumikan tanpa menghadap qiblat.

Berbeza hukumnya jika mayat telah hancur dan menjadi tanah berdasarkan pandangan pakar tanah perkuburan, maka harus kubur itu digali untuk mengubur mayat lain. Melainkan kubur para sahabat Nabi dan orang-orang yang dikenali perwaliannya, maka tidak harus digali kubur mereka sekalipun telah hancur.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj. Ismail bin Umar Abdul Aziz pernah menyebut dalam fatwa beliau siri 14/1981:

“Awang Amir yang mati itu telah ditanam di kubur orang kafir Murut dengan jarak dari lain-lain kubur kira-kira satu rantai, peristiwa tersebut menjadi wasiat dari kedua-dua orang Islam yang tersebut di atas, maka tiadalah harus dipindahkan mayat itu, kerana sudah ditanam, sekalipun anak dan cucu Awang Amir berkehendakkan dipindahkan mayat dari kubur yang ada itu...

... Adapun dalil masalah yang kedua bahawa menurut al-Minhâj bahawa menggali mayat lepas ditanam kerana dipindahkan atau lainnya adalah haram, melainkan kerana dharurat. Dan pada masalah kita ini tiada dharurat pada memindahkan mayat itu.”

Berdasarkan nash ulama yang telah diterangkan, nenekanda tuan yang beragama Islam yang telah dikebumikan mayatnya di perkuburan orang kafir itu adalah harus dikubur bersama mayat bukan Islam itu kerana dharurat. Manakala menggali kuburnya pada masa ini setelah pengebumiannya pada tahun 1945 untuk tujuan pemindahan hukumnya adalah tidak harus kerana tidak ada perkara dharurat. Sekiranya tujuan menggali itu untuk menghadapkan mayat ke arah qiblat, disyaratkan mayat itu belum berubah busuk atau bahagian anggota mayat terputus. Berdasarkan kebiasaan pula, mayat yang sudah lama dikubur sudah berubah busuk bahkan bahagian jasad mayat mungkin sudah hancur atau terputus. Lebih-lebih lagi mayat nenek tuan adalah dibunuh dengan dipancung lehernya semasa peperangan. Mayatnya yang mempunyai luka-luka itu setentunya mempercepatkan perubahan apa lagi dalam tempoh yang sudah lama. Menurut syara‘, adalah tidak harus menggali kubur walau untuk tujuan menghadapkan mayat ke arah qiblat setelah mayat tersebut berubah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12576