Meninggalkan Rukun Haji (Sa‘i)
Soalan: Anak lelaki kami tidak menyempurnakan rukun hajinya iaitu sa‘i ketika menunaikan fardhu haji pada tahun 2006. Perkara ini diketahui setelah empat tahun berlalu. Kami dinasihatkan supaya menyembelih seekor kambing untuk bayar dam dan anak lelaki kami wajib mengqadha’ sa‘inya.
Soalan saya:
1. Bolehkah mengqadha’ rukun hajinya itu dilakukan pada bila-bila waktu atau semestinya dilakukan pada musim haji?
2. Apakah masih ada pantang larang ihram sesudah dibayar dam dengan menyembelih kambing? Bagaimana pula dengan tahallul?
3. Bagaimana cara mengqadha’nya?
Jawapan: Berdasarkan penerangan dan pertanyaan puan dapat difahami bahawa anak lelaki puan tidak menyempurnakan rukun hajinya iaitu sa‘i ketika musim haji pada tahun 2006. Perkara ini diketahui setelah kembali ke tanah air dan setelah berlalu empat tahun.
Maka, terlebih dahulu akan dijelaskan tentang perkara rukun-rukun haji iaitu sa‘i dan tahallul sahaja serta perkara-perkara yang wajib dilakukan bagi orang yang meninggalkan rukun-rukun haji.
Selain daripada perkara-perkara wajib haji dan sunat haji, perkara yang sangat penting untuk dikerjakan oleh setiap orang yang mengerjakan haji ialah perkara-perkara rukun haji.
Rukun-rukun Haji
Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, rukun-rukun haji itu ada enam perkara iaitu:
1. Berihram iaitu berniat mengerjakan haji. 2. Wuqûf di ‘Arafah. 3. Thawaf ifâdhah. 4. Sa‘i haji di antara Shafa dan Marwah. 5. Bercukur atau bergunting.
6. Tertib pada kebanyakan rukun haji.
Sa‘i Haji Sebagaimana yang dijelaskan di atas, sa‘i adalah salah satu rukun daripada rukun-rukun haji. Sa‘i tidak sah dikerjakan melainkan selepas melakukan thawaf. Jika melakukan sa‘i kemudian thawaf maka tidaklah dikira sebagai mengerjakan sa‘i. Diriwayatkan daripada ‘Amru bin Dinar Radhiallâhu ‘anhu, beliau pernah mendengar Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Ertinya: Telah datang Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ke Makkah lalu Baginda melakukan thawaf di Baitullah, kemudian Baginda sembahyang dua rakaat dan melakukan sa‘i di antara bukit Shafa dan Marwah, kemudian membaca: “Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu.”
Tahallul Haji Berkenaan dengan perkara tahallul haji pula, menurut as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al- Jardani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-‘Allâm, ibadat haji itu ada dua peringkat tahallul, iaitu: 1. Tahallul awwal. Tahallul awwal terhasil apabila seseorang itu selesai melakukan dua daripada tiga perkara berikut, iaitu: a. Melontar hari nahar iaitu jamrah al-‘Aqabah. b. Bercukur atau bergunting rambut. c. Mengerjakan thawaf ifâdhah dan diikuti dengan sa‘i. Terdapat beberapa cara pelaksanaan dua daripada tiga perkara di atas sebagai tahallul awwal: i. Melontar jamrah al-‘Aqabah kemudian mencukur atau menggunting rambut, atau ii. melontar jamrah al-‘Aqabah kemudian melakukan thawaf ifâdhah diikuti dengan sa‘i, atau iii. mencukur atau menggunting rambut kemudian melontar jamrah al-‘Aqabah, atau iv. mencukur atau menggunting rambut kemudian melakukan thawaf ifâdhah diikuti dengan sa‘i, atau
v. melakukan thawaf ifâdhah diikuti dengan sa‘i kemudian melontar jamrah al- ‘Aqabah, atau
vi. melakukan thawaf ifâdhah diikuti dengan sa‘i kemudian mencukur atau menggunting rambut.
Dihalalkan baginya selepas menyempurnakan tahallul awwal melakukan semua larangan ihram kecuali akad nikah, jimâ‘ (bersetubuh) dan pendahuluan jimâ‘.
2. Tahallul tsâni.
Apabila seseorang itu selesai melakukan tiga perkara di atas iaitu melontar jamrah al- ‘Aqabah, bercukur atau bergunting rambut dan mengerjakan thawaf ifâdhah serta diikuti dengan sa‘i; maka terhasillah tahallul tsâni. Menurut ijmâ‘ ulama, dihalalkan baginya baki daripada perkara-perkara yang dilarang ketika berihram.
Imam al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘ala berkata:
Ertinya: (Apabila melakukan yang ketiga) selepas dua perkara (terhasillah tahallul tsâni dan dihalalkan baginya baki daripada perkara-perkara yang dilarang ketika berihram) menurut sepakat ulama, dan wajib ke atasnya melakukan baki daripada pekerjaan haji iaitu melontar (ketiga-tiga jamrah) dan mabît (bermalam di Mina).
Hukum Meninggalkan Rukun-rukun Haji
Rukun haji adalah pekerjaan asas yang mesti dibuat oleh setiap orang yang mengerjakan haji. Jika salah satu daripada rukun haji itu tidak dibuat, maka tidak sah hajinya. Misalnya jika seorang meninggalkan satu pusingan daripada tujuh pusingan thawaf haji atau meninggalkan satu pusingan sa‘i, maka hajinya tidak sah.
Berkata Imam Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muhadzdzab:
Ertinya: Maka sesiapa yang meninggalkan satu rukun tidaklah sempurna ibadatnya dan dia tidak dapat melakukan tahallul sehingga dia datang dengannya (mengerjakan rukun itu).
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak dapat ditampal rukun-rukun haji ini dan tidak ada sesuatu pun daripadanya dengan membayar dam, akan tetapi masih bergantung kepadanya kerana hakikatnya (pekerjaan haji) tidak akan tercapai melainkan melaksanakan dengan kesemua rukun-rukunnya.
Hukum Meninggalkan Wuqûf di ‘Arafah
Dalam perkara meninggalkan wuqûf di ‘Arafah, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah:
Ertinya: Sesiapa yang luput melaksanakan wuqûf di ‘Arafah, maka dia diwajibkan membayar dam seperti kewajipan membayar dam Tamattu‘ (sebagaimana dinyatakan) dalam hukum-hakam yang lalu, dan dia diwajibkan melakukan tahallul dengan melakukan umrah iaitu thawaf, sa‘i dan bercukur rambut, (dan perbuatan ini) tidak dikira sebagai umrah. Wajib ke atasnya mengqadha’ haji tersebut sama ada (ia merupakan) haji wajib mahupun sunat. Dia wajib mengqadha’ hajinya itu dengan segera pada tahun hadapannya menurut qaul ashah. Maka dia tidak harus melambatkannya (untuk mengqadha’nya) tanpa sebarang keuzuran.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga berkata:
Ertinya: Sesiapa yang luput (terlepas) wuqûf, (wajiblah) dia bertahallul (keluar dari ihram hajinya) dengan mengerjakan thawaf, sa‘i dan bercukur rambut. Pada kedua-duanya (sa‘i dan bercukur) adalah satu pendapat. Wajib ke atasnya membayar dam dan mengqadha’ (hajinya).
Hukum Meninggalkan Thawaf Ifâdhah, Sa‘i atau Bercukur
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Rukun-rukun haji tidak sempurna dan tidak diterima sehingga dia datangkan (melakukan) kesemua rukunnya dan tidak boleh keluar dari ihramnya selagi masih ada tertinggal sesuatu daripadanya (rukun) sehinggakan sekiranya dia datangkan dengan kesemua rukunnya melainkan dia meninggalkan satu pusingan thawaf daripada tujuh pusingan atau sekali pusingan daripada sa‘i maka tidak sah hajinya dan tidak terhasil melakukan tahallul kedua.
Muhammad asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâhu Ta‘ala berkata dalam kitabnya al- ‘Iqnâ‘:
Ertinya: (Sesiapa meninggalkan satu rukun) daripada rukun-rukun haji selain wuqûf atau (meninggalkan) daripada rukun-rukun umrah sama ada dia meninggalkannya dengan kemungkinan dia melakukannya ataupun tidak seperti perempuan yang haidh sebelum melakukan thawaf ifâdhah, (tiadalah boleh) dia keluar (dari ihramnya sehingga dia datangkannya) iaitu rukun yang tertinggal itu, sekalipun bertahun-tahun kerana mengerjakan thawaf, sa‘i dan bercukur tiada ada mempunyai kesudahan waktu baginya.
Oleh itu, meninggalkan salah satu rukun-rukun haji iaitu thawaf, sa‘i dan bercukur selain wuqûf tidaklah dapat diganti dengan membayar dam sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh, beliau berkata:
Ertinya: Meninggalkan thawaf ifâdhah, sa‘i atau bercukur adalah (kesemua ini) tidak dapat diganti dengan membayar dam dan dia tidak luput untuk melakukan ibadat tersebut selagi mana dia masih hidup.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, anak lelaki puan yang mengerjakan haji itu belum sempurna hajinya kerana dia meninggalkan salah satu rukun haji iaitu sa‘i sehinggalah dia datangkan (melakukan) rukun yang tertinggal itu (sa‘i) pada bila-bila masa tidak semestinya dikerjakan pada musim haji kerana sa‘i tiada ada mempuyai waktu kesudahan baginya sebagaimana yang dijelaskan di atas. Mengenai dengan perkara tahallul, dia telah terlepas dari tahallul awwal dan dia boleh meninggalkan pantang larang ketika dalam ihram melainkan akad nikah, jimâ‘ (bersetubuh) dan pendahuluan jimâ‘.
Berdasarkan penerangan puan juga dimaklumi bahawa puan sekeluarga berhasrat ingin mengerjakan ibadat umrah pada bulan Disember ini, maka puan sekeluarga bolehlah mengerjakan umrah sehingga sempurna. Mengenai anak lelaki puan yang tertinggal rukun hajinya iaitu sa‘i, dia boleh saja mengerjakan sa‘i tersebut secara berasingan setelah dia selesai mengerjakan ibadat umrah bersama-sama puan sekeluarga. Maka dengan mengerjakan rukun hajinya iaitu sa‘i yang tertinggal itu sempurnalah haji anak lelaki puan itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12580
