Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Meroboh Surau dan Menjadikan Tanah Waqaf Bekas Surau Sebagai Tempat Letak Kereta bagi Jemaah Masjid

Soalan: Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dalam satu mesyuarat telah bersetuju mengenai cadangan untuk meroboh bangunan lama (surau) Kampong Lamunin dengan alasan seperti berikut:

1. Bangunan lama (surau) ini sudah lama tidak lagi digunakan.

2. Bagi mengelakkan perbuatan yang menyalahi aqidah iaitu pemujaan pungsu yang terdapat di bawah bangunan (surau) berkenaan daripada terus berlaku.

3. Bagi mengelakkan daripada berlakunya perbuatan yang menyalahi hukum syara‘ seperti khalwat dan sebagainya.

4. Untuk dijadikan sebagai tempat letak kereta para jemaah masjid yang memang diperlukan.

Tapak bangunan lama (surau) Kampong Lamunin ini adalah waqaf daripada Allahyarham seorang hamba Allah. Sehubungan dengan itu, dipohonkan sebarang pandangan dan ulasan atau fatwa mengenai perkara ini.

Jawapan: Tanah atau tapak bangunan surau Kampong Lamunin yang telah dinyatakan di atas, adalah tanah yang diwaqafkan oleh Allahyarham seorang hamba Allah. Setelah masjid didirikan berhampiran dengan surau berkenaan, surau tersebut tidak lagi berfungsi sebagaimana tujuan asalnya iaitu sebagai tempat menunaikan ibadat harian sama ada sembahyang ataupun aktiviti agama yang lain. Ini bererti, surau tersebut telah dibiarkan kosong oleh para penduduk kampung kerana sembahyang berjemaah dan segala aktiviti surau telah pun berpindah ke Masjid Kampong Lamunin.

Apabila surau tersebut telah menjadi terbiar atau ditinggalkan, maka beberapa perkara ditakuti berlaku seperti:

i) Pemujaan pungsu yang terdapat di bawah bangunan surau berkenaan.

ii) Perbuatan yang menyalahi hukum syara‘ seperti khalwat atau sebagainya yang disalahgunakan.

Apabila timbul perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘ itu, bermulalah tindakan untuk mengubah tujuan atau fungsi tanah yang diwaqafkan itu dari sebuah surau kepada tempat untuk meletak kereta bagi para jemaah masjid. Ini kerana surau yang telah didirikan itu tidak lagi berfungsi seperti tujuan asalnya pada masa sekarang dan ketika ini keperluan kepada tempat letak kereta bagi jemaah masjid adalah amat dikehendaki memandangkan tempat letak kenderaan bagi para jemaah yang datang ke masjid tidak mencukupi sehingga menyebabkan mereka meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan. Berikutan itu, perbuatan mereka meletakkan kereta di tepi-tepi jalan adalah tidak selamat dan sering menyebabkan kemalangan jalan raya.

Kedudukan Barang Waqaf Menurut Syara‘

Harta yang tsabit dan sah menjadi barang waqaf adalah menjadi hak milik Allah Ta‘ala secara muthlaq. Dengan sebab itu, barang waqaf tersebut tidak lagi menjadi hak milik sesiapa, tidak kepada orang yang berwaqaf dan tidak juga kepada orang yang menerima manfaat waqaf. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath- Thâlibîn:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawasanya hak milik pada barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlepas (hak milik tersebut) dari kuasa khusus manusia, maka ia (barang yang diwaqafkan itu) tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan.

Bahkan, barang waqaf juga akan terus berkekalan menjadi barang waqaf kerana kedudukan waqafnya tidak boleh dibatalkan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Zainuddin al- Malibari Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan tidak batal (hukum) waqaf oleh apa jua keadaan bahkan ia (hukum waqaf) itu berterusan ke atasnya.

Apabila barang itu telah sah dan tsabit diwaqafkan, maka ia juga tidak boleh dijual dan tidak boleh dijadikan pemberian atau diwariskan kepada sesiapa pun sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Sesungguhnya (barang yang diwaqafkan itu) tidak boleh dijual, tidak boleh diberikan dan tidak boleh diwariskan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada huraian para ulama di atas, dapatlah dirumuskan bahawa kedudukan barang waqaf adalah sesuatu yang kekal dan ia tidak diwarisi oleh para pewaris si pewaqaf kerana pemilikan barang waqaf adalah hak Allah Ta‘ala secara muthlaq.

Hukum Mengubah Tujuan atau Fungsi Barang Waqaf

Kewajipan memenuhi syarat-syarat pewaqaf terhadap barang yang diwaqafkannya mestilah dipatuhi atau diikuti selama mana syarat-syarat tersebut tidak dalam keadaan dharurat dan tidak bertentangan dengan syara‘ sebagaimana yang disebutkan dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Apabila disyaratkan oleh wâqif (orang yang berwaqaf) dengan sesuatu syarat yang dia maksudkan, seperti mensyaratkan untuk tidak disewakan secara muthlaq, atau melainkan sekian: seperti setahun, atau mensyaratkan dengan memberi keutamaan kepada sebahagian daripada orang yang diwaqafkan (mauqûf ‘alaihi) lebih daripada yang lain, atau mensyaratkan memberi keutamaan kepada perempuan lebih daripada lelaki, atau mensyaratkan disamaratakan (pembahagian) di kalangan mereka atau disyaratkan pengkhususan terhadap masjid - seperti (masjid) ialah madrasah, tanah perkuburan bagi golongan tertentu seperti penganut mazhab asy-Syafi‘i, hendaklah diikuti (atau dipatuhi) syarat-syarat pewaqaf itu - bukan dalam keadaan dharurat, - demikian juga syarat-syarat lainnya yang tidak bertentangan dengan syara‘.

Di samping itu, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Tidak harus mengubah (barang) waqaf dari keadaannya. Maka tidak (boleh) waqaf untuk rumah dijadikan kebun ataupun tempat pemandian dan sebaliknya. Kecuali jika orang yang berwaqaf menyatakan mengikut kepada nâzhir (pengawas) apa yang dipandangnya ada mashlahat untuk kepentingan waqaf. Dalam fatwa Imam al-Qaffal Rahimahullâh menyatakan: “Bahawasanya boleh menjadikan (waqaf) tempat cukur (kedai tukang gunting rambut) sebagai kedai roti. Barangkali pengertiannya adalah merubah bentuk bukan jenis.”

Sementara itu, Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam kitab Nihâyah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Tidak (boleh) mengubahnya (barang waqaf) seperti menjadikan kebun sebagai rumah atau sebaliknya selama wâqif tidak mensyaratkan melakukan (sesuatu tindakan) untuk kemashlahatan, (jika wâqif mensyaratkan sesuatu tindakan tertentu untuk kemashlahatan) maka harus mengubahnya (barang waqaf) dengan mempertimbangkan mashlahat...

Berdasarkan kepada perkataan para ulama di atas, dapatlah difahami bahawa tidak harus mengubah tujuan atau fungsi harta waqaf menurut syara‘. Sebagai contoh, sebidang tanah yang diwaqafkan untuk bangunan kedai diubah tujuannya kepada rumah kediaman. Dalam hal ini, tidak harus menukar fungsi harta waqaf daripada tujuan asalnya melainkan wâqif ada menyatakan ketika dia berlafaz waqaf untuk memberikan keizinan mengubah fungsi harta waqaf berdasarkan keperluan atau kemashlahatan semasa yang dilihat bermanfaat oleh nâzhir waqaf berkenaan. Maka dalam hal tersebut, harus bagi nâzhir mengubah fungsi tanah waqaf tersebut kepada rumah kediaman berdasarkan pertimbangan kerana mashlahat mengikut pandangan nâzhir.

Persoalan meroboh surau untuk digantikan dengan tempat letak kereta bagi jemaah masjid pada tanah waqaf:

1. Sekiranya wâqif ada menyatakan ketika dia berlafaz waqaf itu bahawa tanah yang hendak diwaqafkannya itu adalah bertujuan untuk mendirikan surau atau digunakan mengikut apa jua mashlahat orang awam berdasarkan keperluan semasa yang dilihat bermanfaat oleh nâzhir, maka dalam hal ini, adalah harus bagi nâzhir waqaf mengubah fungsi tanah tersebut kepada sesuatu perkara yang bermanfaat atau kepada kemashlahatan semasa yang difikirkan munasabah olehnya.

2. Sekiranya wâqif hanya menyatakan tanah yang hendak diwaqafkan itu untuk tujuan surau sahaja, maka dalam hal ini, adalah tidak harus bagi nâzhir waqaf mengubah fungsi tanah waqaf tersebut kepada tujuan lain selain surau.

Walau bagaimanapun, dalam situasi ini, mari kita perhatikan keadaan surau yang didirikan dan manfaat tanah yang diwaqafkan itu:

i) Surau yang didirikan tidak lagi dimanfaatkan dan telah dibiarkan kosong oleh mauqûf ‘alaih (orang yang menerima manfaat harta waqaf) kerana sembahyang berjemaah dan segala aktiviti surau telah pun berpindah ke Masjid Kampong Lamunin.

ii) Ditakuti bangunan surau yang terbiar itu akan disalahgunakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan kegiatan yang bertentangan dengan hukum syara‘ seperti perbuatan khalwat dan pemujaan pungsu yang ada di bawah bangunan surau berkenaan.

iii) Tujuan waqaf untuk mendapat pahala kebajikan yang berterusan oleh wâqif tidak lagi diperolehi dan keadaan surau yang terbiar atas tanah waqaf itu akan merugikan wâqif kerana tiada lagi perolehan saham pahala untuknya di akhirat.

Dengan melihat kepada situasi surau dan manfaat tanah waqaf berkenaan, jika surau tersebut tidak dirobohkan boleh mendatangkan maksiat dan pelakuan menyalahi aqidah berlaku di samping tanah yang diwaqafkan itu telah menjadi sia-sia tanpa dimanfaatkan oleh mauqûf ‘alaih.

Maka dalam hal ini, berdasarkan perkataan Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam matan kitab I‘ânah ath-Thâlibîn di atas tadi, adalah harus diubah tujuan atau fungsi tanah waqaf tersebut, kerana surau yang didirikan telah dibiarkan kosong dan ditakuti bermacam-macam kegiatan tidak bermoral dan bertentangan dengan hukum syara‘ akan berlaku di dalamnya. Di samping itu, pungsu yang berada di bawah surau berkenaan juga boleh menyumbang kepada kegiatan yang bercanggah dengan aqidah apabila dijadikan sebagai objek pemujaan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Sebelum perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘ itu berlaku, maka elok dan mustahaklah diambil jalan selamat supaya perbuatan menyalahi hukum syara‘ itu tidak sampai berlaku.

Perubahan tujuan atau fungsi bagi tanah waqaf tersebut sudah pasti menepati mashlahat serta juga mendatangkan manfaat kepada tanah waqaf berkenaan. Malahan penggantiannya kepada tapak letak kereta adalah bersesuaian kerana tapak bekas surau itu berhampiran dengan masjid, bererti, masih dalam kawasan masjid. Adapun kawasan berhampiran seperti tapak surau tersebut, akan jadi ia harîm masjid dan sebagai harîm masjid ia tidak boleh dimajukan melainkan untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan masjid sahaja. Maka harus dan sesuailah tanah waqaf bekas surau itu digantikan menjadi tapak letak kereta bagi para jemaah masjid Kampung Lamunin, sebagai fungsi harîm masjid bagi kemudahan para jemaah tersebut.

Dengan membangun atau menghidupkan semula tanah waqaf tersebut menjadi tapak letak kereta serta lain-lain kemudahan yang berkaitan dengan masjid, bererti, menyuburkan kembali pahala kebajikan untuk diterima oleh wâqif (pewaqaf) selama benda yang diwaqafkan itu berterusan dimanfaatkan oleh orang ramai, sebagaimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila mati anak Adam, terputuslah amalnya, kecuali tiga perkara (iaitu): Sedekah jâriah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12584