Panduan Menyambut Tahun Baru Cina bagi Orang Islam
Soalan: Di syarikat saya bekerja, beberapa kemusykilan berkaitan menyambut Tahun Baru Cina telah dihadapkan sebagaimana berikut:
1) Syarikat mengeluarkan poster atau digital media kepada anak syarikat atau pelanggan luar yang berbangsa Tiong Hua untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.
2) Seorang Muslim mengucapkan atau menulis kad, text message Selamat Tahun Baru Cina kepada teman atau pelanggan yang berbangsa Cina/Tiong Hua.
3) Syarikat menghias pejabat untuk Tahun Baru Cina.
4) Memberi hadiah atau barang makanan kepada rakan atau jiran yang berbangsa Cina/Tiong Hua sempena Tahun Baru Cina.
Oleh yang demikian, dipohonkan penjelasan atau fatwa daripada Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Sambutan perayaan Tahun Baru Cina adalah di antara perayaan terbesar dan terpenting bagi masyarakat Cina yang disambut di seluruh dunia termasuk di Negara Brunei Darussalam. Perayaan ini disambut penuh dengan adat tradisi dan amalan-amalan masyarakat Cina, yang turut dipengaruhi oleh pelbagai elemen iaitu cerita legenda, kepercayaan kuno dan juga kepercayaan agama masyarakat Cina. Secara tradisinya sambutan ini berlangsung selama lima belas hari, bermula dari malam tahun baru (new year’s eve) hinggalah hari kelima belas iaitu ketika bulan penuh (full moon) di bulan pertama.
Di Tanah Besar China (Mainland China) sambutan ini dinamakan sebagai Chunjie iaitu Pesta Musim Bunga atau Spring Festival. Di kebanyakan negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam, perayaan ini lebih dikenali sebagai Perayaan Tahun Baru Cina.
Di Negara Brunei sendiri, orang ramai akan dapat menyaksikan sesetengah adat tradisi serta amalan yang dilakukan oleh masyarakat Cina apabila tibanya musim perayaan tersebut. Antaranya hiasan-hiasan khusus yang digantung dan dipasang di rumah-rumah, bangunan-bangunan, kedai-kedai dan juga pejabat-pejabat yang dimiliki oleh masyarakat Cina, amalan kunjung mengunjungi, pemberian ang pau, hadiah dan selainnya.
Tidak kurang juga ada di antara masyarakat yang bukan berbangsa Cina termasuk yang beragama Islam, juga turut mengunjungi sahabat atau rakan yang berbangsa Cina ataupun ahli keluarga ketika sambutan tersebut. Bahkan dalam majlis-majlis keraian tertentu sempena sambutan tahun baru tersebut, para pemimpin, ketua-ketua organisasi dan masyarakat di negara ini juga turut hadir memenuhi undangan majlis-majlis tersebut sebagai tetamu.
Namun yang menjadi persoalan di sini adakah orang yang beragama Islam boleh turut menyambut atau meraikan perayaan tersebut apabila tiba musim perayaannya dengan melakukan amalan yang dibuat oleh masyarakat Cina?
Apa yang Dimaksudkan dengan Tahun Baru Cina?
Berdasarkan penerangan dari buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals yang dikarang oleh Wei Liming, Ensiklopedia Britanicca dan beberapa artikel lain, Tahun Baru Cina ialah hari pertama di bulan pertama menurut kalendar Cina. Secara amnya kalendar Cina dianggap sebagai kalendar qamari; iaitu kalendar yang berasaskan kitaran atau pusingan bulan. Namun berdasarkan keterangan yang diperolehi dari artikel yang bertajuk Chinese Calendar dan beberapa artikel lain, kalendar Cina adalah kalendar lunisolar iaitu kalendar yang berasaskan gabungan dua sistem iaitu sistem lunar dan solar.
Menurut Wei Liming penulis buku Chinese Festival: Traditions, Customs and Rituals, hari pertama ‘Zheng Yue’ (bulan qamari pertama) adalah dikira sebagai ‘Yuan Dan’ iaitu awal tahun baru. Namun penetapan bulan sebagai bulan pertama dalam kitaran setahun itu berubah-ubah mengikut ketetapan maharaja atau dinasti yang berkuasa pada ketika itu. Di zaman Dinasti Han di bawah pemerintahan Maharaja Wu (156-87 BC), satu sistem kalendar baru telah diperkenalkan yang menggabungkan sistem kalendar qamari dengan sistem pembahagian musim yang telah lama digunakan oleh masyarakat Cina, khususnya petani, yang dipanggil Twenty-Four Seasonal Divison Points atau Twenty-Four Solar Terms. Kalendar baru ini dinamakan Taichu Calendar. Dengan kalendar ini hari pertama di bulan pertama (first lunar month) ditetapkan sebagai hari pertama setiap tahun yang juga bertepatan dengan permulaan musim bunga.
Oleh itu segala jenis aktiviti masyarakat yang biasanya diadakan pada sekitar penghujung musim sejuk dan awal musim bunga; seperti penyembahan tuhan, upacara korban, pesta perayaan dan sebagainya telah disatukan secara beransur-ansur dan diadakan sempena sambutan awal tahun. Menurut tulisan Wei Liming dan beberapa rujukan lain, aktiviti yang diadakan sempena sambutan ini juga telah mengalami proses perubahan secara beransur-ansur.
Sejarah dan Asal Usul Bermulanya Sambutan Tahun Baru Cina
Terdapat perbezaan pendapat mengenai awal bermulanya sambutan ini namun apa yang dapat dirumuskan dari semua pandangan tersebut, sambutan tahun baru ini berusia ribuan tahun. Wei Liming dalam bukunya, telah menceritakan jalan sejarah yang panjang mengenai percambahan, perubahan, penambahan, penyebaran serta perkembangan budaya sambutan ini yang dikatakan telah bermula sebelum zaman Dinasti Qin lagi (221-206BC). Ketika itu telah menjadi kebiasaan orang ramai untuk mengadakan keraian setelah selesai kerja-kerja bercucuk tanam dan antara acara yang dilakukan dalam keraian tersebut ialah upacara korban sebagai tanda kesyukuran, memberi sembahan kepada tuhan dan upacara berdo‘a. Bahkan dalam buku-buku dan artikel banyak mengaitkan sejarah sambutan Tahun Baru Cina ini dengan aktiviti pertanian.
Turut dinyatakan bahawa sambutan ini pada dasarnya berakar umbi pada sambutan kedatangan musim bunga yang disambut oleh masyarakat petani (agrarian socities). Oleh kerana rutin harian kehidupan masyarakat Cina dahulu berkait rapat dengan pertanian, maka kalendar yang disusun juga berkait rapat dengan rutin pertanian bagi menyusun dan memudahkan pekerjaan mereka. Dari sinilah budaya sambutan perayaan tahun baru itu bermula.
Sambutan ini boleh juga dikatakan pada asalnya adalah acara meraikan hasil bercucuk tanam yang dibuat oleh para petani setelah tamatnya musim bercucuk tanam. Turut dikatakan juga bahawa keraian yang dibuat pada ketika itu juga bertujuan untuk menyambut kedatangan musim bunga yang dinanti-nantikan setelah melalui musim sejuk di samping meraikan hasil tanaman dan mengucapkan rasa kesyukuran bagi hasil tanaman yang telah diperolehi pada tahun tersebut. Dalam masa yang sama persiapan bagi menyambut kedatangan musim penanaman yang baru juga dilakukan dan ini termasuklah dengan mengadakan upacara memohon agar cuaca serta hasil tuaian di musim baru nanti akan lebih baik. Pada zaman tersebut upacara sambutan seperti ini hanya disambut secara kecil-kecilan.
Dengan peredaran masa dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat, sambutan perayaan ini mula berkembang secara beransur-ansur dengan dipengaruhi oleh keadaan sekeliling pada ketika itu. Antaranya ialah pengaruh kisah-kisah legenda atau mitos yang menceritakan tentang asal usul perayaan Tahun Baru Cina ini yang memberikan unsur mistik ke atas perayaan tersebut. Dari penetapan awal Tahun Baru Cina dibuat secara rasmi di zaman Dinasti Han hinggalah pada zaman-zaman dinasti berikutnya, aktiviti dan sambutan perayaan ini semakin tersebar luas, bertambah, berkembang dan berubah dengan dipengaruhi oleh pelbagai unsur dan elemen.
Maka dapat dirumuskan bahawa acara menyambut tahun baru, pada awalnya adalah sebahagian daripada aktiviti rutin masyarakat petani, yang menandakan bermulanya musim bercucuk tanam bagi mereka. Namun secara beransur-ansur acara ini telah berkembang dan berubah dengan dipengaruhi oleh persekitarannya sehingga unsur pertanian tersebut mulai lenyap. Apa yang jelas ialah perkembangan bentuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina itu telah melalui proses perjalanan yang panjang dan kini telah menjadi sebahagian warisan kebudayaan orang-orang Cina.
Adat dan Amalan dalam Merayakan Tahun Baru Cina
Setakat maklumat yang diperolehi, sambutan perayaan Tahun Baru Cina bukan berasal dari kepercayaan agama sebagaimana sambutan Hari Krismas. Sambutan ini adalah sambutan perayaan kaum Cina yang menjadi warisan kebudayaan mereka serta mempunyai adat tradisi yang tersendiri, sama ada yang berunsurkan adat atau kebiasaan semata-mata, ritual penyembahan atau upacara keagamaan. Setiap satu daripada perkara ini mempunyai sejarah dan juga kisahnya tersendiri yang juga telah mengalami pelbagai perubahan dari dahulu hinggalah sekarang.
1. Ucapan selamat sempena Tahun Baru Cina.
Antara adat atau amalan terpenting dalam menyambut tahun baru ialah untuk mengucapkan selamat sempena tahun baru ketika kunjung mengunjungi yang dipanggil Bai Nian (making New Year visit). Kebiasaannya para tetamu yang datang dan tuan rumah akan saling mengucapkan selamat sempena tahun baru dengan mengucapkan kata-kata yang dianggap auspicious (yang membawa kebaikan dan tuah). Antara ucapan yang lazim ialah seperti gong xi fa cai (congratulations and be prosperous), xin nian kuai le (yang boleh diertikan sebagai happy new year) dan ucapan-ucapan lain sama ada yang berkaitan dengan kebahagiaan, kekayaan, kesihatan, kejayaan dalam pelajaran atau pekerjaan dan apa jua perkara-perkara baik yang dihasratkan dan diharapkan di tahun baru.
Ucapan-ucapan yang baik ini juga turut dibubuh pada gambar, poster, perhiasan, sampul dan seumpamanya sebagai menyatakan hasrat baik yang diharapkan di tahun baru. Perkara ini setakat yang diketahui adalah merupakan adat kebiasaan masyarakat Cina dalam menyambut Tahun Baru Cina dan bukan berasal dari ajaran agama mereka.
2. Memberi hadiah dan ‘ang pau’ sempena tahun baru.
Penulis buku Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals menyatakan bahawa amalan kunjung mengunjungi semakin berkembang ketika zaman Dinasti Ming (1368-1644) dan Qing di kalangan pegawai atasan dan juga orang awam. Para pegawai atasan dikatakan saling bertukar-tukar kad nama dan saling mengunjungi rumah masing-masing. Di kalangan orang awam pula adat timbal balik sangat dititikberatkan dengan saling memberi hadiah dan kunjung mengunjungi di antara satu sama lain. Ini bermakna apabila A berkunjung ke rumah B maka B juga akan berkunjung ke rumah A dan begitu juga dengan pemberian hadiah.
Antara adat penting dan lazim dalam meraikan Tahun Baru Cina juga ialah memberikan hadiah sampul merah yang berisi wang yang biasanya kita panggil sebagai ‘Ang Pau’. Menurut artikel bertajuk Red Envelopes, Lai Shi, Hong Bao, hadiah ini dinamakan lai shi atau hong bao dalam bahasa Cina. Hadiah sampul merah ini biasanya diberikan oleh orang-orang dewasa atau mereka yang sudah berumah tangga kepada golongan muda seperti para remaja dan kanak-kanak serta mereka yang belum berkahwin. Ada kalanya penerima hadiah sampul ini akan membalas pemberian tersebut dengan memberikan hadiah berupa buah limau atau tangerin kepada si pemberi sebagai simbol yang mengharapkan harta atau kekayaan si pemberi akan bertambah atau meningkat kerana buah limau atau tangerin adalah simbol tuah dan keberuntungan bagi orang-orang Cina.
Di samping itu hadiah wang ini juga dinamakan ya sui yang lebih kurang bermaksud ‘wang yang digunakan untuk menolak atau menghindar kejahatan’ dan diberikan kepada mereka yang lebih muda atau kanak-kanak setelah selesai makan malam bersama keluarga yang dikenali sebagai Hogmanay Dinner. Perkataan ya sui itu sendiri dalam bahasa Cina mempunyai makna tertentu. Dikatakan bahawa perkataan ‘tahun’ dan ‘roh jahat’ dalam bahasa Cina adalah sui dan wang ya sui telah diberikan kepada kanak-kanak untuk menjauhkan mereka daripada perkara-perkara buruk agar mereka selamat dan sihat di tahun yang baru nanti. Dikatakan juga bahawa pemberian hong bao atau ya sui ini mempunyai kaitan dengan kisah legenda tentang bermulanya sambutan Tahun Baru Cina; di mana makhluk jahat yang dipanggil Nian (juga bermaksud tahun), sering mengganggu penduduk kampung setiap kali tibanya tahun baru. Setelah para penduduk kampung tersebut mengetahui bahawa makhluk ini takut kepada cahaya, bunyi yang kuat dan warna merah, maka kanak-kanak telah diberikan kertas berwarna merah untuk menakutkan makhluk tersebut dan agar mereka tidak diganggu.
Selain itu pemberian sampul merah ini juga dianggap sebagai simbolik kepada keberuntungan dan kekayaan yang dihasratkan di tahun yang baru. Di luar sampul tersebut biasanya dihias dengan tulisan kaligrafi yang berupa ucapan selamat sempena tahun baru ataupun simbol-simbol yang dianggap bertuah. Sampul merah ini pula biasanya mengandungi wang dalam jumlah yang genap dan duit tersebut hendaklah baharu. Ini kerana apa-apa yang berkaitan dengan sambutan Tahun Baru Cina hendaklah baharu dengan hasrat agar memperolehi tuah dan keberuntungan yang baru.
3. Menggantung hiasan sempena menyambut Tahun Baru Cina.
Menggantungkan perhiasan seperti tanglung, poster, gambar-gambar, tulisan kaligrafi, simbol-simbol tertentu dan bermacam-macam hiasan lain adalah antara adat kebiasaan kaum Cina apabila hendak menyambut Tahun Baru Cina. Adat ini telah diwarisi turun temurun dan setiap satu daripadanya mempunyai sejarah atau cerita tersendiri. Adat-adat ini juga telah mengalami proses perubahan dengan peredaran masa dari dahulu hingga kini.
Antara hiasan yang biasa digantungkan ialah skrol kertas berwarna merah yang ditulis di atasnya bait-bait syair, puisi atau kata-kata yang menyatakan hasrat atau harapan yang baik di tahun yang baru. Hiasan ini dinamakan Tie Chunlian (New Year Couplets). Manakala kata-kata yang tertulis di atasnya pula biasanya berbentuk harapan untuk beroleh keberuntungan, tuah, hubungan yang baik (di antara rakan atau keluarga), keamanan, kebahagiaan, kejayaan dan seumpamanya. Kertas-kertas ini kemudiannya akan dilekatkan di kedua tepi pintu dan jendela.
Antara hiasan yang lazim ialah paper-cuts iaitu keratan kertas berwarna merah yang digunting untuk menjadi satu bentuk atau imej yang melambangkan kebaikan atau keberuntungan. Hiasan ini biasanya dilekatkan pada cermin jendela, dinding, siling, tanglung dan sebagainya. Hiasan ini juga dikatakan bertujuan untuk menyatakan hasrat baik di tahun baru dan juga sebagai perhiasan kerana bentuknya yang cantik.
Selain hiasan di atas, gambar atau poster Tahun Baru Cina juga akan digantung dan biasanya mempunyai tema yang melambangkan kebaikan atau keberuntungan. Gambar atau poster ini juga turut dihiasi dengan kata-kata hikmah atau ucapan sambutan Tahun Baru Cina dalam bentuk seni kaligrafi tulisan Cina.
Hiasan tanglung kertas berwarna merah juga merupakan hiasan yang lazim dilihat apabila tiba sambutan Tahun Baru Cina. Tanglung yang digantungkan sempena sambutan Tahun Baru Cina dikenali sebagai Traditional Chinese Paper Lantern dan berbeza daripada tanglung-tanglung yang lain. Adat ini dikatakan berkaitan dengan kisah legenda asal usul sambutan Tahun Baru Cina yang disebutkan di atas. Menurut kisah tersebut, makhluk jahat ‘Nian’ yang sering mengganggu orang-orang kampung itu takut kepada warna merah dan cahaya. Disebabkan itu apabila tiba musim sambutan tersebut, warna merah dan nyalaan lampu atau tanglung termasuk tanglung berwarna merah ini dinyalakan. Di samping itu tanglung juga dikatakan lambang bagi pesta atau sambutan yang meriah dan turut menjadi simbol kepada China Town di seluruh dunia.
Selain hiasan tahun baru yang telah disebutkan, banyak lagi hiasan yang dapat dilihat apabila tiba sambutan tersebut, umpamanya hiasan replika atau gambar buah nenas, buah limau, duit syiling, binatang-binatang tertentu dan banyak lagi. Kesemua hiasan ini adalah sebahagian adat tradisi sambutan tersebut dan mempunyai maksud simbolik yang dianggap baik atau membawa keberuntungan bagi kaum Cina dalam meraikan sambutan tahun baru. Begitu juga dengan jenis hidangan atau makanan yang disediakan sempena sambutan ini. Setiap satu daripadanya mempunyai makna simbolik bagi orang-orang Cina dalam meraikan sambutan tahun baru.
Berdasarkan maklumat dan penerangan yang diperolehi, boleh dikatakan bahawa benda-benda yang dianggap mempunyai makna baik atau dilihat sebagai simbol yang membawa kebaikan atau keberuntungan lazimnya dapat dilihat dijadikan sebagai hiasan, hidangan, pemberian dan seumpamanya apabila tiba musim sambutan tahun baru.
Hukum Tasyabbuh dengan Orang yang Bukan Islam
Berdasarkan maklumat yang telah diperolehi setakat ini, sambutan Tahun Baru Cina secara amnya dikategorikan sebagai sambutan kebudayaan orang-orang Cina yang bertujuan meraikan kedatangan tahun baru berdasarkan kalendar qamari Cina. Ia bukanlah sambutan yang berasal dari mana-mana agama Cina sebagaimana sambutan Hari Natal atau Krismas yang merupakan satu perayaan dalam agama Kristian.
Hari Natal atau Krismas yang jatuh pada setiap 25 haribulan Disember sebagaimana yang kita ketahui adalah untuk merayakan kelahiran Jesus. Umum diketahui bahawa menurut ajaran Kristian, Jesus adalah salah satu daripada tiga uknum dalam kepercayaan Trinity; yang mengatakan bahawa Tuhan itu satu dalam tiga (one God in three hypostases/substances/persons) dan Jesus menurut agama tersebut adalah God the Son. Sungguhpun asal usul penetapan tarikh tersebut sebagai hari kelahiran Jesus tidak diketahui, bahkan tarikh sebenar kelahirannya juga tidak diketahui dengan tepat, namun tarikh tersebut telah diterima umum sebagai hari untuk meraikan kelahirannya semenjak bertahun-tahun yang lalu. Sehingga kini, sambutan Krismas dirayakan dengan pelbagai amalan dan tradisi sama ada berbentuk keagamaan atau adat kebiasaan. Keterangan mengenai perkara ini ada disebutkan dalam Encyclopeadia Britannica dan beberapa artikel lain.
Ini berbeza dengan sambutan Tahun Baru Cina yang disambut berdasarkan permulaan awal tahun yang jatuh pada hari pertama di bulan pertama dalam kalendar Cina. Permulaan awal tahun ini juga bertepatan dengan permulaan awal musim bunga dan musim bercucuk tanam yang turut disambut oleh masyarakat Cina dahulu dan kini. Di samping itu, sambutan ini juga mempunyai pelbagai kisah legenda, yang menceritakan tentang awal bermulanya sambutan tersebut dan telah diwarisi semenjak ribuan tahun dahulu. Setakat yang diketahui, pengisian sambutannya mempunyai pelbagai bentuk dan unsur, termasuklah yang berbentuk keagamaan, sembahan, adat tradisi, kebiasaan dan sebagainya.
Sungguhpun demikian, dalam perkara turut meraikan sambutan atau perayaan kaum bukan Islam, umat Islam perlu berhati-hati kerana ini melibatkan budaya, adat resam, kebiasaan atau cara hidup kaum tertentu bukan Islam yang setentunya mempunyai makna tersendiri bagi mereka. Perkara ini juga menyentuh perihal tasyabbuh atau penyerupaan terhadap kaum yang bukan Islam yang turut membawa kesan hukum pada perbuatan tersebut mengikut pandangan syara‘.
Perihal tasyabbuh ini telah banyak disebutkan dalam ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan “râ‘ina” (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Sebaliknya katakanlah “unzhurnâ” dan dengarlah (segala perintah dan patuhilah dengan sepenuh hati). Dan bagi orang-orang kafir itu disediakan azab yang pedih (neraka). (Surah al-Baqarah: 104)
Menurut Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang hambaNya yang beriman menyerupai atau meniru orang kafir pada percakapan dan perbuatan mereka. Turut diterangkan dalam ayat berikutnya tentang betapa kuatnya permusuhan orang-orang kafir daripada ahli kitab dan orang-orang musyrik, yang telah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berikan peringatan kepada orang mu’min, supaya berjaga-jaga dari menyerupai atau meniru mereka dan bagi menjauhkan mawaddah di antara mereka.
Dalam riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada menyebutkan mengenai larangan tasyabbuh atau penyerupaan dengan kaum yang bukan Islam:
Maksudnya: Barang siapa menyerupai dengan (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang diserupainya itu). (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abu Daud menyebutkan bahawa Imam al-Munawi dan Imam al-‘Alqami Rahimahumâllah menyatakan yang dimaksudkan dengan tasyabbuh atau penyerupaan dengan sesuatu kaum itu ialah berpakaian pada zahir dengan pakaian kaum tersebut (yang khusus dipakai oleh mereka) dan berkelakuan mengikut perangai atau tingkah laku kaum tersebut dalam aspek pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.
Dalam kitab Faidh al-Qadîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr, Imam al-Munawi menta‘rîfkan tasyabbuh sebagai berhias secara zahir dengan hiasan kaum tersebut, tampil berkelakuan sesuai dengan perbuatan mereka, berakhlak dengan akhlak mereka, menjalani hidup dengan cara mereka, menyerupai mereka dalam berpakaian dan sebahagian perbuatan mereka. Adapun tasyabbuh yang sebenar adalah tasyabbuh yang bertepatan pada zahir dan batinnya.
Maka sesiapa yang berbuat sedemikian, orang tersebut dianggap tergolong daripada kaum yang diserupainya. Ini kerana menurutnya, barang siapa yang menyerupai orang-orang yang salih maka orang tersebut akan menjadi pengikut mereka serta dia dimuliakan sebagaimana orang-orang salih itu dimuliakan dan begitu juga sebaliknya.
Bahkan dalam perkara ini, Imam al-Munawi juga menyebutkan pandangan Imam al-Qurthubi Rahimahullâh yang mengatakan bahawa jika pakaian tertentu itu khusus dipakai oleh orang yang fâsiq dan orang yang tidak berakhlak maka orang lain ditegah daripada memakai pakaian tersebut, kerana dengan memakai pakaian tersebut, si pemakai akan disangka tergolong dalam kalangan orang fâsiq dan tidak berakhlak oleh orang yang tidak mengenalinya. Perkara ini akan menimbulkan sangkaan buruk yang menyebabkan dosa bagi orang yang berburuk sangka dan orang yang mencetuskannya disebabkan oleh perbuatannya.
Sesetengah ulama mengatakan bahawa tasyabbuh itu adakalanya berlaku pada perkara qalbiyyah (dalaman) berkaitan dengan i‘tiqâd, keinginan dan pada perkara luaran seperti percakapan dan perbuatan. Adakala tasyabbuh itu berlaku pada perkara ibadat dan adakalanya pada perkara berkaitan adat seperti jenis makanan, pakaian, tempat kediaman, pernikahan, kehidupan sosial serta individu, pelayaran, penempatan, kenderaan dan selainnya. Dinyatakan juga bahawa di antara perkara zahir dan batin itu terdapat pertalian dan hubung kait.
Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh ketika menyebutkan hadits yang serupa menyatakan bahawa hadits tersebut adalah dalil yang menunjukkan larangan keras, ancaman dan janji balasan terhadap perbuatan tasyabbuh dengan orang-orang kafir pada percakapan, perbuatan, pakaian, hari raya, perkara ibadat dan juga perkara-perkara lain yang tidak disyariatkan kepada umat Islam dan tidak diperakui umat Islam ke atasnya.
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn juga menyebutkan mengenai tasyabbuh atau penyerupaan dalam berpakaian seperti orang kafir seperti berikut:
1. Jika seseorang itu berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir kerana suka atau cenderung kepada agama mereka dan berniat untuk menyerupai dengan mereka dalam simbol-simbol kekufuran atau pergi bersama orang-orang kafir ke rumah-rumah ibadat mereka, maka orang tersebut menjadi kufur dengan perbuatan yang tersebut di atas.
2. Jika seseorang itu berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir tanpa niat suka atau cenderung kepada agama mereka, tetapi hanya bertujuan untuk tasyabbuh dengan mereka pada simbol-simbol perayaan mereka atau sebagai penghubung kepada muamalat yang harus bersama mereka maka orang tersebut berdosa.
3. Jika seseorang itu hanya tasyabbuh dengan orang kafir secara kebetulan tanpa niat suka atau cenderung pada agama mereka maka hukumnya adalah makruh.
Berdasarkan pendapat ini, perbuatan tasyabbuh itu membawa kesan hukum berbeza tertakluk pada perkara yang diserupai dan juga niat atau tujuan perkara itu dilakukan.
Namun begitu terdapat beberapa pengecualian yang disebut oleh ulama dalam perkara tasyabbuh ini. Menurut penerangan Syaikh Abu Muhammad bin Abu Jamrah nafa‘ullâh bih dalam kitab Fath al-Bâri, tasyabbuh pada perkara yang baik tidak menjadi kesalahan.
Ertinya: Mengikut zahir lafaz (hadits) bahawa celaan daripada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) itu adalah dalam setiap perkara, akan tetapi yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang dimaksudkan (ialah) tasyabbuh pada pakaian, sebahagian sifat, tingkah laku (perbuatan) dan seumpamanya, bukan tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik.
Manakala tasyabbuh dalam perkara baik ini, ia telah banyak dibincang dan dibahas oleh para pengkaji hukum dan ilmuan Islam. Ada yang menyatakan bahawa perkara yang menjadi tuntutan dalam Islam dan juga mashlahat yang dii‘tibâr syara‘ adalah terkeluar daripada tasyabbuh yang ditegah. Contohnya seperti persiapan perang, kajian sains, perubatan, penemuan baru, teknologi moden dan selainnya. Namun tasyabbuh pada perkara-perkara lain seperti pakaian, gaya dan cara hidup, sebahagian akhlak dan tingkah laku adalah ditegah.
Apa yang penting dalam menentukan perkara yang dianggap baik, bermanfaat atau mendatangkan mashlahat ini, bukanlah diukur berdasarkan penilaian atau kemahuan manusia, tetapi sebaliknya ia dinilai berdasarkan pandangan syara‘. Ini kerana adakala yang dilihat oleh manusia sebagai membawa kebaikan dan manfaat itu hakikatnya membawa kepada kerosakan, manakala perkara yang tidak disukai atau tidak diinginkan hakikatnya membawa kebaikan dan manfaat yang lebih besar.
Bolehkah Orang Islam Menyambut Tahun Baru Cina?
Berdasarkan penerangan para ulama, orang yang beragama Islam ditegah dari menyerupai orang bukan Islam pada perkara-perkara seperti yang telah diterangkan di atas. Meskipun para ulama turut menyebutkan tentang tasyabbuh pada perkara baik yang dibolehkan, namun perincian perkara yang baik itu tetaplah ia mesti berpandukan syara‘.
Maka dalam menyambut Tahun Baru Cina oleh orang yang beragama Islam seperti turut menggantung gambar atau poster, menghias tempat kediaman atau tempat kerja ataupun bergabung dengan orang bukan Islam itu, sama-sama merayakan perayaan mereka (di mana ini menunjukkan tasyabbuh telah berlaku dilakukan oleh orang Islam, kerana amalan tersebut adalah tradisi kaum Cina apabila tiba musim sambutan itu). Orang Islam adalah tidak layak meniru dan terlibat dengan amalan ini, kerana terdapat kesan hukum yang berat pada melakukannya walaupun tanpa kecenderungan kepada agama atau kepercayaan mereka ataupun hanya dilakukan dengan tujuan untuk menjalin hubungan.
Di Negara Brunei Darussalam pula, meskipun sambutan Tahun Baru Cina disambut secara terbuka oleh kaum Cina setempat, tetapi ini tidak bermakna masyarakat Islam di negara ini boleh turut serta meraikannya setiap kali perayaan tersebut walaupun tujuannya untuk berbuat baik atau sebagai penghubung muamalat yang diharuskan syara‘. Ini kerana meniru pakaian atau perbuatan dengan bergabung dengan orang bukan Islam untuk tasyabbuh pada simbol atau keraian perayaan mereka adalah haram dan berdosa meskipun tanpa cenderung kepada kepercayaan atau agama mereka seperti mana dikatakan oleh ulama di atas.
Dalam situasi tertentu menyambut atau menyertai sambutan atau majlis orang bukan Islam itu ada yang dibolehkan mengikut sebab atau batas tertentu seperti yang disebutkan dalam fatwa Mufti Kerajaan siri 29/1988 berkenaan menyambut Hari Raya Cina bagi Cina mu’allaf yang masuk Islam:
“Harus orang mu’allaf Islam Cina itu menjamu kaum kerabatnya pada Hari Raya Cina. Adapun menjamu kawan-kawan pada Hari Raya Cina sebagai raya tiada digalakkan oleh Islam dan haram kerana menyerupai kelakuan bukan orang Islam.”
Manakala dalam fatwa siri 43/2008 berhubung dengan majlis memperingati tentera bukan Islam yang terkorban ketika memberi bantuan kepada Utara Borneo, Mufti Kerajaan turut memberi fatwa dan pandangan.
Dalam hal yang berkaitan, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam ketika ditanya mengenai persoalan mengadakan suatu kenangan bagi askar-askar Australia yang terbunuh dalam Peperangan Dunia Ke-2 di kawasan Utara Borneo; Allahyarham Pehin memfatwakan:
“Mempamirkan suatu kenangan dibuat daripada gangsa atau lain bagi mengenang orang-orang kafir mati dalam peperangan atau operasi di Borneo Utara itu adalah ditegah kerana memuliakan perkara berhubung dengan kufur dan agama kufur dan menampakkan perkara kufur kepada orang ramai.”
Oleh yang demikian, berdasarkan nash-nash dan fatwa di atas, nyatalah menghadiri majlis yang diisi dengan perkara yang ditegah oleh syara‘ itu adalah dilarang oleh Islam. Apatah lagi jika orang Islam yang hadir itu juga akan ikut serta melakukan perkara yang ditegah itu.
Walau bagaimanapun sebagai nasihat dan pandangan jua (bukan fatwa), sekiranya ketidakhadiran pihak Kementerian Pertahanan Brunei Darussalam dalam upacara yang dimaksudkan itu boleh mendatangkan ‘mudharat’ dalam perkara hubungan dua hala dan seumpamanya, maka boleh pihak Kementerian Pertahanan Brunei Darussalam yang telah dijemput itu hadir pada upacara tersebut, semata-mata menghadirkan diri sahaja tanpa ikut serta meletakkan kalungan bunga, bertafakkur dan lain-lain dengan niat untuk menjaga mashlahat negara dan bukan sebagai meniru, menyertai dan membenarkan perbuatan mereka itu.”
Maka dalam fatwa siri 29/1988 di atas, menyambut Tahun Baru Cina oleh orang mu’allaf yang masuk Islam bersama keluarganya dengan mengadakan jamuan adalah diharuskan tetapi tidak dengan kawan-kawannya. Manakala dalam fatwa siri 43/2008, penyertaan dalam majlis dan upacara memperingati tentera bukan Islam yang telah meninggal dunia itu hakikatnya adalah dilarang. Namun atas sebab tertentu dan untuk menjaga kemashlahatan, perkara tersebut dibolehkan bagi orang-orang yang terlibat sahaja dengan mengikut batasan yang telah ditetapkan oleh syara‘.
Oleh itu, meraikan sambutan Tahun Baru Cina bagi para pelanggan atau rakan niaga bukan Islam yang dibuat oleh orang Islam adalah sesuatu yang ditegah kerana ia merupakan tasyabbuh dengan perbuatan orang bukan Islam.
Ini tidak sama orang Islam bergaul atau berhubung dengan orang bukan Islam. Agama Islam tidaklah melarang untuk bergaul, bermuamalat atau berbaik-baik serta berlaku adil kepada orang bukan Islam, selama mana mereka tidak memusuhi Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al-Mumtahanah: 8-9)
Dalam pergaulan seharian, sememangnya ada antara orang Islam yang bergaul dengan mereka yang bukan Islam dan ini sendirinya akan membentuk hubungan di antara mereka, sama ada ia berlaku di tempat kerja, tempat belajar, kawasan kejiranan atau kampung dan sebagainya. Bahkan ada juga orang Islam yang turut menerima undangan atau jemputan, hadiah dan ucapan apabila tiba majlis keraian seperti sambutan yang disebutkan di sini. Maka sekiranya diundang ke majlis mereka, diberi hadiah atau ucapan, memadailah menerima pemberian, membalas ucapan jika bersesuaian atau sekadar menghadirkan diri untuk memenuhi undangan tanpa perlu menyertai aktiviti atau acara yang ada dalam majlis tersebut. Kesemua ini memadai dibuat sekadar untuk mengelak fitnah bukan turut meraikannya sebagaimana mereka lakukan. Hal ini juga pernah disebut dalam Fatwa Mufti Kerajaan siri 57/1984 yang menyatakan sekiranya mengelak daripada hadir ke majlis-majlis seumpama ini tidak menimbulkan sebarang kesusahan atau fitnah, maka menghindarkan diri daripadanya adalah lebih baik.
Oleh itu amalan sambutan Tahun Baru Cina seperti menggantung hiasan, poster, memberi hadiah dan seumpamanya adalah tidak sesuai untuk dilakukan oleh syarikat yang beridentitikan Islam meskipun tidak ada kecenderungan pada agama atau kepercayaan mereka. Perkara ini sayugia dihindari bagi mengelak daripada perbuatan meniru-niru atau menyerupai yang boleh mendatangkan dosa kerana meniru atau menyerupai itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12592
