Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Penggunaan Bitcoin Menurut Syara‘

Soalan: Pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) memohon sebarang pandangan dan maklumat yang berkaitan dengan hukum penggunaan ‘Bitcoin’.

Jawapan: Berdasarkan beberapa maklumat dan kajian yang diperolehi, Bitcoin merupakan salah satu jenis cryptocurrency (mata wang kripto) yang menggunakan sistem cryptography (kriptografi) dalam transaksinya dengan berpaksikan kepada teknologi blockchain (lejar atau rekod digital terbuka) bagi merekod keseluruhan transaksi Bitcoin. Bitcoin mula diperkenalkan dalam satu White Paper (Kertas Putih) bertajuk ‘Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System’ dan disebarkan melalui internet pada tahun 2008 oleh penciptanya yang bernama Satoshi Nakamoto. Rangkaian penggunaannya mula dilancarkan pada tahun 2009 tanpa ada pengawasan atau kawalan daripada mana-mana badan yang berautoriti.

Menurut Nakamoto dalam White Paper tersebut, pengguna Bitcoin boleh berurusan terus sesama sendiri dalam urusniaga yang mereka lakukan (peer to peer system) secara online (atas talian) tanpa perlu kepada pihak ketiga sebagai perantaraan untuk membuat pembayaran bagi mengelakkan sebarang bayaran tambahan sebagaimana yang lazim dikenakan oleh institusi kewangan atau bank. Selain itu Bitcoin juga dikenali sebagai digital currency (mata wang digital) atau virtual currency (mata wang maya) kerana keberadaannya hanya wujud dalam bentuk digital melalui internet sahaja. Penciptaan Bitcoin hanya terbatas kepada 21 juta sahaja manakala penentuan nilainya apabila dibandingkan dengan wang fiat pula dikatakan merujuk kepada beberapa aspek, antaranya demand dan supply pasarannya, dorongan spekulasi dan keyakinan masyarakat.

Menurut Allen & Overy dalam artikel ‘Virtual Currencies Mining The Possibilities’, virtual currency ialah perwakilan digital bagi nilai yang boleh dijual beli secara digital dan berfungsi sebagai medium of exchange (alat pertukaran), a unit of account (unit akaun) dan a store of value (penyimpan nilai), tetapi bukan berstatus legal tender (sah diperlakukan) dalam mana-mana bidang kuasa. Ia tidak dikeluarkan atau dijamin oleh mana-mana kerajaan dan hanya memenuhi fungsi-fungsi ini dengan perjanjian sesama komuniti pengguna mata wang maya berkenaan. Ia berbeza daripada fiat money (wang fiat) atau real currency (mata wang sebenar) yakni wang fizikal yang berstatus legal tender bagi sesebuah negara dan berbeza daripada electronic money (wang elektronik) atau e-money yang merupakan perwakilan digital bagi wang fiat.

Manakala menurut satu artikel yang bertajuk ‘Digital Currencies’ yang dikeluarkan oleh Bank of England, digital currency merupakan satu cara pembayaran yang hanya wujud secara elektronik sahaja dan ia boleh digunakan untuk membeli barang-barang fizikal dan juga untuk membayar perkhidmatan.

Menurut European Central Bank sebagaimana yang disebutkan dalam artikel ‘Virtual Currency Schemes’, virtual currency merupakan satu jenis wang digital yang tidak dikawal oleh mana-mana perundangan, namun ia diisu dan dikawal oleh penciptanya sendiri. Virtual currency hanya digunakan dan diterima pemakaiannya di kalangan ahli komuniti maya yang tertentu sahaja sebagai medium of exchange dalam jual beli dan a unit of account dalam menilai sesuatu barang atau perkhidmatan.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, hakikatnya Bitcoin tidak mempunyai satu definisi khusus yang diberikan oleh penciptanya. Namun para pengkaji Bitcoin hanya mendefinisikannya melalui konsepnya yang disebutkan oleh Nakamoto dalam White Paper yang telah disebarkannya dan juga berdasarkan kepada pengertian virtual currency dan digital currency, kerana Bitcoin juga memiliki ciri yang sama, iaitu tidak mempunyai fizikal dan hanya wujud dalam alam digital atau internet.

Oleh itu, melalui pemahaman maklumat yang ada, dapatlah disimpulkan bahawa Bitcoin ialah suatu media pertukaran atau pembayaran digital secara online yang dibuat secara peer-to-peer dengan berasaskan teknologi blockchain. Manakala ciri-ciri Bitcoin itu adalah seperti berikut:

1. Bitcoin tidak boleh dipegang secara fizikal sepertimana yang diperlakukan kepada wang kertas atau wang fiat tetapi hanya boleh dilihat angkanya melalui skrin komputer atau telefon bimbit secara online di internet.

2. Setakat ini, Bitcoin tidak berstatus legal tender seperti wang fiat, walau bagaimanapun ia digunakan dalam transaksi jual beli oleh para penggunanya dalam komuniti Bitcoin sendiri kerana peranannya sebagai medium of exchange memudahkan mereka berurus niaga secara langsung melalui internet tanpa perlu lagi membabitkan pihak ketiga untuk urusan pembayaran.

3. Bitcoin juga boleh berfungsi sebagai a unit of account dalam menentukan nilai sesuatu barang atau komoditi. Nilai Bitcoin adalah ditentukan oleh demand dan supply pasarannya, dorongan spekulasi dan keyakinan masyarakat.

4. Peranan Bitcoin sebagai a store of value juga tidak dijamin kestabilannya oleh mana-mana badan berautoriti. Nilai Bitcoin boleh sahaja meningkat tinggi dalam tempoh masa yang singkat dan juga merudum jatuh dengan sekelip mata. Penyebab utama perkara tersebut ialah Bitcoin tidak mempunyai nilai intrinsik (zat hakiki di dalamnya seperti emas atau perak), tidak disokong, diselia dan dii‘tiraf oleh mana-mana badan berautoriti.

Definisi Wang Menurut Ulama

Menurut para fuqahâ’ sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Qadhâyâ Fiqhiyyah Mu‘asharah, wang ialah apa-apa yang digunakan oleh manusia sebagai alat pengukur untuk menentukan nilai sesuatu dan alat pertukaran. Manakala menurut Imam al-Ghazali dan Ibnu Khaldun Rahimahumallâh, wang ialah apa-apa yang digunakan oleh manusia sebagai alat pengukur, alat pertukaran dan alat untuk menyimpan nilai.

Dalam kitab Buhûts fi al-Iqtishâd al-Islâmi, wang bererti setiap sesuatu yang menjadi alat untuk pertukaran dan diterima secara umum, dalam apapun jua bentuknya dan dalam apapun jua keadaannya.

Menurut Muhammad Taqi Usmani dalam buku ‘An Introduction To Islamic Finance’, wang hanyalah sebagai alat pertukaran sahaja dan ia tidak mempunyai nilai intrinsik. Setiap unit wang adalah seratus peratus sama dengan satu lagi unit denominasi yang sama.

Berdasarkan kepada pengertian wang di atas, difahami bahawa ciri utama yang mesti ada pada wang ialah sesuatu yang boleh dijadikan pertukaran atau perantaraan dan diterima umum oleh sesuatu komuniti dalam transaksi urus niaga yang mereka jalankan walaupun ia bukan berstatus legal tender. Di samping itu, ciri-ciri yang lain pula ialah sebagai alat pengukur untuk menentukan nilai sesuatu barang atau perkhidmatan dan alat yang boleh menyimpan nilai untuk digunakan kembali sebagai alat pertukaran pada masa hadapan.

Adakah Bitcoin Dianggap Wang Menurut Syara‘?

Setelah merujuk kepada pengertian wang sebagaimana yang disebutkan oleh para fuqahâ’ dan pakar ekonomi Islam dan merujuk kepada ciri-ciri Bitcoin sebagaimana yang disebutkan di atas, dapat disimpulkan kedudukan Bitcoin dengan wang adalah seperti berikut:

1. Bitcoin digunakan sebagai alat pertukaran atau medium pembayaran dalam urus niaga oleh para pengguna komuniti Bitcoin secara umum dengan merekod semua transaksi yang dijalankan dalam blockchain. Manakala ciri wang juga mestilah digunakan sebagai alat pertukaran secara umum oleh sesebuah masyarakat atau komuniti.

2. Bitcoin tidak mempunyai nilai intrinsik dan tidak mempunyai sesuatu aset atau badan autoriti yang boleh menyokong kestabilan nilainya. Kedudukan nilai Bitcoin amat berisiko dan spekulatif kerana keadaannya yang boleh naik mendadak dengan tinggi dan turun merosot dengan cepat oleh sesuatu perkara. Manakala wang pula adalah sesuatu yang boleh menyimpan nilainya untuk digunakan lagi pada masa akan datang.

3. Bitcoin boleh menjadi alat ukuran nilai sebagai bayaran dalam urus niaga yang dilakukan oleh para penggunanya. Begitu juga dengan ciri wang, ia mesti menjadi alat untuk menentukan nilai sesuatu barang atau perkhidmatan.

Di samping itu, jika dilihat kepada perbezaan Bitcoin dengan wang kertas atau wang fiat, kewujudan Bitcoin dan wang kertas adalah daripada dua ciptaan inovasi yang berbeza iaitu mata wang fiat dicipta dalam bentuk fizikal dan dikeluarkan oleh badan yang berautoriti sedangkan Bitcoin dicipta oleh pihak anonymous yang dikenali dengan nama Satoshi Nakamoto dalam bentuk digital. Namun kedua-duanya mempunyai fungsi yang hampir serupa, antaranya:

1. Kedua-duanya dijadikan alat pertukaran atau perantaraan dalam urusan jual beli. Namun wang fiat boleh dilihat secara fizikal dan boleh disentuh sedangkan Bitcoin hanyalah dalam bentuk digital dan diakses melalui internet.

2. Wang fiat dan Bitcoin tidak mempunyai nilai intrinsik seperti emas dan perak. Namun wang fiat mendapat nilainya melalui arahan kerajaan yang dinamakan sebagai legal tender berdasarkan polisi dan sistem monetari sesebuah negara yang mengeluarkannya. Sedangkan Bitcoin tidak dikawal oleh mana-mana badan yang berautoriti yang boleh dianggap sebagai legal tender, namun penentuan nilainya dikatakan adalah daripada kepercayaan masyarakat, dorongan spekulasi dan demand and supply Bitcoin dalam pasaran.

3. Keadaan Bitcoin sebagai penyimpan nilai untuk kegunaan masa hadapan adalah sesuatu yang berisiko tinggi kerana nilainya dikatakan boleh turun mendadak dengan cepat tanpa kawalan daripada pihak-pihak yang berautoriti. Walau bagaimanapun, kedudukan wang fiat sebagai penyimpan nilai juga boleh turun disebabkan oleh inflasi namun masih dikawal oleh pihak-pihak yang berautoriti jika berlaku masalah.

Setelah dibuat penilaian terhadap fungsi Bitcoin dan dibandingkan dengan fungsi wang fiat dengan merujuk kepada pengertian wang menurut para ulama, maka yang membezakan Bitcoin dengan wang fiat ialah Bitcoin tidak mempunyai status legal tender dan wujudnya hanya dalam bentuk digital sahaja sedangkan apabila dilihat dari segi syara‘, Bitcoin boleh dianggap memenuhi ciri-ciri wang sebagaimana definisi yang disebutkan oleh para ulama; alat pertukaran, alat pengukur nilai dan alat penyimpan nilai.

Dengan kedudukan Bitcoin sebagai mata wang, maka pertukaran Bitcoin dengan mata wang lain hendaklah juga diperlakukan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam hukum pertukaran mata wang (بيع الصرف) bagi mengelakkan terjadinya riba yang diharamkan. Syarat-syarat tersebut jelas diterangkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, sejenis dengan sejenis, sama dengan sama (sama jumlah dan jenisnya), tunai dengan tunai (tidak bertangguh keduanya). Adapun jika berlainan jenis-jenis ini (seperti emas dengan perak atau kurma dengan garam) maka berjual belilah kamu sebagaimana kamu mahu selama mana ia adalah pertukaran secara tunai (tidak bertangguh kedua-duanya). (Hadits riwayat Muslim)

Di samping itu, syarat-syarat dalam pertukaran mata wang juga disebutkan dalam kitab al- Muwaththa’, bahawasanya Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Ertinya: Janganlah kamu berjual emas dengan emas, kecuali sejenis dengan sejenis dan jangan dilebihkan bahagiannya ke atas bahagian lain. Janganlah kamu berjual perak dengan perak, kecuali sejenis dengan sejenis dan jangan dilebihkan bahagiannya ke atas bahagian lain. Janganlah kamu berjual perak dengan emas yang salah satu di antara kedua-duanya tidak ada dan satu lagi ada. Jika seseorang meminta tunggu (tangguh) kepadamu sehingga dia berada di rumahnya (untuk membayar), maka, janganlah engkau menunggunya (tinggalkanlah dia). Sesungguhnya aku khuatir akan terjadi rama’ ke atas kamu. Rama’ itu adalah riba.

Berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan perkataan Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu di atas, cara pertukaran Bitcoin dengan mata wang yang lain, termasuk juga pertukaran Bitcoin dengan emas atau perak, hendaklah penyerahan dan penerimaan bagi kedua-duanya itu dilakukan secara tunai atau langsung dalam satu masa tanpa dikenakan sebarang tempoh atau penangguhan bagi mengelakkan terjadinya riba.

Bagaimana Taqâbudh (Serah dan Terima) Bitcoin itu Dilakukan?

Sebagaimana yang diketahui Bitcoin hanya wujud dalam bentuk digital melalui internet sahaja dan bukan wujud dalam bentuk fizikal seperti wang fiat. Dalam hal ini, taqâbudh bagi Bitcoin sebagai mata wang adalah berlaku secara al-qabdh al-hukmi sahaja dan bukan dengan al-qabdh al-haqîqi seperti benda-benda dalam bentuk fizikal.

Menurut Syeikh Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Mu‘malah al-Mâliah al-Mu‘âsharah, al-qabdh al-haqîqi atau al-fi‘li terjadi dengan pemilikan sesuatu barangan secara fizikal daripada tangan orang yang menggunakannya. Manakala al-qabdh al-hukmi pula ialah pelaksanaan pemilikan itu terjadi mengikut erti al-qabdh al-haqîqi atau al-fi‘li kerana perkara yang diambil kira ialah kesan di sebalik pemilikan itu sahaja dengan membenarkan penggunaannya tanpa sebarang mudharat atau risiko.

Menurut para fuqahâ’ sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, al-qabdh al-hukmi itu kedudukannya seperti al-qabdh al-haqiqi walaupun pada realitinya al-qabdh al-hukmi itu tidak berlaku secara fizikal (dari tangan ke tangan), yang demikian itu adalah kerana keperluan dan dibolehkan mengikut ketetapan.

Daripada penjelasan fuqahâ’ di atas, dapat disimpulkan bahawa al-qabdh al-hukmi bagi proses taqâbudh Bitcoin adalah sesuai digunakan memandangkan keadaannya dalam bentuk digital. Oleh itu, taqâbudh Bitcoin dalam transaksi jual beli atau pertukaran tidak akan berlaku mengikut al-qabdh al-haqîqi atau al-fi‘li, namun apa jua hukum-hakam yang berkaitan dengan al-qabdh al-haqîqi akan terpakai juga ke atas al-qabdh al-hukmi seperti selepas berlaku taqâbudh, maka Bitcoin akan bertukar tangan dan penerima Bitcoin mempunyai hak yang sempurna untuk menggunakan Bitcoin yang diperolehinya.

Gambaran Kedudukan Bitcoin Masa Kini

Kemunculan Bitcoin pada tahun 2009 boleh dianggap sebagai satu inovasi yang membawa perubahan dalam dunia kewangan dan sistem pembayaran digital. Berasaskan teknologi blockchain, cryptography dan digital signatures (tandatangan digital), ia menjanjikan transaksi yang mudah, pantas dan selamat, dengan bayaran kos yang rendah berbanding mekanisme pembayaran online tradisional yang lebih mahal dan menyulitkan.

Populariti Bitcoin juga dapat dilihat semakin meningkat terutama sekali sekitar hujung tahun 2017 apabila nilai atau harga Bitcoin naik secara mendadak. Perkara ini telah menarik minat dan perhatian orang ramai termasuk para pelabur untuk menggunakan serta mendapatkan Bitcoin, yang sekaligus meningkatkan lagi populariti dan permintaan terhadap mata wang tersebut. Disebabkan oleh semua ini, beberapa mata wang kripto lain telah dicipta dan diperkenalkan dan sehingga kini terdapat lebih daripada 1300 jenis mata wang kripto. Setiap satu daripadanya juga mempunyai cirinya tersendiri dengan peningkatan teknologi dan sistem yang lebih maju. Jumlah kemunculan mata wang kripto ini juga dijangkakan akan semakin meningkat dari hari ke hari. Namun Bitcoin yang dianggap sebagai perintis mata wang kripto, tetap kekal berada di tempat teratas dan menjadi pilihan utama para pengguna mata wang kripto.

Sehingga masa ini, usia kewujudan Bitcoin sudah mencecah lebih kurang 10 tahun, namun ramai yang masih beranggapan bahawa Bitcoin khususnya dan mata wang kripto secara amnya, masih berada pada peringkat permulaan (early developement stage) yang masih memerlukan pembaikan. Sejak kemunculannya, pelbagai pihak dari pelbagai bidang telah mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang berbeza-beza mengenainya, yang sehingga kini masih belum dapat menerangkan kedudukan Bitcoin khususnya dan juga mata wang kripto yang lain, secara mu‘tamad. Bitcoin dengan sifatnya yang multidimensional (multi dimensi) telah dianggap sebagai komoditi, atau tradeble security (sekuriti yang mudah diperdagangkan), atau mata wang, atau harta (property) atau aset.

Dalam perjumpaan negara G-20, yang dihadiri oleh wakil pihak kerajaan, penggubal undang-undang, bank dan institusi kewangan, turut membincangkan tentang Bitcoin dan mata wang kripto di mana mereka cenderung mengklasifikasikannya sebagai aset berbanding dengan mata wang biasa. Hal ini akan menjadikan mata wang kripto tertakluk di bawah peraturan percukaian atau peraturan kawalan yang lain. Beberapa anggota negara G-20 antaranya sedang dalam proses menggubal peraturan untuk mengawal penggunaan mata wang kripto sama ada sebagai aset pelaburan ataupun instrumen pembayaran. Negara Jepun, yang telah mengi‘tiraf mata wang Bitcoin sebagai mata wang yang sah diperlakukan dan diterima sebagai bayaran sejak 2017, menyatakan perlunya ada perlindungan bagi para pengguna dan pelabur serta kawalan ke atas aktiviti tidak wajar seperti money laundering (penggubahan wang haram). Apa yang dipersetujui dalam perbincangan tersebut ialah perlunya ada pemantau berterusan dan bentuk kawalan yang bersesuaian dalam industri mata wang kripto.

Maka tidak dinafikan bahawa Bitcoin dengan sistem dan mekanismanya yang ada pada ketika ini, memperlihatkan kelebihan dan juga kekurangannya.

Kelebihan Mata Wang Kripto Bitcoin

1) Kemudahan dan kebebasan pembayaran secara online.

Sebagaimana disebut dalam White Paper tulisan Satoshi Nakamoto, tujuan asal penciptaan Bitcoin adalah untuk memberikan kemudahan pembayaran secara online. Ia menggunakan sistem peer-to-peer yang membolehkan setiap Bitcoin dipindahkan secara langsung dari satu pihak ke pihak yang lain tanpa bergantung kepada pihak ketiga (contohnya pihak bank) bagi proses pemindahan tersebut. Ini membolehkan para pengguna Bitcoin untuk membuat pembayaran atau pemindahan kepada sesiapa sahaja yang juga menggunakannya, tanpa mengira masa, tempat, sempadan dan had transaksi dengan pantas.

Berbanding pembayaran atau pemindahan wang tunai tradisional yang biasa dibuat online, misalnya pemindahan dari bank ke bank yang lain, ia akan bergantung kepada waktu atau hari-hari bekerja dan mempunyai bayaran yang mahal, lebih-lebih lagi bagi pembayaran atau pemindahan keluar negara. Bahkan pemindahan wang tunai secara tradisi ini juga memerlukan penerimanya untuk menunggu beberapa hari sebelum dapat mengeluarkan wang tersebut.

Maka kemudahan yang ada pada Bitcoin yang dinyatakan tadi merupakan satu kelebihan dan tarikan kepada para pengguna, yang mampu menyelesaikan masalah pemindahan wang yang biasanya mendatangkan kesulitan dan memakan masa yang lama.

2) Kos proses pembayaran atau pemindahan yang rendah.

Pembayaran atau pemindahan Bitcoin serta pengesahan transaksinya boleh dibuat dengan bayaran yang murah ataupun tanpa bayaran sama sekali. Semua ini tertakluk kepada persetujuan pihak yang terlibat dalam transaksi tersebut. Transaksi Bitcoin biasanya mengambil masa 10 - 40 minit untuk disahkan dan ia boleh dilakukan oleh mana-mana pengguna dalam network (rangkaian) Bitcoin tersebut. Sekiranya pihak yang menghantar Bitcoin ingin transaksinya disegerakan, maka bayaran jumlah tertentu akan dikenakan dan transaksi tersebut akan diberikan keutamaan atau prioriti.

3) Maklumat transaksi yang telus/jelas (transparency).

Setiap transaksi Bitcoin yang telah disahkan akan disimpan dalam aplikasi digital ledger (buku rekod digital) yang dinamakan blockchain. Setiap maklumat pemindahan Bitcoin yang ada, bermula dari pemindahan terawal sehingga yang terkini akan direkodkan dalam blockchain tersebut. Maklumat ini pula akan dikongsikan bersama (shared and distributed) kepada semua pengguna dalam network tersebut dan boleh diakses oleh setiap pengguna.

Aplikasi ini boleh dikatakan berfungsi seperti penyata transaksi kewangan yang direkodkan oleh pihak bank. Namun dalam transaksi bank, maklumat ini adalah terhad dan hanya boleh diakses oleh pihak bank dan pemilik akaun sahaja. Dalam network Bitcoin semua maklumat perjalanan atau pertukaran milik setiap Bitcoin dapat dilihat oleh semua penggunanya.

4) Transaksi Bitcoin adalah anonymous.

Dalam transaksi Bitcoin, maklumat peribadi seperti nama sebenar pengguna dan alamat adalah tersembunyi. Apa yang diperlukan untuk melakukan transaksi hanyalah digital address; yang merupakan alamat kepada digital wallet Bitcoin tersebut. Bitcoin itu pula akan dipindah dari satu alamat digital kepada alamat yang lain. Penggunaan nama samaran juga sudah memadai dalam membuat transaksi Bitcoin.

Difahami bahawa meskipun maklumat transaksi atau pemindahan Bitcoin itu terbuka kepada umum, namun maklumat peribadi pengguna adalah tersembunyi. Setiap transaksi hanya boleh dijejaki kepada alamat Bitcoin tanpa mengetahui identiti penerima dan pengirimnya.

Kerahsiaan maklumat peribadi atau sensitif seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor akaun dan seumpamanya dalam transaksi Bitcoin merupakan salah satu ciri keselamatan yang ada pada Bitcoin. Ini memberi jaminan bahawa maklumat peribadi pengguna adalah selamat daripada kecurian atau penipuan, berbanding transaksi pembayaran atau pemindahan biasa yang mengandungi maklumat peribadi terperinci yang sentiasa terdedah kepada pelbagai jenayah siber.

5) Boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Bitcoin boleh digunakan dengan mudah oleh sesiapa sahaja tanpa perlu memenuhi aturan tertentu sebagaimana membuka akaun dengan pihak bank. Untuk membuka akaun Bitcoin ia hanya memerlukan peralatan untuk mendapat akses kepada internet dan perisiannya tanpa dikenakan syarat. Sedangkan untuk membuka akaun bank memerlukan seseorang itu mengisi borang peribadi, membuat pengesahan dokumen, membuat deposit wang tunai dalam jumlah tertentu serta memenuhi syarat-syarat lain yang dikenakan pihak bank misalnya; tidak termasuk dalam senarai hitam bank atau pihak-pihak tertentu dan yang seumpamanya.

6) Tidak ada inflasi.

Oleh kerana jumlah Bitcoin yang boleh dikeluarkan melalui proses ‘mining’ (perlombongan) adalah terhad kepada 21 juta Bitcoin sahaja, maka tidak ada kemungkinan timbulnya masalah inflasi dalam network Bitcoin.

Kelemahan dan Risiko Bitcoin

1) Penggunaannya atau penerimaannya tidak meluas.

Meskipun pada ketika ini penggunaan Bitcoin semakin popular dengan permintaan yang semakin meningkat dan semakin diterima oleh para peniaga online dan offline, namun penggunaan mata wang tersebut masih terhad. Ini kerana Bitcoin hanya digunakan oleh ahli komuniti tertentu dan beredar di kalangan mereka sahaja secara online.

Oleh itu, biarpun jumlah pengguna Bitcoin ini semakin bertambah dari hari ke hari, namun jumlah tersebut masih dianggap kecil dan tidak signifikan untuk menjadikan Bitcoin beroleh manfaat daripadanya. Ia tidak dapat diperlakukan sebagaimana wang fiat untuk perbelanjaan seharian kerana terbatas kepada platform digital di samping sistemnya yang rumit dan sukar untuk difahami oleh orang awam.

2) Tidak mempunyai status legal tender.

Bitcoin sebagaimana yang diketahui tidak mempunyai status legal tender yang sah diperlakukan untuk membuat sebarang transaksi di bawah bidang kuasa badan tertentu, contohnya diterima atau digunakan untuk melangsaikan hutang negara atau persendirian. Ia bebas daripada kawalan undang-undang serta mana-mana badan berautoriti dan nilainya juga tidak disokong oleh apa jua aset ataupun dijamin oleh pihak kerajaan.

Apa yang dapat dilihat kini, pihak kerajaan beberapa buah negara telah mengambil langkah untuk menegah penggunaan dan perdagangan Bitcoin di negara mereka antaranya China, South Korea dan Nigeria. Manakala sesetengah pihak berautoriti lain pula mengeluarkan peraturan dan kenyataan rasmi yang menganggap penggunaan Bitcoin sebagai illegal dan melanggar peraturan yang berjalan sebagaimana kenyataan pihak Central Bank of Bangladesh, pihak Bank of Thailand dan Central Bank of Iceland. Beberapa negara lain pula tidak menghalang penggunaannya namun mereka juga tidak mengi‘tirafnya sebagai legal tender serta tidak memberikan apa-apa jaminan kepada para penggunanya jika berlaku sebarang kerugian dan seumpamanya.

Apabila diteliti, perkara ini adalah penyebab utama ramai orang awam tidak berkeyakinan dan tidak mahu mengambil risiko untuk menggunakan Bitcoin sebagai alat pertukaran, pembayaran atau pelaburan tanpa sebarang sokongan, jaminan dan peraturan daripada pihak kerajaan.

3) Nilai yang volatile dan berisiko tinggi.

Ramai para pakar kewangan dan ahli akademik berpandangan bahawa volatility pada Bitcoin menyebabkan ia sukar untuk dijadikan sebagai medium pertukaran atau pembayaran serta berisiko tinggi sebagai pelaburan. Apabila diperhatikan nilai Bitcoin boleh naik secara mendadak dan jatuh merudum secara tiba-tiba dalam sekelip mata.

Antara perkara yang mendorong turun naik harga yang drastik ini ialah kekaburan/kesamaran (obscurity) dalam menentukan nilai (valuation) Bitcoin itu sendiri. Ia boleh dinilai berdasarkan kemudahan penggunaannya, tenaga melombong yang digunakan, tempat wang tersebut boleh dibelanjakan atau teknologi yang digunakan.

Di samping itu turun naik harga yang tidak menentu ini juga berkaitan dengan aktiviti spekulasi para pelabur dan permintaan pasaran Bitcoin. Maka penggunaan mata wang dengan nilai atau harganya yang turun dan naik secara drastik menjadikannya tidak praktikal untuk kegunaan harian dan sangat berisiko tinggi boleh menyebabkan kehilangan harta atau kerugian yang besar dalam sekelip mata.

4) Risiko deflasi.

Jumlah Bitcoin yang terhad dan tetap kepada 21 juta sahaja boleh mengakibatkan deflasi. Di mana apabila permintaan terhadap Bitcoin semakin meningkat namun bekalannya terhad, perkara ini akan menyebabkan harga Bitcoin semakin meningkat. Ini akan menyebabkan pemegang atau pengguna Bitcoin, terutama sekali para pelabur untuk mengumpul dan menyimpan Bitcoin lebih dari yang diperlukan bagi kegunaannya dalam jangka masa yang lama (hoarding) dengan tujuan untuk mendapat manfaat atau keuntungan di masa akan datang. Manakala tahap harga bagi barangan dan perkhidmatan pula akan menurun berbanding nilai 1 Bitcoin.

5) Risiko keselamatan dan gangguan teknologi.

Bitcoin dengan ciri dan sifatnya yang sangat cryptic (rahsia/tersembunyi) dengan ketiadaan peraturan yang mengawal atau melindunginya serta teknologinya yang rumit telah menarik perhatian ramai hackers (penggodam) dan penipu. Ciri-ciri industri Bitcoin yang menyembunyikan dan memberi perlindungan ke atas identiti sebenar penggunanya juga menjadikannya berisiko tinggi kepada skim penipuan dan jenayah.

Beberapa kali telah disiarkan di dalam akhbar tentang kehilangan dan kecurian jutaan nilai Bitcoin, terutama sekali menerusi exchange platform yang disediakan untuk pertukaran Bitcoin.

Selain itu gangguan terhadap sistem dan juga komponen peralatan yang menjana kuasa dan penyimpanan semua data dan maklumat dalam network Bitcoin itu juga boleh berlaku. Ini akan menyebabkan sistem tergendala dan mengakibatkan kerugian lebih-lebih lagi dengan ketiadaan sokongan atau perlidungan dari pihak berautoriti.

6) Risiko kesilapan transaksi.

Jika berlaku sebarang kesilapan dalam melakukan transaksi, transaksi tersebut tidak dapat dibatalkan dan dikembalikan semula kepada pengirimnya (irreversible). Ini kerana setiap Bitcoin dengan kodnya yang unik hanya boleh diperlakukan untuk membuat bayaran atau pemindahan sehala sahaja. Risiko kesilapan dalam transaksi adalah atas tanggungan pengguna sepenuhnya. Maka dalam keadaan seperti ini, bayaran balik atas kesilapan transaksi yang berlaku adalah tertakluk pada persetujuan pihak penerima.

Dalam kes kehilangan ‘kunci peribadi’ Bitcoin, pengguna akan kehilangan Bitcoin miliknya tanpa boleh digantikan atau dikembalikan semula kerana cirinya yang decentralised. Ini berbeza dengan kehilangan kata kunci akaun bank atau buku penyata bank, yang mana wang yang tersimpan masih boleh dikembalikan kepada pemiliknya menerusi proses atau prosedur tertentu.

Sekiranya seorang pengguna telah membeli barang menggunakan Bitcoin, lalu ingin mengembalikan semula barang tersebut atas sebab tertentu; misalnya barang yang dibeli telah rosak, maka pengembalian semula Bitcoin yang telah dibayarkan kepada peniaga juga tidak dapat dilakukan. Dalam keadaan ini, pengembalian bayaran yang telah dibuat juga tertakluk kepada peniaga, sama ada menggantikan bayaran tersebut dengan Bitcoin miliknya atau wang tunai atau kredit dan sebagainya.

7) Digunakan untuk aktiviti jenayah.

Disebabkan oleh ciri atau sifat Bitcoin yang anonymous; yang tidak memerlukan identiti sebenar penggunanya dan sistemnya yang decentralised telah menjadikan Bitcoin tarikan utama kepada para penjenayah, skim penipuan, aktiviti money laundering dan pelbagai lagi aktiviti yang menyalahi undang-undang. Nama dan alamat digital pengguna Bitcoin yang boleh diubah setiap kali membuat transaksi juga melindungi para penjenayah daripada mudah dikesan. Dengan menggunakan Bitcoin seseorang penjenayah dengan mudah akan beroleh bayaran yang dikehendakinya tanpa sesiapa mengetahui dirinya sebenar.

Bahkan Bitcoin juga membuka ruang kepada pembiayaan aktiviti keganasan (terrorism), pembelian senjata secara haram, perdagangan dan pengedaran dadah dan selainnya.

8) Ancaman terhadap kestabilan ekonomi/kewangan negara dan sistem monetary.

Ada di antara ahli kewangan atau ekonomi serta ahli akademik berpendapat bahawa penggunaan Bitcoin khasnya dan mata wang kripto amnya, pada ketika ini belum mencapai pada tahap yang boleh mengancam kestabilan kewangan dan monetari kerana jumlahnya masih sedikit. Namun ini tidak menolak bahawa risiko terhadap kestabilan kewangan sesebuah negara mungkin akan wujud dan timbul dari masa ke masa selari dengan berkembang Bitcoin dan mata wang kripto yang lain.

Ancaman ini akan timbul sekiranya Bitcoin dan mata wang kripto lain mencapai tahap penggunaan meluas yang signifikan dan juga mendominasi atau menguasai sistem pembayaran. Misalnya, Bitcoin digunakan dalam transaksi seharian secara meluas oleh orang ramai dan hanya akan menggunakan wang tunai apabila perlu berurusan dengan pihak berkuasa. Ini akan menimbulkan ketidakstabilan sistem kewangan dan monetari sesebuah negara.

9) Masih dalam peringkat awal atau percubaan.

Bitcoin dan mata wang kripto yang ada pada ketika ini masih dianggap dalam peringkat infancy (belum matang). Ia masih dianggap dalam peringkat percubaan atau masih dalam proses pembangunan yang memerlukan masa, pembaikan dan perubahan untuk mata wang tersebut mencapai peringkat yang lebih matang. Maka dalam proses perkembangannya pelbagai isu akan dihadapi seperti masalah kos bayaran, tempoh pengesahan bahkan juga isu yang lebih berat daripada yang disebutkan. Perkara ini ada dinyatakan dengan jelas dalam laman web Bitcoin, Bitcoin.org, yang turut menasihati sesiapa yang berminat terhadap Bitcoin untuk bersedia menghadapi sebarang masalah yang mungkin timbul dan untuk mendapatkan pandangan pakar sebelum membuat sebarang pelaburan besar.

Disebabkan perkara ini, maka ramai pihak termasuk pihak berkuasa dan berautoriti mengambil langkah untuk ‘tunggu dan lihat’ terhadap perkembangan Bitcoin dan mata wang kripto serta menyarankan agar orang ramai untuk tidak terlibat dengannya.

Hukum Penggunaan Bitcoin

Walaupun Bitcoin boleh dianggap sebagai mata wang kerana keadaannya yang menepati ciri-ciri wang sebagaimana definisi wang yang disebutkan oleh para ulama fiqh, namun jika merujuk kepada kemungkinan bahaya atau risiko penggunaan Bitcoin pada waktu sekarang sebagaimana yang diterangkan di atas, maka tidak mustahil penggunaan Bitcoin boleh menimbulkan kemudharatan kepada pengguna dan negara kerana keadaannya yang tidak dikawal oleh mana-mana badan yang berautoriti yang diarahkan oleh pihak kerajaan untuk mengatur dan memantau sistem transaksi pengeluaran dan penggunaan Bitcoin berkenaan. Kemudharatan yang mungkin timbul dari penggunaannya, antara lain:

i) Bitcoin berpotensi besar digunakan dalam aktiviti terrorism, pembelian senjata secara haram, aktiviti rasuah, aktiviti money laundering, pengedaran dadah dan selainnya kerana konsep Bitcoin telah membuka ruang kepada pembiayaan atau jual beli tanpa sempadan dengan mempunyai sistem ‘peer to peer’ dan bercirikan anonymous serta decentralised. Aktiviti-aktiviti negatif tersebut dengan mudahnya akan berleluasa kerana data pengirim dan penerima Bitcoin ketika urusan penghantaran tidak dapat dikenal pasti. Pengiriman dan penerimaan Bitcoin yang tercatat dalam transaksi blockchain hanya dihantar melalui alamat Bitcoin sahaja dengan menggunakan kod yang terdiri daripada rangkaian angka dan huruf dan ia tidak memerlukan kepada data pengenalan diri yang sebenar. Tatacara transaksi tersebut sudah tentu tidak dapat dikesan untuk dibuat siasatan oleh pihak berkuasa jika penghantaran wang itu adalah untuk tujuan kegiatan jenayah atau pengganas.

ii) Nilai Bitcoin yang sangat spekulatif. Nilainya boleh jatuh dengan mendadak kerana Bitcoin tidak ada nilai intrinsik bahkan tidak mempunyai sebarang sandaran daripada mana-mana badan kewangan dan ini boleh merugikan penggunanya. Nilainya juga boleh naik dengan tinggi dan ini boleh menggugat kestabilan ekonomi negara apabila kurangnya permintaan duit fiat sesebuah negara.

iii) Bitcoin boleh dijadikan aset dalam mengaut keuntungan oleh pihak-pihak yang tertentu disebabkan nilainya yang sangat spekulatif. Transaksi seperti ini boleh menimbulkan elemen gharar (ketidaktentuan) apabila Bitcoin contohnya dijadikan sebagai alat atau asset melalui skim-skim cepat kaya.

Apabila wujud kemudharatan-kemudharatan tersebut, maka pasti akan menggugat ketenteraman, keselamatan dan keamanan individu dan negara. Sebagaimana yang diketahui, agama Islam amat menuntut umatnya supaya menjauhi perkara yang mendatangkan mudharat walaupun dalam masa yang sama perkara tersebut boleh memberi manfaat dalam penggunaannya. Antara prinsip Islam yang umum ialah melarang umat Islam daripada sengaja melakukan sesuatu yang merugikan dan memudharatkan sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)

Di samping itu, larangan melakukan kemudharatan juga disebutkan melalui hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh saling memudharatkan. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Berikutan itu, adalah lebih baik perkara-perkara yang terdedah kepada kemudharatan, kerugian, kerosakan atau kebinasaan itu ditutup dengan penetapan hukum tegahan berdasarkan kepada kaedah fiqh yang dikenali sebagai sadd adz-dzarâ’i‘ ( ُّ ّسَدالذَرَائّع ) yang membawa maksud menutup atau menegah jalan yang menjurus kepada kebinasaan.

Demikian juga, jika sesuatu perkara itu boleh membawa kepada kebaikan dan pada masa yang sama ia juga membawa kemudharatan atau kerugian, maka Islam menyarankan supaya lebih diutamakan kerja menghindari kemudharatan itu, berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan-kerosakan itu lebih utama daripada membawa (apa jua) kemashlahatan.

Oleh yang demikian, berdasarkan banyak faktor termasuk faktor syara‘, maka penggunaan Bitcoin sebagai mata wang maya atau mata wang digital setakat ini, wajiblah ia dihindari penggunaannya, kerana dikhuatiri boleh membawa atau menyebabkan berlakunya mudharat kepada pengguna sendiri mahupun kepada masyarakat dan negara, sebagaimana telah dibutirkan alasan-alasannya di atas. Namun ini tidaklah menafikan bahawa keadaan mata wang tersebut mungkin sahaja berubah di masa akan datang sekiranya, satu mekanisme mampu diaplikasi untuk mengawal penggunaan dan menjamin tiada akan berlaku kemudharatan daripadanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12596