Penggunaan Tanah Waqaf Perkuburan bagi Mendirikan Menara untuk Tujuan Pemasangan Peralatan Telekomunikasi
Soalan: Pihak Progresif telah pun membuat permohonan mendapatkan tapak untuk mendirikan menara bagi tujuan pemasangan peralatan telekomunikasi di kawasan Kampong Lambak B. Usaha mencari tapak yang bersesuaian telah pun dibuat, namun kesemua tapak dan tanah di perkampungan tersebut adalah milik persendirian dan tidak dapat digunakan bagi tujuan tersebut.
Setelah usaha pencarian diteruskan, didapati tapak tanah di Lot 38291 di Kampung Lambak B, Mukim Lambak A, Berakas adalah bersesuaian. Walau bagaimanapun tanah tersebut adalah tanah perkuburan yang diwaqafkan oleh hamba Allah dan telah pun meninggal dunia.
Oleh yang demikian, dipohonkan nasihat dan fatwa untuk menggunakan sebahagian tanah tersebut seluas 6 meter x 6 meter bagi menempatkan peralatan telekomunikasi di Menara setinggi 40 meter nanti. Pihak syarikat juga bersedia untuk membayar sewa bagi tujuan penggunaan tapak tersebut beserta dengan kontrak perjanjian.
Jawapan: Pengertian Waqaf
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam Kitab Tuhfah al-Muhtâj mengertikan waqaf dari segi syara‘ ialah:
Ertinya: Menahan harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut adalah kekal mata bendanya, dengan melepaskan penggunaan (harta yang diwaqafkan itu oleh pewaqaf) daripada tanggungannya untuk keperluan yang diharuskan.
Ini bererti apabila sesuatu waqaf itu telah tsabit, maka hak milik atas benda atau sesuatu yang diwaqafkan itu berpindah dari milik orang yang mewaqafkannya kepada milik Allah Ta‘ala. Perkara ini ditegaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawa hak milik pada sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlucut (hak milik tersebut) dari kuasa khusus manusia, maka ia tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan ke atasnya.
Syarat Pewaqaf Dipatuhi
Jika orang yang berwaqaf meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap waqafnya seperti tanah yang diwaqafkannya itu adalah untuk tapak perkuburan, maka segala syarat-syaratnya itu hendaklah dipatuhi. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam Minhâj ath-Thâlibîn mengenai kewajipan mengikut syarat-syarat pewaqaf:
Ertinya: Menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahîh), sesungguhnya jika seseorang berwaqaf dengan mensyaratkan supaya (waqafnya itu) tidak disewakan, (maka hendaklah) dipatuhi syaratnya itu. Dan sesungguhnya jika seseorang mensyaratkan waqaf masjid (penggunaannya) khusus kepada satu golongan seperti pengikut mazhab asy-Syafi‘i, maka (hendaklah dipatuhi syarat) dikhususkan (sedemikian). Demikian juga (jika ada pengkhususan untuk) sekolah dan markas.
Oleh yang demikian, tanah waqaf hendaklah menurut syarat yang diletakkan oleh orang yang berwaqaf jika terdapat syarat yang telah diletakkannya. Jika sesuatu tanah itu diwaqafkan untuk perkuburan, maka hendaklah nazir waqaf atau pihak berkuasa waqaf memastikan agar tanah yang diwaqafkan itu tidak ditukar syaratnya kepada selain tanah perkuburan. Tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi tujuan perkuburan orang Islam, hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.
Menyewa Tanah Perkuburan Waqaf
Tanah perkuburan ada beberapa jenis iaitu sama ada ia adalah tanah waqaf, tanah yang dimiliki persendirian atau tanah musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat oleh penduduk di kawasan itu.
Berkenaan hukum menyewakan tanah perkuburan bagi tujuan pertanian atau pembinaan adalah tertakluk kepada jenis tanah perkuburan sepertimana yang disebut oleh para ulama asy-Syafi‘i. Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh menerangkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Tidak harus bagi imam (pemerintah) apabila tanah perkuburan telah usang dan tiada lagi apa-apa kesan padanya, untuk menyewakannya (tanah perkuburan tersebut) bagi tujuan pertanian misalnya, dan (tidak harus) menggunakan hasil tanahnya bagi tujuan kemashlahatan. Demikian dihukumkan bagi (tanah perkuburan) yang diwaqafkan. Manakala (tanah perkuburan) yang dimiliki adalah terpulang kepada pemiliknya jika diketahui, jika tidak diketahui (siapa pemiliknya) maka dihukumkan seperti harta yang hilang iaitu jika telah berputus asa dari mengenal pasti (siapa pemiliknya), maka imam (pemerintah) harus menggunakan (tanah perkuburan tersebut) mengikut kemashlahatan. Demikian juga hukum bagi tanah perkuburan yang tidak diketahui (statusnya).
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh pula menerangkan dalam Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa haram ke atas imam (pemerintah) untuk menyewakan tanah perkuburan waqaf yang telah usang dan hilang kesan-kesan pengebumian mayat bagi tujuan pertanian atau pembinaan umpamanya. Demikian juga haram menggunakan hasil tanah perkuburan waqaf itu bagi kemashlahatan orang-orang Islam. Manakala tanah perkuburan usang yang dimiliki, hukumnya adalah harus pemiliknya menyewakan, meminjamkan dan selainnya kerana ia adalah miliknya. Berlainan jika tidak diketahui pemiliknya, maka hukumnya seperti harta yang hilang, oleh itu imam (pemerintah) harus menggunakannya sesuai kemashlahatan. Demikian juga hukum bagi tanah perkuburan usang yang tidak diketahui statusnya sama ada ia tanah yang dimiliki atau waqaf, maka hukumnya sama seperti harta yang hilang.
Persoalan yang ditimbulkan ialah hukum menggunakan sebahagian tapak iaitu seluas 6 meter x 6 meter untuk mendirikan menara setinggi 40 meter bagi menempatkan peralatan telekomunikasi untuk membantu penduduk di kawasan tersebut mendapatkan kemudahan perhubungan telekomunikasi yang baik dan lancar. Berdasarkan gambar yang dilampirkan menunjukkan bahawa tapak yang dicadangkan adalah terletak di luar kawasan pagar perkuburan (melebihi 40 hasta). Tapak tersebut berada di tanah yang bergazet Lot 38291 di Kampung Lambak B, Mukim Lambak A, Berakas dan merupakan tanah perkuburan waqaf. Dinyatakan lagi bahawa pihak syarikat bersedia untuk membuat bayaran sewa kepada pihak nazir waqaf atau pihak berkuasa waqaf bagi tujuan penggunaan tapak tersebut berserta dengan kontrak perjanjian.
Berdasarkan kepada penjelasan ulama asy-Syafi‘i yang telah diterangkan, bahawa hukum membuat pembinaan pada tanah perkuburan waqaf yang usang adalah haram dan menggunakan hasil tanah tersebut bagi kemashlahatan orang-orang Islam juga hukumnya sama haram, maka adalah lebih-lebih lagi hukumnya haram membuat pembinaan pada tanah perkuburan waqaf yang masih digunakan sekalipun pembinaan itu untuk kemashlahatan orang-orang Islam. Oleh yang demikian, mendirikan menara setinggi 40 meter bagi tujuan pemasangan peralatan telekomunikasi di atas tapak seluas 6 x 6 meter di tanah perkuburan waqaf sepertimana soalan yang diajukan, hukumnya ditegah yakni haram.
Seperti yang dimaklumkan, usaha telah pun dibuat oleh pihak Progresif dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain bagi memastikan terlebih dahulu bahawa tidak ada lagi tanah-tanah di sekitar kawasan tersebut dapat digunakan bagi tujuan mendirikan menara untuk pemasangan peralatan telekomunikasi yang dicadangkan, selain di atas tanah perkuburan waqaf berkenaan. Namun berdasarkan penerangan ulama asy-Syafi‘i, hukum adalah tidak boleh dilangkahi, maka seeloknya jika terdapat tanah milik persendirian yang sesuai dan tuannya mengizinkan untuk menyewakan tapak tersebut bagi mendirikan menara untuk pemasangan peralatan telekomunikasi berkenaan bagi membantu penduduk di kawasan tersebut mendapatkan kemudahan perhubungan telekomunikasi yang baik dan lancar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12600
