Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penghapusan Buku Lama atau Kertas Mengandungi Ism Mu‘Azhzham dalam Ejaan Rumi

Soalan: Adakah cara penghapusan buku-buku lama atau kertas-kertas yang terkandung ism mu‘azhzham dalam ejaan rumi misalnya Allah, ar-Rahman dan seumpamanya, sama dengan cara penghapusan al-Qur’an iaitu dengan cara membakar ataupun membasuh sehingga hilang perkataan tersebut.

Jawapan: Al-mu‘azhzham ialah sesuatu yang dimuliakan seperti al-Qur’an atau sesuatu yang ditulis daripada ayat-ayat al-Qur’an atau ism mu‘azhzham. Termasuk yang dikatakan al-mu‘azhzham juga ialah surat-surat atau seumpamanya yang terkandung padanya ism mu‘azhzham. Maksud ism mu‘azhzham pula ialah nama yang dimuliakan termasuk nama-nama Allah, nama-nama para nabi sekalipun dia bukan rasul dan juga nama-nama para malaikat.

Kehormatan, Kemuliaan Ism Mu‘azhzham dan Buku Agama

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah menjelaskan tentang kehormatan dan kemuliaan ism mu‘azhzham ketika menjawab persoalan yang berkaitan dengan kain kapan yang tertulis padanya al-Qur’an dan ism mu‘azhzham, katanya:

Ertinya: Sesungguhnya al-Qur’an dan setiap ism mu‘azhzham seperti nama Allah atau nama nabi wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan. Tidak syak lagi bahawasanya menulisnya dan meletakkannya pada kain kapan mayat terdapat unsur penghinaan padanya...

Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh juga menyebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Termasuk sesuatu yang dimuliakan itu juga ialah sesuatu yang terletak dalam surat-surat dan seumpamanya yang terdapat padanya nama Allah dan nama rasulNya sebagai (salah satu) contoh. Maka haram menghinakannya dengan meletakkan seumpama dirham (wang) padanya.

Selain daripada sesuatu yang tertulis padanya ism mu‘azhzham, sesuatu yang tertulis padanya ilmu yang berkaitan dengan agama seperti buku atau kertas juga adalah termasuk benda yang dihormati atau dimuliakan. Berkata asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan daripada apa yang dihormati itu (juga adalah) sesuatu yang ditulis atasnya ism mu‘azhzham (nama yang dimuliakan) atau (ditulis atasnya) suatu ilmu seperti hadits dan fiqh. Berkata (al-Asnawi Rahimahullâh) dalam kitab al-Muhimmât: “Semestinya penghadan perkataan ilmu dengan yang dihormati itu adalah sama ada ilmu syara‘ (ilmu agama) sebagaimana yang telah lalu dijelaskan atau bukan seperti ilmu hisab, ilmu nahu, ilmu kedoktoran dan ilmu berkaitan syair. Sesungguhnya ilmu-ilmu itu memberi manfaat dalam ilmu-ilmu agama.

Kehormatan dan kemuliaan ism mu‘azhzham dan buku-buku agama juga ditekankan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: (Perbuatan yang menjadikan seseorang itu kafir ialah membuat sesuatu dengan sengaja dan dengan jelas menghina agama) atau menentang agama atau mengingkari agama (seperti melemparkan Mushhaf) atau seumpamanya yang terkandung padanya sesuatu daripada al-Qur’an bahkan atau ism mu‘azhzham atau sesuatu daripada hadits. Berkata ar- Ruyani: “Atau (menghina) sesuatu daripada ilmu syara‘ (dengan kekotoran) atau dengan kekotoran yang dianggap suci seperti hingus atau kahak atau mani; kerana bahawasanya perbuatan itu jelas meremehkan agama.”

Cara Penghapusan sesuatu yang Mengandungi Ism Mu‘azhzham

Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj menyebutkan:

Ertinya: Makruh membakar kayu yang diukir atasnya sesuatu itu (basmalah atau seumpamanya daripada tiap-tiap yang dimuliakan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam bab istinjâ’). Ya. Pada zahirnya, bahawasanya tidak makruh membakarnya jika bertujuan untuk menjaganya (dari dihinakan). Pendapat yang mengatakan haram membakar itu adalah jika perbuatannya itu sia-sia (tanpa hajat untuk menjaga dari dihinakan).

Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh ketika mengulas perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas:

Ertinya: (Perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh: Ditulis padanya basmalah) iaitu atau selain basmalah dari setiap yang dimuliakan sebagaimana Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebutkan mengenainya dalam bab istinjâ’. Termasuk sesuatu yang dimuliakan itu juga ialah sesuatu yang terletak dalam surat-surat dan seumpamanya yang terdapat padanya nama Allah dan nama rasulNya sebagai (salah satu) contoh. Maka haram menghinakannya dengan meletakkan seumpama dirham (wang) padanya. (Katanya: Tidak makruh) iaitu bahkan wajib (dibakar) jika dikenal pasti sebagai satu jalan bagi memelihara kehormatannya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dalam bab sebab-sebab hadats mengenai perkara istinjâ’ menjelaskan:

Ertinya: (Tidak membawa masuk) ke dalamnya iaitu tempat yang disediakan untuk qadha’ hajat (zikrullah) iaitu yang tertulis padanya zikir Allah seperti setiap yang dimuliakan daripada ayat-ayat al-Qur’an, nama nabi dan malaikat, sama ada nama-nama yang dikhususkan untuk seseorang yang mulia ataupun nama tersebut mempunyai persamaan akan tetapi dimaksudkan (nama itu) nama yang dimuliakan atau terdapat qarînah yang kuat yang membawa maksud kepada nama yang dimuliakan…

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al- Fiqhiyyah pernah ditanya mengenai cara yang perlu dibuat bagi sesiapa yang menjumpai suatu kertas yang jatuh atau dibuang di jalan yang tertulis padanya nama Allah, beliau menjawab dengan katanya:

Ertinya: Berkata Ibnu ‘Abdul Salam bahawa yang paling utama ialah membasuhnya kerana meletakkannya di dinding akan mendedahkan ia terjatuh dan terhina. Ada pendapat lain mengatakan meletakkan (kertas itu) di dinding. Ada pendapat lain lagi menceraikan huruf-hurufnya dan membuangnya sebagaimana disebutkan oleh az-Zarkasyi. Adapun perkataan Ibnu ‘Abdul Salam adalah pendapat yang masyhûr akan tetapi berdasarkan kehendak perkataannya adalah haram meletakkannya (kertas itu) di dinding. Apa yang dapat difahami ialah sebaliknya. Sesungguhnya cara membasuh itu adalah lebih afdhal sahaja. Adapun cara dengan mengoyakkannya telah disebutkan oleh al-Halimiy dalam Minhâjnya sesungguhnya tidak harus mengoyakkan kertas yang terdapat padanya nama Allah atau nama nabiNya kerana dengan demikian akan memutuskan huruf-huruf dan memisahkan perkataan. Cara yang demikian itu pula adalah suatu celaan terhadap tulisan itu.

Asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh juga menyebutkan dalam kitab Bujairimi ‘ala al- Khathib mengenai jawapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh di atas dengan lafaz yang lebih kurang sama:

Ertinya: Sesungguhnya Ibnu ‘Abdul Salam berkata: “Sesiapa mendapati suatu kertas yang tertulis padanya basmalah dan seumpamanya janganlah dia menjadikannya (kertas itu koyak) bercerai-cerai dan membiarkannya begitu sahaja, kerana (ditakuti) boleh jadi ia terjatuh dan dipijak. Caranya hendaklah membasuhnya dengan air atau membakarnya dengan api untuk memelihara nama Allah Ta‘ala dari terdedah dengan penghinaan. Apabila cara membasuh itu memudahkan dan tidak ditakuti air basuhan itu tercurah ke tanah maka ia (dengan cara membasuh itu) adalah lebih utama. Jika tidak, maka dengan cara membakar pula adalah lebih utama. Begitu juga tidak harus mengoyak kertas itu kerana akan memutuskan huruf-huruf dan memisahkan perkataan-perkataan. Cara yang demikian itu adalah suatu celaan terhadap tulisan itu.

Berdasarkan apa yang dijelaskan di atas, dapat difahami bahawa cara penghapusan sesuatu yang mengandungi ism mu‘azhzham seperti nama Allah adalah dengan membakar atau dengan membasuh tulisannya hingga hilang. Cara ini adalah sama dengan cara penghapusan al-Qur’an sebagaimana telah jelas disebutkan oleh para ulama antaranya asy-Syaikh al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Makruh membakar kayu (begitu juga kertas) yang diukir dengan al-Qur’an kecuali jika dimaksudkan dengannya (membakar itu) adalah memelihara al-Qur’an maka tidak makruh (membakarnya) sebagaimana diambil daripada perkataan Ibnu ‘Abdul Salam bersandarkan kepada Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu membakar beberapa Mushhaf.

Kesimpulannya, ism mu‘azhzham dan juga buku-buku agama walaupun ditulis dengan apa jua bahasa atau tulisan, kemuliaan ism mu‘azhzham masih kekal atas dasar semata-mata pengertian tersebut bukan kerana bahasa atau tulisan. Begitu juga halnya dengan kehormatan buku-buku agama. Oleh kerana kewajipan menjaga kehormatan dan kemuliaan ism mu‘azhzham dan buku-buku agama, maka ulama telah menjelaskan cara penghapusan yang sama sebagaimana cara penghapusan al-Qur’an. Oleh yang demikian, cara ini adalah juga termasuk penghapusan buku-buku lama atau kertas-kertas yang mengandungi ism mu‘azhzham dalam bahasa rumi seperti Allah dan ar-Rahman untuk menjaga daripada pencemaran dan penghinaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12604