Pengunaan Gading Gajah
Soalan: Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei dalam usaha mempelbagaikan pengeluaran produk-produk kraftangan dan melaksanakan tempahan-tempahan yang diperlukan telah menggunakan gading gajah dalam pembuatan sarung dan ulu keris Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta aksesoris sampingan.
Sehubungan dengan itu, pihak pusat memohon fatwa berhubung penggunaan gading gajah tersebut.
Jawapan: Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara, gading bererti taring gajah, atau tulang keras putih dan bersih atau yang berwarna putih kekuning-kuningan. Gading merupakan antara anggota khusus yang terdapat pada gajah selain belalai, kaki besar, kulit tebal dan daun telinga lebar. Binatang ini termasuk dalam kumpulan mamalia daripada keluarga Elephantidae yang berbadan besar dan hidupnya berkumpul atau berkelompok di hutan-hutan Asia dan Afrika.
Merujuk kepada persoalan pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei berhubung dengan penggunaan gading gajah dalam pembuatan sarung dan ulu keris Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta aksesoris sampingan, dapat difahami bahawa pihak Tuan telah menggunakan gading gajah dalam mempelbagaikan lagi pengeluaran produk-produk kraftangan dan melaksanakan tempahan-tempahan yang diperlukan. Dalam hal ini, timbul persoalan tentang hukum bagaimana cara untuk menggunakan gading gajah dalam pembuatan kraftangan dan juga apakah hukum berjual beli produk yang menggunakan gading gajah menurut syara‘?
Hukum Menggunakan Gading Gajah
Hukum menggunakan gading gajah banyak disebutkan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah dalam kitab-kitab mu‘tabar mereka, antaranya ialah:
Daripada kitab al-Umm ada menyebutkan:
Ertinya: (Telah berkata ulama daripada mazhab asy-Syafi‘i): “Dan tidak boleh berwudhu’ dan meminum dalam (bekas daripada) tulang bangkai dan tulang binatang yang disembelih yang tidak halal dimakan dagingnya seperti tulang gajah, singa dan seumpamanya, kerana penyamakan dan pembasuhan (tulang tersebut) tidak boleh menyucikan tulang tersebut. ‘Abdullah bin Dinar telah meriwayatkan bahawasanya dia telah mendengar Ibnu ‘Umar tidak suka memakai minyak pada tempat minyak daripada tulang gajah, kerana sesungguhnya gajah itu (adalah) bangkai. (Imam asy-Syafi‘i berkata): “Maka sesiapa yang berwudhu’ pada sesuatu daripadanya (tulang tersebut), ulangilah wudhu’ tersebut dan membasuh apa-apa yang terkena daripada air yang ada padanya (tulang tersebut).
Manakala Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab:
Ertinya: Gading yang diambil daripada tulang gajah (adalah) najis di sisi kami seperti najis yang lainnya daripada tulang-tulang. Tidak harus menggunakannya pada sesuatu yang basah. Maka, jika digunakan padanya, akan menajiskannya.
Seterusnya, disebutkan dalam kitab Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim ‘alâ Tuhfah al- Muhtâj:
Ertinya: Haram ke atas manusia menggunakan (sesuatu) yang najis (sama ada) pada badannya, rambutnya atau pakaiannya sekalipun najis (yang berupa) sikat (daripada) gading pada rambut kepala jika ia dalam keadaan basah dan jika sebaliknya (dalam keadaan yang kering), maka (hukumnya adalah) makruh (menggunakan sikat daripada gading pada rambut kepala).
Manakala, Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj:
Ertinya: Dan dikecualikan gading gajah, maka boleh walaupun makruh sekiranya tidak basah menggunakannya pada kepala dan janggut sebagaimana (disebutkan) di dalam (kitab)
al-Majmû‘ dan jika sebaliknya (jika menggunakannya dalam keadaan yang basah) ia adalah diharamkan.
Di dalam kitab yang sama, Imam ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullâh mengulas perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh pada perkataan “استعماله ِف الرأس ” (menggunakannya pada kepala), beliau menjelaskan:
Ertinya: Dan sebaiknya harus membawanya (gading) bagi tujuan menggunakannya ketika ada keperluan kepadanya dan adalah diketahui bahawasanya keadaan demikian itu bukannya ketika sembahyang dan seumpamanya. Adapun dalam keadaan kedua-duanya (ketika sembahyang dan seumpamanya), maka adalah tidak diharuskan (membawa gading) kerana wajibnya menjauhi najis dalam keadaan kedua-duanya pada badan, pakaian dan tempat.
Berdasarkan perkataan para ulama di atas, ada beberapa hukum dapat difahami dan diambil-kira mengenai gading gajah:
(i) Gading gajah adalah bangkai dan dihukumkan najis. Kenajisan gading gajah tidak akan berubah menjadi suci walaupun gading tersebut disamak atau dibasuh berkali-kali.
(ii) Haram menggunakan bekas daripada gading gajah untuk tujuan menyimpan cecair, umpamanya untuk menyimpan air atau minyak. Jika gading gajah tersebut digunakan pada sesuatu yang basah, maka cecair yang membasahi gading gajah itu akan menjadi mutanajjis (terkena najis) dan juga akan menajiskan apa-apa benda yang terkena oleh cecair berkenaan.
Misalnya, jika seseorang itu berwudhu’ pada bekas yang diperbuat daripada gading gajah, maka dia wajib mengulang wudhu’nya itu dan membasuh apa-apa yang terkena daripada air yang ada pada bekas gading tersebut kerana air tersebut telah menjadi mutanajjis.
(iii) Makruh menggunakan gading gajah dalam keadaan kering.
(iv) Harus membawa gading gajah apabila ada keperluan untuk menggunakannya tetapi haram membawanya ketika bersembahyang dan dalam apa jua keadaan yang mewajibkan untuk menjauhi najis pada badan, pakaian dan tempat.
Hukum Jual Beli Gading Gajah
Jual beli mempunyai rukun dan syarat yang perlu dipatuhi agar transaksi jual beli yang dijalankan itu dihukumkan sah menurut syara‘. Antara rukun jual beli yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh ialah barang jualan. Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, barang jualan ada lima syarat. Salah satu daripada syarat-syarat tersebut ialah hendaklah barang jualan itu suci.
Berdasarkan syarat tersebut, jelas menunjukkan bahawa sesuatu yang berunsur bangkai adalah tidak menepati syarat barang jualan untuk dijadikan akad dalam transaksi jual beli kerana keadaannya yang najis yakni tidak suci. Sebagaimana dijelaskan di atas, gading gajah adalah bangkai menurut syara‘, maka setiap transaksi jual beli terhadap gading gajah adalah tidak sah kerana syarat dalam keadaan suci itu telah mengecualikan benda-benda najis.
Pengharaman jual beli bangkai juga ada disebutkan dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya dia telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda pada tahun pembukaan Makkah, ketika Baginda berada di Makkah:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala dan RasulNya mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala. Maka dikatakan lagi: “Ya Rasulullah! Adakah Tuan fikir boleh dijual lemak bangkai, kerana lemak itu digunakan untuk mengecat kapal-kapal, meminyaki kulit-kulit dan untuk orang menyalakan minyak pelita?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tidak boleh, itu adalah haram.” Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda ketika itu: “Semoga Allah Ta‘ala membinasakan orang-orang Yahudi, bahawasanya ketika Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan ke atas mereka lemak-lemaknya (bangkai), maka mereka mencairkannya (mengolah lemak-lemak bangkai tersebut), kemudian menjualnya lalu mereka memakan harganya (hasil penjualan tersebut).” (Hadits riwayat Muslim)
Manakala, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab dalam bahagian jual beli:
Ertinya: Sesungguhnya tulang gajah (adalah) najis sama ada diambil daripadanya (gajah itu) selepas sembelihannya (mengikut syara‘) atau selepas matinya…dan (menurut) mazhab (asy-Syafi‘i) kenajisannya (adalah) muthlaq. Dan ia tidak harus dijual beli dan tidak halal (memakan) harganya (hasil penjualannya).
Perkataan “ ّ عَظم َ الفّيل” yang bererti tulang gajah yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas adalah termasuk gading gajah yang dihukumkan najis oleh mazhab asy- Syafi‘i.
Berdasarkan kepada keterangan di atas, menunjukkan bahawa hukum berjual beli gading gajah adalah haram menurut syara‘ kerana kenajisannya adalah secara muthlaq. Apabila berjual beli gading gajah dihukumkan haram, maka hasil atau wang daripada jualan tersebut juga adalah haram untuk diterima dan digunakan.
Kesimpulan
Setelah melihat dan memahami perbincangan para ulama yang telah disebutkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa gading gajah adalah bangkai dan kenajisannya adalah muthlaq sekalipun setelah disamak. Walau bagaimanapun, menggunakannya dalam keadaan kering adalah makruh manakala menggunakannya sebagai bekas untuk menyimpan cecair pula dihukumkan haram. Namun harus membawa gading gajah tersebut apabila ada keperluan untuk menggunakannya tetapi haram membawanya ketika bersembahyang dan dalam apa jua keadaan yang mewajibkan untuk menjauhi najis pada badan, pakaian dan tempat.
Apabila gading gajah dihukumkan najis, maka gading gajah tersebut tidak sah dijadikan barang atau produk jualan dalam transaksi jual beli termasuk barang-barang yang diperbuat daripada gading gajah seperti ulu keris, sarung keris dan sebagainya, kerana kedudukannya yang najis itu tidak menepati syarat-syarat barang jualan yang telah ditetapkan oleh syara‘. Malahan, segala apa yang tidak harus untuk diperjualbelikan itu, tidak halal juga untuk mengambil dan memanfaatkan hasil jualan tersebut. Ini diperkuatkan lagi dengan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya jika Allah Ta‘ala mengharamkan sesuatu, maka Dia (juga) mengharamkan harganya (hasil jualannya). (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Sebagai Irsyâd
Apabila meneliti soalan pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan di atas, difahami bahawa penghasilan produk-produk daripada gading gajah ini memang telah dan sedang dihasilkan bagi tujuan perniagaan dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi pengeluaran produk-produk kraftangan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan. Memandangkan gading gajah merupakan sesuatu benda yang sukar untuk diperolehi, maka sudah setentunya produk-produk berkenaan mempunyai kos modal pembuatan yang besar.
Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, hukum jual beli produk-produk yang menggunakan gading gajah adalah haram menurut syara‘ dan hasil daripada penjualan produk-produk tersebut juga adalah haram untuk diambil dan dimanfaatkan. Oleh itu, urusan jual beli ke atas produk-produk berkenaan adalah wajib dihentikan.
Dalam hal ini, bagi memberi jalan keluar kepada pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan agar mereka tidak menanggung kerugian dalam kos pembuatan produk-produk berkenaan apabila urusan jual belinya diberhentikan, maka untuk menyelesaikan masalah stok yang masih ada dalam simpanan mereka, sebagai irsyâd, khusus mengenai cara untuk bermuamalat dengan barang atau produk yang mengandungi najis, produk-produk berkenaan hanya boleh berpindah tangan yakni berpindah hak milik daripada pemilik kepada orang yang memerlukan dengan cara sedekah, pemberian atau wasiat. Perkara ini ada dinukilkan dalam kitab karangan ulama asy-Syafi‘iyyah seperti I‘ânah ath-Thâlibîn, Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi, Hâsyiyah al-Baijuri dan Hâsyiyah asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal ‘alâ Syarh al-Minhâj li Syaikh Zakaria al-Anshari yang menyebutkan bahawa benda-benda najis atau benda mutanajjis (yang terkena najis) yang tidak dapat disucikan hanya boleh berpindah tangan iaitu melepaskan kuasa atau hak sahaja dengan cara sedekah, pemberian atau wasiat bukan dengan cara lafaz akad jual beli. Dalam perkara berpindah tangan atau melepaskan hak ini orang yang empunya benda tersebut adalah dibolehkan untuk mengambil ‘iwadh (ganti-gantian) sama ada dengan duit atau barang.
Dalam pada itu, disyaratkan juga pada setiap urusan menggugurkan hak atau berpindah tangan benda najis itu disertakan dengan lafaz dan tidak memadai dengan niat di dalam hati tanpa melafazkan dengan mulut. Sebagai contoh lafaz berpindah tangan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syarwani dalam kitab Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al- ‘Abadi:
Berkata orang yang ada hak pada sesuatu yang najis itu:
“Saya gugurkan hak saya dari ….. dengan gantinya …..”
dan orang yang berkehendakkan benda najis itu berkata:
“Saya terima atau saya setuju”
Daripada perkataan ulama di atas, difahami bahawa pertukaran produk gading gajah boleh dilakukan dengan cara melepaskan hak atau kuasa terhadap produk tersebut kepada pihak yang memerlukan sama ada dengan minta diganti atau sebaliknya. Di samping itu, urusan perpindahan tangan pada produk gading gajah tersebut hendaklah dilafazkan untuk menjadikan pemindahan hak itu sah menurut syara‘. Sebagai contoh:
Pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei berkata:
“Saya bagi pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei menggugurkan hak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei ke atas sebilah keris yang menggunakan gading gajah dengan gantinya BND$550.00”
Pihak yang berkehendakkan produk tersebut berkata:
“Saya setuju”
Atau boleh juga menggunakan akad seperti berikut:
Pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei berkata:
“Tuan beri saya BND$550.00 dan saya bagi pihak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei memberi tuan sebilah keris yang menggunakan gading gajah.”
Pihak yang berkehendakkan produk tersebut berkata:
“Saya setuju”
Setelah mengetahui cara muamalat yang boleh digunakan ketika berurusan dengan produk yang menggunakan gading gajah, sebagai irsyâd jua, bagi sesiapa yang memiliki produk yang menggunakan gading gajah, mereka perlu mengetahui dengan jelas mengenai hukum penggunaan gading gajah menurut syara‘ sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Perbuatan berhati-hati ketika berurusan dengan kenajisan gading gajah ini amatlah penting dititik-beratkan kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang remeh-temeh. Jangan sampai penggunaan gading gajah tersebut jatuh kepada hukum haram yang boleh menimbulkan implikasi kepada penggunanya seperti ibadat seseorang itu menjadi tidak sah hukumnya sekiranya ibadat tersebut mewajibkan seseorang itu membersihkan badan, pakaian dan tempat daripada najis seperti ketika untuk menunaikan ibadat sembahyang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12608
