Permasalahan Anak-anak Orang Islam yang Diserahkan Penjagaannya kepada non-Muslim
Soalan: Dipohonkan penjelasan mengenai masalah “anak-anak orang Islam (mu’allaf) yang diserahkan penjagaannya oleh ibu bapanya kepada datuk/nenek mereka yang bukan beragama Islam atas sebab-sebab bertugas jauh dari rumah dan mempunyai masalah kewangan serta tidak mampu membiayai keperluan anak?”
Jawapan: Definisi Hadhânah Menurut Syara‘
Hadhânah dari segi syara‘ ialah menjaga seseorang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ketiadaan (belum) mumayyiznya seperti kanak-kanak dan orang dewasa yang gila dan mentarbiyahnya iaitu mendidik orang yang dijaga dengan perkara yang membawa mashlahat kepadanya sama ada berkaitan dengan penjagaan makan minumnya dan sebagainya.
Hukum Hadhânah
Menurut ulama hadhânah adalah wajib bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak kecil yang belum sampai umur tujuh tahun atau anak yang gila.
Imam Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan jika (pasangan suami isteri) yang mempunyai anak yang gila atau anak kecil yang tidak mumayyiz iaitu yang belum berumur tujuh tahun, (adalah) wajib menjaganya kerana jika meninggalkan jagaannya dia akan terbuang sia-sia dan binasa.
Siapa yang Berhak untuk Hadhânah
Hadhânah anak kecil berhak kepada kedua-dua ibu bapa selagi mana mereka masih suami isteri melainkan mereka berdua telah bercerai maka perempuan lebih layak dan ibu lebih utama untuk menjaga anak-anaknya yang masih kecil (belum mumayyiz).
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Hadhânah iaitu memelihara seseorang yang tidak dapat menguruskan dirinya dan mendidiknya. Perempuan lebih layak bagi mendapat hak hadhânah itu dan yang paling utama ialah ibu kemudian ibu kepada si ibu yang berhubung kait nasabnya dengan perempuan yang didahulukan yang lebih hampir daripada mereka itu.
Perkara ini juga dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya seorang perempuan berkata:
Maksudnya: Ya Rasulullah! Bahawa anakku ini, perutkulah yang mengandungkannya, air susuku minumannya dan ribaanku (pangkuanku) adalah rumahnya. Sesungguhnya bapanya telah menceraikan aku dan dia hendak mengambilnya dari aku, lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi mana engkau belum bernikah lagi.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Maka apabila sepasang suami isteri bercerai dan mereka berdua mempunyai anak kecil yang belum sampai umur tujuh tahun, maka ibu (kepada anak kecil) itu paling awlâ (utama) mendapat hak hadhânah jika dia suka dan bapa pula adalah (paling utama) menguruskan perbelanjaannya.
Jika suami isteri bercerai, sementara mereka mempunyai anak yang bâligh dan cerdik, maka anak tersebut berhak bersendirian memisahkan diri dari kedua-dua ibu bapanya kerana dia sudah tidak memerlukan lagi hak penjagaan.
Siapa yang Berhak untuk Hadhânah Selepas Ibu
Ibu sebagaimana yang dijelaskan di atas adalah lebih berhak dan diutamakan dari yang lain-lain terhadap penjagaan anak. Jika tiada ibu, maka hak penjagaan berpindah kepada ibu kepada si ibu (nenek perempuan sebelah ibu) yang berhubung nasabnya dengan perempuan kerana mereka ada hubung kait dalam soal waris dan wilâdah dan didahulukan mana yang aqrab (hampir) daripada mereka itu.
Imam Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Jika ketiadaan ibu atau dia enggan dari menjaga anak maka (hak penjagaan anak itu) diserahkan kepada neneknya sebagaimana pendapat yang shahîh sama seperti jika si ibu itu meninggal dunia atau gila.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Di dahulukan selepas ibu, ibu kepada bapa kemudian ibu kepada nenek yang ada kaitan (aqrab) dengan perempuan kemudian nenek perempuan sebelah bapa dan datuk perempuan sebelah bapa.
Syarat-syarat Hadhânah
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, secara ringkasnya bahawa syarat-syarat hadhânah itu diambil kira terhadap kedua-dua ibu bapa dan juga kepada orang yang memelihara (al-hâdhin) adalah seperti berikut:
(1) Merdeka. Tidak disyaratkan hadhânah bagi seorang hamba kerana dia tidak akan mampu menjaganya beriringan dengan melakukan tugasnya bersama majikannya.
(2) Berakal. Tidak disyaratkan hadhânah bagi orang yang lemah akalnya kerana dia tidak akan cukup sempurna untuk menjaganya. Begitu juga orang gila dan orang yang sakit tidak ada harapan sembuh seperti penyakit kurus kering dan lasa (kerana lumpuh, kaku dan sebagainya). Maka gugurlah hak penjagaannya kerana dia akan lemah dari segi tanggungan dan pengurusannya.
(3) ‘Âdil dan amanah. Tidak disyaratkan hadhânah bagi orang yang fâsiq kerana penjagaan merupakan hak anak dan itu tidak dapat dipenuhi dengan penjagaan dan asuhan orang yang fâsiq.
(4) Islam. Jika salah seorang daripada kedua-dua ibu bapanya yang melahirkan itu kafir, maka gugurlah kafâlahnya (hak belanja hidupnya) dengan kekufurannya. Oleh itu, tidak disyaratkan hadhânah terhadap orang kafir untuk menjaga seorang Muslim.
(5) Hendaklah seorang isteri itu tidak berkahwin kerana jika dia bernikah dengan orang lain maka gugurlah hak penjagaannya terhadap anaknya kerana apabila dia berkahwin dia sibuk untuk melayan suaminya.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Tidak ada hadhânah (penjagaan) bagi seorang hamba dan orang gila, orang fâsiq dan orang kafir ke atas orang Muslim serta (tidak ada hak penjagaan) bagi perempuan yang bernikah selain bapa kanak-kanak melainkan bapa saudaranya dan anak bapa saudaranya dan anak saudaranya menurut pendapat yang ashah.
Oleh itu, sekiranya kurang salah satu daripada syarat-syarat yang disebutkan maka gugurlah hak penjagaan itu. Persoalan yang timbul bagaimana kedudukan penjaga/pengasuh yang bukan Islam terhadap anak yang Islam? Adakah orang kafir diberi hak penjagaan terhadap anak orang Islam atau sebaliknya?
Kedudukan Penjaga/Pengasuh yang Bukan Islam
Perlu diketahui disini, salah satu syarat hadhânah sebagaimana telah disebutkan di atas ialah Islam. Jika salah seorang ibu bapa anak itu orang kafir maka gugurlah kafâlahnya (hak belanja hidupnya) dengan kekufurannya. Oleh itu, tidak disyaratkan hak penjagaan bagi orang kafir untuk mengasuh orang Muslim jika sekiranya anak itu seorang Muslim kerana anak seorang Muslim tidak dapat dipenuhi oleh asuhan atau jagaan orang kafir kerana ditakuti mereka dihasut dari agamanya dan merupakan bahaya yang paling besar. Oleh kerana itu, para ulama bersepakat bahawa seorang anak Muslim tidak boleh diserahkan kepada orang kafir.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang beriman. (Surah an-Nisâ’:141)
Berkata Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan tidak ada (hak penjagaan) orang kafir kepada orang Muslim kerana dia tidak ada bidang kuasa ke atasnya dan kerana boleh saja berlaku hasutannya dalam agamanya.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, anak-anak orang Islam (mu’allaf) yang diserahkan penjagaannya oleh ibu bapanya kepada datuk/nenek mereka yang bukan berugama Islam adalah tidak diharuskan kerana syarat hadhânah mestilah beragama Islam sebagaimana yang disebutkan oleh ulama.
Ini kerana penjaga atau pengasuh bukan Islam tidak mengetahui tentang Islam, tentang konsep kebersihan dalam Islam dan cara membersih najis menurut hukum syara‘. Begitu juga yang berkaitan dengan perkara halal haram dalam makanan, pergaulan, perbuatan dan perkataan, semua itu jauh berbeza dengan cara Islam.
Oleh yang demikian, adalah teratur bagi saudara penanya seorang mu’allaf, untuk memohon bantuan dan nasihat daripada Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Dakwah Islamiah bagi menangani masalah hak penjagaan anak tersebut. Di samping itu juga, bagi meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa (mu’allaf) ini, maka disarankan untuk berusaha, termasuk memohonkan peruntukan zakat bahagian ashnâf mu’allaf atau ashnâf fakir miskin, ashnâf zakat di Bahagian Majlis Ugama Islam Brunei.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12612
