Permasalahan Orang Islam di Dalam Majlis Orang Bukan Islam
Soalan: Dipohonkan penjelasan dan fatwa mengenai perkara-perkara berikut: 1. Bolehkah orang Islam membacakan sebarang do‘a bagi apa jua majlis yang dikendalikan oleh non-Muslim yang mana antara para jemputan undangannya ada yang beragama Islam? 2. Bolehkah orang Islam menghadiri jemputan majlis non-Muslim yang diadakan di gereja, dewan sewaan atau rumah kediaman non-Muslim? 3. Bolehkah orang Islam mengucapkan tahniah kepada pengantin non-Muslim?
Jawapan: Agama Islam sangat tegas dalam soal mempertahankan aqidah Islamiyyah, namun ia juga amat berlembut dan toleran dalam soal sosial dan kemasyarakatan, termasuk hubungan dengan orang yang bukan Islam, iaitu selama hubungan itu tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal dan tidak pula akan merosakkan aqidah Islamiyyah. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)
Hukum Menghadiri Jemputan Orang Bukan Islam Hukum menghadiri jemputan orang bukan Islam tertakluk kepada siapa yang menjemput; adakah saudara, jiran atau orang yang tiada kaitan. Majlis yang dianjurkan itu berunsur keagamaan atau bukan dan juga tempat majlis itu diadakan.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan hukum menghadiri jemputan orang bukan Islam dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Maka tidak wajib menghadiri (jemputan) kafir dzimmi tetapi sunat jika diharapkan keislamannya atau (kafir dzimmi tersebut) umpamanya merupakan seorang saudara terdekat atau jiran. Berikut pada bab al-jizyah (akan diterangkan) pengharaman cenderung hati kepadanya. Demikian juga orang kafir dzimmi tidak mesti menghadiri jemputan orang Islam.
Para ulama asy-Syafi‘i menerangkan dalam bab al-jizyah tentang “pengharaman cenderung hati kepadanya” adalah bermaksud haram mengasihinya, bukan cenderung hati kepada perkara kekufuran kerana jika cenderung hati kepada kekufuran, maka dihukumkan kufur. Hukum haram mengasihi orang kafir adalah berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: Engkau tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat tergamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya. (Surah al-Mujâdalah: 22)
Para ulama asy-Syafi‘i menghukumkan haram mengasihi orang kafir dan makruh bergaul dengan mereka, sekalipun untuk bertukar-tukar hadiah, kerana pergaulan itu menunjukkan keadaan zahir, sedangkan mengasihi orang kafir menunjukkan kecenderungan hati. Berbeza hukumnya jika diharapkan keislamannya atau ada kaitan di antara kedua-duanya (orang Islam dan bukan Islam) seperti saudara atau jiran, maka harus menggalakkannya dengan menunjukkan kasih sayang dan seumpamanya secara hemat. Demikian diterangkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, Asnâ al-Mathâlib dan Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah.
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz, mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam berkata mengenai pegawai Islam menjadi tetamu di dalam majlis orang bukan Islam dalam fatwa bilangan 29/1983:
“Adapun masalah pegawai Islam yang bertanggungjawab seperti Pegawai Daerah, jika ada perkara yang berhubung dengan agama mereka dan Hari Raya mereka, maka orang Islam ditegah menyertai ibadat dan raya mereka, dan jika perkara yang lain seperti membuka sekolah mereka, kerana jika ada dalam sekolah mereka mengajar agama mereka maka tiada harus orang Islam hadir kerananya, dan lain-lain perkara seperti merasmikan dewan perniagaan, ini terpulang pada muslihat negeri, kerana Islam membenarkan raja berdamai ketika raja lemah, dan kita diharapkan mereka masuk Islam, dan ketika kita berhajat pertolongan mereka.
Adapun ta‘ziah orang Islam kepada orang kafir adalah harus, tiada sunat kecuali jika diharapkan kafir itu masuk Islam, dan melawat orang kafir yang sakit harus, dan tiada makruh di atasnya mengikut jenazah kerabatnya yang kafir.
Dengan panduan ini dapatlah pegawai pentadbir menyesuaikan diri terhadap perkara-perkara orang-orang dzimmi itu dalam daerahnya.”
Berkenaan menghadiri majlis orang bukan Islam di tempat ibadat mereka seperti gereja pula, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Raudhah ath-Thâlibîn, melakukan perbuatan yang telah disepakati oleh orang Islam bahawa perbuatan tersebut tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir seperti berjalan menuju gereja bersama penganut-penganutnya dengan memakai pakaian mereka seperti tali pinggang zinar (yang khas bagi orang kafir) dan seumpamanya adalah termasuk perbuatan kufur, sekalipun orang Islam yang melakukan perbuatan tersebut menyatakan secara berterang-terangan bahawa dia orang Islam.
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz, mantan Mufti Kerajaan ada menukil fatwa Imam ‘Abdullah bin Yahya Rahimahullâh dalam fatwa bilangan 20/1975 mengenai hukum menghadiri upacara perkahwinan di gereja:
“1. Orang Islam itu bergaya dan berupa dengan rupa orang-orang kafir dan ia pergi bersama-sama mereka ke tempat-tempat ibadat mereka, maka dihukumkan dia kafir.
2. Orang Islam itu bergaya dan berupa dan berkeadaan dengan gaya atau rupa atau keadaan orang-orang kafir, kerana cenderung hatinya pada agama mereka atau dia qashadkan menyerupai mereka pada cogan-cogan atau adat-adat kufur mereka, maka dihukumkan dia kafir dengan dia berbuat begitu.
3. Orang Islam itu bergaya atau berupa atau berkeadaan dengan gaya atau rupa atau keadaan atau lagak orang-orang kafir itu, akan tetapi dia tiada cenderung hatinya pada agama mereka dan tiada pula dia qashadkan menyerupai mereka pada cogan-cogan atau adat-adat kufur mereka, bahkan dia qashadkan menyerupai mereka pada cogan-cogan raya mereka atau dia qashadkan menyerupai mereka pada raya mereka, supaya dapat dia bermuamalat dengan mereka dengan muamalat yang dibenarkan oleh syara‘ seperti berjual beli dan sewa-menyewa, maka dia telah berbuat haram dengan berbuat begitu dan tiada dia menjadi kafir.
4. Orang Islam itu menyerupai orang-orang kafir dalam perkara-perkara yang tersebut, dengan serempak, atau tiada semena-mena dengan tiada qashadkan sesuatu daripada perkara-perkara yang tersebut, maka tiadalah dia berdosa, tetapi dia telah berbuat perkara makruh, sebagaimana ulama berkata makruh mengikat baju di pinggang (seperti kain cokin) ketika sembahyang atau luar sembahyang kerana mengikat kain cokin atau baju di pinggang itu menyerupai orang-orang Yahudi mengikat tali zinar di pinggang mereka.” Wallâhu A‘lam tamat katanya.
Oleh yang demikian seseorang Islam pergi ke dalam gereja itu kerana hadir upacara kahwin mereka, sebagai mereka jirannya, dengan semata-mata qashad itu sahaja maka adalah kufur dan murtad menurut masalah (1) yang di atas daripada al-Imam al-Habîb ‘Abdullah bin Yahya al-‘Alwi, sebab dia menyerupai mereka dan pergi bersama-sama mereka ke gereja.”
As-Sayyid ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar yang dikenali sebagi Ba‘alwi Rahimahullâh, Mufti al-Hadhramaut, juga ada menerangkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidín, hasil atau keputusan hukum para ulama pada perkara bergaya atau bersikap seperti orang-orang kafir:
1. Jika bergaya atau bersikap seperti gaya orang-orang kafir dengan hati yang cenderung kepada agama mereka dan bertujuan menyerupai mereka pada syi‘âr-syi‘âr kekafiran atau berjalan bersama mereka ke tempat-tempat ibadat mereka, maka dihukumkan kafir pada kedua-dua perkara.
2. Jika tidak bertujuan seperti pada perkara 1 di atas, tetapi bertujuan menyerupai mereka pada perayaan atau menyerupai mereka untuk berhubungan bagi melakukan muamalat yang harus dengan mereka, maka hukumnya adalah berdosa (haram).
3. Jika kebetulan menyerupai mereka tanpa apa-apa tujuan, maka hukumnya adalah makruh, seperti mengikat kain selendang ketika sembahyang.
Berdasarkan penerangan ulama yang telah disebutkan, jemputan majlis orang bukan Islam yang berupa majlis keagamaan atau majlis perayaan keagamaan orang bukan Islam adalah ditegah orang Islam menghadirinya. Manakala hukum menghadiri majlis selain keagamaan seperti majlis perkahwinan adalah tidak wajib dengan disyaratkan hati tidak mengasihi orang bukan Islam atau cenderung kepadanya kerana hukum mengasihinya adalah haram. Apatah lagi jika cenderung kepada kekufuran, maka dihukumkan kafir. Berlainan jika orang yang menjemput itu diharapkan keislamannya atau merupakan saudara dekat atau jiran, maka hukumnya adalah sunat menghadiri jemputan orang bukan Islam tersebut. Tertakluk juga hukum tersebut dengan tempat majlis diadakan, jika diadakan di tempat ibadat orang bukan Islam seperti gereja, maka demi memelihara aqidah, adalah ditegah menyertai berjalan bersama mereka ke gereja kerana boleh dihukumkan kafir jika hati cenderung kepada kekufuran. Perlu juga diingat bahawa orang Islam yang menghadiri majlis orang bukan Islam itu adalah ditegah menyertai mana-mana acara peribadatan atau ajaran khas keagamaan agama lain, sama ada ia dilakukan di tempat-tempat ibadat mereka seperti gereja, rumah atau di mana-mana tempat sekalipun demi memelihara aqidah.
Demikian juga, perlu di ambil perhatian bahawa orang bukan Islam yang berada di negara Islam adalah disyaratkan untuk tidak menzahirkan perkara mungkar di hadapan orang Islam seperti arak, khinzír, nâqûs (benda yang digendang oleh orang-orang Nashrani untuk memaklumkan waktu-waktu sembahyang mereka), perayaan mereka, upacara pengebumian jenazah mereka, menghidangkan arak dan khinzír kepada orang-orang Islam, menzahirkan makan dan minum di bulan Ramadhan, menaikkan suara di hadapan orang Islam seperti ratapan ke atas mayat, bacaan Taurat dan Injil, sekalipun di dalam gereja atau tempat-tempat ibadat mereka, kerana terdapat padanya kerosakan-kerosakan dan menzahirkan syi‘âr kekufuran sebagaimana yang diterangkan dalam kitab Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj.
Malah orang Islam adalah ditegah untuk menghadiri majlis yang terdapat perkara mungkar; seperti arak, alat bunyi-bunyian yang haram dan gambar atau patung yang diharamkan sekalipun majlis tersebut dikendalikan oleh orang Islam sebagaimana penerangan Imam ar- Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj.
Sikap Orang Islam di Dalam Majlis Orang Bukan Islam
Hukum bergaul dengan orang bukan Islam adalah makruh, sungguhpun untuk bertukar-tukar hadiah dan haram mengasihi mereka sebagaimana yang telah diterangkan terlebih dahulu. Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: [Dan hendaklah (orang bukan Islam) tidak disanjung dan tidak diberi keutamaan duduk di dalam majlis] oleh orang Islam; iaitu haram ke atas kita memperlakukan sedemikian sebagai penghinaan ke atasnya (tidak memuliakannya), dan haram mengasihinya iaitu cenderung hati kepadanya bukan pada sifat kekufuran, kalau tidak, (jika cenderung hati kepada sifat kekufuran) hukumnya adalah kufur, sama ada dalam perkara asal (kekufuran) atau cabang (kekufuran) atau selain kedua-duanya. Dan makruh bergaul dengannya secara zahir sekalipun untuk bertukar-tukar hadiah pada perkara zahir, (hukum makruh itu ialah) selama mana tidak diharapkan keislamannya, (jika diharapkan keislamannya, atau menurut Imam ‘Ali asy-Syabramallisi jika diharapkan pada orang bukan Islam itu manfaat keduniaan atau menolak mudharat, maka tidak makruh). Demikian juga hukumnya (tidak makruh) jika ada kaitan antara kedua-duanya (orang Islam dan orang bukan Islam tersebut) seperti ada pertalian persaudaraan atau jiran.
Demikian penerangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh terhadap perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dan sedikit penerangan Imam ‘Ali asy-Syabramallisi Rahimahullâh terhadap penerangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh sebagaimana disebutkan dalam Nihâyah al- Muhtâj.
Berkenaan memberi ucapan kepada orang bukan Islam, Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan bahawa adalah haram orang Islam memulakan memberi ucapan salam kepada orang bukan Islam, demikian juga diharamkan orang Islam memulakan memberi ucapan penghormatan selain salam kepada orang bukan Islam. Imam ‘Ali asy-Syabramallisi memberi contoh ucapan penghormatan selain salam itu ialah seperti ‘selamat pagi’ atau ‘selamat petang’. Oleh itu, boleh juga diumpamakan ucapan penghormatan selain salam itu ialah seperti ucapan tahniah.
Mengucapkan tahniah kerana perayaan keagamaan orang bukan Islam adalah haram kerana menghindari pengiktirafan terhadap agama mereka. Manakala mengucapkan tahniah kerana selain keagamaan adalah juga dilarang kerana menghindari memuliakan mereka. Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz berkata dalam fatwa bilangan 38/1971 mengenai hukum mengucapkan tahniah sempena ulang tahun perkahwinan orang bukan Islam:
“Adapun tahniah kepada orang dzimmi itu adalah dii‘tibârkan sebagai memulia dan menghormatkan dia dan kita dilarang menghormat dan memuliakan dia maka dari itu memberi tahniah dan memberi hadiah kepadanya adalah dilarang dan haram kerana memuliakan dia menurut zahir perkataan ulama seperti perkataan al-Imam an-Nawawi yang di atas ini.
Ulama telah berkata sayugia diketahui kiranya kita terpaksa menggunakan orang-orang dzimmi dalam jawatan am kerana tiada layak orang Islam pada jawatan itu, maka harus kita menggunakan mereka itu dalam jawatan-jawatan seperti itu dan jawatan itu membawa dan menarik orang Islam pergi ulang-alik mendapatkan mereka itu kerana menyelesaikan kerja-kerja atau hajat masing-masing orang Islam itu dan dengan jawatan itu orang-orang dzimmi mendapat kemuliaan dan dihormati oleh orang Islam akan mereka itu, demikianlah tujuan ibarat ulama dalam perkara terpaksa menggunakan orang dzimmi.
Dari ibarat ulama seperti yang tersebut di atas ini, jika kita orang Islam menghormatkan orang dzimmi kerana dia menjalankan kerja-kerja jawatan dengan baik maka kita beri hadiah dan ucapkan tahniah sebagai upah balasan di atas khidmatnya dan baik kerjanya dan bukan sebagai menghormat dan memuliakannya, dengan jalan ini lepas kita dari larangan memulia dan menghormatkan orang kafir menurut bagaimana pendapat al-‘Allâmah asy-Syabramallisi dan dinaqalkan daripadanya oleh lain-lain ulama fiqh.
Pendek kata memberi tahniah dan memberi hadiah kepada orang kafir adalah ditegah dan haram menurut zahir perkataan ulama yang di atas.
Jika kita terpaksa menggunakan orang kafir dan kita berikan kepadanya kehormatan dan tahniah dan hadiah dan kemudahan balasan di atas khidmatnya maka kaola berharap kita terlepas dari larangan dan tegahan memuliakan dia.”
Oleh yang demikian, orang Islam yang menghadiri majlis orang bukan Islam adalah ditegah untuk melakukan apa-apa perbuatan atau mengucapkan perkataan yang menunjukkan penghormatan kepada orang bukan Islam melainkan sebagai galakan kerana mengharapkan keislamannya, sebagai balasan kerana terpaksa memerlukan khidmatnya atau ada pertalian dengannya seperti saudara atau jiran.
Hukum Orang Islam Membaca Do‘a di Dalam Majlis Orang Bukan Islam
Orang Islam diharamkan menunjukkan kasih sayang dan penghormatan terhadap orang bukan Islam melainkan kerana mengharapkan keislamannya atau ada pertalian dengannya seperti saudara ataupun jiran, sebagaimana yang telah diterangkan.
Oleh itu, orang Islam membaca do‘a dalam majlis orang bukan Islam mestilah dilihat dari segi syara‘. Kita perlu ingat bahawa do‘a itu adalah ibadat, bukan upacara menghias majlis atau semata-mata sebuah agenda dalam majlis.
Membaca do‘a oleh orang Islam dalam majlis orang bukan Islam boleh jadi sendaan kepada Islam dan orang Islam, sebagaimana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berhati-hati mengenainya seperti hadits Abu Burdah Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya yang meriwayatkan orang Yahudi berpura-pura bersin di hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan tujuan supaya Baginda mendo‘akan mereka dengan rahmat (لِلَُ َرمحَُكُم ُ ا ي) - iaitu sebagaimana do‘a bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin - tetapi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hanya berdo‘a untuk orang-orang Yahudi itu:
Maksudnya: Semoga Allah memberi hidayat kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Maka orang Islam hendaklah berhati-hati supaya tidak sampai terjebak mempersenda agama Islam. Lebih-lebih lagi kalau do‘a itu dalam majlis atau tempat yang terdapat maksiat atau orang-orang melakukan maksiat seperti tari-menari, nyanyian, alat muzik yang dilarang oleh syara‘, makanan dan minuman haram atau patung-patung berhala.
Imam Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhaj bahawa hukum berdo‘a ada kalanya haram seperti mendo‘akan orang kafir dengan keampunan, ada kalanya dihukumkan kafir jika mendo‘akan keampunan atas perbuatan syirik, adakalanya dihukumkan makruh seperti berdo‘a di dalam gereja, bilik mandi, tempat pembuangan najis, tempat kotor, tempat permainan atau tempat maksiat seperti pasar-pasar yang kebiasaannya berlaku perjanjian-perjanjian dan sumpah-sumpah palsu. Walau bagaimanapun, harus mendo‘akan orang kafir dengan sihat badan, mendapat hidayah dan seumpamanya.
Ini disebutkan dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah diminta untuk mendo‘akan ibu Abu Hurairah yang masih kafir supaya memeluk Islam:
Maksudnya: Ya Allah kurniakan hidayah kepada ibu Abu Hurairah. (Hadits riwayat Muslim)
Do‘a Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ini dimakbulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan islamnya ibu Abu Hurairah.
Do‘a seperti ini adalah harus, berbeza mendo‘akan mereka dengan keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan akhirat, tidaklah ia harus dan bahkan haram. Hanya yang harus itu ialah mendo‘akan mereka dengan hidayat, sihat tubuh badan dan apa yang layak dan boleh disebutkan untuk orang kafir.
Sebagai kesimpulan, menghadiri majlis orang bukan Islam yang berupa majlis keagamaan atau perayaan keagamaan adalah haram. Manakala menghadiri majlis selain keagamaan mereka adalah tidak wajib, dengan syarat tidak menunjukkan apa-apa penghormatan atau kasih sayang kepadanya sama ada dari segi perbuatan atau ucapan. Namun jika mengharapkan keislamannya atau ada tali persaudaraan dengannya ataupun jiran, hukumnya adalah sunat menghadiri majlis tersebut dan harus melakukan atau mengucapkan apa-apa galakan secara hemat. Orang Islam membaca do‘a di dalam majlis orang bukan Islam pula adalah sebagaimana telah disebutkan terdahulu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12616
