Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Persoalan Muamalat dengan Bank Islam, Simpanan TAP dan Menamatkan Muamalat dengan Syarikat Insurans Konvensional

Soalan: Dipohonkan pandangan dan fatwa mengenai persoalan-persoalan berikut: 1. Adakah saya terlepas daripada riba jika menggunakan khidmat dan produk-produk yang dijalankan oleh institusi-institusi kewangan Islam seperti Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD)? 2. Adakah Tabung Amanah Pekerja (TAP) patuh syara‘? 3. Apakah betul tindakan saya menamatkan serta merta ‘saving insurance’ saya di AIA dan juga Great Eastern Life kerana ditakuti jatuh kepada Riba?

Jawapan: Pengertian dan Hukum Riba Riba dari segi syara‘ sebagaimana menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj ialah:

Ertinya: (Riba ialah) akad (perjanjian) tentang tukar ganti yang tertentu tanpa diketahui persamaan pada timbangan syara‘ ketika akad dijalankan, atau berserta kelewatan pada kedua-dua tukar ganti atau salah satu di antara keduaduanya. Ini bererti riba terbahagi kepada 3 iaitu: 1. Riba al-Fadhl: iaitu jual beli dengan ada tambahan pada salah satu di antara dua tukar ganti ke atas ganti yang lain. 2. Riba al-Yad: iaitu jual beli dengan ada kelewatan pada penerimaan kedua-dua tukar ganti atau pada salah satu daripadanya. 3. Riba an-Nasâ’: iaitu jual beli bertangguh. Riba dihukumkan haram berdasarkan firman Allah:

Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi (membayar) riba, penulis perkara riba dan saksi-saksi perkara riba. Baginda bersabda: “Mereka semua adalah sama.” (Hadits riwayat Muslim)

Khidmat-khidmat Institusi Kewangan Islam

Institusi kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam seperti TAIB dan BIBD adalah dikawal oleh Badan Penasihat Syariah masing-masing untuk memandu institusi tersebut melaksanakan muamalatnya berdasarkan syara‘, sebagaimana menurut Perlembagaan Negara Brunei Darussalam (Perintah di bawah bab 83(3)) Syariah Financial Supervisory Order, 2006 (Perintah Penyeliaan Kewangan Syariah, 2006) mengenai penubuhan Badan tersebut:

3. There is hereby establihed a Board known as the Syariah Financial Supervisory Board, which shall be the authority for the ascertainment of the Laws of Islam for the purposes of Islamic banking business, takaful business, Islamic financial business, Islamic development financial business and any other business which is based on syariah principles and which is supervised and regulated by the Authority.

Ertinya: Maka adalah dengan ini ditubuhkan sebuah Lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, yang hendaklah menjadi pihak berkuasa bagi penentuan Undang-Undang Islam untuk tujuan-tujuan perniagaan perbankan Islam, perniagaan takaful, perniagaan kewangan Islam, perniagaan pembangunan kewangan Islam dan mana-mana perniagaan lain yang berasaskan prinsip-prinsip syariah dan yang diselia dan dikawal selia oleh Pihak Berkuasa (Kementerian Kewangan).

Fungsi Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah itu juga disebut dalam Perintah berkenaan:

4. (2) Every financial institution may consult the Board on syariah matters relating to Islamic banking business, takaful business, Islamic financial business, Islamic development financial business and any other business which is based on syariah principles.

Ertinya: Setiap institusi kewangan boleh berunding dengan Lembaga mengenai hal ehwal syariah yang berhubung dengan perniagaan perbankan Islam, perniagaan takaful, perniagaan kewangan Islam, perniagaan pembangunan kewangan Islam dan apa-apa perniagaan lain yang berasaskan kepada prinsip-prinsip syariah.

Lembaga tersebut juga bertanggungjawab bagi meluluskan produk Islam bagi setiap institusi kewangan sebelum ia digunakan untuk sebarang transaksi perniagaan:

14. (1) Every financial institution shall apply to the Board for approval with respect to its submission that its Islamic product is in accordance with Hukum Syara‘ before it enters into any business transaction with respect thereto.

Ertinya: Setiap institusi kewangan hendaklah memohon kepada Lembaga untuk kelulusan berkaitan dengan kepatuhannya bahawa produknya yang bersifat Islamik adalah mengikut Hukum Syara‘ sebelum ia menjalani apa-apa transaksi perniagaan berkaitannya.

Pematuhan prinsip syariah merupakan antara kriteria yang dikehendaki dalam pengurniaan lesen bagi perniagaan perbankan Islam sebagaimana menurut Islamic Banking Order 2008 (Perintah Perbankan Islam 2008):

8. (2) Without prejudice to the generality of subsection (1), the Authority shall not grant a licence unless he is satisfied that – (f) the aims and operations of the Islamic banking business which the applicant desires to carry on will not involve elements which are contrary to Hukum Syara‘; and (g) that there are provisions in the Memorandum of Association and Articles of Association of the applicant concerned, for the establishment of a Syariah advisory body comprising of at least three Muslim religious scholars, of which two are citizens of Brunei Darussalam, to advise the applicant on the operations of its Islamic banking business in order to ensure that they do not involve any element which is contrary to Hukum Syara‘.

Ertinya: 8. (2) Tanpa menjejaskan keumuman subseksyen (1), Pihak Berkuasa tidak boleh memberikan lesen melainkan jika dia berpuas hati bahawa – (f) tujuan dan pengendalian perniagaan perbankan Islam yang pemohon berhasrat untuk menjalankan itu tidak akan terlibat unsur-unsur yang bertentangan dengan Hukum Syara‘; dan (g) terdapat peruntukan dalam Memorandum Pertubuhan dan Perlembagaan Pertubuhan pemohon yang berkenaan, bagi penubuhan sebuah badan penasihat Syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga sarjana agama Islam, yang mana dua warganegara Brunei Darussalam, untuk menasihat pemohon mengenai operasi perniagaan perbankan Islam dalam usaha untuk memastikan bahawa mereka tidak melibatkan apa-apa unsur yang bertentangan dengan Hukum Syara‘.

Untuk lebih jelas bahawa amalan yang dijalankan di bank-bank Islam adalah patuh syara‘ berdasarkan akta-akta yang berkaitan, berikut adalah contoh pembiayaan kewangan di salah sebuah bank Islam iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang bukan berasaskan riba melalui pinjaman tetapi pembiayaan kewangan tersebut adalah berasaskan jual beli:

(i) Pembiayaan menggunakan konsep tawarruq.

Sebagai contoh:

Pelanggan memerlukan wang tunai (misalnya) dia memohon pembiayaan daripada BIBD. Setelah BIBD meluluskan, pihak BIBD akan membeli komoditi daripada Pembekal A bernilai B$10,000 secara tunai.

Setelah memilik komoditi berkenaan, BIBD akan menjual kepada pelanggan dengan harga murâbahah B$12,000 secara bayaran bertangguh selama 6 tahun.

Komoditi tersebut sekarang berpindah milik daripada BIBD kepada pelanggan. Bagi mendapatkan kecairan (wang tunai), pelanggan diberikan pilihan:

a. Mewakilkan BIBD menjualkan komoditi berkenaan kepada pembekal B dengan harga tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000) atau b. Pelanggan menuntut komoditi berkenan dihantar kepadanya dan menjualnya sendiri kepada pasaran dengan harga tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000).

Jika pelanggan memilih untuk mewakilkan BIBD, wang tunai hasil penjualan komoditi tersebut hanya akan diperolehi setelah pihak BIBD menjualkan komoditi berkenaan kepada pembekal B dengan mengkreditkan jumlah berkenaan ke dalam akaun pelanggan.

Hasilnya: Pelanggan yang tadinya memerlukan wang tunai sebanyak $10,000 telah memperolehinya apabila dia menjual komoditi yang dimilikinya kepada pembekal secara terus atau melalui Bank sebagai wakilnya yang mana pembekal akan membuat pembayaran secara tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000). Bagi pihak BIBD pula akan memperolehi keuntungan (profit) hasil daripada akad murâbahah (iaitu sebanyak $2,000) dan pembayaran dibuat secara tangguh selama 6 tahun.

(ii) Pembiayaan menggunakan ar-rahn.

Sebagai contoh:

Pelanggan memiliki emas 999.9 sebanyak 10gm dan memerlukan wang tunai. Pelanggan memohon kepada BIBD Ar-Rahnu akan menilai emas pelanggan dan memberikan pinjaman sebanyak 80% daripada nilai pasaran emas semasa.

Sebagai contoh: 1 gram: $68, pelanggan mempunyai 10 gram, BIBD Ar-Rahnu akan memberikan pinjaman 80% daripada nilai 10 gram (10gram x $68 = $680 x 0.8: $544), sebanyak $544 akan dipinjamkan kepada pelanggan.

Tempoh pembiayaan yang diberikan adalah selama 6 bulan (maksima) kadar upah simpan pula adalah sebanyak B$0.95 bagi setiap nilaian B$100.00 emas yang digadai.

Sudah tamat tempoh pembiayaan (6 bulan), pelanggan akan membuat penebusan emas tersebut dengan membayar kembali jumlah yang dipinjamkan hasil gadaian emas tadi dan upah simpan selama enam bulan tersebut. $544 + $5.15 sen bagi setiap bulan x 6 bulan = $31, jumlah keseluruhan perlu dilunaskan selepas tamat ialah $544 + 31 = $575.

Hasilnya: Pelanggan akan memperolehi wang tunai setelah menggadai emas pemilikannya di mana emas tersebut diletakkan di bawah jagaan BIBD Ar-Rahnu sebagai cagaran hutang yang diberikan. Bagi BIBD Ar-Rahnu pula akan menerima yuran pentadbiran dan duit setem pada setiap permohonan gadai dan pembayaran upah simpan (setiap bulan).

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah diketahui bahawa amalan pembiayaan kewangan yang dijalankan oleh institusi-institusi kewangan Islam tidak diasaskan kepada akad hutang yang membawa kepada amalan mengambil riba. Sebaliknya, apa yang lazim dilaksanakan oleh bank-bank Islam adalah memberikan pembiayaan kewangan berasaskan muamalat-muamalat yang tidak ada kaitan langsung dengan muamalat hutang.

Ini menunjukkan bahawa produk-produk dan perkhidmatan institusi kewangan Islam adalah patuh syara‘. Oleh yang demikian, orang ramai tidak perlu risau tentang khidmat-khidmat atau produk-produk yang ditawarkan di bank-bank Islam di Negara Brunei Darussalam kerana pematuhan prinsip syari‘ah diperuntukkan dengan jelas dalam akta-akta yang berkaitan dengan operasi perbankan Islam seperti Syariah Financial Supervisory Order, 2006 (Perintah Penyeliaan Kewangan Syariah, 2006) dan Islamic Banking Order 2008 (Perintah Perbankan Islam 2008).

Tabung Amanah Pekerja (TAP)

Penubuhan Tabung Amanah Pekerja (TAP) adalah selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dihasratkan untuk menampung keperluan ”Hari Tua” rakyat dan penduduk tetap negara ini melalui simpanan secara wajib bagi kegunaan apabila bersara. Petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam 15 Julai 1991 di Balai Singgahsana Istana Nurul Iman:

Satu usaha lagi yang berkaitan dengan kebajikan rakyat, serta selaras dengan perkembangan tenaga manusia, maka Kerajaan Beta akan menubuhkan satu skim kumpulan wang simpanan pekerja.

Penubuhan skim ini antara lain bertujuan, untuk memberikan kemudahan perlindungan sosial, bagi menampung keperluan ‘Hari Tua’ rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang berkhidmat di sektor awam ataupun sektor swasta.

Menurut Peraturan-peraturan Am/Perkhidmatan dan Hal Ehwal Pengurusan Dalam Perkhidmatan Awam, semua kakitangn kerajaan adalah diwajibkan untuk menyimpan lima peratus (5%) daripada gaji pokok, sementara tambahan 5% lagi disumbangkan oleh majikan.

Denda pula boleh dikenakan jika pencaruman gagal dilakukan dan tsabit kesalahan menurut Undang-Undang Negara Brunei Darussalam, Penggal 167, Tabung Amanah Pekerja:

23. Any person who – (b) fails to pay to the Fund within such period as may be prescribed any amount which he is liable under this Act to pay in respect of or on behalf of any employee in any month; shall be guilty of an offence.

Ertinya: 23. Sesiapa yang – (b) gagal untuk membayar kepada Kumpulan Wang Simpanan dalam tempoh yang ditetapkan apa-apa amaun yang dia bertanggung-jawab untuk membayar di bawah Akta ini berkenaan dengan atau bagi pihak mana-mana pekerja dalam mana-mana bulan; adalah melakukan suatu kesalahan.

Di bawah Bab 26 pula menyebutkan jika tsabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua dan selanjutnya denda tidak melebihi $10,000.

Oleh kerana peraturan kerajaan mewajibkan orang-orang yang berkhidmat di sektor awam atau swasta mencarum sebahagian daripada gaji mereka ke dalam simpanan di bawah skim TAP dan pihak majikan juga turut menyumbang sebagai tambahan simpanan pekerjanya, maka orang ramai hendaklah mematuhi peraturan tersebut demi kemashlahatan harta mereka sebagai menampung keperluan di hari tua setelah bersara. Firman Allah:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’: 59)

Peraturan di sebuah negara Islam juga adalah berkait dengan kemashlahatan rakyat bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu:

Ertinya: Tindakan yang diambil oleh imam (ketua pemerintah) ke atas rakyat hendaklah didasari dengan mashlahat.

Asy-Syaikh Ahmad az-Zarqa’ Rahimahullâh menerangkan kaedah ini bermaksud bahawa kelulusan tindak-tanduk pihak berkuasa ke atas rakyat dan keterikatannya ke atas mereka, sama ada mereka mahu atau enggan, adalah tertakluk dan terhenti kepada adanya faedah dan manfaat sama ada dari segi agama atau keduniaan di dalam tindakan tersebut.

Pengendalian wang simpanan TAP disebut dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Amanah Pekerja Board Order, 2016 (Perintah Lembaga Tabung Amanah Pekerja, 2016):

12. (1) The Board shall be the trustee of the Fund and all monies of the Fund may be

(a) deposited in a bank or banks approved by the Board; (b) invested in any of the investments authorised by the Government for the investment of trust money and the Board shall have power to convert the same into cash; or (c) used for the purchase of any property and for the construction of buildings for the purposes of the Board and to let the buildings or part thereof for the purposes of deriving income therefrom and the Board may dispose of all or any part of those property and buildings.

Ertinya: 12. (1) Lembaga (Lembaga Tabung Amanah Pekerja) hendaklah menjadi pemegang amanah Kumpulan Wang Simpanan itu dan semua wang di dalam Kumpulan Wang Simpanan itu boleh – (a) disimpan di bank atau bank-bank yang diluluskan oleh Lembaga; (b) dilabur dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan oleh Kerajaan bagi pelaburan wang amanah dan Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk menukarnya ke tunai; atau (c) diguna untuk membeli apa-apa harta dan pembinaan bangunan bagi maksud-maksud Lembaga dan menyewakan bangunan atau sebahagian daripadanya bagi maksud memperolehi pendapatan daripadanya dan Lembaga boleh melupuskan semua atau mana-mana bahagian harta dan bangunan itu.

Oleh kerana TAP ditubuhkan oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam selaku sebuah kerajaan Islam, sudah tentu ada usaha dan langkah untuk mengendalikan transaksi perniagaannya menurut hukum syara‘. Seandainya diketahui segala transaksinya patuh syara‘, maka orang ramai tidak perlu risau tentang kehalalan simpanan mereka; termasuk caruman pekerja, caruman majikan dan dividen yang diperolehi hasil daripada pelaburan simpanan. Namun seandainya diketahui transaksinya tidak sepenuhnya syar‘i umpamanya pelaburan yang dilakukan bercampur antara sumber halal dan haram, maka simpanan daripada caruman pekerja dan majikan adalah halal digunakan kerana ia merupakan milik penyimpan itu sendiri, manakala dividen jika daripada pelaburan bercampur antara sumber halal dan haram, maka adalah ia harta yang bercampur antara halal dan haram.

Menurut Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn dan Bughyah al-Mustarsyidîn, harta yang tidak diketahui siapa pemiliknya, wajib diserahkan kepada Baitul-mal untuk disalurkan kepada mashlahat orang Islam. Perkara ini juga ada disebutkan dalam Fatwa Mufti Kerajaan, siri 13/2013. Maka harta yang bercampur antara halal dan haram itu bolehlah diserahkan kepada Baitul-mal untuk digunakan pada mashlahat orang Islam keseluruhannya.

Tindakan Menamatkan Penyertaan di Syarikat Insurans Konvensional kerana Takut Riba

Insurans konvensional ialah akad atau kontrak yang mewajibkan penjual insurans (syarikat insurans) membayar sejumlah wang (pampasan) atau membayar secara beransur atau membayar sebarang bayaran pampasan (sebagaimana yang telah dipersetujui) kepada pembeli insurans (pencarum) atau pengambil faedah yang telah disyaratkan, apabila terjadi sesuatu kemalangan yang dilindungi seperti yang dijelaskan dalam akad atau kontrak sebagai imbalan kepada pencarum atas bayaran premium yang telah dijelaskannya kepada syarikat insurans seperti yang ditetapkan.

Berdasarkan perkara ini, adalah jelas bahawa akad insurans konvensional itu adalah ia jenis akad mu‘âwadhah iaitu akad pertukaran jual beli di antara syarikat insurans dan pencarum. Ini menunjukkan bahawa akad insurans adalah berbentuk perniagaan.

Dalam keputusan yang dibuat oleh Akademi Fiqh Islam (Majma‘ al-Fiqh al-Islami) di bawah Liga Muslim Sedunia (Rabithah al-Alam al-Islami) dalam persidangannya yang pertama pada 10 Sya‘ban, 1397 di Makkah al-Mukarramah telah memutuskan pengharaman insurans dan segala jenis-jenisnya sama ada ke atas nyawa, barang-barang perniagaan atau selain itu atas sebab berikut:

1. Akad insurans perniagaan adalah daripada jenis akad mu‘âwadhah iaitu akad pertukaran harta perkumpulan yang mengandungi unsur penipuan kerana pembeli insurans (pencarum) tidak mampu mengetahui semasa membuat akad jumlah yang akan diberi atau diterima. Seorang pencarum mungkin telah membayar wang caruman sekali atau dua kali, kemudian berlaku perkara yang tidak diingini maka pembeli insurans akan mendapat jumlah yang dijanjikan kepadanya oleh syarikat insurans. Namun sekiranya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, pembeli insurans sama sekali tidak akan menerima apa-apa sekalipun dia telah membayar keseluruhan caruman. Demikian juga syarikat insurans tidak mampu untuk menetapkan berapa jumlah yang akan diberi bagi setiap akad. Larangan berjual beli yang mengandungi unsur penipuan ini ada disebut dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli secara rambang (dengan cara melontar batu kerikil ke atas benda yang dijual) dan jual beli yang ada unsur penipuan (yang sifatnya tidak jelas). (Hadits riwayat Muslim)

2. Akad insurans perniagaan adalah akad yang berunsur perjudian kerana mengandungi pertaruhan nasib dalam pertukaran harta, ia boleh menjadi kerugian apabila tidak ada berlaku tuntutan bagi sebarang musibah atau yang menyebab musibah dan dalam perkara yang sama ia boleh menjadi keuntungan tanpa adanya sebarang pertukaran atau dengan pertukaran yang tidak setimpal. Contohnya, pembeli insurans telah membayar wang caruman sekali, kemudian telah berlaku kemalangan. Syarikat insurans akan menghadapi kerugian kerana perlu membayar pampasan keseluruhan harga insurans.

Namun apabila tiada sebarang kemalangan berlaku, syarikat insurans akan memperolehi keuntungan 100% daripada wang caruman yang telah dibayar dengan tiada sebarang pertukaran. Muamalat seumpama ini termasuk dalam kategori judi sebagaimana yang telah dilarang dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

3. Akad insurans perniagaan mengandungi riba al-fadhl dan riba an-nasa’. Apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum atau warisnya atau penerima faedah dalam jumlah yang lebih tinggi daripada wang caruman yang telah dibayar oleh pencarum maka ini adalah riba al-fadhl. Manakala apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum selepas satu masa tertentu maka ini pula adalah riba an-nasa’. Apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum sejumlah harga yang sama dengan carumannya, maka yang berlaku hanyalah riba an-nasa’. Kedua-dua jenis riba ini (al-fadhl dan an-nasa’) adalah haram dalam Islam sepertimana dalil yang telah dikemukakan awal.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Hukum bermuamalat dengan syarikat insurans konvensional seumpama menyimpan duit melalui pembelian polisi-polisi insurans dalam syarikat seperti syarikat AIA (American International Assurance) dan Great Eastern Life serta mengambil faedah daripada hasil penyimpanan duit seperti itu adalah haram kerana mengandungi unsur penipuan, judi dan riba. Faedah daripada hasil penyimpanan duit tersebut wajib disalurkan pada jalan kebajikan umum seperti menyerahkannya ke Baitul-mal.

Tindakan penanya untuk menamatkan serta merta ‘saving insurance’ penanya di syarikat Insurans konvensional seperti AIA dan Great Eastern Life kerana takut jatuh kepada riba adalah langkah yang bertepatan dengan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka jika kamu tidak melakukan (perintah meninggalkan riba), maka yakinlah kamu akan diperangi oleh Allah dan RasulNya. Dan sekiranya kamu bertaubat (daripada memakan riba) maka kamu berhak atas modal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menzalimi (orang lain dengan mengambil harta itu dengan berlebihan) dan kamu pula tidak dizalimi (dengan berkurangnya harta kamu). (Surah al-Baqarah: 279)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12620