Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Produk non-Muslim adakah Produk Syubhah?

Soalan: Ketika ini berlegar di ruang maya terutama Whatsapp dan Facebook berkenaan kenyataan Mufti Brunei tentang penafsiran bahawa semua produk yang dibuat oleh non-Muslim adalah dikategorikan produk syubhah.

Oleh yang demikian, dipohonkan pencerahan dan penjelasan daripada Pehin Mufti mengenai perkara ini.

Jawapan: Syubhah ialah perkara yang tidak jelas halal atau haramnya. Perkara syubhah ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Bashir Radhiallâhu ‘anhu, bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan (begitu juga) sesungguhnya perkara yang haram itu jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhah (tidak jelas status halal dan haramnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menjaga perkara-perkara syubhah itu, maka dia telah dapat menjaga (kesucian) agamanya dan (memelihara) kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara-perkara syubhah maka dia telah terjerumus dalam perkara haram, seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Ketahuilah sesungguhnya larangan Allah (di bumiNya) adalah perkara-perkara maksiat yang diharamkanNya. Ketahuilah sesungguhnya di dalam jasad itu ada mudghah (seketul daging), apabila ia baik maka baiklah jasad itu keseluruhannya dan apabila ia rosak maka rosaklah juga jasad itu keseluruhannya. Ketahuilah, itulah hati. (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika menjelaskan maksud hadits ini berkata bahawa sesuatu itu ada tiga bahagian:

i. Halalnya jelas iaitu tidak tersembunyi lagi kehalalannya, seperti beras, gandum, buah-buahan, zait (minyak), madu, susu binatang yang halal dimakan, telur dan lain-lain daripada jenis makanan. Begitu juga seperti bercakap, melihat, berjalan dan lain-lain daripada jenis perbuatan. Semua ini kehalalannya terang lagi jelas tanpa ada keraguan.

ii. Adapun yang haramnya jelas itu seperti arak, khinzîr, bangkai, air kencing dan darah yang mengalir. Begitu juga seperti zina, berdusta, mengumpat, mengadu domba dan lain-lain.

iii. Manakala syubhah ialah sesuatu yang tidak jelas kehalalannya dan tidak juga jelas keharamannya. Oleh kerana tidak jelas itu, kebanyakan orang tidak mengetahui mengenainya dan hukumnya.

Produk non-Muslim Syubhah?

Menurut pengertian dalam Kamus Dewan, produk ialah sesuatu barang, perkhidmatan dan sebagainya yang dikeluarkan oleh kilang atau ditawarkan oleh institusi dan sebagainya. Oleh itu, dapat difahami bahawa jika disebut produk, ia merangkumi maksud yang pelbagai seperti produk makanan atau minuman yang dihasilkan oleh seseorang atau sesebuah restoran. Ia juga merangkumi produk-produk lain seperti produk kosmetik, pakaian, ubat-ubatan yang dikeluarkan oleh kilang pembuat kosmetik atau pakaian atau farmasi sama ada orang yang menghasilkan produk itu Islam atau bukan Islam (non-Muslim).

Berkaitan dengan perkara produk, terdapat beberapa fatwa yang kita keluarkan untuk menjawab dan menjelaskan kemusykilan orang ramai mengenainya seperti perkara yang berkaitan dengan produk berupa minuman, makanan, pakaian, kosmetik, perubatan, perniagaan dan sebagainya. Kita juga ada memfatwakan perkara yang menyentuh mengenai syubhah khususnya terhadap produk makanan dan minuman.

Dalam memberikan fatwa atau irsyâd hukum kepada orang ramai, setiap penjelasan yang diberikan adalah bergantung kepada permasalahan atau isu yang ditanyakan. Sejauh ingatan kita, tidak pernah kita membuat penjelasan, kenyataan atau ungkapan mahupun tafsiran mengenai soal produk ini secara umum dan muthlaq sebagaimana tular dalam media sosial berkenaan. Teks yang sedang berlegar di ruang maya terutama Whatsapp dan Facebook sebagaimana yang dinyatakan di atas menyatakan tentang hukum produk non-Muslim secara umum. Teks tersebut mungkin sahaja diolah sendiri oleh pengirim mengikut fahamannya sendiri sebab kita sendiri pun berpendapat bahawa ia adalah tidak tepat. Dengan kata lain, kenyataan atau ungkapan sedemikian itu tidak pernah disebut dalam fatwa Mufti Kerajaan Brunei.

Suka juga disebutkan di sini bahawa kita pernah menjawab permasalahan yang hampir sama iaitu khusus mengenai pengendalian restoran oleh orang bukan Islam. Tetapi bukan mengenai produk non-Muslim secara umum. Jika tuan suka mendapatkan penjelasan mengenai perkara serupa ini, tuan bolehlah meneliti dengan merujuk fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan dan dihimpunkan dalam sebuah buku berjudul ‘ISU-ISU PRODUK HALAL’, terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, dalam bahagian ‘Restoran’. Buku tersebut sudah dijual untuk bacaan umum sejak tahun 2007.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12624