Ta‘rîf Perbezaan Agihan Zakat di antara Fakir dan Miskin
Soalan: Majlis Ugama Islam memohon penjelasan ta‘rîf perbezaan di antara fakir dan miskin. Ini bertujuan untuk membezakan agihan zakat di antara ashnâf fakir dan ashnâf miskin yang mana pada masa ini agihan bagi kedua-duanya adalah sama.
Jawapan: Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, ‘âmil-‘âmil, orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf), untuk memerdekakan hamba sahaya, orang-orang berhutang, (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60)
Fakir dan miskin termasuk antara lapan ashnâf yang disebutkan di dalam ayat di atas sebagai golongan yang berhak menerima zakat. Melepaskan kesusahan mereka dalam memenuhi keperluan seharian adalah salah satu peranan utama zakat dalam memperkasa sosio-ekonomi masyarakat secara umumnya.
Ramai yang masih keliru dalam menentukan siapakah orang fakir dan siapakah orang miskin. Ada yang menilai perbezaan kedua-duanya melalui keadaan kesusahan hidup kedua-duanya secara zahir pada pandangan mata, ada pula yang mengukur dari sudut pekerjaan (sama ada bekerja atau tidak) dan berapa jumlah tanggungan di bawahnya, malahan ada pula yang menganggap kedua-duanya adalah sama saja.
Namun pada hakikatnya, kedua-duanya mempunyai definisi tersendiri sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama. Dalam menghuraikan definisi kedua-duanya, para ulama termasuk ulama asy-Syafi‘iyyah tidak lari dari menyebut kifâyah, iaitu kecukupan yang menutupi hajat dan keperluan asasi seseorang yang terdiri daripada makan minum, pakaian, tempat tinggal dan segala yang perlu baginya sesuai dengan keadaan dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya tanpa berlebihan dan tidak pula berkurangan.
Siapakah Orang Fakir?
Adapun definisi orang fakir menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh sepertimana dalam kitabnya al-Umm:
Ertinya: Fakir, hanya Allah jua yang lebih mengetahui, ialah siapa yang tidak mempunyai harta dan tidak mempunyai pekerjaan yang dapat menampung keperluannya, sama ada dia menghidap penyakit (yang tidak membolehkannya untuk bekerja) atau tidak sakit (mempunyai badan yang sihat), sama ada dia meminta-minta ataupun menahan diri daripada meminta-minta.
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh pula dalam kitab al-Muhadzdzab, beliau berkata;
Ertinya: Dan fakir ialah orang yang tidak memiliki apa jua yang dapat menampung kecukupannya.
Dalam kitab al-Majmû‘ menyebutkan bahawa menurut Imam asy-Syafi‘i dan para al-ashhâb Rahimahumullâh mengatakan:
Ertinya: (Fakir) ialah orang yang tidak berkemampuan untuk menampung kecukupannya, tidak (mampu) dari sudut harta dan tidak (juga mampu) dari sudut pendapatan. Para al-ashhâb telah menghuraikannya, maka mereka berkata: “(Fakir) ialah siapa yang tidak mempunyai harta dan tidak mempunyai pendapatan pada asalnya, ataupun mempunyai apa jua sesuatu yang tidak dapat menampung kecukupannya.”
Manakala menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al- Muhtâj:
Ertinya: Fakir ialah sesiapa yang tidak mempunyai harta dan tidak mempunyai pendapatan yang dapat menampung daripada hajatnya (keperluannya).
Secara kesimpulannya orang fakir itu terbahagi kepada tiga keadaan, iaitu:
1. Orang yang tidak memiliki harta dan tidak mempunyai pendapatan sama sekali.
2. Orang yang memiliki harta atau mempunyai pendapatan yang halal dan layak baginya. Namun harta atau pendapatannya ataupun kedua-duanya itu tidak dapat menampung separuh keperluan asas dan hajat untuknya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannnya, iaitu orang-orang yang wajib diberinya nafkah, seperti isteri dan anak-anaknya tanpa berlaku sebarang pembaziran atau pemborosan dan tidak kikir. Ini disebabkan terdapat halangan untuknya mendapatkan penghasilan yang mencukupi kerana sakit atau sebagainya.
3. Orang yang memiliki harta atau mempunyai pendapatan yang tidak layak baginya (maruahnya) atau tidak halal kerana harta yang diperolehi daripada sumber yang haram itu diumpamakan seperti orang yang tidak memiliki harta. Dia termasuk dalam golongan fakir dengan syarat hendaklah dia tidak berkemampuan atau terdapat keuzuran untuknya mendapatkan pekerjaan yang layak dan halal untuknya.
Adapun yang dimaksudkan dengan “keperluan” atau hajat itu ialah seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, barangan asas rumah seperti tilam, bantal dan sebagainya.
Manakala yang dimaksudkan dengan “harta atau pendapatan yang tidak dapat menampung separuh keperluan” itu ialah penghasilan yang kurang dari separuh keperluan yang mencukupi baginya, umpamanya hasil pendapatan seseorang itu hanya dua, tiga atau empat ringgit sahaja sehari, sedangkan keperluan yang mencukupi untuknya dan keluarganya adalah sebanyak sepuluh ringgit sehari.
Bagi orang yang tidak mempunyai pendapatan tetapi mempunyai harta, maksud “harta yang tidak mencukupi” itu ialah harta yang dimilikinya itu tidak akan cukup untuk menampung keperluan hariannya bagi tempoh jangka hayatnya mengikut perkiraan umur yang ghâlib (jangka hayat seseorang pada kebiasaannya iaitu enam puluh tahun qamariyyah). Umpamanya dia memerlukan sepuluh ringgit setiap hari dan jika dibahagikan hartanya itu mengikut umur yang ghâlib, dia hanya mendapat empat ringgit atau kurang daripada empat ringgit pada setiap hari, maka dia masih dinamakan fakir sekalipun hartanya itu berjumlah sampai atau melebihi nishâb zakat. Maka dia mengeluarkan zakat hartanya serta harus pula dia menerima zakat daripada orang lain.
Ini bermakna seseorang yang tidak mempunyai pendapatan, sekalipun dia mempunyai harta sama ada sampai nishâb atau tidak, selama mana harta tersebut tidak memenuhi atau mencukupi separuh daripada keperluannya, dia tetap dianggap sebagai fakir.
Adapun orang yang tergolong dalam ashnâf fakir itu tidaklah disyaratkan hanya kepada orang yang tidak berkeupayaan iaitu orang yang sakit yang tidak berkemampuan untuk mencari pendapatan dan tidaklah semestinya dia meminta-minta kepada orang lain, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membahagi-bahagikan harta zakat kepada orang yang tidak berkeupayaan dan yang berkeupayaan, dan kepada orang miskin yang meminta dan yang tidak meminta sepertimana dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta-minta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (Surah adz-Dzâriyât: 19)
Gambaran orang yang berkeupayaan namun dia tetap dikategorikan sebagai fakir itu ialah:
1. Orang yang sibuk menuntut ilmu agama sehingga tidak ada kelapangan waktu untuk mencari pendapatan, kerana jika dia bekerja akan menghalangnya dan akan terputus daripada pembelajarannya. Berbeza jika kesibukannya itu disebabkan perkara lain yang tidak ada kaitan dengan perkara fardhu Kifayah seperti ibadat-ibadat sunat, maka dia tidak dianggap fakir.
Adapun perbezaan di antara dua kesibukan ini ialah:
i. Kesibukan kerana fardhu Kifayah (ilmu agama) – manfaat daripada kesibukannya ini tidak hanya khusus untuk individu berkenaan, bahkan untuk masyarakat umumnya.
ii. Kesibukan kerana ibadat-ibadat sunat – manfaatnya hanya terhad untuk individu itu sendiri.
2. Orang yang mempunyai keupayaan bekerja namun tidak terdapat pekerjaan yang layak dengan maruahnya dan tidak bersesuaian dengan kepandaiannya atau tidak terdapat sesuatu atau alat yang boleh dipergunakannya dengan kemahirannya. Misalnya seseorang yang mampu bekerja hanya dengan menggunakan keintelektualannya atau kecerdikannya, tetapi tidak terdapat pekerjaan yang sesuai dengannya, ataupun seseorang yang mampu bekerja hanya dengan menggunakan peralatan atau perkakas tetapi dia tidak memilikinya, maka diberikan zakat dengan dibelikan peralatan untuknya bertukang.
Kriteria Fakir
Seseorang itu tidak terhalang daripada dikategorikan sebagai fakir sekalipun dia mempunyai harta sebagaimana berikut:
1. Mempunyai rumah atau tempat yang diperlukannya untuk didiaminya dan yang sesuai untuknya.
2. Mempunyai beberapa helai pakaian yang sesuai sebagai keperluannya sekalipun untuknya berhias pada hari-hari yang disunatkan berhias seperti berhias ketika menyambut Hari Raya atau pada hari Jumaat.
3. Memiliki harta, namun dia terhalang daripada mendapatkannya disebabkan keberadaan hartanya yang jauh daripadanya, iaitu pada kadar dua marhalah iaitu 89.04 kilometer atau lebih. Dalam keadaan ini dia dianggap sebagai orang yang tidak memiliki harta, berbeza jika dia dipinjamkan sejumlah wang yang mencukupi untuknya sampai kepada hartanya itu dan mengambilnya, maka tidaklah dia berhak untuk diberikan zakat bahagian fakir.
4. Memiliki harta, tetapi dia terhalang daripada membelanjakannya seperti berlaku rompakan, kezaliman atau sebagainya.
5. Mempunyai piutang iaitu harta yang dihutangkannya kepada orang lain yang belum sampai tempoh bagi si penghutang untuk melunaskannya dan si pemiutang tidak memiliki harta lain selain harta yang dihutangkannya. Dia berhak menerima zakat ashnâf fakir sehinggalah dia menerima balik bayaran hutang daripada si penghutang.
6. Mempunyai pekerjaan yang tidak layak atau tidak bersesuaian untuk dirinya, sama ada tidak layak dari segi syara‘; iaitu penghasilannya haram atau syubhah dengan syarat terdapat keuzuran untuknya mendapatkan pekerjaan yang halal, seperti tidak ada orang yang mengupahnya bekerja kecuali dengan wang yang haram, atau tidak layak dari segi keadaan atau ‘urf atau kebiasaan di mana disebabkan pekerjaannya itu boleh menjejaskan dan menjatuhkan maruahnya. Maka dia layak diberikan zakat sehinggalah dia berkemampuan mencari pendapatan yang halal.
7. Memiliki barang-barang perhiasan yang diperlukannya untuk berhias pada kebiasaannya, iaitu bagi perempuan yang tidak mempunyai suami. Ini kerana jika dia mempunyai suami, nescaya tidaklah dia layak menerima zakat kerana adanya nafkah daripada suaminya. 8. Mempunyai harta tidak alih di mana pendapatan atau nilainya masih tidak mencukupi untuk keperluan hidupnya, maka pada kedudukan begini dia tetap dianggap fakir atau miskin menurut pendapat yang ashah. Dia berhak mendapat zakat sepenuhnya, berbeza jika harta tersebut mempunyai nilai yang mencukupi untuk menampung keperluannya jika dijual, maka perlulah dia menjualnya dan dia tidak berhak mendapat zakat.
9. Mempunyai pendapatan hasil daripada meminta-minta, kerana perbuatan meminta-minta bukanlah dianggap sebagai sebuah profesi atau pekerjaan, berbeza jika dia mempunyai kekuatan tubuh badan untuk mencari pekerjaan, maka tidaklah dinamakan dia fakir.
Siapakah Orang Miskin?
Menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh dalam kitab al-Umm, definisi miskin sepertimana menurut beliau:
Ertinya: Dan miskin ialah siapa yang ada padanya (memiliki) harta atau pekerjaan (tetapi) ia tidak dapat menampung keperluannya dan tidak mengayakannya, sama ada dia seorang yang meminta-minta atau tidak meminta-meminta.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan miskin ialah siapa yang mampu (memiliki) ke atas harta atau pendapatan halal lagi sesuai yang dapat menampung kecukupannya (keperluannya) dan kecukupan orang yang ditanggungnya daripada makanan dan selainnya dari apa yang telah lalu (telah disebutkan) dan tidak mencukupinya.
Manakala menurut Imam al-khathib asy-Syarbini Rahimahullâh sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan Miskin ialah siapa yang mampu (memiliki) ke atas harta atau pendapatan yang dapat menampung kecukupannya dan tidak mencukupinya.
Dapat disimpulkan, bahawa miskin ialah orang yang memiliki sedikit harta atau mempunyai pekerjaan yang halal dan layak serta sesuai baginya, akan tetapi belum mencukupi sepenuhnya untuk menampung keperluan yang layak untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya daripada makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Harta atau pendapatannya itu hanya cukup untuk menampung separuh daripada keperluan hariannya. Seperti orang yang memerlukan wang sebanyak sepuluh ringgit sehari, namun pendapatannya sehari tidak kurang daripada lima ringgit tetapi tidak sampai sepuluh ringgit.
Adapun jika jumlah harta atau penghasilan tersebut melebihi kadar nishâb zakat, namun tidak sampai pada tahap mencukupi keperluan, dia tetap berhak menerima zakat, kerana tahap keperluan harian yang mencukupi bagi setiap individu itu adalah berbeza-beza, sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn:
Ertinya: Kadang-kadang orang yang memiliki wang sebanyak seribu dirham itu dia adalah orang miskin dan kadang-kadang orang yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebilah kapak dan seutas tali itu dia adalah orang kaya.
Perbezaan di antara Fakir dan Miskin
Umum menyangka dan mendakwa bahawa fakir adalah miskin dan miskin adalah fakir, kedua-duanya adalah sama dan tidak mempunyai sebarang perbezaan dari segi kesusahan, keperluan dan hak mereka dalam mendapat zakat. Namun jika dilihat dengan teliti, terdapat perbezaan yang jelas dan ketara di antara dua golongan ini, iaitu seperti berikut:
1. Fakir: Tidak memiliki sesuatu atau tidak memiliki sumber rezeki yang boleh menampung keperluannya.
Miskin: Memiliki sesuatu yang boleh menampung keperluannya, namun harta yang dimiliki itu tidak menjadikan dirinya dikategorikan sebagai orang kaya dan tidak juga menyebabkan dia meminta-minta, kemiskinannya tidak disedari oleh orang ramai sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Orang miskin itu bukan hanya orang yang berkeliling (meminta-minta) kepada orang lain lalu dia dikembalikan (pulang) oleh sesuap dan dua suap makanan dan sebiji dan dua biji kurma, akan tetapi orang miskin itu (sebenarnya) ialah orang yang tidak mempunyai harta yang mencukupinya (cukup untuk menampung keperluannya), sedang orang lain tidak menyedari atau mengetahui akan keadaannya (kerana kesabarannya), maka diberikan sedekah ke atasnya (berhak mendapat zakat) dan dia (dengan kesabarannya itu) tidak pula meminta-minta kepada orang lain. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Fakir: Memiliki harta atau hasil pendapatan atau kedua-duanya yang tidak dapat menampungi separuh daripada keperluan asasi untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya. Jumlah hartanya itu tidak pun mencapai separuh (kurang dari lima puluh peratus) dari had keperluan harian.
Miskin: Memiliki harta atau hasil pendapatan atau kedua-duanya untuk menampungi keperluan asasi dirinya dan orang-orang yang wajib diberinya nafkah. Jumlah harta yang dimiliki mencapai separuh atau lebih dari separuh keperluannya iaitu mempunyai pendapatan yang tidak kurang dari lima puluh peratus dari jumlah yang diperlukan, namun tidak juga mencapai seratus peratus untuk mencukupi keperluan harian sepenuhnya.
3. Keadaan hidup orang miskin adalah lebih baik daripada keadaan hidup orang fakir kerana orang miskin masih ada memiliki sesuatu sebagai sumber rezeki yang dengannya dapat menampung sebahagian besar kecukupannya, seperti memiliki perahu atau kapal sebagai sumber mata pencariannya untuk menangkap ikan atau memiliki alat-alat untuk bertukang dan sebagainya, namun ia masih tidak mencukupi. Berbeza halnya dengan orang fakir, mereka tidak memiliki atau jika memiliki cuma dalam jumlah yang amat sedikit.
Perkara orang miskin yang memiliki kapal ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Adapun kapal (yang aku lubangi) itu adalah kepunyaan orang-orang miskin. (Surah al-Kahf: 79)
4. Keadaan fakir adalah lebih susah dengan keperluannya lebih mendesak berbanding miskin, kerana itulah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mendahulukan fakir daripada miskin dalam hak penerimaan zakat sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin. (Surah at-Taubah: 60)
Jika dilihat kepada ayat ini, perkataan fakir berada di awal urutan susunan bagi lapan ashnâf yang berhak menerima zakat. Menurut al-Imam ar-Razi Rahimahullâh dalam kitab Tafsîr al- Fakhr ar-Razi, urutan susunan ini menunjukkan bahawa keadaan fakir itu adalah lebih susah dan lebih utama untuk diberi perhatian berbanding miskin disebabkan hajatnya yang lebih mendesak untuk menampung keperluannya. Pada zahir, memang apa jua yang lebih penting, itulah yang didahulukan.
Disebutkan juga dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa Baginda pernah bermohon untuk dihindarkan daripada kefakiran. Ini menunjukkan bahawa fakir itu adalah lebih susah dan lebih memerlukan, berbanding miskin. Diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung denganMu daripada kefakiran, kekurangan (amalan baik yang sedikit), kehinaan dan aku berlindung denganMu daripada menzalimi dan dizalimi. (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12628
