Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Alkohol Sintetik Sebagai Bahan Pelarut

Soalan: Sukacita Dipohonkan fatwa mengenai penggunaan alkohol sintetik sebagai bahan pelarut dalam proses pengekstrakan Astaxanthin daripada Microalgae Haemotococcus Pluvialis bagi menghasilkan produk Astabio AR10 (10% Astaxanthin).

Produk Astabio AR10 digunapakai oleh Syarikat Simpor Pharma Sdn. Bhd. untuk menghasilkan produk SP Naturals Astaxanthin + Olive Oil + Vitamin E Softgels (suplemen kesihatan).

Jawapan: Pada asalnya alkohol atau dikenali sebagai etil alkohol atau etanol dihasilkan dengan cara penapaian ragi karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). Ia merupakan isi kandungan aktif minuman keras.

Alkohol juga boleh dihasilkan dengan cara sintetik atau tiruan melalui penghidratan etilina (hydration of ethylene). Kebiasaannya semua alkohol sintetik yang dihasilkan daripada etilina bersumber daripada petroleum, gas alami dan arang.

Alkohol Sintetik

Menurut penjelasan mengenai etanol dalam perbincangan bersama agensi-agensi yang berkaitan, alkohol atau etanol sintetik dihasilkan melalui air dan etilina yang dipanaskan sehingga menjadi wap dan dicampur di dalam reaktor yang berisi asid fosforik dengan tekanan udara yang tinggi. Ini akan menghasilkan etanol dalam bentuk wap. Seterusnya campuran tadi akan melalui proses penyejukan sebelum ditapis. Proses penyejukan akan menghasilkan etilina dalam bentuk wap, air dan etanol. Selepas itu etilina ditapis dan diasingkan dari air dan etanol.

Menurut The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language, alkohol sintetik secara meluas digunakan sebagai bahan pelarut dan digunakan dalam minuman dan ubat-ubatan.

Kedudukan Alkohol Sintetik Menurut Syara‘

Pada dasarnya alkohol yang dihasilkan melalui fermentation atau penapaian yang menghasilkan khamr atau arak dihukumkan najis dan haram digunakan. Apa-apa saja yang bersumber daripada arak termasuk alkohol yang diekstrak daripada arak berkenaan juga dihukumkan najis. Berlainan dengan alkohol sintetik. Ia bukan diambil daripada penghasilan arak. Oleh yang demikian, alkohol sintetik dihukumkan suci (tidak najis). Walau bagaimanapun ia boleh memudharatkan jika ia diminum seperti racun. Dalam The New Encyclopaedia Britannica ada menyebutkan bahawa etanol adalah racun yang memberi kesan kepada sistem saraf utama.

Mengenai hukum pengambilan racun, asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj berkata:

Ertinya: Dan haram memakan sesuatu yang memudharatkan badan atau akal (walaupun suci) seperti batu, tanah, kaca dan racun. Seperti candu, iaitu pohon popi kerana ia memudharatkan dan berkemungkinan ia boleh membunuh. Firman Allah Ta‘ala: {Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan}. Akan tetapi halal memakannya dalam kadar yang sedikit untuk berubat dengannya jika dengan kadar itu pada kebiasaannya selamat digunakan (tidak membawa bahaya) dan ada keperluan kepadanya sebagaimana disebutkan dalam kitab asal ar- Raudhah.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh juga menyebutkan dalam Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan tidak haram (memakan) sesuatu yang suci kecuali (yang diharamkan memakan sesuatu yang suci itu ialah) seperti batu, tanah…..dan racun walaupun sedikit kecuali bagi sesiapa yang (racun) tidak memudharatkannya.ُُ

Asy-Syaikh asy-Syarwani Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh di atas berkata:

Ertinya: Dan katanya (al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh): “(Kecuali bagi sesiapa yang (racun itu) tidak memudharatkannya) iaitu (tidak memudharatkan memakan) sedikit daripadanya. Adapun jika banyak maka adalah haram (memakannya).”

Berdasarkan penjelasan di atas, maka alkohol sintetik yang mudharatnya sama seperti racun dan candu boleh memudharatkan badan dan akal. Bahkan berkemungkinan boleh membawa maut itu walaupun suci, adalah haram digunakan. Akan tetapi ia boleh menjadi halal jika digunakan dalam kadar yang sedikit jika dengan kadar itu kebiasaannya selamat digunakan dan ada keperluan pada menggunakannya seperti tujuan perubatan dan seumpamanya.

Penggunaan Alkohol dalam Makanan dan Minuman

Penggunaan apa jua jenis alkohol sama ada alkohol sintetik atau alkohol yang bersumber daripada minuman yang memabukkan seperti arak ke dalam produk-produk makanan dan minuman adalah ditegah, sekalipun alkohol yang digunakan itu sedikit, tidak memabukkan atau tidak mendatangkan kemudharatan zahir kepada orang yang memakan atau meminum sesuatu produk tersebut.

Larangan memanfaatkan alkohol yang bersumber daripada minuman yang memabukkan adalah jelas, sementara alkohol sintetik pula, sekalipun ia bukan najis dan penggunaannya secara luaran dibolehkan, tetapi kerana ia sama seperti racun boleh memudharatkan, maka penggunaannya ke dalam produk-produk makanan dan minuman adalah ditegah, berdasarkan prinsip sadd adz-dzarâ’i (menutup pintu-pintu yang membawa keburukan). Ini antara lain bertujuan memilih sikap berhati-hati dalam perkara makan dan minum serta juga mengambil kira pendapat ulama yang mengharamkan penggunaan alkohol secara muthlaq walau dari apa jua proses ia dihasilkan. Larangan juga bertujuan untuk menutup ruang serapat-rapatnya terhadap ekploitasi penggunaan alkohol dalam makanan dan minuman. Orang awam, dengan ini tidaklah akan terkeliru dengan anggapan bahawa terdapat jenis alkohol yang boleh dimakan atau diminum.

Di samping itu, turut difahami bahawa penggunaan alkohol dalam makanan dan minuman bukanlah sesuatu yang amat mendesak atau sangat-sangat diperlukan. Tanpa menggunakannya pun ia tidak akan menjejaskan keperluan harian manusia mahupun industri makanan atau minuman.

Penggunaan Alkohol Sintetik sebagai Pelarut (Solvent)

Dalam persoalan yang ditanyakan, alkohol sintetik adalah sebagai bahan pelarut dalam proses pengekstrakan Astaxanthin daripada Microalgae Haemotococcus Pluvialis bagi menghasilkan produk Astabio AR10 (10% Astaxanthin). Produk Astabio AR10 digunapakai oleh Syarikat Simpor Pharma Sdn Bhd untuk menghasilkan produk SP Naturals Astaxanthin + Olive Oil + Vitamin E Softgels (suplemen kesihatan).

Menurut maklumat yang diperolehi dalam perbincangan mengenai kedudukan etanol sintetik dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Astaxanthin ialah nama bahan yang diekstrak daripada Microalgae Haemotococcus Pluvialis yang berwarna merah (reddish pigment) dan berbentuk serbuk. Manakala Microalgae Haemotococcus Pluvialis ialah sejenis rumpai air (algae).

Proses pengekstrakan Astaxanthin ialah dengan mencampurkan etanol sintetik ke dalam algae. Proses mencampurkan alkohol sintetik ke dalam algae dan pengekstrakan tersebut dilakukan sebanyak tiga kali. Setelah selesai pengekstrakan kali ketiga, campuran tersebut dimasukkan ke dalam mesin khas atau ketuhar dengan suhu tinggi yang ditentukan untuk proses pengewapan etanol (ethanol evaporation). Proses ini adalah untuk menghilangkan etanol. Ethanol evaporation akan menghilangkan etanol yang terdapat dalam Astaxanthin sehingga kadar 0%.

Berdasarkan penjelasan mengenai proses pengekstrakan Astaxanthin di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa penggunaan alkohol sintetik adalah hanya sebagai bahan pelarut untuk pengekstrakan salah satu bahan dalam produk Astabio AR10 sahaja bukan sebagai kandungan akhir atau campuran kepada produk Astabio AR10 yang merupakan produk suplemen kesihatan. Oleh yang demikian, penggunaan alkohol sintetik dalam proses pengekstrakan Astaxanthin tersebut adalah harus. Akan tetapi dengan syarat tiada sisa langsung alkohol sintetik pada Astaxanthin tersebut. Ini kerana jika masih terdapat sisa alkohol sintetik padanya setentunya ia akan menjadi sebahagian bahan dalam produk akhir Astabio AR10 atau produk-produk lain yang menggunakan Astaxanthin berkenaan, maka ia adalah racun yang boleh memudharatkan kepada pengguna suplemen kesihatan tersebut sebagaimana yang dijelaskan di atas mengenai kedudukan etanol atau alkohol dan larangan penggunaannya dalam produk makanan dan minuman.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12637