Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Alkursi: Adakah Memenuhi Kesempurnaan Menunaikan Sembahyang Duduk Menggunakan Kerusi?

Soalan: Syarikat Tahmid Enterprise telah merekacipta Alkursi iaitu kerusi untuk membantu kalangan jemaah warga emas dan kurang upaya menunaikan ibadat sembahyang.

Syarikat ini berhasrat untuk memperkenalkan Alkursi ke masjid-masjid dan individu-individu di Negara Brunei Darussalam. Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan dan nasihat mengenainya.

Jawapan: Merujuk kepada maklumat yang dilampirkan, Alkursi merupakan kerusi yang direka cipta bagi menampung keperluan mereka yang bersembahyang menggunakan kerusi. Ia mempunyai ruang yang selesa untuk berdiri, ruku‘ dan sujud dengan meletakkan dahi di atas alat atau tempat berupa meja yang disediakan. Persoalan yang timbul, adakah sembahyang menggunakan Alkursi tersebut menepati cara sembahyang yang disyariatkan?

Oleh kerana menunaikan sembahyang menggunakan kerusi sangat berkait dengan rukun berdiri, duduk, ruku‘ dan sujud, maka diterangkan dahulu bagaimana pelaksanaan rukun-rukun tersebut sebagaimana yang disyariatkan berdasarkan penjelasan ulama fiqh mazhab asy-Syafi‘i dalam kitab-kitab mereka seperti Nihâyah al-Muhtâj, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj, Mughnî al-Muhtâj, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn, Bujairimi ‘ala al-Khathib dan Fath al- ‘Allâm.

Rukun Berdiri dan Isu Berkaitan

Berdiri atau qiyâm merupakan rukun dalam sembahyang fardhu. Ia wajib dilakukan bagi orang yang mampu berdiri. Syarat bagi rukun berdiri itu ialah dengan menegakkan atau meluruskan sendi dan tulang belakang. Jika berdiri dengan badan membengkok ke depan atau ke belakang hingga sampai ke tahap kedudukan sekurang-kurang perbuatan ruku‘ atau berdiri dengan badan condong ke kanan atau ke kiri yang mana menurut ‘urf tidak dinamakan berdiri, maka tidak sah. Jika tidak mampu berdiri tegak seumpama berdiri seperti orang yang ruku‘ disebabkan tua atau penyakit, maka wajib berdiri begitu semampunya dan wajib dia melebihkan tunduknya apabila ruku‘ jika mampu bagi tujuan membezakan 2 rukun iaitu rukun berdiri dan rukun ruku‘.

Tidak Mampu Berdiri Jika seseorang tidak mampu berdiri kerana takut kecelakaan, bertambah sakit, mendatangkan kesusahan yang berat, pening kepala atau seumpamanya, maka dia harus menunaikan sembahyang secara duduk dengan apa cara sekalipun sama ada dengan cara iftirâsy (seperti duduk tahiyyat awal), tawarruk (seperti duduk tahiyyat akhir), duduk berunjur kaki atau seumpamanya sekalipun duduk di atas kerusi. Walau bagaimanapun, terdapat cara duduk yang afdhal mengikut keutamaannya iaitu duduk secara iftirâsy adalah lebih baik daripada duduk bersila kerana duduk secara iftirâsy itu memang disyariatkan di dalam sembahyang. Kemudian duduk bersila adalah lebih baik daripada duduk tawarruk. Namun terdapat juga cara duduk yang makruh iaitu duduk secara iq‘a’ iaitu duduk di atas dua pangkal paha (punggung) dengan betis dan lutut tegak ke atas kerana hikmah ia dilarang ialah duduk al-iq‘a’ itu adalah seperti duduk anjing dan monyet.

Pahala orang yang sembahyang duduk kerana keuzuran adalah tidak berkurangan daripada pahala orang yang sembahyang berdiri.

Jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, dia harus menunaikan sembahyang dengan cara berbaring. Keharusan duduk atau berbaring ganti bagi berdiri itu adalah berdasarkan hadits daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya juga maka dengan cara baring mengiring. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang yang telah ditunaikan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang setelah seseorang itu mampu berdiri apabila keuzurannya sudah tidak ada lagi.

Maka dalam perkara berdiri ini, orang yang mampu berdiri adalah wajib dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Manakala orang yang mempunyai keuzuran untuk berdiri seperti yang telah disebutkan adalah harus mengerjakan sembahyang fardhu itu secara duduk dengan apa sahaja cara, sekalipun di atas kerusi.

Rukun Ruku‘

Sekurang-kurang perbuatan ruku‘ bagi sembahyang orang berdiri ialah membongkokkan badan dalam kadar sampai dua tapak tangan ke dua lutut. Ruku‘ yang sempurna pula ialah membongkokkan badan dengan menjadikan belakang dan tengkuknya lurus seperti sekeping papan serta meluruskan betis dan paha sambil dua tapak tangan memegang dua lutut dengan menjarangkan anak-anak jari.

Ruku‘ Orang Sembahyang Duduk Bagi orang yang mempunyai keuzuran berdiri, dia harus melakukan ruku‘ secara duduk. Sekurang-kurang ruku‘ bagi orang yang sembahyang duduk ialah dahinya hendaklah bertentangan dengan dua lutut kakinya. Ruku‘ yang sempurna ialah dahinya hendaklah bertentangan dengan tempat sujudnya.

Rukun Sujud

Sujud dilakukan dua kali di dalam setiap rakaat. Sekurang-kurang sujud ialah meletakkan sebahagian dahi di atas tempat sembahyang. Diwajibkan juga meletakkan tujuh anggota sujud (sebahagian dahi terbuka, dua tapak tangan, dua lutut dan jari-jari dua kaki) sekaligus ke tempat sembahyang dalam kadar thuma’ninah. Demikian juga wajib meletakkan imbangan berat kepala di tempat sujud. Begitu juga wajib tankîs (menonggeng) iaitu meninggikan sekeliling bahagian punggung dari kepala dan dua bahunya.

Sekiranya seseorang tidak mampu sujud secara menonggeng melainkan dengan meletakkan dahi di atas sesuatu alat seperti bantal, maka wajib dia melakukan sedemikian untuk membolehkan dia sujud secara menonggeng. Jika masih tidak membolehkannya sujud secara menonggeng, maka hukum meletakkan dahi di atas sesuatu alat seperti bantal dan sebagainya untuk sujud adalah sunat dan tidak wajib kerana dengan berbuat demikian masih tidak membantunya untuk menghasilkan sujud secara menonggeng, maka tiada faedah dia meletakkan dahinya itu. Malah memadai dia sujud dengan melakukan tunduk semampunya. Hal ini disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan jika dia tidak mampu (sujud dengan meninggikan punggung dari kepala) melainkan dengan meletakkan (dahi di atas alat) seperti bantal, maka dia wajib (melakukan sedemikian), jika boleh menghasilkan tankîs (menonggeng) dan jika tidak dapat (menonggeng), sunat (meletakkan dahi di atas alat tersebut) dan tidak wajib kerana tidak dapat menghasilkan maksud sujud (menonggeng/meninggikan punggung dari kepala) pada ketika itu. Ini berbeza dengan apa yang disebut dalam (kitab) asy-Syarh ash-Shaghîr yang menyatakan hukum (sujud menonggeng) adalah wajib secara muthlaq. Adapun kewajipan berpegang atau bersandarkan kepada sesuatu yang mana dengannya boleh dia berdiri kerana dengan berpegang atau bersandarkan kepada sesuatu itu boleh membantunya berdiri, berbeza di sini (dalam hal meletakkan dahi di atas alat) jika tidak membantu sujud (secara menonggeng/meninggikan punggung dari kepala), maka tiada faedah meletakkan dahi pada alat tersebut.

Cara Sembahyang Menggunakan Kerusi Mengikut Keadaan Tertentu Orang yang menunaikan sembahyang menggunakan kerusi pada kebiasaannya ada beberapa keadaan iaitu sama ada dia:

1. Mampu berdiri, mampu ruku‘ tetapi tidak mampu untuk sujud ke lantai. Berdiri dengan betul merupakan sebahagian rukun dalam sembahyang. Orang yang mampu berdiri jika tidak melaksanakannya, boleh menyebabkan sembahyang menjadi batal. Antara rukun yang disyaratkan ditunaikan secara berdiri itu ialah takbîratul-ihrâm berserta niat, membaca surah al-Fâtihah, ruku‘ dan i‘tidâl.

Oleh itu, seseorang yang mampu berdiri dan mampu ruku‘ dalam keadaan berdiri, tetapi tidak mampu sujud ke lantai, maka dia wajib berdiri bermula ketika takbîratul-ihrâm sehingga sampai waktu untuk duduk di antara dua sujud kerana berdiri itu adalah perkara rukun dalam sembahyang. Jika orang yang mampu berdiri ini melakukan takbîratul-ihrâm dan membaca surah al-Fâtihah dalam keadaan duduk, maka tidak sah sembahyangnya kerana meninggalkan rukun berdiri.

Seterusnya, orang yang mampu berdiri wajib melakukan ruku‘ secara berdiri. Ruku‘ yang sempurna secara berdiri ialah membongkokkan badan dengan menjadikan belakang dan tengkuknya lurus seperti sekeping papan serta meluruskan betis dan paha sambil dua tapak tangan memegang dua lutut dengan menjarangkan anak-anak jari. Sekurang-kurang perbuatan ruku‘ bagi sembahyang orang berdiri pula ialah membongkokkan badan pada kadar sampai dua tapak tangan ke dua lutut.

Setelah ruku‘ secara berdiri, orang yang mampu berdiri hendaklah melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu berdiri dengan betul.

Bagi keadaan orang yang tidak mampu sujud dengan meletakkan dahi ke lantai dan tidak mampu untuk tunduk menonggeng (tankîs) iaitu meninggikan punggung dari kepala dan bahunya, cara sujud pertamanya ialah dengan melakukan perbuatan ruku‘ ganti bagi sujud secara berdiri. Dia hendaklah melakukan sujud pertamanya dengan melebihkan tunduknya daripada had ruku‘ yang sempurna kerana perbezaan di antara ruku‘ dan sujud adalah wajib bagi orang yang mampu. Jika tidak mampu melakukan lebih rendah dari had ruku‘ yang sempurna itu, maka dia hendaklah mengulangi had ruku‘ tersebut sebagai ganti bagi sujud. Demikian juga, jika dia hanya mampu melakukan sekurang-kurang had ruku‘ iaitu membongkokkan badan dalam kadar sampai dua tapak tangan ke dua lutut, tetapi tidak mampu lebih rendah daripada itu, maka hendaklah dia mengulangi perbuatan ruku‘ dengan had yang sama ganti bagi sujud secara berdiri.

Dalam keadaan tersebut, apabila seseorang itu selesai melakukan sujud pertama dalam keadaan berdiri, maka ketika itulah dia duduk di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud. Setelah itu, adalah memadai dia melakukan sujud kedua dalam keadaan dia duduk (bukan secara berdiri) sebagaimana menurut pendapat azh-zhâhir dalam mazhab asy-Syafi‘i. Ini kerana sujud keduanya dalam keadaan dia duduk itu lebih dekat dengan tempat sujud. Sujud kedua dalam keadaan duduk di atas kerusi itu dilakukan dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah menggunakan isyarat dengan menundukkan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka bayangkan melakukannya dengan hati.

Contoh cara mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh menggunakan kerusi bagi orang dalam keadaan mampu berdiri, mampu ruku‘ tetapi tidak mampu untuk sujud di lantai ialah seperti berikut:

- Takbîratul-ihrâm berserta niat sembahyang fardhu Shubuh dilakukan dalam keadaan berdiri kemudian membaca surah al-Fâtihah juga dalam keadaan berdiri.

- Kemudian ruku‘ dalam keadaan berdiri. Cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan dengan menjadikan belakang dan tengkuknya lurus seperti sekeping papan serta meluruskan betis dan paha sambil dua tapak tangan memegang dua lutut dengan menjarangkan anak-anak jari. Sekurang-kurang ruku‘ itu ialah dengan membongkokkan badan pada kadar sampai dua tapak tangan ke dua lutut.

- Selepas itu, i‘tidâl maksudnya kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu berdiri dengan betul.

- Lalu, sujud pertama dengan mengulangi perbuatan ruku‘ secara berdiri. Dalam hal mengulangi perbuatan ruku‘ secara berdiri ganti bagi sujud ini, dia hendaklah melebihkan tunduknya daripada had ruku‘ kerana perbezaan di antara ruku‘ dan sujud adalah wajib bagi orang yang mampu. Jika dia tidak mampu melakukan lebih rendah daripada had ruku‘, maka dia hendaklah mengulangi had ruku‘ yang sama sebagai ganti bagi sujud dalam keadaan berdiri.

- Kemudian, duduk di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud.

- Kemudian sujud kedua dilakukan dalam keadaan duduk (bukan secara berdiri) sebagaimana menurut pendapat azh-zhâhir dalam mazhab asy-Syafi‘i. Sujud kedua dalam keadaan duduk di atas kerusi itu dilakukan dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah menggunakan isyarat dengan menundukkan leher dan kepala, dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka bayangkan melakukannya dengan hati.

- Setelah itu hendaklah berdiri semula untuk membaca surah al-Fâtihah bagi rakaat kedua.

- Kemudian, ruku‘ dalam keadaan berdiri.

- I‘tidâl iaitu berdiri dengan betul dan membaca do‘a qunut dalam keadaan berdiri.

- Seterusnya sujud pertama dengan mengulangi perbuatan ruku‘ secara berdiri. Sujudnya hendaklah lebih rendah daripada had ruku‘. Jika tidak mampu, hendaklah mengulangi had ruku‘ yang sama ganti bagi sujud dalam keadaan berdiri.

- Seterusnya duduk di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud.

- Kemudian sujud kedua dilakukan dalam keadaan duduk dengan membongkokkan badan semampunya, atau jika tidak mampu, dengan melakukan isyarat semampunya.

- Kemudian duduk betul kembali di atas kerusi untuk membaca tahiyyat akhir, tasyahhud, selawat dan salam.

2. Mampu berdiri tetapi tidak mampu ruku‘ dan tidak mampu sujud di lantai.

Jika seseorang mampu berdiri, tetapi tidak mampu melakukan had sekurang-kurang ruku‘ iaitu membongkokkan badan pada kadar sampai dua tapak tangan ke dua lutut dan tidak mampu melakukan sujud di lantai, maka dia wajib berdiri ketika takbîratul-ihrâm, ketika melakukan ruku‘ dan sujud dengan membongkokkan tulang belakang semampunya sekira-kira kadar tangan tidak sampai memegang lututnya. Jika tidak mampu membongkokkan tulang belakangnya, maka memadai dia tunduk menggunakan leher dan kepala dan diwajibkan melebihkan tunduk bagi sujud daripada tunduk bagi ruku‘. Jika tidak mampu juga, maka hendaklah dia mengisyaratkan ruku‘ dan sujud dengan menggunakan kelopak mata tanpa perlu ada perbezaan di antara ruku‘ dan sujud. Jika itu pun dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggambarkan perbuatan ruku‘ dan sujud pertama itu di dalam hati sahaja. Dalam perkara ini rukun berdiri wajib dilaksanakan. Dia tidak boleh duduk melainkan setelah sampai masa untuk duduk di antara dua sujud.

Dalam keadaan tersebut, apabila seseorang itu selesai melakukan sujud pertama dalam keadaan berdiri dengan menundukkan tulang belakang semampunya atau jika tidak mampu, dengan melakukan isyarat semampunya. Kemudian dia melakukan duduk di antara dua sujud di atas kerusi, setelah itu adalah memadai dia melakukan sujud kedua dengan isyarat dalam keadaan dia duduk (bukan secara berdiri) sebagaimana menurut pendapat azh-zhâhir dalam mazhab asy-Syafi‘i. Ini kerana sujud keduanya dalam keadaan dia duduk itu lebih dekat dengan tempat sujud. Sujud kedua dalam keadaan duduk di atas kerusi itu dilakukan dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah menggunakan isyarat dengan menundukkan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian, maka memadai dia bayangkan melakukannya dengan hati.

Contoh cara mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh menggunakan kerusi bagi orang yang mampu berdiri tetapi tidak mampu ruku‘ dan tidak mampu sujud di lantai ialah seperti berikut:

- Takbîratul-ihrâm berserta niat sembahyang fardhu Shubuh dan bacaan surah al- Fâtihah adalah dilakukan dalam keadaan berdiri.

- Kemudian ruku‘ dalam keadaan berdiri dengan membongkokkan tulang belakang pada kadar yang dia mampu. Jika tidak mampu, maka memadai dia tunduk menggunakan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga, maka tunduk secara isyarat mata.

- I‘tidâl maksudnya kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu berdiri dengan betul.

- Kemudian melakukan sujud pertama dengan mengulangi perbuatan ruku‘ secara berdiri. Bongkok badannya untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada had ruku‘ kerana perbezaan di antara ruku‘ dan sujud adalah wajib bagi orang yang mampu melakukannya. Jika tidak mampu, hendaklah mengulangi had ruku‘ yang sama ganti bagi sujud dalam keadaan berdiri.

- Seterusnya, duduk di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud.

- Sujud kedua memadai dilakukan dalam keadaan duduk (bukan secara berdiri) sebagaimana menurut pendapat azh-zhâhir dalam mazhab asy-Syafi‘i. Sujud kedua dalam keadaan duduk di atas kerusi itu dilakukan dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah menggunakan isyarat dengan menundukkan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka bayangkan melakukannya dengan hati.

- Setelah itu berdiri betul semula untuk membaca surah al-Fâtihah pada rakaat kedua.

- Ruku‘ dalam keadaan berdiri.

- I‘tidâl iaitu berdiri dengan betul dan membaca do‘a qunut dalam keadaan berdiri.

- Seterusnya melakukan sujud pertama dengan mengulangi perbuatan ruku‘ secara berdiri sebagaimana dalam rakaat pertama.

- Kemudian duduk di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud.

- Seterusnya melakukan sujud kedua dalam keadaan duduk dengan membongkokkan badan semampunya atau jika tidak mampu, dengan melakukan isyarat semampunya.

- Setelah itu, duduk betul di atas kerusi untuk membaca tahiyyat akhir, tasyahhud, selawat dan salam.

3. Tidak mampu berdiri, tidak mampu ruku‘ dalam keadaan berdiri dan tidak mampu untuk sujud.

Orang yang tidak mampu berdiri kerana takut kecelakaan, bertambah sakit, mendatangkan kesusahan yang berat, pening kepala atau seumpamanya, harus sembahyang secara duduk dengan apa sahaja cara, sekalipun di atas kerusi. Dia harus memasang niat, mengangkat takbiratul-ihrâm, membaca surah al-Fâtihah, ruku‘ dan i‘tidâl dalam keadaan duduk. Sekurang-kurang ruku‘ orang yang sembahyang duduk ialah dahinya hendaklah bertentangan dengan dua lutut kakinya. Ruku‘nya yang sempurna ialah dahinya hendaklah bertentangan dengan tempat sujudnya. Kemudian dia hendaklah melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu duduk dengan betul. Manakala sujudnya jika tidak mampu untuk meletakkan dahi ke lantai dan tidak mampu untuk tunduk menonggeng (tankîs) iaitu meninggikan punggung dari kepala dan bahunya, akan tetapi dia mampu untuk tunduk ruku‘ secara duduk, maka hendaklah dia mengulangi ruku‘ sebagai ganti sujud dalam keadaan duduk. Jika dia mampu tunduk sujud lebih rendah daripada tunduk ruku‘ secara duduk, maka dia wajib melakukan sedemikian kerana perbezaan di antara ruku‘ dan sujud adalah wajib bagi orang yang mampu. Namun jika dia tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud, maka hendaklah tunduk menggunakan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga, maka tunduk secara isyarat mata. Jika tidak mampu juga, maka hendaklah membayangkan perbuatan ruku‘ dan sujud di dalam hati.

Contoh cara mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh menggunakan kerusi bagi orang dalam keadaan tidak mampu berdiri, tidak mampu ruku‘ dan tidak mampu sujud di lantai ialah seperti berikut:

- Dimulakan dengan takbîratul-ihrâm berserta niat dan bacaan surah al-Fâtihah dilakukan dalam keadaan duduk di atas kerusi.

- Kemudian ruku‘ dalam keadaan duduk di atas kerusi. Cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud. Sekurang-kurangnya pula ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut.

- Seterusnya i‘tidâl dalam keadaan duduk di atas kerusi ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu duduk dengan betul di atas kerusi. Jika dia tidak mampu untuk kembali duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

- Sujud pertama bagi orang yang sembahyang duduk di atas kerusi perlu dilihat kepada keadaan-keadaan berikut:

• Jika dia mampu untuk melakukan tunduk lebih rendah daripada had ruku‘ secara duduk di atas kerusi, dia wajib melakukan sedemikian bagi membezakan di antara ruku‘ dan sujud.

• Jika tidak mampu, maka wajib melakukan kadar tunduk ruku‘ yang termampu dalam keadaan duduk sebagai ganti sujud sekalipun kadar perbuatan ruku‘ dan sujud itu sama.

• Jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud sedemikian, maka hendaklah dia melakukan ruku‘ dan sujud tersebut dengan isyarat kepala. Isyarat dengan menundukkan kepala bagi sujud itu lebih rendah berbanding dengan ruku‘. Jika dia tidak mampu ruku‘ dan sujud dengan isyarat kepala, maka lakukan dengan isyarat mata tanpa perlu ada perbezaan di antara ruku‘ dan sujud pada isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka hendaklah membayangkan perbuatan ruku‘ dan sujud dalam hati.

- Kemudian kembali duduk dengan betul di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud.

- Sujud kedua dalam keadaan duduk di atas kerusi dilakukan dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah menggunakan isyarat dengan menundukkan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka bayangkan melakukannya dengan hati.

- Seterusnya duduk betul semula untuk membaca surah al-Fâtihah bagi rakaat kedua.

- Ruku‘ dalam keadaan duduk.

- I‘tidâl iaitu duduk dengan betul dan membaca do‘a qunut dalam keadaan duduk di atas kerusi.

- Seterusnya melakukan sujud pertama dengan membongkokkan badan semampunya sebagaimana sujud pada rakaat pertama.

- Setelah itu duduk betul semula di atas kerusi untuk melakukan duduk di antara dua sujud.

- Kemudian melakukan sujud kedua dengan membongkokkan badan menurut semampunya.

- Selepas itu duduk betul kembali di atas kerusi untuk membaca tahiyyat akhir, tasyahhud, selawat dan salam.

4. Tidak mampu berdiri lama.

Ada juga keadaan orang yang mampu berdiri tetapi tidak tahan berdiri lama sehingga ada kala dia terpaksa duduk sebentar untuk menghilangkan rasa sakitnya. Dalam keadaan ini, apabila seorang yang menunaikan sembahyang secara berdiri, tiba-tiba datang kesakitan yang menyebabkan dia tidak mampu untuk meneruskan rukun berdiri, maka dalam hal tersebut harus dia duduk untuk meneruskan sembahyangnya; umpamanya di atas kerusi kerana tidak mampu duduk dan sujud di lantai. Namun apabila hilang sakitnya dan dia mampu untuk berdiri semula, maka wajib baginya untuk segera bangkit dan berdiri. Ini bererti apabila datang keuzuran seseorang itu melakukan rukun berdiri dalam sembahyang, maka dia harus mengubah atau beredar kepada yang terdaya olehnya iaitu duduk di atas kerusi umpamanya. Demikian juga jika hilang keuzuran, umpamanya hilang sakitnya, maka dia wajib melakukan rukun yang dituntut iaitu berdiri semula kerana dia berdaya melakukannya.

Ada beberapa contoh keadaan dalam hal ini:

Jika berlaku keuzuran ketika dia sedang membaca sebahagian surah al-Fâtihah dalam keadaan berdiri, maka dia harus duduk. Semasa bergerak merendah untuk duduk itu, dia wajib meneruskan bacaan al-Fâtihah dan meneruskan sembahyangnya mengikut kemampuannya.

Sebaliknya, jika dia berdaya untuk berdiri semula disebabkan hilang atau berkurangan keuzuran ketika dia sedang membaca surah al-Fâtihah dalam keadaan duduk, maka hendaklah dia bangkit dan menyambung bacaannya setelah dia sempurna berdiri. Wajib ke atasnya untuk tidak meneruskan membaca surah al-Fâtihah sehinggalah dia sempurna berdiri kerana tidak memadai atau tidak dikira bacaannya jika dia membacanya ketika bergerak untuk berdiri.

Seseorang yang ada keuzuran untuk berdiri pada kadar yang lama, iaitu dia hanya mampu untuk berdiri sekadar sempat untuk membaca surah al-Fâtihah sahaja dan jika dia membaca surah lain selepas itu, nescaya dia tidak mampu lagi untuk berdiri, dalam hal yang demikian, afdhal baginya membaca surah al-Fâtihah sahaja tanpa membaca surah lain selepas al-Fâtihah itu. Ini kerana menjaga rukun sembahyang (berdiri) itu adalah lebih utama.

Manakala jika dia memulakan sembahyang secara duduk kerana ada keuzuran berdiri, tiba-tiba dia merasakan dia mampu untuk berdiri setelah selesai membaca surah al- Fâtihah sebelum melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk tunduk ruku‘ tanpa perlu thuma’nînah dan disunatkan untuk membaca semula surah al-Fâtihah dalam keadaan berdiri sebelum ruku‘.

Dalam keadaan yang lain pula, jika seorang bersembahyang duduk lalu hilang keuzurannya ketika dia melakukan ruku‘ dalam keadaan duduk dan sebelum thuma’nînah, maka hendaklah dia terus berdiri dalam keadaan ruku‘ dan jangan berdiri tegak. Sembahyangnya menjadi batal jika dia berdiri tegak terlebih dahulu dan kemudian baharu ruku‘. Ini adalah kerana jika dia berdiri tegak terlebih dahulu, nescaya dia menambah rukun perbuatan dalam sembahyang iaitu berdiri.

Manakala jika keuzurannya itu hilang selepas thuma’nînah, maka ruku‘nya adalah sempurna dan wajib dia berdiri untuk i‘tidâl sahaja kemudian dia terus sujud tanpa perlu ruku‘ semula. Jika dia melakukan ruku‘, sembahyangnya menjadi batal kerana dia menambah satu lagi rukun perbuatan sembahyang iaitu ruku‘.

Jika keuzurannya hilang ketika melakukan i‘tidâl dalam keadaan duduk sebelum berlaku thuma’nînah, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk i‘tidâl dan thuma’nînah. Sementara itu, jika keuzurannya hilang selepas berlaku thuma’nînah, maka menurut pendapat yang ashah, tidak perlu lagi dia berdiri supaya tidak berlaku perbuatan memanjangkan tempoh i‘tidâl, kerana ‘itidâl merupakan rukun pendek. Manakala jika keuzurannya hilang selepas thuma’ninah di rakaat kedua sembahyang fardhu Shubuh, sebelum dia membaca do‘a qunut, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk membaca do‘a qunut. Jika dia tidak bangkit berdiri namun dia terus membaca do‘a qunut dalam keadaannya duduk, maka batal sembahyangnya kerana perbuatan tersebut dikira menambah perbuatan duduk yang bukan sepatutnya.

Demikian beberapa penerangan mengenai cara sembahyang orang yang apabila datang atau hilang keuzuran semasa melakukan rukun perbuatan dalam waktu sembahyangnya, maka wajib dia mengubah atau beredar kepada perbuatan yang terdaya olehnya.

Berdasarkan penerangan ulama mazhab asy-Syafi‘i berkaitan rukun-rukun sembahyang yang dilakukan secara duduk - dalam hal ini duduk di atas kerusi -, maka hendaklah menunaikan sembahyang seperti cara-cara yang telah diterangkan di atas.

Adakah Boleh Menggunakan Alkursi Ketika Sembahyang?

Perkara yang menjadi perhatian mengenai Alkursi tersebut ialah alat yang berupa meja yang disediakan untuk meletakkan dahi ketika sujud.

Seseorang yang tidak mampu untuk meletakkan dahi ke lantai dan tidak mampu tunduk tankîs (menonggeng) iaitu meninggikan punggung dari kepala dan bahu, maka tidak wajib meletakkan dahi di atas sesuatu alat kerana alat tersebut masih tidak membantunya untuk menghasilkan sujud secara menonggeng. Oleh kerana dia tidak mampu sujud secara menonggeng, hukum meletakkan dahi atas sesuatu alat adalah sunat sahaja. Walau bagaimanapun, adalah memadai dia sujud dengan melakukan tunduk semampunya. Malah jika dia mampu untuk tunduk melebihi had sempurna ruku‘ secara berdiri atau duduk, maka dia hendaklah membezakan di antara tunduk ruku‘ dan tunduk sujud. Dia wajib melakukan sedemikian dengan melebihkan tunduk untuk sujud daripada tunduk untuk ruku‘. Ini bererti bukanlah sesuatu yang dituntut perbuatan meletakkan dahi pada tempat sujud untuk mencapai kesempurnaan sujud bagi mereka yang tidak mampu melakukannya secara sempurna iaitu sujud di lantai dengan tankîs (menonggeng).

Oleh yang demikian, jika Alkursi tersebut digunakan untuk sembahyang, penggunanya hendaklah meneliti terlebih dahulu alat untuk meletak dahi ketika sujud itu mengikut kesesuaian keadaan dirinya dan cara sembahyang untuknya. Ini bertujuan bagi mengelak penghadang tunduk sujud yang dia mampu. Jika alat untuk meletakkan dahi pada kerusi yang dinamakan Alkursi tersebut akan menghalang atau menghadkan pengguna untuk tunduk sebagaimana yang disyaratkan, padahal dia wajib melakukan sedemikian, maka ia akan menyebabkan sembahyang pengguna tidak sah. Demikian juga jika alat untuk meletakkan dahi pada kerusi tersebut menghalang atau menghadkan pengguna untuk melebihkan tunduk sujud daripada tunduk ruku‘ jika dia mampu, padahal dia wajib melakukan sedemikian, maka ia juga akan menyebabkan sembahyangnya tidak sah. Namun sekiranya had tunduknya yang dia mampu itu betul-betul setakat alat meletak dahi tersebut, maka hukum meletak dahi atas alat semasa sujud itu adalah sunat. Walau bagaimanapun, adalah memadai dan malah lebih menjamin kesempurnaan dan sah ibadat sembahyangnya jika dia tunduk sujud semampunya tanpa alat meletakkan dahi ketika sujud itu.

Maka, dalam perkara ini, sekiranya kerusi tersebut hendak dipromosikan penggunaannya di masjid-masjid di negara ini, adalah sangat mustahak perkara-perkara yang disebutkan di atas diambil kira bagi menjaga kesempurnaan sembahyang penggunanya. Selain itu, bagi penggunaannya di masjid-masjid adalah mustahak juga bagi pihak pengedar mengadakan rundingan dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, untuk mendapatkan pandangan tentang kesesuaian penggunaannya dan lain-lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12642