Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Baki Kredit Pelanggan DST Communications Sdn. Bhd.

Soalan: Pada masa ini terdapat akaun-akaun pelanggan-pelanggan syarikat DST Communications Sdn. Bhd. yang masih mempunyai lebihan baki setelah mereka menamatkan perkhidmatan dengan syarikat ini. Pelanggan-pelanggan yang terlibat termasuklah pengguna bukan beragama Islam, pengguna yang balik ke negara asal dan akaun yang berdaftar di bawah nama syarikat. Beberapa usaha telah dibuat untuk mengembalikan baki ini, tetapi masih tidak berhasil. Antara usaha-usaha tersebut termasuklah: 1. Jika pelanggan masih ada mempunyai akaun yang aktif. Baki ini akan dipindahkan ke akaun tersebut. 2. Mencari pelanggan di alamat yang tercatat di dalam sistem DST. 3. Mengiklankan nama-nama pelanggan tersebut dalam surat khabar. Ketua Pegawai Eksekutif DST telah menyarankan untuk menyerahkan baki ini kepada pihak Baitul-Mal jika pelanggan tidak datang setelah pengiklanan dibuat. Oleh yang demikian, dipohonkan fatwa mengenainya.

Jawapan: Setiap barang atau harta hak milik orang lain tidak boleh digunakan atau dimanfaatkan dan ia wajib dikembalikan kepada pemiliknya yang sebenar. Larangan ini adalah termasuk dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bâthil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya. (Surah al-Baqarah: 188)ُ Menurut penjelasan pihak syarikat DST, pihak syarikat telah berusaha untuk mengembalikan baki kredit kepada pelanggan-pelanggannya yang menamatkan perkhidmatan dengan syarikat tersebut. Usaha-usaha yang dilakukan seperti berusaha mencari pelanggan di bawah nama akaun tersebut amatlah bertepatan dengan suruhan syara‘ kerana baki kredit tersebut wajib diserahkan kepada pelanggan atau pemilik berkenaan. Berkaitan dengan perkara ini, al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab menyebutkan:

Ertinya: Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata: “Apabila bersamanya harta yang haram dan dia mahu bertaubat dan membersihkan daripadanya (harta yang haram itu) maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu wajib menyerahkannya kepadanya (pemiliknya) atau kepada wakilnya. Jika dia meninggal dunia wajib memberikannya kepada warisnya...”

Kemudian jika tidak diketahui pemiliknya, al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan lagi perkataan al-Imam al-Ghazali Rahimahullâh di atas:

Ertinya: Jika ia (harta haram tersebut) ada pemiliknya yang tidak diketahuinya dan dia berputus asa (gagal) untuk mengetahuinya maka sayugia dia menyerahkannya untuk kegunaan mashlahat umum orang-orang Islam seperti jambatan, surau, masjid, mashlahat jalan di Makkah dan seumpamanya yang digunakan bersama oleh orang-orang Islam padanya. Jika tidak, maka dia sedekahkan dengannya ke atas seorang fakir atau orang-orang fakir...

As-Sayyid Ba ‘Alawi dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn juga menyebutkan mengenai hukum harta yang hilang dan tidak jelas:

Ertinya: Dan jika dia berputus asa (gagal) mengetahui pemiliknya di mana pada kebiasaannya jauh untuk diketahui kewujudannya jadilah ia kumpulan harta Baitul-Mal, sama seperti harta simpanan, harta rampasan setelah dia berputus asa mengetahui tuan kedua-duanya dan harta peninggalan yang tidak diketahui warisnya. Dalam keadaan ini, dia menyerahkan kesemuanya untuk mashlahat orang-orang Islam yang lebih penting dipentingkan (diutamakan), seperti pembinaan masjid di mana tidak lagi terdapat yang lebih umum daripadanya. Jika ada sesiapa di bawah kuasanya seorang fakir maka dia ambil sekadar hajatnya bagi dirinya dan anak-anaknya yang fakir sebagaimana disebutkan dalam kitab at-Tuhfah dan lainnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, apabila sesuatu harta itu tidak dapat diketahui pemiliknya setelah berusaha mencarinya sehingga berputus asa maka harta itu sayugia diserahkan kepada Baitul-Mal untuk kemashlahatan umum orang-orang Islam. Jika tidak diserahkan kepada Baitul-Mal, dia boleh menyedekahkan harta itu kepada orang-orang fakir.

Menyerahkan Harta Orang Bukan Islam kepada Baitul-Mal

Secara umumnya antara harta yang diserahkan kepada Baitul-Mal itu ialah harta yang hilang yang tidak mungkin dapat diketahui kewujudan pemiliknya atau tuannya seperti harta simpanan atau harta rampasan yang tidak dituntut.

Selain itu juga, antara harta yang terdapat dalam kumpulan Baitul-Mal sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qadhi Badruddin bin Jama‘ah dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir ialah harta yang diperolehi daripada orang-orang bukan Islam seperti harta rampasan, ufti, cukai kepala dan cukai perniagaan.

Oleh yang demikian, harta orang bukan Islam yang disebutkan di atas adalah juga termasuk dalam kumpulan harta untuk Baitul-Mal.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, baki kredit pelanggan yang menamatkan perkhidmatan dengan syarikat DST selepas berusaha mencari pemiliknya di dalam dan luar negeri dengan cara-cara sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak syarikat DST maka baki kredit pelanggan tersebut boleh diserahkan kepada Baitul-Mal walaupun ada pelanggan-pelanggannya yang terdiri daripada orang-orang bukan Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12647