Hukum Melakukan Kajian ke atas Human Genome dan Human Cancer Genome
Soalan: Institut Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam akan melaksanakan penyelidikan mengenai “Genom Kanser Urutan Diperolehi Daripada Biopsi Tisu Kanser Payudara daripada pesakit di Negara Brunei Darussalam. (Sequencing cancer obtained from breast cancer tissue biopsies from patients in Brunei Darussalam).”
Tujuan projek ini adalah untuk mengkaji genom kanser (kanser payudara) yang dihidapi oleh pesakit dari Negara Brunei Darussalam bagi memahami biologi kanser dan genetik dalam populasi negara ini.
Kaedah-kaedah yang akan dijalankan:
1. Tisu kanser payudara (sejumlah 20 ke 30) akan diperolehi daripada arkib tisu, Jabatan Histologi, Hospital RIPAS.
2. Darah akan diperolehi daripada individu yang sihat seramai 30 orang.
3. DNA akan diekstrak daripada biopsi tisu dan darah.
4. DNA kemudiannya akan disusun menggunakan mesin penjujukan automatic (automated sequencing) yang digelar Genetic Analyser atau Hi-Seq Next Generation Sequencing Machine.
5. Selepas data penjujukan (sequencing data) diperolehi ia akan dianalisa oleh ahli bioinformatik.
6. Semua data setiap individu akan dikongsi dengan doktor dan pesakit atau individu sihat yang berkenaan. Dapatan-dapatan akan diterbitkan sebagai data wakil dari Negara Brunei Darussalam dan akan dibandingkan dengan data daripada populasi dan negara-negara lain.
Sehubungan dengan itu dipohonkan fatwa dan ketetapan hukum mengenainya.
Jawapan: Salah satu daripada kajian yang dianggap penting dalam bidang bioteknologi pada hari ini ialah kajian mengenai human genome atau genom manusia. Sepertimana yang difahami bahawa dapatan atau hasil kajian ini memberi faedah dan manfaat yang besar bukan sahaja kepada pesakit, malah kepada mereka yang mempunyai risiko tinggi terhadap penyakit genetik atau penyakit keturunan. Bahkan dapatan daripada kajian tersebut akan dapat membantu mengurus perubatan pesakit dengan lebih efektif dan ini secara tidak langsung akan dapat mengawal kos perbelanjaan perubatan. Namun persoalan yang ditimbulkan di sini ialah apakah pandangan Islam mengenai kajian atau penyelidikan tersebut?
Sebelum menjawab persoalan tersebut, beberapa aspek perlu diketahui dan difahami terlebih dahulu umpamanya konsep kajian human genome, apakah manfaat dan keburukannya, adakah ia tidak mendatangkan mudharat kepada penderma sampel kajian dan apakah langkah-langkah yang diambil dalam menjalankan kajian tersebut?
Genom Manusia
Kesemua organisma sama ada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya memiliki genom yang terdapat pada setiap sel. Setiap genom mempunyai petunjuk yang lengkap dalam menghasilkan setiap sel dan organ dalam tubuh badan manusia. Genom merupakan perincian peta mengenai kedudukan dan fungsi bagi setiap satu dari seratus ribu gen pada 23 pasangan kromosom. Ia terbina dari satu set DNA (Deoxyribo Nucleic Acid) organisma yang lengkap di mana di dalamnya terkandung pelbagai informasi gen yang bertanggungjawab dalam menentukan kepelbagaian atau perbezaan ciri dan keperibadian setiap individu seperti jantina, tekstur dan warna kulit, rambut, mata, bentuk hidung, ketinggian, keupayaan mental dan personaliti dan sebagainya. Selain itu, ia juga bertanggungjawab terhadap berlakunya genetic disorder atau gangguan genetik yang mana ia merupakan pencetus berlakunya beberapa penyakit.
Secara ringkasnya genom ialah keseluruhan maklumat keturunan yang dikodkan dalam DNA yang diturunkan dari generasi ke generasi baik dari segi ciri, keperibadian dan sifat seseorang sehinggalah kepada penyakit dihidapi yang dikenal dengan istilah gangguan atau penyakit genetik.
Gangguan genetik atau penyakit genetik tersebut berlaku sama ada disebabkan:
1. Keturunan iaitu melalui ibu atau bapa atau kedua-duanya yang membawa gen yang tidak normal dalam bahan genetik mereka.
2. Mutasi atau perubahan pada bahan genetik yang berlaku ketika pembentukan sel telur atau sel sperma ataupun disebabkan oleh kesalahan ketika proses penyalinan DNA dan juga boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran seperti pendedahan pada radiasi matahari. Mutasi ini merupakan salah satu mekanisme di mana seorang anak yang mempunyai gangguan genetik ini lahir dengan tidak mempunyai latar belakang keluarga yang menghidapi gangguan genetik. Dalam erti kata lain seorang itu menghidap penyakit yang bukan diwarisi dari ahli keluarga.
Konsep Kajian Terhadap Genom Manusia, Manfaat dan Keburukannya Secara umumnya konsep kajian terhadap genom manusia ini adalah menganalisa pemetaan dan jujukan atau urutan (sequence) genom manusia bagi memahami, mengenalpasti dan mengasingkan hampir keseluruhan kandungan gen yang berjumlah 20,000 hingga 25,000 dalam genom manusia dari segi fizikal dan fungsinya, serta mencari dan mengenalpasti mutasi dalam urutan DNA yang menyebabkan penyakit genetik.
Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa kajian yang akan dibuat di negara ini memfokuskan pada:
1. Kajian terhadap genom penyakit-penyakit tertentu seperti kanser atau barah payudara dan kolorektal (kanser yang bermula dalam usus besar atau rektum). Tujuannnya adalah untuk memahami lebih dalam mengenai biologi kanser dan mendiagnosis penyebab penyakit kanser payudara, sama ada ia disebabkan oleh mutasi iaitu pergeseran yang mengakibatkan perubahan kepada struktur DNA dan menyebabkan kanser ataupun tidak. Hasil kajian itu nanti akan dapat dianalisa dengan dibandingkan dengan dapatan-dapatan daripada bangsa dan populasi negara lain.
2. Kajian terhadap genom populasi Negara Brunei Darussalam. Tujuannya adalah untuk memahami biologi genetik dan mencari keunikan urutan DNA dalam populasi negara ini. Hasil kajian itu nanti boleh menyumbang kepada terapi yang unik, bersesuaian dan tepat bagi populasi di negara ini.
Adapun kajian yang akan dilakukan ini melibatkan pesakit kanser payudara dan juga individu yang sihat di mana tisu kanser payudara dan darah individu yang sihat akan dijadikan sebagai bahan kajian. DNA (Deoxyribo Nucleic Acid) akan diekstrak daripada biopsi tisu dan sampel darah menggunakan protokol standard di makmal yang kemudiannya disusun menggunakan mesin penjujukan automatik (automated sequencing) yang digelar Genetic Analyser atau Hi- Seq Next Generation Sequencing Machine. Setelah data penjujukan (sequencing data) diperolehi ia akan dianalisa oleh ahli bioinformatik. Secara umumnya hasil daripada penganalisaan tersebut akan membantu menghasilkan pengkalan data berkaitan struktur genetik populasi di Negara Brunei Darussalam, mengenalpasti variasi genetik dan corak ketidakseimbangan dengan penyakit dan mendiagnosis penyakit-penyakit tertentu khususnya penyakit kanser. Iaitu melalui diagnosis terhadap bentuk kesalahan pada protein yang dihasilkan oleh gen.
Adapun keperluan diagnosis terhadap protein ini adalah kerana pembentukan, pertumbuhan dan pengawalan sel-sel dalam tubuh badan dipengaruhi oleh keadaan penghasilan protein sama ada ia normal ataupun berlaku mutasi atau kesalahan. Ini bermakna jika protein tidak sihat, maka sel-sel dalam badan juga tidak sihat. Dari kerana itu, diagnosis bentuk kesalahan pada protein adalah diperlukan bagi memastikan sama ada mutasi atau pergeseran ketika penghasilan protein benar-benar berlaku ataupun tidak kerana jika ia benar berlaku, maka rawatan atau ubat-ubatan untuk memperbaiki protein tidak akan diperlukan kerana ia tidak akan berhasil. Oleh itu diperlukan rawatan dan ubat-ubatan khusus yang berkesan untuk menyembuhkannya.
Sebagaimana yang juga dimaklumkan, matlamat utama kajian ini dilakukan adalah untuk perubatan semata-mata. Iaitu untuk membantu memberikan rawatan khusus kepada penyakit-penyakit genetik khususnya yang berkaitan dengan barah payudara dan menghasilkan serta memberikan ubat-ubatan yang bersesuaian dan lebih efektik kepada pesakit khusus bagi populasi di negara ini dan secara tidak langsung mengawal kos rawatan dan perubatan.
Walau bagaimanapun, kajian dan penyelidikan ini juga mempunyai risiko, umpamanya ia boleh saja disalahgunakan dan menyimpang dari matlamat kajian sebenar, seperti:
1. Mengancam kesejahteraan manusia, iaitu melalui pendedahan informasi mengenai potensi penyakit genetik yang dihidapi. Ini boleh menimbulkan kegusaran kepada individu tertentu yang akibatnya akan berlaku permintaan untuk menggugurkan kandungan, membuang organ-organ tertentu yang belum dipastikan dengan shahîh akan kerosakannya dan sebagainya.
2. Mengancam kemuliaan dan hak-hak manusia melalui manipulasi keseimbangan gen-gen manusia dengan menjadikannya sebagai satu bidang perniagaan. Dalam Islam, manusia diberikan kedudukan yang mulia dan sangat tinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepertimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia) dan Kami telah mengangkut mereka (di dalam pelbagai kenderaan) di darat dan di laut dan Kami telah mengurniakan mereka rezeki yang baik serta Kami melebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna. (Surah al-Isra’: 70)
Keistimewaan dan kemuliaan yang diberikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini tidak hanya terhad kepada hak untuk hidup, bahkan kepada hak keselamatan diri, hak kebebasan bersuara, hak untuk memilih dan hak kerahsiaan. Dari itu adalah dilarang untuk melanggar hak seseorang tidak mengira sama ada dia seorang Muslim ataupun bukan sepertimana yang digambarkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Ingatlah orang yang menzalimi mu‘âhad (kafir dzimmi yang terikat dengan perjanjian) itu, mengurangkan haknya, membebaninya di luar batas kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan hatinya, maka akulah yang akan menjadi orang yang membantahnya kelak pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Abu Daud)
3. Membenarkan pengguguran janin secara tidak rasional dan tanpa justifikasi dan tanpa kebenaran secara syara‘ hanya kerana mendapati janin yang dikandungnya tidak normal dan menganggapnya sebagai jalan untuk menghindari dan mencegah perwarisan penyakit genetik di masa hadapan.
Hukum menggugurkan kandungan pada dasarnya adalah haram. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana (takutkan) kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu mendekati perbuatan keji sama ada yang terang mahupun yang tersembunyi. Janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah melainkan dengan haq (dibenarkan oleh syara‘). Demikian itulah Allah memerintahkan kamu supaya kamu memikirkannya. (Surah al-An‘âm: 151)
Dosa perbuatan haram itu menjadi semakin besar apabila kehidupan atau pertumbuhan janin itu semakin sempurna. Menurut Dr. Yusof al-Qaradhawi Hafizhahullâh, pada usia janin yang keempat puluh hari pertama, dosa perbuatan haram itu lebih ringan bahkan harus melakukan pengguguran sekiranya ada sebab-sebab yang mendorong dan dii‘tibâr. Selepas empat puluh hari, dosa perbuatan haram itu menjadi semakin besar dan tidak harus menggugurkannya kecuali ada sebab-sebab yang amat perlu mengikut pandangan pakar dalam bidang tersebut. Dosa perbuatan haram itu semakin berganda-ganda apabila janin berumur lebih daripada seratus dua puluh hari iaitu setelah ia memasuki peringkat ‘ditiupkan roh’.
Pada ketika ini tidak harus menggugurkan janin kecuali disebabkan oleh keadaan yang sangat dharurat. Dharurat ini pula hendaklah benar-benar berlaku dan bukannya dengan sangkaan atau jangkaan semata-mata. Sedangkan menggugurkan kandungan semata-mata kerana ditakuti anak yang bakal dilahirkan akan mengalami kecacatan atau menghidap penyakit bukanlah dianggap sesuatu yang dharurat.
Tambahan lagi, dharurat itu hanya berlaku dalam satu bentuk sahaja, iaitu apabila janin tetap kekal berada di dalam rahim ia akan membahayakan nyawa ibunya. Ini disebabkan ibu merupakan tunjang kepada kewujudan janin sedang janin hanyalah ranting kepada tunjang tersebut. Oleh itu tunjang tidak boleh dikorbankan hanya kerana ranting. Ini adalah logik yang boleh diterima oleh semua; syara‘, akhlak, ilmu perubatan dan undang-undang.
4. Menyebarkan maklumat dan rahsia pesakit tanpa keizinannya untuk tujuan-tujuan yang tertentu kepada mereka yang memerlukan, seperti syarikat-syarikat insuran dan seumpamanya.
Pendek kata, kajian terhadap genom manusia ini sama ada ia mendatangkan manfaat atau keburukan adalah tertakluk pada cara dan tujuan penggunaannya.
Pandangan Islam Mengenai Kajian Terhadap Genom Manusia
Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya menjaga kesihatan dan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh membahayakan nyawa. Ini kerana nyawa dan tubuh badan kita adalah milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan ia merupakan amanah yang wajib dipelihara dengan sebaiknya dan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Diriwayatkan daripada Abu Barzah al-Aslami Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak akan bergerak kedua-dua tapak kaki seorang hamba (dari tempatnya) pada Hari Kiamat (untuk dihisab) sehinggalah dia ditanya tentang umurnya pada apa dia menghabiskannya (pada ketaatan atau maksiat), dan tentang ilmunya apa yang dilakukan dengannya (beramal ikhlas kerana Allah atau kerana riya’), dan tentang hartanya dari mana dia memperolehinya dan pada apa dia menafkahkannya, dan tentang tubuh badannya pada apa ia mempergunakannya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Tubuh badan kita mempunyai hak ke atas kita. Selain hak menjaga kesihatannya, merawat serta mencari penawar bagi setiap penyakit juga merupakan hak tubuh ke atas kita. Islam menyarankan kita agar berubat serta berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihidapi kerana setiap penyakit itu ada penawarnya. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Berubatlah kamu wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menurunkan penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar, kecuali mati dan tua. (Hadits riwayat Ahmad)
Dalam riwayat lain daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menurunkan penyakit dan ubat, Allah jadikan bagi setiap penyakit itu ubat, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bagi setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila penyakit itu kena (sesuai) dengan ubatnya, penyakitpun akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)
Melakukan kajian terhadap genom manusia juga merupakan salah satu usaha dalam mencari penawar khususnya bagi penyakit yang berkaitan genetik. Maka tidak syak lagi ia adalah suatu usaha yang sangat bermanfaat bagi kemashlahatan dan kesejahteraan umat manusia secara umumnya.
Di samping itu, Islam menggesa umatnya supaya sentiasa menimba ilmu dan menggalakkan mereka supaya berfikir dan merenung serta melakukan kajian dan penyelidikan dalam mencari fakta-fakta saintifik akan kejadian alam dan manusia. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan di bumi terdapat tanda-tanda keesaan dan kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin. Dan (begitu juga) pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu memerhatikannya? (Surah adz-Dzâriyât: 20-21)
Para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ulama antaranya Ibnu ‘Abbas, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhumâ dan Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullâh mengatakan mereka lebih menyukai mengisi sebahagian malam mereka dengan berfikir atau belajar ilmu daripada menghidupkan malam itu dengan bersembahyang (qiyâm al-lail).
Adapun penemuan-penemuan saintifik melalui kajian terhadap genom manusia ini merupakan salah satu tanda dan bukti akan keagungan dan kekuasaan serta keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam penciptaan makhlukNya sebagaimana dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segenap penjuru alam dan pada diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Qur’an itu adalah benar. (Surah Fushshilat: 53)
Dengannya akan menguatkan lagi iman kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, meningkatkan keyakinan akan kesucian agama Islam dan kebenaran ayat-ayat al-Qur’an serta mengukuhkan lagi pengakuan terhadap kebenaran kenabian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melalui pernyataan Baginda mengenai ilmu gen perwarisan (DNA) di mana sifat dan fizikal seseorang itu boleh diwarisi secara turun-temurun. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, seorang lelaki datang menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, isteriku melahirkan anak yang berkulit hitam (dia dan isterinya tidak berkulit hitam), lalu Baginda berkata: “Apakah kamu memiliki unta?” Dia berkata: “Ya”, Baginda berkata: “Apa warna-warnanya?” Dia berkata: “Merah”, Baginda berkata: “Apakah ada yang berwarna kelabu?” Dia berkata: “Ya”, Baginda berkata: “Mengapa demikian?” Dia berkata: “Boleh jadi kerana faktor keturunan/genetic”, Baginda lalu bersabda: “Boleh jadi anakmu ini (yang berkulit hitam) kerana faktor keturunan/genetik.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Melihat kepada penjelasan mengenai matlamat serta manfaat yang akan diperolehi hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan dan berdasarkan anjuran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk berubat dan merenung akan kejadian manusia, maka kajian terhadap genom ini adalah harus dilakukan. Malah ia merupakan satu tuntutan fardhu Kifayah ke atas umat Islam memandangkan kajian terhadap genom ini merupakan wasîlah atau jalan untuk mengenalpasti punca penyakit genetik dan solusi dalam mencegah dan merawatnya dengan tepat dan efektif. Apatah lagi genom mempunyai peranan penting dalam pertumbuhan dan kesihatan seluruh badan manusia dan juga merupakan pengenalan khusus bagi seorang individu yang mana masing-masing mempunyai ciri dan personaliti yang unik. Kajian tersebut adalah sebagai satu usaha untuk menjaga dan memelihara salah satu maqâshid syar‘iyyah, iaitu memelihara nyawa.
Tambahan pula, penggunaan genom manusia itu nantinya akan dapat memberi kesan positif kepada ekonomi negara hasil daripada pengawalan, penjimatan dan pengurangan kos rawatan dan perubatan.
Walau bagaimanapun, pengharusan ini adalah selama mana kaedah atau cara yang digunakan dalam kajian tersebut tidak bertentangan dengan syara‘ dan tidak akan memudharatkan individu, masyarakat dan negara.
Islam menolak perkara-perkara yang boleh membawa kemudharatan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh membuat kemudharatan dan tidak boleh memudharatkan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Adapun jika ia mendatangkan kemudharatan, maka tidaklah diharuskan kerana menghindari kemudharatan adalah lebih diutamakan daripada mendatangkan mashlahat. Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan:
Ertinya: Menolak kerosakan adalah diutamakan daripada mendatangkan mashlahat.
Ini kerana melakukan sesuatu perkara yang mendatangkan mudharat atau kerosakan itu adalah ditegah. Namun jika seseorang itu berhadapan dengan situasi di mana dia terpaksa melakukan salah satu di antara dua perkara yang boleh mendatangkan mudharat, maka diharuskan melakukan perkara yang mendatangkan mudharat yang ringan bagi menghindari mudharat yang lebih besar, sebagaimana kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: Apabila bertemu dua kerosakan hendaklah dihindari mudharat yang lebih besar di antara kedua-duanya dengan melakukan mudharat yang lebih ringan di antara kedua-duanya.
Pada asasnya kajian genom yang akan dilaksanakan oleh pihak Institut Kesihatan PAPRSB, UBD ini, tidak jelas adanya percanggahan dengan dasar hukum syara‘ jika ia dilakukan bagi merawat penyakit barah payudara sebagaimana yang dinyatakan dalam keterangan penanya. Bahkan ia menepati kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:
Ertinya: Kemudharatan itu hendaklah dihilangkan atau dihindari.
Namun jika kemudharatan itu sukar untuk dihindari melainkan dengan mendatangkan kemudharatan yang lain, maka jalan untuk menghilangkan kemudharatan itu hendaklah dibatasi dengan kadar yang memungkinkan sahaja. Kaedah ini diambil daripada asal hadits yang telah disebutkan di atas.
Melihat kepada risiko yang mungkin berlaku dalam melakukan kajian terhadap genom manusia, maka satu garis pandu hendaklah disediakan sebagai panduan supaya unsur-unsur mudharat, manipulasi dan eksploitasi tidak akan berlaku dan ia hendaklah selaras dengan kehendak syara‘. Garis panduan tersebut juga hendaklah menitikberatkan beberapa aspek tertentu, baik dari segi objektif atau matlamat kajian, keizinan dan kerahsiaan penderma sel, mahupun kaedah atau cara yang digunakan sebelum, ketika dan setelah kajian dijalankan. Antaranya:
1. Kajian yang dilakukan hendaklah difokuskan pada tujuan perubatan sahaja dan bukan sebagai bahan uji kaji untuk mencipta apa jua perkara yang bertentangan dengan syariat Islam seperti pengklonan, pengeditan genom dan sebagainya.
2. Rawatan yang akan dilaksanakan hendaklah bukan jenis rawatan yang boleh mengubah struktur genetik atau ciri-ciri individu seperti bentuk, warna, percampuran nasab dan sebagainya.
3. Hendaklah tidak menjadikan dasar kajian dan dapatan-dapatan daripada hasil penyelidikan sebagai satu aktiviti komersial.
4. Mekanisme yang bersesuaian dan berpatutan perlu diadakan bagi mengelakkan dari berlakunya kemudharatan kepada para pesakit atau penderma sampel kajian.
Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh ulama seluruh dunia telahpun membincangkan mengenai isu kajian dan penyelidikan ke atas genom manusia dalam persidangannya kali ke-21 yang berlangsung di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi. Mereka sepakat menyatakan tentang keharusan melakukan kajian tersebut dengan menggariskan beberapa dasar dan pensyaratan sebagaimana yang dinyatakan dalam resolusinya bil. 203 (21/9), iaitu:
1. Hendaklah memanfaatkan genom manusia atau sebahagian daripadanya kepada perkara-perkara yang mendatangkan mashlahat sahaja. Ini kerana pencegahan dan rawatan terhadap penyakit merupakan mashlahat yang dianjurkan oleh syara‘.
2. Hendaklah tidak memanfaatkan genom dalam bentuk penggunaan yang boleh memudharatkan atau dalam apa jua bentuk yang bertentangan dengan syariat Islam.
3. Penilaian awal terhadap risiko-risiko mahupun manfaat-manfaat yang berpotensi berkaitan dengan aktiviti rawatan genetik hendaklah dilakukan terlebih dahulu dengan penuh teliti dan tepat sebelum melakukan sebarang bentuk kajian, rawatan atau diagnosis berkenaan genom seorang individu. Di samping itu, hukum-hakam syariat Islam hendaklah dipatuhi.
4. Keizinan yang sah dan diiktiraf oleh syara‘ hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada individu itu sendiri atau walinya untuk menjalankan analisa terhadap peta genetiknya, di samping wajib menjaga mashlahat individu berkenaan.
5. Setiap individu mempunyai hak untuk memutuskan sama ada dia mahu mengetahui keputusan pemeriksaan genetik dan kesan-kesannya ataupun sebaliknya.
6. Hasil keputusan diagnosis genetik yang disimpan atau disediakan bagi tujuan kajian atau selainnya hendaklah dirahsiakan sepenuhnya dan tidak disebarkan kecuali dalam kes-kes tertentu.
7. Tidak boleh mendedahkan seseorang dengan apa jua bentuk pendiskriminasian disebabkan ciri-ciri genetiknya jika sekiranya tujuannya itu adalah semata-mata untuk mencabuli hak-hak asasi dan kebebasannya dan untuk merendahkan kehormatannya.
8. Kajian klinikal mengenai genom manusia atau apa jua bentuk penggunaannya, terutama sekali dalam bidang biologi, genetik atau perubatan yang dijalankan hendaklah tidak bertentangan dengan syariat Islam dan hendaklah menghormati hak-hak asasi manusia yang telah diiktiraf oleh Islam.
Kesimpulan
Kajian terhadap genom manusia ini merupakan satu usaha besar dan sangat diperlukan dalam bidang ilmu sains dan ilmu perubatan bagi menjaga kemashlahatan dan kesejahteraan manusia. Menurut ulama, ilmu perubatan itu adalah salah satu daripada ilmu fardhu Kifayah, sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn:
Ertinya: Maka tidak pelik (hairan) kami mengatakan bahawasanya ilmu perubatan dan ilmu hisab termasuk dalam kategori fardhu Kifayah.
Namun begitu, kajian ke atas genom manusia ini perlu dilakukan atas landasan dan niat yang betul lagi tidak bercanggah dengan dasar syariat Islam dan selari dengan norma kehidupan manusia kerana kajian berkaitan genetik ini melibatkan pelbagai aspek, baik dari segi moral, etika mahupun hukum-hakam agama.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12651
