Hukum Membunuh Kera/Monyet dan Babi Hutan yang Membuat Kerosakan, Mengganggu dan Menyerang
Soalan: Kera/Monyet dan babi hutan yang kerap berkeliaran di sebahagian perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah menimbulkan kemudharatan seperti kerosakan kepada tanaman serta harta benda warga ABDB yang tinggal dalam perkhemahan, menyebabkan sampah sarap berselerak dan lebih membimbangkan lagi ialah gangguan ugutan dan serangan daripada binatang berkenaan khususnya kera/monyet kepada anak-anak tentera ketika perjalanan ke sekolah.
Sehubungan dengan itu, satu cadangan untuk membunuh binatang-binatang tersebut telah dibuat. Sebelum usaha membunuh itu dilaksanakan sukacita dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Hukum asal membunuh binatang adalah dilarang, melainkan jenis-jenis binatang yang dinyatakan oleh syara‘ boleh dibunuh atau terdapat sebab-sebab tertentu yang mengharuskannya dibunuh.
Antara jenis binatang yang harus dibunuh ialah binatang-binatang yang bersifat menyakiti ( مؤذّيت ) manusia. Demikian juga, apabila binatang menyerang atau melakukan kerosakan ke atas manusia atau harta benda, bahaya yang didatangkan oleh binatang sedemikian itu dicegah menurut kesesuaiannya termasuklah dengan cara membunuhnya. Perlu diingat, bagaimanapun, membunuh binatang adalah jalan terakhir yang boleh diambil setelah cara-cara lain yang dapat dilakukan untuk mencegah dan membendung bahayanya dilaksanakan terlebih dahulu.
Binatang yang Menyakiti
Berkenaan keharusan membunuh binatang yang menyakiti manusia, Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj berkata:
Ertinya: Dan yang lahir daripadanya (binatang yang tidak harus dimakan) ada yang secara tabi‘inya menyakiti, maka disunatkan membunuhnya sebagaimana (disunatkan membunuh) binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq (binatang perosak) yang lima (jenis). Maka sesungguhnya terdapat hadits shahîh tentang suruhan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk membunuh lima jenis binatang yang digelar al-fawâsiq di tanah halal dan juga tanah haram, iaitu; burung gagak yang tidak dimakan dagingnya, burung helang sikap, kala jengking, tikus rumah dan anjing yang menggigit (anjing gila). Dan termasuk dalamnya (maksud binatang al-fawâsiq itu) singa, harimau, serigala, beruang, burung nasar (helang), burung rajawali, kutu anjing, pijat, tebuan dan semua jenis binatang yang menyakiti.
Kenyataan di atas mengandungi keterangan bahawa selain harus membunuh binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq dan binatang-binatang yang disenaraikan, ia juga meliputi keharusan membunuh segala jenis binatang yang menyakiti.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi menyatakan bahawa jumhûr ulama telah bersepakat tentang keharusan membunuh binatang-binatang yang digelar sebagai al-fawâsiq dan yang bersamaan maknanya sama ada di atas tanah halal atau haram bahkan ketika seseorang itu sedang berihrâm.
Keharusan membunuh binatang-binatang daripada jenis di atas adalah bagi memelihara kehormatan bani Adam dan kehormatan bani Adam itu adalah lebih besar daripada kehormatan binatang.
Binatang yang Melakukan Kerosakan
Adapun berkenaan binatang-binatang yang menyerang atau melakukan kerosakan ke atas harta benda seperti tanaman atau makanan kepunyaan orang, para fuqahâ’ menerangkan bahawa hal tersebut hendaklah dicegah secara berperingkat-peringkat sebagaimana diterangkan dalam bab ash-shiyâl (الصيال).
Imam Jalaluddin al-Mahalli Rahimahullâh dalam kitab Kanz ar-Râghibîn berkata:
Ertinya: Dan dipertahankan diri daripada pihak yang melakukan serangan dengan cara yang paling ringan, kemudian dengan yang paling ringan seterusnya; jika boleh (mempertahankan diri) dengan kata-kata atau dengan meminta bantuan daripada orang lain (huruf ‘ ِ ’ dalam kalimah ‘ استغاثة ’ bertitik dan huruf ‘ ث ’ bertitik tiga), haram ia dipukul atau (jika dapat mempertahankan diri) dengan pukulan tangan, haram dipukul dengan rotan atau (jika dapat mempertahankan diri) dengan pukulan rotan, haram dipukul dengan tongkat atau (jika dapat mempertahankan diri) dengan mencederakan anggotanya, haram ia dibunuh. Jika seseorang itu dapat melarikan diri maka hendaklah dia melarikan dirinya (daripada pihak yang melakukan serangan); pendapat al-madzhab dalam perkara ini adalah ia (melarikan diri) itu wajib dan diharamkan memerangi pihak yang melakukan serangan.
Binatang yang melakukan kerosakan hanya boleh dibunuh apabila tentu dengan cara membunuh itu sahaja menjadi jalan yang mencegah kerosakan tersebut. Al-‘Allâmah Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiah al-Jamal ‘ala al-Manhaj berkata:
Ertinya: Dan tidak harus membunuh binatang yang dimaklumi melakukan kerosakan melainkan tatkala ia melakukan kerosakan tersebut telah tentu dengan cara membunuhnya sahaja menjadi jalan untuk mencegah kerosakan berkenaan. Dan jika tidak (tentu cara membunuhnya itu menjadi jalan penyelesaian) hendaklah dicegah kerosakan yang dibawa oleh binatang itu dengan cara pencegahan yang dibincangkan dalam bab ash-shâ’il.
Al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj menyebutkan bahawa sekiranya seekor binatang menjadi buas lagi mendatangkan kerosakan, adakah boleh ia dibunuh tatkala binatang tersebut duduk diam? Dalam masalah ini, ada dua wajh; yang ashah di antara kedua-duanya adalah tidak diharuskan sebagaimana dinyatakan oleh al-Qaffal Rahimahullâh.
Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh pula menerangkan bahawa sekiranya dengan cara memukul dengan pukulan yang ringan tidak memberikan faedah ke atas binatang yang melakukan kerosakan, akan tetapi ia boleh dicegah dengan cara menghalau dan mengunci kawasan daripada dimasuki oleh binatang berkenaan, maka tidak harus binatang itu dibunuh atau dipukul dengan pukulan yang keras.
Tatacara mencegah kerosakan secara berperingkat-peringkat (ُ ّلح َخَفال ُ ّلح َخَففَال) juga dilaratkan kepada pencegahan ke atas binatang seumpama kucing yang melakukan kesakitan ke atas manusia di luar daripada kebiasaan yang dilakukan oleh binatang sejenisnya dan hal tersebut berlaku berulang-ulang kali.
Hukum Membunuh Babi
Babi adalah binatang yang diketahui bersifat kotor, bahkan mempunyai sifat-sifat buruk dan jijik.
Dalam kitab al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhhiyyah ada menyebut: “Binatang ini (babi) mempunyai perangai buruk. Ia mencari makan di tempat-tempat longgokan sampah, sisa dan najis. Ia juga makan bangkai, malah akan sengaja membiarkan mangsanya yang mati untuk beberapa hari sampai busuk sebelum melahapnya. Binatang ini sangat cepat membiak kerana padanya terlalu banyak terkumpul hormon pertumbuhan (growth hormone) dan hormon-hormon yang merangsang kepada pembiakan.”
Dalam kitab Hikmah wa Asbâb Tahrîm Lahm al-Khinzîr fi al-‘Ilm wa ad-Dîn pula menyebut, antara lain: “Binatang ini pemalas, melampau batas, jika makan sangat berlebihan, sangat gemar mengawan, tidak suka kepada sinar matahari, tidak mempunyai semangat juang walaupun untuk mempertahankan diri. Ia lebih suka hidup di tempat-tempat kotor daripada tempat yang bersih. Kerjanya hanya makan dan tidur. Tamak, melebihi daripada binatang-binatang jinak yang lain. Sangat dayus, yakni tidak mempunyai sifat cemburu langsung dengan membiarkan pasangan betinanya kepada babi jantan lain tanpa sebarang tindak balas.”
Kitab-kitab al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah dan Hikmah wa Asbâb Tahrîm Lahm al-Khinzîr fi al-‘Ilm wa ad-Dîn juga turut menyebut: “Dalam babi mengandungi pelbagai virus dan parasit yang tidak mati walaupun setelah dimasak. Virus dan parasit tersebut, jika berpindah kepada manusia akan mengakibatkan pelbagai penyakit yang berbahaya.”
Memadai keterangan-keterangan di atas sebagai isyarat kenapa agama Islam telah mengharamkan babi daripada dimakan, disentuh dan dimanfaatkan dalam apa cara sekalipun. Setengah ulama sehinggakan telah menyatakan bahawa babi itu adalah antara binatang yang sunat dibunuh.
Kamaluddin Muhammad bin Musa ad-Damiri Rahimahullâh dalam kitab Hayah al-Hayawân al-Kubrâ berkata:
Ertinya: Betul, ia (babi) lebih buruk sifatnya daripada anjing. Oleh kerana itu sesungguhnya disunatkan membunuhnya dan tidak harus mengambil manfaat daripadanya dalam apa jua keadaan, berbeza dengan anjing.
Penjelasan di atas menunjukkan bahawa khusus berkenaan binatang yang bernama babi, ia boleh bahkan sunat dibunuh apatah lagi jika binatang tersebut turut menyakiti atau melakukan kerosakan ke atas manusia atau harta benda.
Demikian penjelasan para ulama bagi menjawab pertanyaan yang diajukan di atas.
Manakala dalam perkara pencegahan ke atas binatang-binatang seperti kera atau monyet yang menyerang atau menyebabkan kerosakan ke atas tanaman serta harta benda, adalah teratur jika dapat dikenalpasti terlebih dahulu sebab dan punca kenapa binatang-binatang berkenaan bertindak sedemikian. Adakah sampah sarap yang berselerakan itu telah dikumpulkan dengan cara yang teratur? Adakah juga telah diikhtiarkan terlebih dahulu cara-cara supaya binatang-binatang itu tidak berkunjung berulang kali ke tempat-tempat yang sepatutnya dijaga seperti dengan menutup kawasan atau mengunci pintu-pintu daripada dimasuki oleh binatang-binatang berkenaan.
Jika langkah-langkah dan ikhtiar seperti itu telah dilaksanakan, maka langkah seterusnya ialah mencegah kerosakan yang didatangkan oleh binatang-binatang itu secara berperingkat-peringkat bermula daripada cara yang paling ringan iaitu dengan menghalau atau menakut-nakutkannya dengan cara yang bukan fizikal. Pada masa kini, umpamanya, terdapat peralatan-peralatan yang mengeluarkan bunyi-bunyian atau suara-suara tertentu yang direka untuk menakutkan dan menghalau jenis-jenis binatang yang tertentu.
Jika langkah di atas tidak berjaya, usaha seterusnya yang boleh dilakukan ialah memukul binatang berkenaan; sekiranya tidak dapat dipukul dengan tangan baharulah ia dipukul dengan benda-benda yang menyebabkannya lari atau takut tanpa mencederakannya. Jika gagal, bolehlah ia dicederakan tanpa membunuhnya.
Apabila semua langkah-langkah seperti di atas tetap sia-sia dan gagal belaka, sedangkan kemudharatan yang bakal berlaku dikhuatiri semakin merebak dan membesar, maka jika pasti dengan cara membunuh binatang-binatang itu sahaja menjadi jalan penyelesaiannya, maka pada ketika itu haruslah binatang-binatang yang benar-benar mengganggu, menyerang dan membuat kerosakan itu dibunuh setakat pada kadar yang diperlukan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12655
