Hukum Mengamalkan Yoga
Soalan: Mohon pencerahan mengenai dengan senaman yang ada kaitan langsung dengan yoga. Persoalannya:
1. Adakah ia bertentangan dengan aqidah jika dilakukan tanpa sebarang bacaan, mantera atau bunyi-bunyian?
2. Bagaimana pula jika bacaan, mantera atau bunyi-bunyian tersebut diganti dengan zikir atau do‘a-do‘a?
Jawapan: Apabila disebut yoga, ramai yang mengaitkannya dengan sejenis latihan gerak badan atau fizikal yang khusus dan sukar. Ia dikatakan boleh mendatangkan manfaat kepada tubuh badan manusia. Namun apabila dilihat lebih jauh, yoga hakikatnya bukan hanya sekadar latihan fizikal, tetapi berkaitan dengan nilai moral, etika, meditasi, posisi tubuh (posture), penumpuan kesedaran, kebaktian dan ibadat yang terdapat dalam ajaran agama Hindu.
Perkataan ‘yoga’ berasal dari perkataan Sanskrit yuj bermaksud ‘untuk bercantum dan menumpukan’ (to join or concentrate). Perkataan ‘yoga’ juga dikatakan diambil daripada satu kata asal yang juga merupakan kata asal bagi perkataan Inggeris yoke yang mempunyai dua konotasi makna berbeza iaitu ‘bersatu’ (to unite -yoke together) dan ‘untuk menjalani latihan berdisiplin’ (to bring under the yoke). Kedua-dua konotasi ini juga terdapat dalam perkataan Sanskrit tersebut.
Yoga secara umumnya merupakan satu proses dan juga matlamat. Dalam konteks ini yoga dilihat sebagai shastra atau ajaran (teaching) yang membawa kepada pembebasan secara berperingkat daripada kesengsaraan yang dipanggil moksha. Meskipun sejarah kemunculannya tidak dapat diketahui dengan jelas, dipercayai bahawa amalan yoga ini telah muncul dari lingkungan wilayah India purba, yang mempunyai banyak amalan-amalan spiritual dan telah dipraktikkan sejak sebelum sejarah dicatatkan lagi. Berdasarkan sumber yang diperolehi, yoga sememangnya mempunyai hubungkait dengan agama Hindu, bahkan boleh dikatakan sebagai sebahagian daripada ajaran yang terdapat di dalam agama tersebut. Maka untuk menjelaskan perkara ini, perlu diketahui serba sedikit tentang asas kepercayaan agama tersebut serta kaitannya dengan yoga.
Asas Agama Hindu Hindu asalnya diambil daripada perkataan Sindhu, iaitu nama Sungai Indus dalam bahasa Parsi. Ia juga merupakan nama yang diberikan oleh orang-orang Parsi kepada sekumpulan orang yang telah menakluki dan menetap di lembah Sungai Indus yang dikenali sebagai Aryans (bererti noble). Dahulu perkataan Hindu hanyalah satu istilah geografi bagi orang India dan mereka ini tidak mempunyai nama khusus bagi agama yang mereka anuti. Namun disebabkan agama anutan dan cara hidup kumpulan ini tidak dapat dipisahkan, maka lama-kelamaan perkataan Hindu juga turut diberikan maksud keagamaan.
Agama Hindu adalah agama tertua di dunia dan ia terdiri daripada pelbagai falsafah, tradisi dan amalan yang telah diikuti serata Asia lebih dari ribuan tahun. Agama ini tidak mempunyai pengasas tertentu ataupun buku suci tunggal yang berautoriti sebagaimana yang terdapat dalam agama lain. Agama Hindu juga dinamakan sebagai Sanatana Dharma (Eternal Truth) iaitu ‘kebenaran abadi’. Perkataan dharma ini juga boleh diertikan sebagai right conduct (kelakuan yang betul), agama, tanggungjawab, ciri, peraturan atau undang-undang ataupun perintah keadilan dan kebaikan.
Maka berdasarkan adunan yang pelbagai ini terdapat beberapa konsep, dasar ataupun fahaman yang menjadi pegangan utama dalam agama Hindu.
Kepercayaan Teras atau Utama
Terdapat dua kepercayaan utama (core beliefs) dalam agama Hindu:
1. Kesatuan Kewujudan (the Oneness of Existence).
Menurut kepercayaan ini, semua makhluk di dunia ini dianggap sebagai manifestations of the Divine (manifestasi tuhan) ataupun dianggap sebagai reflections of the Divine’s qualities (bayangan/pantulan ciri-ciri ketuhanan), iaitu tertakluk kepada fahaman aliran falsafah Hindu yang berkenaan dengannya. Oleh kerana ‘ketuhanan’ ini dikongsi bersama oleh semua makhluk, agama Hindu menganggap seluruh alam ini sebagai satu keluarga dan berpegang kepada kesamarataan makhluk.
Selain itu menurut ajaran Hindu, di dalam diri manusia terdapat sesuatu yang menjadi pusat kehidupan yang sebenar dan tersembunyi dalam diri manusia yang dinamakan Atman (the hidden self atau the real self), yang hakikatnya adalah Brahman¸ yang dianggap sebagai tuhan tertinggi. Cuma manusia tidak menyedari perkara ini dan perlu menempuh beberapa cabaran dan jalan untuk menemukannya.
2. Pluralisma.
Agama Hindu beranggapan bahawa kepelbagaian yang ada di alam ini, sama ada dari segi kecenderungan, keperibadian, kebudayaan, kepercayaan atau agama saling berhubungkait di antara satu dengan lain dan juga berhubungkait dengan the Divine dengan cara yang tersendiri.
Maka berdasarkan ini agama Hindu mempercayai bahawa the Divine boleh memanifestasikan diri dalam pelbagai bentuk, boleh disembah dengan apa jua cara, ‘bercakap’ dengan setiap individu dengan cara berbeza yang membolehkan mereka mempercayai tuhan dan mengenalinya.
Manakala kepercayaan agama Hindu terhadap pluralisma telah menyumbang kepada kebebasan spiritual dan agama. Perkara ini dapat dilihat pada kepelbagaian yang terdapat dalam agama tersebut yang mempunyai tradisi dewa/dewi (deity traditions), yogas (paths atau jalan untuk meraih matlamat), aliran pemikiran atau falsafah dan juga cara peribadatan atau penyembahan yang banyak. Maka berdasarkan kepercayaan ini kepelbagaian yang pada hakikatnya adalah sama dan mempunyai matlamat yang satu dan sama.
Kepercayaan Tentang Konsep Ketuhanan
Menurut ajaran Hindu, tuhan adalah Supreme Reality (penguasa tertinggi atau kewujudan teringgi) atau Brahman, yang tidak dapat diungkapkan dan tidak terbayang oleh akal manusia. Konsep ketuhanan ini kemudiannya dilihat pada tiga representasi; Brahma sebagai pencipta, Vishnu sebagai pemelihara, Mahesha atau Shiva sebagai pemusnah.
Di samping itu ia juga boleh dilihat menerusi konsep Ishta Devata (desired divinity) ataupun personal god di mana ketuhanan itu difahami berdasarkan fahaman individu tentang tuhan mengikut sebagaimana yang diinginkannya. Maka di sini seorang Hindu itu akan menyembah tuhan mengikut fahaman dan caranya tersendiri. Dalam konteks ini, ketuhanan itu dapat dilihat dalam pelbagai bentuk keperibadian khusus antaranya Krishna, Rama, Ganesh dan selainnya.
Matlamat atau Tujuan Hidup
Manakala matlamat utama atau tertinggi dalam kehidupan Hindu ialah untuk meraih moksha (salvation atau liberation) iaitu mencapai keselamatan/pembebasan dan penyatuan dengan tuhan. Untuk tahap ini seorang Hindu hendaklah membebaskan dirinya daripada samsara (the cycle of rebirth).
Menurut kepercayaan samsara ini seorang itu akan mengalami pusingan kelahiran semula dan kematian tanpa kesudahan kecuali dia berjaya meraih moksha. Jumlah kelahiran yang dialaminya pula adalah tertakluk kepada segala perbuatan yang dilakukan semasa hidupnya yang dinamakan karma. Setiap perbuatan sama ada baik atau buruk akan memberi kesan kepada kehidupannya. Namun seorang Hindu itu boleh mengubah masa hadapannya dengan mengawal atau mengubah karmanya. Untuk mengawal karma, seorang Hindu itu perlu mendisiplinkan minda dan tubuhnya supaya dapat bebas dari samsara.
Untuk mengawal segala perbuatan dan tindak-tanduk seorang Hindu, agama ini telah mengaturkan disiplin sebagai panduan dalam semua peringkat kehidupan pengikutnya (stages of life) yang dipanggil ashrama dan ia terbahagi kepada empat peringkat:
1. Brahmacharyashram - peringkat latihan, pembelajaran dan disiplin.
2. Grahasthashram - peringkat berumah tangga dan berkerja untuk menyumbang kepada masyarakat.
3. Vanaprasthashram - peringkat persaraan dan mula mengurangkan ikatan dengan persekitarannya atau dunia.
4. Sanyasi – peringkat pertapaan di mana seseorang itu tidak akan memilik apa jua harta dan hanya berharapkan kepada sumbangan amal daripada orang sekelilingnya bagi kesejahteraan/kelangsungan kehidupannya.
Manakala untuk meraih moksha seorang Hindu hendaklah berjaya mencapai tiga objektif dalam kehidupan, (1) Dharma – berbuat baik, (2) Artha – beroleh kekayaan dan kemakmuran dan (3) Kama – beroleh keni‘matan dan kesenangan dunia. Keseimbangan ketiga-tiga objektif kehidupan ini adalah kehidupan yang ideal menurut agama Hindu. Setelah mencapai kesemua ini, matlamat setiap individu adalah untuk meraih moksha dan penyatuan dengan tuhan. Jalan atau cara (paths) untuk mencapai matlamat ini adalah menerusi yoga.
Yoga dalam Agama Hindu
Yoga dalam agama Hindu merangkumi pelbagai sistem praktis atau amali yang berasaskan aliran falsafah Hindu, yang menggariskan cara-cara untuk menyatukan minda, jasad dan jiwa, ataupun menyatukan perbuatan dan pemikiran dengan Divinity (kuasa tertinggi) dan meraih moksha. Setiap individu digalakkan untuk mencari yoga yang bersesuaian dengan diri dan peribadinya supaya dia dapat memanfaatkan kelebihan yang ada pada dirinya untuk meraih moksha. Maka dapat difahami di sini bahawa jalan atau cara untuk meraih moksha itu adalah pelbagai dan tidak terhad kepada satu cara sahaja.
Sebagaimana yang disebutkan dalam artikel bertajuk Yoga Beyond Asana: Hindu Thought in Practice, yoga banyak disebut dan dibincangkan dalam teks buku-buku suci Hindu dan mempunyai jenis yang pelbagai. Namun empat daripadanya adalah yang asas dan utama serta disebutkan dalam buku Bhagavad Gita iaitu:
1. Bhakti Yoga – Bakhti bermaksud cinta dan pengabdian. Dengan yoga ini seorang Hindu akan mendedikasikan dirinya untuk beribadat kepada tuhan. Kecintaan dan pengabdian ini dizahirkan dengan nyanyian, puisi, upacara, ziarah (pilgrimage) dan menyatakan kecintaan kepada the Infinite (yang abadi). Maka segala perbuatan yang dilakukan, yang berkaitan dengan keagamaan termasuk sebagai Bhakti Yoga.
2. Jnana Yoga – Jnana bermaksud pengetahuan (knowledge). Ini dilakukan dengan memupuk ilmu pengetahuan dalam diri untuk tujuan spiritual. Cara ini umumnya akan melibatkan kajian terhadap buku-buku suci, belajar daripada para pendeta, dedikasi dalam mencari kejelasan pemikiran, pemerhatian atau analisis diri dan meditasi.
3. Karma Yoga – Karma bermaksud perbuatan (action). Perbuatan yang dimaksudkan di sini ialah segala perbuatan dan pekerjaan dilakukan bukan atas keinginan, manfaat, kepentingan atau ganjaran peribadi tetapi dilakukan atas kehendak tuhan dan demi tuhan semata-mata.
4. Dhyana Yoga – Dhyana bermaksud konsentrasi. Yoga ini juga turut dipanggil Raja Yoga atau royal (raj) yoga oleh sesetengah pihak. Yoga dengan cara ini adalah menerusi latihan atau eksperimen psikofizikal (psychophysical excercises or experiments). Cara ini menumpukan latihan terhadap minda tetapi tetap melibatkan fizikal.
Yoga pada Masa Kini
Dalam agama Hindu terdapat enam sistem atau aliran ortodoks (astika) falsafah Hindu. Kesemua aliran ini menerima Vedas (kumpulan buku-buku suci Hindu) dan dipanggil sebagai darshana. Yoga yang dikenali masa kini adalah berdasarkan salah satu aliran falsafah ini iaitu Yoga Darshana. Aliran falsafah ini diasaskan oleh seorang pendeta yang dikenali dengan nama Patanjali. Falsafahnya ini adalah berasaskan Yoga Sutra di mana Patanjali telah mengumpulkan, menyusun dan mengatur ajaran berkaitan yoga secara sistematik.
Yoga diterangkan oleh Patanjali sebagai menahan atau menenangkan minda daripada sebarang pergerakan dalam pelbagai bentuknya. Praktikal yoga ini mempunyai lapan langkah atau komponen yang kini dikenali dengan nama ashtanga yoga (eight-limbed yoga) iaitu i) Yama (morals), ii) Niyama (ethics) iii) Asana (posture), iv) Pranayama (control of the breath), v) Pratyahara (control of the senses), vi) Dharana (concentration), vii) Dhyana (meditation), viii) Samadhi (one-pointed absorption). Dengan mempraktikkan langkah-langkah ini seseorang itu akan membuka jalan untuk meraih liberation atau kebebasan.
Yoga Pantanjali ini, menurut artikel yang dikeluarkan oleh laman web sebuah badan Institusi Agama Sanskrit (the Sanskrit Religions Institute (S.R.I.) Sri Devasthanam yang berpusat di Amerika Syarikat adalah termasuk di bawah jenis Dhyana Yoga. Bahkan kelas-kelas yoga yang dihadiri orang ramai, bertujuan untuk mengawal berat badan dan mengurangkan tekanan (stress reduction) adalah sebahagian daripada proses Dhyana Yoga yang dinamakan Hatha Yoga. Di mana untuk mencapai tahap meditasi itu, tubuh badan dan minda hendaklah kuat, sihat dan boleh dikawal, ini dilakukan menerusi Hatha Yoga. Pengawalan pernafasan yang dinamakan Pranayama Yoga juga dikatakan sebahagian daripada Dhyana Yoga dan sangat kondusif untuk pengawalan minda dan meditasi. Manakala menurut artikel yang dikeluarkan oleh laman web HAF (Hindu American Association), Dhyana Yoga ini mempunyai banyak persamaan dengan yoga seperti yang dilihat pada hari ini.
Oleh itu berdasarkan penerangan ini, yoga dengan pelbagai variasi yang wujud pada ketika ini adalah berasal daripada ajaran aliran falsafah Hindu yang berasal daripada ajaran agama Hindu. Bahkan kaitan di antara yoga dan agama itu adalah jelas kerana yoga digelarkan sebagai jalan kepada tuhan yang mempunyai pelbagai bentuk dan variasi.
Hukum Mengamalkan Yoga Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya daripada melakukan riadah atau bersenam, malahan menuntut umatnya mengamalkan cara hidup sihat kerana tujuan daripada bersenam itu juga adalah untuk mendapatkan kesihatan, ketenangan dan kesegaran rohani dan jasmani.
Diriwayatkan oleh Salamah bin ‘Ubaidillah Radhiallâhu ‘anhu, daripada bapanya bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa daripada kamu yang bangun pagi dalam kesejahteraan bersama keluarganya, sihat tubuh badannya, dia mempunyai bekalan makanan untuk hari itu, maka seolah-olah dia menguasai dunia ini. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Namun begitu, senaman yang diharuskan itu ialah senaman yang tidak diharamkan, tidak menjurus kepada pelanggaran ketetapan syariat Islam dan tidak membawa kepada kerosakan aqidah. Ini kerana kesembuhan dan kesihatan tubuh badan itu adalah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Dia tidak akan memberi kesihatan melalui jalan yang haram.
Menyentuh mengenai yoga sebagaimana diterangkan di atas, latihan gerakan ini hakikatnya bukan tertumpu pada fizikal semata-mata tetapi melibatkan meditasi dan pengawalan minda atau fikiran. Matlamat latihan ini dilakukan ialah untuk mencapai pembebasan diri daripada penderitaan kehidupan dan bersatu dengan the Divine atau tuhan.
Selain itu setiap asana (posture) iaitu pergerakan atau posisi tubuh dalam latihan yoga, mempunyai maksud yang tersendiri yang kebanyakannya berkaitan dengan kepercayaan Hindu. Antaranya seperti berikut:
1. Padmasana (kedudukan bunga teratai) iaitu duduk bersila di atas lantai di mana kaki kanan di atas paha kiri dan kaki kiri di atas paha kanan. Bunga ini dianggap sebagai lambang atau simbol divine consciousness (kesedaran ilahi/hakiki) dan divine beauty (keindahan ilahi/hakiki). Disebabkan ini dewa-dewa yang dikaitkan dengan divinity (ketuhanan) termasuk Brahma dan Buddha sering digambarkan duduk di atas tahta bunga teratai ataupun dihiasi dengannya ataupun duduk dalam posisi ini.
2. Garudasana dalam Bahasa Inggeris dipanggil eagle posture (postur helang). Namun di kawasan Asia Selatan, nama garuda diberikan kepada sejenis makhluk berkuasa (divine creature). Ia dikatakan adalah sejenis makhluk burung mitos gergasi dengan badan manusia berwarna keemasan, muka berwarna putih, sayap berwarna merah dan paruhnya seperti helang. Ia adalah raja di kalangan burung, musuh kepada ular dan teman/kawan kepada manusia. Garuda ini adalah kenaikan atau tunggangan dewa/tuhan Vishnu yang dikatakan menjelma sebagai manusia. Dalam kisah the Ramayana, Jatayu adalah garuda, sejenis makhluk berupa burung yang diceritakan telah cuba untuk menyelamatkan isteri kepada Rama (yang merupakan jelmaan (incarnation) dewa/tuhan Vishnu) daripada diculik oleh syaitan Ravana.
3. Virabhadrasana (postur pahlawan) yang melambangkan seorang pahlawan bernama Virabhadra, anak lelaki kepada tuhan Shiva. Virabhadra dikatakan lahir daripada gelungan rambut Shiva dan kemudiannya dijadikan sebagai komander tenteranya untuk menentang musuh; keegoan dan kejahilan.
Maka ketika sedang melakukan salah satu di antara tiga variasi gerakan ini, seseorang itu sewajarnya memupuk dalam dirinya minda seorang pahlawan yang tidak gentar menghadapi pertempuran dan sentiasa tetap dengan pendiriannya walaupun keadaan kacau bilau. Ciri-ciri ini boleh diserap dalam diri untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian.
4. Vasisthasana dan Vishvamitrasana. Kedua-dua postur ini menceritakan mengenai kisah Vasistha iaitu seorang pendeta yang terdiri daripada kumpulan kasta tertinggi Hindu; Brahmin dan seorang raja bernama Vishvamitra yang merupakan dari kasta kedua tertinggi Hindu; Kshatriya.
5. Hanumanasana. Postur ini adalah berdasar tuhan monyet Hanuman dan turut mempunyai cerita disebaliknya.
Bahkan banyak lagi pergerakan-pergerakan atau postur-postur lain yang mempunyai unsur-unsur kepercayaan Hindu. Meskipun beberapa cerita di sebalik bentuk posisi yoga itu adalah mitos, namun figura atau tokoh yang mempengaruhi pergerakan tersebut tetap merupakan sebahagian daripada kepercayaan Hindu dan dihormati dalam masyarakat Hindu amnya dan para pengamal yoga khasnya.
Oleh itu apabila memperkatakan tentang yoga, sama ada dilakukan untuk tujuan kepercayaan agama dan spiritual atau semata-mata sebagai senaman fizikal ataupun untuk menenangkan minda daripada kekusutan dan kekacauan, unsur kepercayaan Hindu tetap terselit di dalamnya. Dari kerana itu, mengamalkan yoga adalah sesuatu yang bertentangan dengan syara‘, bahkan boleh membawa kepada kufur.
Yoga dan Pertentangannya dengan Aqidah
1. Tasyabbuh.
Apabila seorang Muslim itu meniru atau menyerupai orang bukan Islam sama ada pada percakapan, perbuatan dan selainnya, maka berlakulah perkara yang dinamakan sebagai tasyabbuh. Perihal tasyabbuh ini telah banyak disebutkan dalam ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan “râ‘inâ” (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).
Sebaliknya katakanlah “unzhurnâ” dan dengarlah (segala perintah dan patuhilah dengan sepenuh hati). Dan bagi orang-orang kafir itu disediakan azab yang pedih (neraka). (Surah al-Baqarah: 104)
Menurut Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang hambaNya yang beriman menyerupai atau meniru orang kafir pada percakapan dan perbuatan mereka. Turut diterangkan dalam ayat berikutnya tentang betapa kuatnya permusuhan orang-orang kafir daripada ahli kitab dan orang-orang musyrik yang telah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berikan peringatan kepada orang mu’min supaya berjaga-jaga dari menyerupai atau meniru mereka dan bagi menjauhkan mawaddah di antara mereka.
Dalam riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga ada menyebutkan mengenai larangan tasyabbuh atau penyerupaan dengan kaum yang bukan Islam:
Maksudnya: Sesiapa menyerupai dengan (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang diserupainya itu). (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abu Daud menyebutkan bahawa Imam al- Munawi dan Imam al-‘Alqami Rahimahumallâh menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tasyabbuh atau penyerupaan dengan sesuatu kaum itu ialah berpakaian pada zahir dengan pakaian kaum tersebut (yang khusus dipakai oleh mereka) dan berkelakuan mengikut perangai atau tingkah laku kaum tersebut dalam aspek pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.
Dalam kitab Faidh al-Qadîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr, Imam al-Munawi menta‘rîfkan tasyabbuh sebagai berhias secara zahir dengan hiasan kaum tersebut, tampil berkelakuan sesuai dengan perbuatan mereka, berakhlak dengan akhlak mereka, menjalani hidup dengan cara mereka, menyerupai mereka dalam berpakaian dan sebahagian perbuatan mereka. Adapun tasyabbuh yang sebenar adalah tasyabbuh yang bertepatan pada zahir dan batinnya.
Maka sesiapa yang berbuat sedemikian, orang tersebut dianggap tergolong daripada kaum yang diserupainya kerana menurut al-Munawi, sesiapa yang menyerupai orang-orang yang salih maka orang tersebut akan menjadi pengikut mereka serta dia dimuliakan sebagaimana orang-orang salih itu dimuliakan dan begitu juga sebaliknya.
Bahkan dalam perkara ini, Imam al-Munawi juga menyebutkan pandangan Imam al- Qurthubi Rahimahullâh yang mengatakan bahawa jika pakaian tertentu itu khusus dipakai oleh orang yang fâsiq dan orang yang tidak berakhlak, maka orang lain ditegah daripada memakai pakaian tersebut kerana dengan memakai pakaian tersebut, si pemakai akan disangka tergolong dalam kalangan orang fâsiq dan tidak berakhlak oleh orang yang tidak mengenalinya. Perkara ini akan menimbulkan sangkaan buruk yang menyebabkan dosa bagi orang yang berburuk sangka dan orang yang mencetuskannya disebabkan oleh perbuatannya.
Sesetengah ulama mengatakan bahawa tasyabbuh itu adakalanya berlaku pada perkara qalbiyyah (dalaman) berkaitan dengan i‘tiqâd, keinginan dan pada perkara luaran seperti percakapan dan perbuatan. Adakala tasyabbuh itu berlaku pada perkara ibadat dan adakalanya pada perkara berkaitan adat seperti jenis makanan, pakaian, tempat kediaman, pernikahan, kehidupan sosial serta individu, pelayaran, penempatan, kenderaan dan selainnya. Dinyatakan juga bahawa di antara perkara zahir dan batin itu terdapat pertalian dan hubungkait.
Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh ketika menyebutkan hadits yang serupa menyatakan bahawa hadits tersebut adalah dalil yang menunjukkan larangan keras, ancaman dan janji balasan terhadap perbuatan tasyabbuh dengan orang-orang kafir pada percakapan, perbuatan, pakaian, hari raya, perkara ibadat dan juga perkara-perkara lain yang tidak disyariatkan kepada umat Islam dan tidak diperakui umat Islam ke atasnya.
Manakala dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn menyebutkan mengenai tasyabbuh atau penyerupaan seperti orang kafir seperti berikut:
i. Jika seseorang itu berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir kerana suka atau cenderung kepada agama mereka dan berniat untuk menyerupai dengan mereka dalam simbol-simbol kekufuran, atau pergi bersama orang-orang kafir ke rumah-rumah ibadat mereka, maka orang tersebut menjadi kufur dengan perbuatan yang tersebut di atas.
ii. Jika seseorang itu berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir tanpa ada niat suka atau cenderung kepada agama mereka, tetapi hanya bertujuan untuk tasyabbuh dengan mereka pada simbol-simbol perayaan mereka, atau sebagai penghubung kepada muamalat yang harus bersama mereka maka orang tersebut berdosa.
iii. Jika seseorang itu hanya tasyabbuh dengan orang kafir secara kebetulan tanpa ada niat suka atau cenderung pada agama mereka maka hukumnya adalah makruh.
Berdasarkan pendapat ini, perbuatan tasyabbuh itu membawa kesan hukum berbeza tertakluk pada perkara yang diserupai dan juga niat atau tujuan perkara itu dilakukan.
Namun begitu terdapat beberapa pengecualian yang disebut oleh ulama dalam perkara tasyabbuh ini. Menurut penerangan Syaikh Abu Muhammad bin Abu Jamrah Nafa‘ullâhu bih dalam kitab Fath al-Bâri, tasyabbuh pada perkara yang baik tidak menjadi kesalahan.
Ertinya: Mengikut zahir lafaz (hadits) bahawa celaan daripada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) itu adalah dalam setiap perkara, akan tetapi yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang dimaksudkan (ialah) tasyabbuh pada pakaian, sebahagian sifat, tingkah laku (perbuatan) dan seumpamanya, bukan tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik.
Manakala tasyabbuh dalam perkara baik ini, ia telah banyak dibincang dan dibahas oleh para pengkaji hukum dan ilmuwan Islam. Ada yang menyatakan bahawa perkara yang menjadi tuntutan dalam Islam dan juga mashlahat yang dii‘tibâr syara‘ adalah terkeluar daripada tasyabbuh yang ditegah. Contohnya seperti persiapan perang, kajian sains, perubatan, penemuan baru, teknologi moden dan selainnya. Namun tasyabbuh pada perkara-perkara lain seperti pakaian, gaya dan cara hidup, sebahagian akhlak dan tingkah laku adalah ditegah.
Apa yang penting dalam menentukan perkara yang dianggap baik, bermanfaat atau mendatangkan mashlahat ini, bukanlah diukur berdasarkan penilaian atau kemahuan manusia, tetapi sebaliknya ia dinilai berdasarkan pandangan syara‘. Ini kerana adakala yang dilihat oleh manusia sebagai membawa kebaikan dan manfaat itu hakikatnya membawa kepada kerosakan, manakala perkara yang tidak disukai atau tidak diinginkan hakikatnya membawa kebaikan dan manfaat yang lebih besar.
Maka jelaslah bahawa pada yoga itu terdapat unsur ajaran Hindu, bahkan dengan pengamalannya terdapat unsur meraikan sesuatu yang khusus bagi kaum tersebut yang mempunyai maksud, istilah, pemikiran, budaya dan aqidah agama mereka.
Dari sebab itu, umat Islam hendaklah berhati-hati dalam mengikuti apa jua perkara yang baharu ataupun perkara yang diketahui bukan berasal daripada Islam agar tidak mudah terikut-ikut secara membuta tuli. Umat Islam jelasnya mempunyai pegangan dan kepercayaan sendiri tanpa perlu mengikut budaya dan amalan agama lain.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Surah al-Kâfirûn: 6)
2. Penyatuan Diri dengan Tuhan.
Selain daripada tasyabbuh pada perbuatan dan kepercayaan ajaran Hindu, yoga sebagaimana yang diterangkan melibatkan meditasi dan penyatuan diri dengan ‘tuhan’.
Dalam Islam, penyatuan diri seseorang dengan makhluk atau benda lain adalah bukan daripada ajaran Islam. Apabila penyatuan ini berkait pula penyatuan diri manusia dengan tuhan maka ia adalah jelas bertentangan dengan aqidah Islam. Ini kerana dengan dikatakan begitu, bermakna tuhan itu bersatu dengan jasad manusia sedangkan kewujudan kedua-duanya itu jauh berbeza dan tidak mungkin bersatu. Secara tidak langsung ini juga mengatakan bahawa tuhan itu berjisim dan bertempat dan ini adalah bâthil. Adalah mustahil atau tidak layak berlaku Allah menjelma ke dalam tubuh badan manusia kerana Allah itu ada di mana jua dan kewujudanNya tidak bertempat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Allah jualah yang memiliki Timur dan Barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke qiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah. Sesungguhnya Allah Maha luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 115)
3. Pengosongan Minda.
Sebagaimana yang disebutkan di atas, amalan atau latihan yoga melibatkan proses meditasi yang menekankan penahanan atau pengosongan minda daripada segala pergerakan atau aktivitinya. Segala gerakan minda; yang upaya mengenal pasti, menilai, memberi reaksi, mengingat dan seumpamanya perlu dikawal dan diheningkan agar seseorang itu mencapai pengenalan tentang diri yang sebenar yang dipanggil Atman atau the Real Self/Soul yang tersembunyi dalam dirinya. Apabila seseorang itu telah menemukan the Real Self, maka dia akan menyedari dirinya yang sebenar, meraih kebebasan dan penyatuan dengan ‘tuhan’.
Maka pengosongan yang disebut di sini adalah bertentangan dengan tuntutan supaya hamba Allah Ta‘ala itu sentiasa mengingatiNya di setiap masa, sebagaimana dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan ni‘matKu). (Surah al-Baqarah: 152)
Apabila minda kosong daripada sebarang aktivitinya, seseorang itu akan alpa dan lalai daripada mengingati Allah Ta‘ala, maka syaitan dengan mudah akan menyelusup masuk untuk menggoda, menyesatkan, dan sentiasa mendampinginya. Seseorang itu tidak akan dapat keluar menuju ke jalan yang benar kerana telah dihalangi oleh syaitan.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadikan syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka daripada jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Sehingga apabila dia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada Hari Kiamat), berkatalah dia (kepada syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) di antaraku denganmu sejauh Timur dengan Barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman.” (Surah az-Zukhruf: 36-38)
Menurut Imam Ibnu Katsir dan al-Qurthubi Rahimahumallâh, kalimah ُ شحَع ي membawa maksud buta, lalai dan berpaling daripada mengingati Allah. Maka perbuatan tersebut bertentangan dengan apa yang dituntut dalam Islam.
Sebagai kesimpulan, mempraktikkan yoga sebagaimana kepercayaan Hindu adalah perkara yang merosakkan aqidah dan boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Manakala mempraktikkan yoga sebagai gerakan fizikal semata-mata tanpa niat atau cenderung pada agama tersebut adalah dilarang kerana berlakunya tasyabbuh pada perbuatan yang menyamai perbuatan penganut Hindu kerana hakikatnya yoga lahir di kalangan puak Hindu berdasarkan kepercayaan mereka tentang ketuhanan. Oleh itu meskipun seorang Muslim itu tidak cenderung kepada sebarang kepercayaan Hindu berkaitan yoga, namun perbuatannya tetap menyamai perbuatan mereka dalam melakukan yoga. Sekalipun yoga itu dilakukan tanpa mantera-manteranya namun dari segi perbuatan tetap berlaku tasyabbuh yang dilarang sebagaimana disebutkan di atas. Begitu juga sekiranya mantera-mantera yoga itu hendak digantikan dengan zikir-zikir atau do‘a-do‘a, tasyabbuh itu tetap berlaku dari segi perbuatannya. Segala bentuk pergerakan dan posisi tubuh ketika melakukan senaman tersebut adalah meniru gerak atau postur yoga yang ada dalam amalan puak Hindu.
Oleh itu tidak harus bagi orang Islam melakukan senaman yang ada kaitan langsung dengan yoga termasuk pada gerak dan posturnya kerana mengamalkan yoga sama ada berniat untuk mengikut amalan agama Hindu ataupun hanya sebagai senaman kesihatan tetap diharamkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan Brunei, dalam fatwa bilangan: 64/1984, beliau menyatakan:
“Jika orang yang mengamalkan Yoga kiranya mengamalkan cara Hindu dan menyembah dan memuja apa yang dipuja dan disembah oleh orang Hindu maka dia telah membuat syirik dan kufur kepada Allah Ta‘ala. Jika dia tiada menyembah bagaimana disembah oleh orang Hindu, maka dia telah membuat dosa kerana meniru kelakuan orang Hindu dan membesarkan perkara kufur, kerana dia boleh membawa kufur dan murtad dan dosanya adalah sangat-sangat besar.”
Dalam hal seumpama ini, umat Islam sewajarnya lebih berwaspada terhadap penyebaran budaya, tradisi atau pemikiran yang muncul dari agama-agama dan orang-orang bukan Islam kerana dikhuatiri akan terjerumus dalam perkara yang merosakkan aqidah dan dosa. Umat Islam juga sepatutnya usah terlalu ghairah untuk menerima dan mengikuti apa jua trend terbaharu yang muncul daripada sumber-sumber bukan Islam tanpa sebarang usul periksa terlebih dahulu. Hakikatnya, musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti merancang untuk menyesat dan merosakkan pegangan umat Islam dengan apa jua cara sekalipun, baik secara terang-terangan ataupun secara halus sehinggakan ia tidak disedari oleh umat Islam sendiri. Kita percaya masih banyak jenis senaman biasa yang boleh dilakukan untuk kesihatan tubuh badan selain yoga.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12659
