Hukum Menyertai Pertandingan Sukan yang Menawarkan Hadiah
Soalan: Dipohonkan penjelasan hukum menyertai pertandingan seperti bola sepak, futsal dan sebagainya. Ada yang mengatakan haram kerana ia seakan berjudi dan ada pula yang mengatakan tidak haram.
Jawapan: Menyertai apa jua pertandingan, baik ia berupa permainan mahupun sukan, apa jua jenisnya, seperti futsal, bola sepak, badminton dan sebagainya, yang menawarkan hadiah, perlu dilihat dari aspek siapakah penyumbang hadiah berkenaan.
Dalam mana-mana peraduan atau pertandingan, hadiah pada kebiasaannya akan disumbangkan oleh salah satu daripada tiga pihak berikut, iaitu:
i. Setiap peserta pertandingan.
ii. Salah seorang atau sebahagian daripada orang yang ikut serta bertanding.
iii. Pihak ketiga, iaitu orang yang tidak ikut serta dalam pertandingan.
Hadiah yang harus dalam sesuatu pertandingan itu ialah hadiah yang disumbangkan oleh pihak (ii) dan (iii) di atas. Hadiah yang disumbangkan oleh pihak (i) pula iaitu hadiah sumbangan setiap para peserta, jika pertandingan yang diadakan itu menyebabkan ada pihak yang tidak mendapat hadiah, maka jenis hadiah sedemikian inilah yang membawa kepada pertaruhan atau perjudian yang diharamkan.
Sebagai contoh, A, B, dan C kesemuanya adalah peserta dalam peraduan yang diadakan. Masing-masing menyumbang sejumlah wang untuk membeli satu hadiah pertandingan yang menjadi rebutan. Setelah peraduan berakhir, A menjadi pemenang dan dia mendapat hadiah yang dipertandingkan. Sebagai pemenang, A dikira mendapat keuntungan, manakala B dan C dianggap menanggung kerugian kerana tidak mendapat hadiah, bahkan kehilangan wang yang telah dipertaruhkan melalui pembelian hadiah. Maka peraduan seumpama ini adalah peraduan yang berunsurkan perjudian.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata di dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Maka jika (peserta-peserta peraduan) meletakkan syarat bahawasanya sesiapa di antara mereka menjadi pemenang, maka baginya (peserta yang menang untuk mendapatkan) barang yang dipertaruhkan oleh peserta yang kalah, tidak sah peraduan itu kecuali dengan (adanya) muhallil (pihak atau peserta yang menjadikan peraduan yang haram disertai itu kepada halal untuk disertai, iaitu pihak atau peserta yang tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam peraduan).
Bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh penanya, maka hendaklah dikenal pasti terlebih dahulu situasi pertandingan itu diadakan. Jika sukan yang dipertandingkan tidak menawarkan apa-apa hadiah akan tetapi tujuannya diadakan hanyalah untuk keseronokan semata-mata di samping meningkatkan kemahiran para pemain dari sudut pembangunan dan kecemerlangan sesebuah pasukan serta mengeratkan ikatan ukhuwah di antara satu sama lain, maka menyertai pertandingan sukan seperti ini adalah diharuskan pada syara‘ dan tidak timbul persoalan judi.
Akan tetapi jika penganjuran pertandingan sukan yang diadakan itu menyediakan hadiah untuk dimenangi, peserta yang mengikutinya perlu meneliti syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang dibuat oleh penganjur bagi mengelakkan unsur perjudian dalam pertandingan tersebut sebagaimana yang dijelaskan di atas. Ini kerana dalam pertandingan masa kini, kebanyakan ada yang mensyaratkan bayaran penyertaan kepada setiap peserta. Bayaran penyertaan ini boleh mencorakkan sesuatu pertandingan itu berunsur perjudian.
Sebagai contoh penganjur ingin mengadakan satu pertandingan bola sepak atau sebagainya di mana setiap pasukan diminta untuk menyediakan wang masing-masing dengan kadar tertentu. Di akhir permainan sesiapa yang menang akan memperolehi semua atau sebahagian wang hasil kutipan daripada semua pasukan tadi atau mendapat hadiah yang dibeli dengan menggunakan wang kutipan tersebut. Maka pertandingan seumpama ini adalah berunsur judi kerana adanya pertaruhan dan hanya sebelah pihak sahaja mendapat keuntungan hasil pertaruhan itu, manakala yang sebahagian pula tidak mendapat apa-apa.
Maka jelas di sini bahawa kutipan atau bayaran yang dikenakan untuk menyertai apapun pertandingan atau peraduan yang dijadikan sebagai hadiah sama ada dalam bentuk wang tunai ataupun benda, ada persamaannya dengan wang taruhan dalam judi, apabila hadiah pertandingan atau peraduan bersumber daripada bayaran penyertaan peserta.
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, jika hadiah pertandingan itu disumbangkan oleh salah seorang atau sebahagian peserta, maka pertandingan tersebut tidak termasuk dalam kategori judi. Jika salah seorang atau kumpulan daripada peserta-peserta yang menyertai sesuatu pertandingan menyediakan ganjaran berupa hadiah, maka pertandingan tersebut bersih daripada unsur perjudian. Misalnya peserta yang menyediakan hadiah tersebut berkata: “Jika engkau mengalahkanku, maka bagimu ganjaran ini” dan “jika aku mengalahkanmu, engkau tidak perlu memberiku ganjaran apapun.”
Adapun jika wang yang dikutip daripada semua peserta tujuannya digunakan untuk membeli keperluan para peserta seperti minuman, membayar pengadil atau hakim pertandingan dan yang seumpamanya, selama mana ia tidak membabitkan ganjaran kepada peserta yang menjadi pemenang pertandingan, maka tidaklah ia dianggap judi.
Kesimpulannya, menyertai apa pun jua pertandingan atau peraduan sukan yang memberikan pesertanya peluang untuk mendapat habuan atau keuntungan dan pada masa yang sama juga mempunyai risiko menanggung kerugian, maka pertandingan atau peraduan seperti itu adalah dikategorikan sebagai judi.
Judi dalam Islam adalah haram. Pengharamannya jelas disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)
Oleh itu, semua pihak lebih-lebih lagi para penganjur pertandingan hendaklah sentiasa peka terhadap ketetapan hukum syara‘ yang berkaitan dengan pertandingan yang mempunyai unsur judi kerana hukumnya adalah haram dan salah satu daripada dosa-dosa besar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12663
