Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Hukum Tidak Berpuasa Ramadhan kerana Bersukan

Soalan: Saya pernah terbaca di televisyen ada negara yang membenarkan atlet mereka untuk tidak berpuasa semata-mata untuk memenangi sesuatu pingat. Adakah atlet termasuk dalam kategori mereka yang dikecualikan untuk tidak berpuasa? Bagaimana pula bagi mereka yang membuat latihan intensif untuk negara?

Jawapan: Kewajipan menunaikan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Agama Islam itu terbina atas lima perkara; (iaitu) naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, menunaikan sembahyang (lima waktu), mengeluarkan zakat, pergi haji dan puasa bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ulama pula telah ijmâ‘ bahawa ibadat puasa adalah antara perkara-perkara yang mesti diketahui dalam agama (ma‘lûm min ad-dîn bi adh-dharûrah). Sesiapa yang mengingkari kewajipannya, maka dia menjadi kafir.

Ibadat puasa diwajibkan ke atas orang Islam yang mukallaf iaitu yang bâligh, berakal, bermuqîm dan berkemampuan menunaikannya (istithâ‘ah).

Maksud istithâ‘ah atau berkemampuan itu ialah sama ada berkemampuan dari segi fizikal (istithâ‘ah hissiyah) seperti tidak menanggung sakit yang tidak memungkinnya melaksanakan ibadat puasa atau berkemampuan dari segi syara‘ (istithâ‘ah syar‘iyyah) seperti tidak datang haidh dan nifâs.

Maka menurut hukum syara‘, mereka yang mencukupi syarat-syarat di atas adalah dituntut menunaikan ibadat puasa.

Apakah Orang yang Bersukan Dibolehkan untuk Tidak Berpuasa pada Bulan Ramadhan?

Walaupun hukum puasa Ramadhan itu wajib, namun Islam tidak memberatkan umatnya melakukannya dalam keadaan-keadaan tertentu kerana Islam agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)

Kedua-dua ayat di atas jelas menggambarkan bahawa apa pun ibadat atau tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syariat Islam itu bukan untuk menyusahkan umatnya. Ibadat atau tanggungjawab yang dituntut oleh syara‘ itu dilaksanakan mengikut kadar kemampuan seseorang. Bagi orang yang tidak berupaya menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan umpamanya ibadat puasa, Islam telah menyediakan kelonggaran-kelonggaran kepada mereka.

Namun kelonggaran-kelonggaran tersebut adalah berdasarkan wujudnya keuzuran yang dibenarkan syara‘ yang membolehkan atau mengharuskan mereka berbuka puasa pada siang hari Ramadhan sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama. Antara uzur yang diharuskan oleh syara‘ bagi seseorang itu berbuka puasa ialah sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syaikh ‘Abdullah ‘Abdul Rahman Ba Fadhl al-Hadhrami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muqaddimah al-Hadhramiyah:

Ertinya: Dan harus berbuka puasa kerana sakit yang mengharuskan bertayammum, bagi orang yang takut berlakunya mudharat atau kebinasaan, bersangatan lapar dan dahaga, dan bagi musafir pada safar (perjalanan) yang jauh lagi diharuskan (pada syara‘) melainkan jika safar itu berlaku selepas waktu fajar. Puasa dalam pelayaran adalah lebih afdhal jika dengan berpuasa tidak memudharatkan orang yang musafir itu.

Maka terdapat golongan atau orang-orang tertentu yang diharuskan berbuka atau tidak diwajibkan berpuasa sebagai rukhshah atau kelonggaran daripada syara‘ iaitu disebabkan oleh uzur syar‘i seperti sakit, musafir dan takut kemudharatan. Siapakah orang-orang yang diharuskan berbuka itu? Menurut penjelasan ulama, orang-orang yang diharuskan dan dibenarkan syara‘ berbuka pada siang hari bulan Ramadhan tersebut, antaranya ialah:

1. Orang sakit.

Orang yang sakit, jika puasa itu boleh mendatangkan mudharat iaitu mudharat yang mengharuskan bertayammum maka diharuskan dia berbuka. Mudharat yang sekira-kira diharuskan bertayammum itu ialah antaranya dia takut dengan berpuasa itu akan menyebabkan mudharat ke atas jiwanya atau ke atas anggotanya atau manfaat anggotanya. Mudharat yang ditakutinya berlaku itu termasuk sama ada menambahkan sakitnya atau melambatkan sembuh sakitnya atau dengan berpuasa itu menyebabkan berpanjangan sakitnya. Diharuskan bagi orang yang sakit itu berbuka puasa Ramadhan tetapi wajib ke atasnya mengqadha’ puasa sebanyak hari yang ditinggalkannya apabila dia sembuh.

Adapun orang sakit yang berkala iaitu pada suatu waktu sakitnya itu berkurangan seperti demam, jika ketika masuk waktu wajib puasa itu dia demam maka diharuskan baginya berbuka dari awal waktu tanpa berniat puasa. Tetapi jika pada awal waktu itu (sebelum masuk waktu fajar) demamnya hilang, maka wajib atasnya berniat puasa. Tetapi jika sakitnya itu datang semula dan dia berhajat kepada berbuka, maka harus baginya berbuka puasa. Bahkan wajib atasnya berbuka jika dikhuatiri puasa itu akan membinasakan dirinya.

2. Orang yang musafir.

Orang yang bermusafir juga diberi kelonggaran terhadap tuntutan menunaikan ibadat puasa. Orang musafir diharuskan berbuka puasa Ramadhan sama ada dia takut mudharat ke atas dirinya atau tidak. Tetapi hendaklah memenuhi syarat-syarat musafir yang diharuskan mengambil rukhshah untuk menjama‘ atau mengqashar sembahyang sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘, antaranya ialah:

a. Hendaklah jarak perjalanan itu jauh iaitu tidak kurang daripada dua marhalah iaitu 90.12 kilometer atau 56 batu.

b. Hendaklah pada permulaan perjalanan itu berniat (qashd) hendak membuat pelayaran menuju ke destinasi yang diketahui serta menetapkan azam tanpa ragu-ragu untuk berjalan dalam jarak jauh tidak kurang daripada dua marhalah.

c. Perjalanan itu hendaklah atas tujuan yang diharuskan oleh syara‘ dan bukan atas tujuan untuk mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan atau maksiat.

d. Pelayaran itu hendaklah sebelum masuk waktu diwajibkan puasa iaitu sebelum waktu fajar.

Adapun orang musafir yang senantiasa di dalam pelayaran (yang tiada tempat tinggal yang tetap) adalah tidak diharuskan berbuka puasa kerana jika harus berbuka dalam pelayaran yang sedemikian akan menyebabkan gugurnya kewajipan puasa itu sama sekali. Tetapi jika dia berniat untuk mengqadha’nya pada hari-hari yang lain dalam pelayarannya, maka harus baginya berbuka.

Orang musafir yang diharuskan berbuka itu hendaklah dia berbuka dengan niat mengambil rukhshah, haram dia berbuka tanpa niat rukhshah dan diwajibkan mengqadha’ puasa sebanyak hari-hari puasa yang telah ditinggalkannya.

Rukhshah berbuka puasa pada bulan Ramadhan bagi orang yang sakit dan orang musafir dijelaskan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam pelayaran, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)

3. Orang yang sangat lapar dan sangat dahaga.

Orang yang sangat lapar dan sangat dahaga juga diharuskan berbuka puasa jika dengan meneruskan puasa itu boleh menyebabkan kemudharatan ke atas dirinya. Orang yang dalam keadaan ini diharuskan berbuka dan wajib ke atasnya qadha’. Kelonggaran ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.

(Surah an-Nisâ’: 29)

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn ada menjelaskan tentang hukum harus berbuka bagi orang yang tersangat lapar dan dahaga yang takut berlaku kemudharatan atas dirinya, beliau berkata:

Ertinya: Maka sakit dan musafir (kedua-duanya) mengharuskan (berbuka puasa) berdasarkan nash (al-Qur’an dan hadits) dan ijmâ‘. Begitu juga dengan orang yang tersangat lapar atau dahaga, lalu dia takut akan kebinasaan (terjadi ke atas dirinya), maka (harus) baginya berbuka sekalipun dia berada dalam keadaan bermuqîm (tidak musafir) dan sihat tubuh badan.

4. Orang yang bekerja berat.

Orang yang mempunyai pekerjaan yang berat seperti mereka yang bekerja menuai pada siang hari puasa dan menghadapi kesukaran yang amat sangat, maka dia diharuskan berbuka puasa dan dia diwajibkan mengqadha’ puasanya. Tetapi jika tidak menghadapi kesukaran (masyaqqah), maka tidak harus dia berbuka. Mereka ini diwajibkan memasang niat puasa pada setiap malam.

5. Perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak.

Perempuan yang hamil dan perempuan yang menyusukan anak juga diharuskan berbuka puasa. Jika dia berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada dirinya sahaja, maka dia hanya diwajibkan mengqadha’ sejumlah puasa yang ditinggalkannya pada hari-hari lain dan tidak dikenakan fidyah. Begitulah juga jika perempuan tersebut berbuka kerana takut mendatangkan mudharat ke atas dirinya dan anaknya, maka dia diwajibkan mengqadha’ puasanya sahaja dan tidak dikenakan fidyah.

Manakala jika dia berbuka kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya sahaja,ُُ umpamanya jika dia berpuasa, anak dalam kandungannya akan terjejas atau gugur, maka dia diwajibkan kedua-duanya sekali iaitu mengqadha’ puasa sebagai hak bagi Allah Ta‘ala ke atas dirinya dan membayar fidyah disebabkan berbuka untuk orang lain iaitu anaknya. Begitulah juga halnya bagi wanita yang menyusukan anaknya, jika dia berpuasa anaknya pasti kehausan disebabkan air susu yang tidak mencukupi atau susu akan kering, maka dia diwajibkan kedua-duanya sekali iaitu mengqadha’ puasa dan membayar fidyah.

6. Orang sangat tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh.

Bagi orang yang sangat tua yang tidak berdaya melaksanakan puasa dan orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh diharuskan berbuka pada siang hari Ramadhan. Tetapi diwajibkan ke atasnya membayar fidyah bagi setiap hari berbuka.

Kelonggaran untuk tidak berpuasa itu antara lain ialah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah: 184)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa maksud ayat di atas iaitu orang yang tidak mampu berpuasa dan hanya diwajibkan membayar fidyah ialah orang yang sangat tua yang tiada berupaya menunaikan puasa, beliau berkata:

Maksudnya: Dia (orang-orang yang tidak terdaya berpuasa) adalah orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang kedua-duanya tidak mampu berpuasa, maka mereka hendaklah memberi makan orang miskin bagi setiap hari puasa sebagai ganti. (Atsar riwayat al-Bukhari)

Hukum yang sama juga berlaku kepada orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh yang tiada upaya menunaikan puasa kerana masyaqqah atau kesusahan yang tidak dapat ditanggung pada adat. Dia diharuskan berbuka pada siang hari Ramadhan dan wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu.

Bersukan Bukan Uzur Syar‘i yang Mengharuskan tidak Berpuasa

Berdasarkan penjelasan di atas, tiada keharusan untuk tidak berpuasa atau meninggalkan ibadat puasa disebabkan bersukan kerana puasa adalah ibadat yang wajib ditunaikan oleh setiap orang mukallaf yang ada kemampuan untuk berpuasa. Manakala rukhshah atau kelonggaran dalam ibadat puasa hanyalah atas sebab-sebab yang dibenarkan syara‘. Sebagaimana yang dijelaskan di atas bahawa antara uzur syar‘i yang diharuskan tidak berpuasa ialah takut berlaku kebinasaan kepada diri orang yang berpuasa kerana mengerjakan pekerjaan yang berat. Mereka ini pun diwajibkan berpuasa dengan berniat pada malamnya kerana keharusan berbuka hanya apabila mereka tidak tertanggung kesukaran yang dihadapi semasa melakukan pekerjaan berat pada siang hari puasa. Sukan, tidak termasuk pekerjaan yang dimaksudkan.

Oleh itu, ahli sukan juga tetap dikehendaki untuk memelihara kewajipan ibadat puasa pada bulan Ramadhan, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. Iaitu beberapa hari yang tertentu…….. (Surah al-Baqarah: 183 & 184)

Pada lazimnya sukan dilakukan oleh orang-orang yang sihat tubuh badan, kuat fizikal, cergas dan tangkas. Adakah layak mereka yang dikurniakan kelebihan seperti ini meninggalkan ibadat puasa? Apakah hanya kerana mahu menang dalam pertandingan, seorang ahli sukan tidak payah berpuasa? Sedang puasa adalah hak Allah yang wajib ditunaikan berbanding sukan dan kemenangan-kemenangan yang mahu diburu daripadanya.

Sayugia kita di negara ini tidak cepat terpengaruh dengan apa yang dibaca atau didengar, bahawa terdapat pihak yang membenarkan atlet mereka tidak berpuasa kerana sukan.

Kedudukan ahli sukan yang membuat latihan intensif untuk negara atau yang menyertai temasya sukan atau yang hendak memenangi pingat seperti yang ditanyakan adalah tetap diwajibkan berpuasa Ramadhan dan mereka tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang diharuskan untuk tidak berpuasa semata-mata kerana membuat aktiviti sukan yang memerlukan banyak tenaga. Kecuali jika orang yang bersukan itu berada dalam keadaan dia diharuskan berbuka seperti musafir tetapi bukan kerana bersukan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12667