Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Jemaah Tabligh

Soalan: Masih ramai orang awam yang tidak memahami tentang peranan jemaah tabligh. Mereka berkunjung dari rumah ke rumah untuk berda‘wah. Ada yang menuduhnya sebagai ‘sesat’ kerana aktiviti mereka itu. Dipohonkan fatwa atau pandangan Pehin Mufti mengenai jemaah tabligh di Negara Brunei Darussalam.

Jawapan: Saya telah pun mengeluarkan fatwa mengenai jemaah tabligh. Tuan boleh rujuk buku Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 1995: 170.

Sukacita menarik perhatian, bahawa kegiatan jemaah tabligh di Negara Brunei Darussalam yang diketahui pada masa ini adalah usaha yang baik dan terpuji sebagaimana yang pernah difatwakan berkaitan dengan syarat-syarat berda‘wah. Cara berda‘wah itu ialah dengan menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan berusaha melaksanakan cara-cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berda‘wah dan cara hidup Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam semua lapangan kegiatan hidup manusia, iaitu menghidupkan keyakinan iman, membaharukan keyakinan iman, mendirikan dan mengerjakan ibadat-ibadat menurut caranya yang betul serta menepati kegiatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, membiasakan diri berperangai dengan perangai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, melaksanakan perangai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika bermuamalat dan berurusan sesama manusia, memakmurkan masjid, mengadakan majlis-majlis zikir, wirid, ratib dan majlis-majlis lain bagi mencapai tujuan da‘wah tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan tersebut di atas, anggota jemaah tabligh perlu mengambil perhatian mengenai undang-undang dan peraturan yang berjalan, seperti penggunaan masjid dan surau, perkumpulan, ceramah-ceramah yang diadakan dan lain-lain semuanya adalah memerlukan kebenaran daripada pihak yang berautoriti. Maka adalah diingatkan supaya semua anggota jemaah tabligh akan mematuhi peraturan-peraturan tersebut.

Mengenai ziarah atau berkunjung ke rumah-rumah, sama ada kepada orang-orang yang dikenali atau lebih-lebih lagi yang belum dikenali, dikehendaki supaya melakukannya dengan sebaik mungkin tanpa membawa sebarang gangguan kepada mereka yang dikunjungi, seperti elok membuat temu janji terlebih dahulu sebelum berkunjung dan apabila berkunjung tidak melakukan sebarang kejutan kepada tuan rumah seperti membunyikan hon kereta dengan kuat atau terus-terus mengetuk pintu rumah, tetapi memadailah setakat memberi salam dan salam boleh diulang sekiranya belum mendapat jawapan. Di samping itu waktu ziarah juga mesti diambil kira. Jangan ziarah pada waktu-waktu yang tidak sesuai, seperti waktu malam yang biasanya digunakan untuk berehat dan tidur, waktu-waktu makan, waktu tuan rumah (lelaki) tidak ada di rumah kerana bertugas atau musafir dan lain-lain. Apabila kita sudah diterima sebagai tetamu, maka janganlah tunggu lama-lama atau membuat-buat alasan untuk tidak cepat balik, seperti sengaja memanjang-manjangkan perbualan dengan tuan rumah padahal tuan rumah sebenarnya sudah tidak bersedia lagi untuk itu. Jangan sampai kita dianggap sebagai tidak pandai menghormati perasaan orang lain. Demikian sedikit etika berziarah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12671