Lelaki Memakai Jam Tangan yang Peralatannya Diperbuat daripada Emas
Soalan: Bolehkah menggunakan jam tangan yang enjin dan jarumnya diperbuat daripada emas?
Jawapan: Hukum penggunaan dan pemakaian emas sebagai peralatan atau perhiasan adalah terbatas dan tertakluk kepada persyaratan yang telah ditetapkan oleh syara‘.
Penggunaan Emas untuk Peralatan
Hukum menggunakan emas untuk dijadikan barang peralatan ada disebutkan dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan keterangan mengenainya pula banyak dijelaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab masyhur mereka. Antaranya, hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Hudzaifah bin al-Yaman Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu memakai sutera halus dan jangan (juga) sutera kasar, dan jangan kamu minum pada (menggunakan) bejana emas dan perak, dan jangan (juga) kamu makan pada (menggunakan) talamnya (emas atau perak), kerana sesungguhnya (barang-barang itu) untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kita (kelak) di akhirat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut pengarang kitab az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir, bejana ialah setiap benda yang menurut ‘urf (adat kebiasaan) digunakan untuk meletakkan sesuatu padanya.
Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebutkan dalam kitabnya Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi bahawasanya para ulama telah bersepakat mengatakan haram hukumnya ke atas lelaki dan perempuan menggunakan bejana emas dan perak sama ada untuk makan dan minum atau untuk apa jua tujuan penggunaannya.
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, termasuk dalam pengertian penggunaan bejana emas dan perak selain makan dan minum itu ialah seperti alat pencelak mata, bekas (tempat menyimpan) celak mata, pencungkil gigi, pengorek telinga, bekas untuk menyimpan haruman, alat perhiasan untuk menghias kedai-kedai, rumah-rumah dan tempat-tempat perhimpunan dan sebagainya.
Daripada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa hukum pengunaan emas untuk dijadikan peralatan adalah haram ke atas lelaki mahupun perempuan dan pengharaman tersebut adalah secara ittifâq (kesepakatan) para ulama berdasarkan kepada keumuman hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan keseluruhan maksud apa yang diharamkan dengan sebab-sebabnya.
Pemakaian Emas untuk Perhiasan
Adapun pemakaian emas untuk perhiasan bagi kaum lelaki sama ada dalam bentuk cincin atau seumpamanya, hukumnya adalah haram. Perkara ini banyak diterangkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya:
(i) Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-‘Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah menyatakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Diharamkan ke atas para lelaki daripada umatku memakai sutera dan emas dan dibolehkan bagi para perempuan mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
(ii) Hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhahu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengambil sutera dengan tangan kiri Baginda dan emas dengan tangan kanan Baginda, kemudian mengangkat kedua-dua (sutera dan emas) di hadapan Baginda, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua ini adalah haram ke atas para lelaki daripada umatku, halal bagi para perempuan mereka.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
(iii) Hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melihat cincin emas pada seorang lelaki. Kemudian Baginda menanggalkan/mencabutnya dari tangan lelaki itu lalu melemparkannya. Lalu Baginda bersabda: “Kenapa seseorang daripada kalangan kamu sengaja mengambil bara api dari neraka dan meletakannya di tangannya?” Kemudian setelah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pergi, maka ada orang yang berkata kepadanya (orang yang memiliki cincin tersebut): “Ambillah cincinmu, manfaatkanlah cincin tersebut.” Orang itu menjawab: “Tidak, demi Allah saya tidak akan mengambil cincin ini selamanya, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah membuangnya.” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits-hadits di atas jelas menyebutkan perbezaan hukum dalam pemakaian emas untuk perhiasan bagi kaum lelaki dan perempuan. Kaum lelaki adalah ditegah sama sekali memakai emas untuk perhiasan dan kaum perempuan pula sebaliknya. Keharusan kaum perempuan memakai emas sebagai perhiasan itu adalah bertujuan berhias-hias untuk suami dan juga untuk para isteri tersebut kelihatan cantik kepada suami mereka sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab.
‘Illah (Sebab) Pengharaman Penggunaan dan Pemakaian Emas untuk Peralatan atau Perhiasan
Pengharaman dalam menggunakan barang-barang peralatan seperti bejana daripada emas dan perak mempunyai sebab-sebabnya yang tertentu sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir:
Ertinya: Dan ‘illah pengharamannya (penggunaan bejana emas dan perak) adalah ‘ain (zat emas atau perak) dan al-khuyalâ’ (sifat bermegah-megah dengannya).
Sebagaimana yang diketahui emas dan perak merupakan komoditi yang sangat berharga. Jika seseorang itu memiliki emas atau perak dan menggunakannya sebagai peralatan seperti pinggan, mangkuk, sudu dan seumpamanya, maka perbuatan tersebut sudah setentunya akan menampakkan kekayaan orang tersebut dan menimbulkan sifat sombong, bangga diri dan menunjuk-nunjuk kepada orang yang tidak mampu memilikinya. Oleh kerana itu, syara‘ mengharamkan penggunaan peralatan daripada emas atau perak ke atas lelaki dan perempuan kerana zat dan sifat bermegah-megah dengan zat emas atau perak itu boleh menyakiti hati orang-orang fakir dan miskin.
Manakala ‘illah pengharaman pemakaian emas bagi kaum lelaki sebagai perhiasan pula ada disebutkan oleh Imam al-‘Allâmah Badruddin bin Ahmad al-‘Aini dalam kitabnya ‘Umdah al-Qâri Syarh Shahîh al-Bukhari adalah sama ada kerana pemakaian tersebut menyerupai (tasyabbuh) kaum perempuan atau kerana wujudnya sifat sombong dan bangga diri dengan memakainya.
Hukum Kaum Lelaki Memakai Jam Tangan yang Peralatannya Diperbuat daripada Emas
Secara umumnya, kaum lelaki adalah haram memakai atau menggunakan apa jua perhiasan atau peralatan yang diperbuat daripada emas sebagaimana yang diterangkan di atas melainkan apabila terdapat nash atau dalil khusus yang mengharuskannya sepertimana yang disebutkan oleh para ulama mazhab asy-Syafi‘i dalam kitab-kitab masyhur mereka dalam perkara menampung kecacatan hidung, gigi dan hujung jari apabila dalam keadaan dharurat kerana untuk menjaga tujuan syara‘ yang lima iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dengan berdalilkan kepada sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Arfajah bin As‘ad katanya:
Maksudnya: Hidungku tercedera pada hari (perang) al-Kulab di zaman jahiliyyah, maka aku membuat hidung daripada perak, (tetapi hidung itu) menjadi berbau busuk kepadaku, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruhku supaya aku membuat hidung daripada emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan kepada beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan penjelasan para ulama berhubung dengan penggunaan dan pemakaian emas bagi kaum lelaki sebagaimana yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan bahawa hukum penggunaan emas pada enjin atau jarum jam dan memakainya sama ada untuk perhiasan atau peralatan juga adalah haram menurut syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12674
