Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menangani Isu-isu Pencerobohan Buaya di Perairan Negara Brunei Darussalam

Soalan: Buaya yang terdapat di perairan Negara Brunei Darussalam berpotensi memberikan risiko yang tinggi kepada keselamatan orang awam dengan berpandukan kepada kriteria utama seperti berikut:

• Mengganggu keselamatan penduduk kampong, harta benda dan ternakan. • Berada di kawasan tumpuan orang ramai seperti kawasan riadah, eko pelancongan atau aktiviti tapak industri.

Sehubungan dengan itu, bagi menangani isu-isu pencerobohan buaya di negara ini, dipohonkan fatwa mengenai hukum membunuh buaya-buaya tersebut.

Jawapan: Pada dasarnya membunuh binatang adalah dilarang oleh syara‘. Walau bagaimanapun ada beberapa jenis atau spesis binatang yang diharuskan syara‘ membunuhnya atas sebab-sebab yang mengharuskannya untuk dibunuh, seperti binatang-binatang yang sifatnya menyakiti, mengganggu ataupun mendatangkan bahaya atau mudharat kepada manusia mahupun harta benda.

Membunuh Binatang-Binatang yang Menyakiti

Menurut hukum syara‘, binatang-binatang yang bersifat atau memiliki tabiat yang menyakiti atau boleh mendatangkan mudharat kepada manusia adalah harus dibunuh. Berkata Imam ar- Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan yang lahir daripadanya (binatang yang tidak harus dimakan) ada yang secara tabi‘inya menyakiti, maka disunatkan membunuhnya sebagaimana (disunatkan membunuh) binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq (binatang yang merosakkan) yang lima (jenis). Maka sesungguhnya terdapat hadits shahîh tentang suruhan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk membunuh lima jenis binatang yang digelar al-fawâsiq di tanah halal dan juga tanah haram, iaitu; burung gagak yang tidak dimakan dagingnya, burung helang sikap, kala jengking, tikus rumah dan anjing yang menggigit (anjing gila). Dan termasuk dalamnya (maksud binatang al-fawâsiq itu) singa, harimau, serigala, beruang, burung nasar (helang), burung rajawali, kutu anjing, pijat, tebuan dan semua jenis binatang yang menyakiti.

Berdasarkan daripada keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa harus membunuh binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq (binatang-binatang yang menyakiti) seperti yang disebutkan di atas dan ini meliputi juga keharusan membunuh segala jenis binatang yang merosakkan, membahayakan atau memudharatkan. Asy-Syaikh Kamaluddin ad-Damiri Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Hayât al-Hayawân al-Kubrâ mengenai sebab diharuskan membunuh binatang-binatang yang tabiatnya yang sedemikian itu;

Ertinya: Bahawasanya jenis binatang ini adalah menyakiti (membawa bahaya) kepada bani Adam dan kehormatan bani Adam itu adalah lebih besar daripada kehormatan binatang.

Hukum Membunuh Buaya

Buaya adalah binatang reptilia besar berkulit keras dan tebal, berbadan panjang, bernafas dengan paru-paru dan hidup di air (biasanya di sungai). Buaya juga terkandung daripada jenis binatang yang diharamkan untuk dimakan kerana ia memburu mangsa dengan taringnya. Menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh pengharaman buaya adalah kerana kejijikannya dan kemudharatannya.

Sebagaimana yang disebut dalam nash Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas, binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq iaitu binatang yang menyakiti atau membahayakan, harus dibunuh berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Lima jenis binatang yang digelar al-fawâsiq (binatang-binatang yang menyakiti) harus dibunuh di tanah halal dan haram iaitu; ular, burung gagak yang bertompok-tompok, tikus rumah, anjing yang menggigit (anjing gila) dan burung helang. (Hadits riwayat Muslim)

Binatang-binatang yang digelar al-fawâsiq tidak terhad kepada lima jenis binatang yang disebut dalam hadits di atas. Bahkan binatang-binatang yang mempunyai sifat-sifat atau tabiat seperti binatang al-fawâsiq iaitu menyakiti dan memudharatkan juga termasuk dalam kelompok al-fawâsiq. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi:

Ertinya: Majoriti ulama bersepakat terhadap keharusan membunuh binatang-binatang al-fawâsiq sama ada di tanah halal atau di tanah haram dan ketika dalam ihrâm. Dan mereka juga bersepakat bahawa harus bagi orang yang sedang berihrâm membunuh apa jua binatang yang seumpama binatang tersebut.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menjelaskan bahawa fâsiq itu berasal daripada perkataan Arab “fisq” yang bermaksud keluar. Seseorang itu dinamakan fâsiq kerana keluarnya dari mentaati perintah Allah Ta‘ala. Maka dinamakan binatang-binatang al-fawâsiq ini adalah kerana keluarnya hanya untuk menyakiti dan membuat kerosakan di jalan-jalan yang biasa dilalui oleh kebanyakan binatang tunggangan.

Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, buaya dengan sifatnya iaitu haiwan pemangsa dan mempunyai taring untuk memburu mangsanya sebagaimana semulajadinya juga termasuk dalam kategori binatang al-fawâsiq. Oleh itu, hukum membunuhnya juga diharuskan kerana sifatnya yang menyakiti dan memudharatkan orang awam.

Menjaga keselamatan orang awam khususnya nyawa adalah merupakan salah satu komponen maqâshid syar‘iyyah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta benda dan keturunan (nasab), maka tindakan tersebut tidak bercanggah dengan syara‘. Maka dalam situasi ini, keharusan membunuh buaya-buaya tersebut adalah kerana jika tidak dibunuh ia akan mendatangkan bahaya atau mudharat kepada orang awam.

Dalam syariat Islam, kemudharatan itu wajib dihindarkan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hadits ini, para ulama fiqh telah menetapkan kaedah:

Ertinya: Kemudharatan itu hendaklah dihindarkan.

Kaedah Membunuh yang Dibenarkan Syara‘

Menurut syara‘, membunuh binatang-binatang yang harus dibunuh sekalipun, tidak diharuskan dengan cara menyeksanya. Membunuh mestilah dengan ihsan iaitu membunuhnya dengan cara yang baik dan beradab. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Ertinya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah (cara) pembunuhan itu. (Hadits riwayat Muslim)

Antara cara membunuh binatang yang tidak menurut ciri-ciri ihsan sebagaimana yang dituntut oleh syara‘ ialah dengan cara membakarnya. Perkara ini berdasarkan hadits daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan Baginda melihat sarang semut yang telah kami bakar. Maka Baginda bersabda: “Siapa membakar ini?” Kami menjawab: “Kami.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak patut menyeksa binatang dengan api melainkan oleh Tuhan Pemilik api itu (iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).” (Hadits riwayat Abu Daud)

Maka ihsan dalam membunuh binatang-binatang pada ketika ia harus dibunuh ialah dengan memastikan tidak berlakunya penyeksaan ketika membunuhnya. Kaedah ihsan dalam membunuh binatang-binatang ini adalah dengan cara atau kaedah yang mempercepatkan ia mati. Maka membunuh buaya berkenaan dengan cara menembaknya adalah lebih menepati maksud ihsan tersebut berbanding dengan meracun atau memukul hingga mati buaya berkenaan.

Hukum Memanfaatkan Buaya

Sebagaimana yang telah dijelaskan, buaya adalah sejenis binatang yang haram atau tidak halal dimakan. Jika terpisah anggota binatang jenis ini daripada badannya sama ada ketika ia masih hidup ataupun sudah mati hukumnya adalah bangkai. Ini termasuk juga kulit binatang tersebut. Walau bagaimanapun menurut hukum syara‘, kulit-kulit binatang tersebut akan menjadi suci dan boleh dimanfaatkan jika ia disamak terlebih dahulu melainkan kulit anjing dan babi. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Jika kulit disamak maka ia menjadi suci.” (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Hendaklah disamak kulit bangkai binatang. Maka sucilah ia (kulit tersebut) dengan menyamaknya, sama ada daripada binatang yang halal dimakan dagingnya atau yang selainnya (tidak halal), melainkan anjing atau babi dan keturunannya. Maka sesungguhnya ia tetap tidak suci.

Maka berdasarkan hadits dan penjelasan nash Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas menunjukkan bahawa kulit bangkai binatang adalah suci setelah disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum termasuklah juga kulit binatang buas atau haram dimakan seperti kulit buaya.

Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab:

Ertinya: Dan apabila kulit binatang menjadi suci dengan disamak, maka harus ia dimanfaatkan.

Keharusan memanfaatkan kulit bangkai binatang ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Hamba sahaya milik Maimunah diberi sedekah seekor kambing, lalu kambing itu mati. Tidak berapa lama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berjalan melintasi bangkai kambing itu, Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu ambil kulitnya, kemudian kamu samak supaya kamu dapat memanfaatkannya.” Mereka berkata: “Ia sudah menjadi bangkai.” Baginda bersabda: “Yang haram itu hanyalah memakannya.” (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka dalam menangani masalah pencerobohan buaya di perairan Negara Brunei Darussalam yang telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa sebagai sesuatu yang membahayakan keselamatan orang awam dengan kaedah membunuh buaya berkenaan adalah harus dilaksanakan kerana sifatnya yang dikategorikan sebagai binatang al-fawâsiq. Namun kaedah atau cara membunuh buaya tersebut hendaklah dilaksanakan dengan ihsan iaitu tidak berlaku penyeksaan kerana penyeksaan itu ditegah oleh syara‘. Adapun memanfaatkan kulit buaya yang telah dibunuh itu adalah diharuskan setelah ia disamak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12679